Usia Baru 5 Tahun, Cekap Kendalikan Jentera Berat Pengorek Tanah

Share

Kebiasaannya kanak-kanak kecil di bawah usia 5 tahun masih bermain basikal atau kereta mainan bersama kawan-kawan. Namun siapa sangka pada usia yang baru lima tahun, kelincahan dan kecekapan seorang budak lelaki di Kota Ambon, Kepulauan Maluku, Indonesia mengendalikan jentera berat eskavator (jentera pengorek tanah) mengagumkan orang ramai.

Theo Paays tidak menghabiskan masanya bermain dengan rakan sebaya, sebaliknya membantu membersihkan sungai yang dilitupi sisa kotoran akibat banjir.

Portal Liputan6.com melaporkan, video kehebatan anak kecil di Desa Hutumuri itu sempat dirakam penduduk setempat sebelum ia dikongsi seorang pengguna Facebook (FB), baru-baru ini.

Bersihkan Sisa Banjir

Theo menggunakan jentera berat itu untuk mengalihkan sisa yang tersekat di dalam sungai berhampiran rumahnya selepas banjir surut, pada Ahad lalu.Selain itu, Theo juga membantu mengangkat batu besar untuk menyekat air banjir daripada mengotori sumber bekalan air bersih penduduk.

Aksi kanak-kanak itu turut mendapat reaksi positif daripada warganet yang turut kagum dengan kemahirannya mengendalikan jentera berat.

“Berkat bantuannya, penduduk kini dapat menikmati air bersih,” kata seorang pengguna FB di ruangan komen video berkenaan.

Video berkenaan juga sudah mendapat 2,000 tanda suka daripada warganet.

Sepanjang pengendalian itu, Theo dibantu beberapa penduduk lain yang memberikan bantuan kepadanya untuk mengalihkan sisa dan batu besar di kawasan sungai.

Di dalam video itu juga, Theo sempat menjerit kegembiraan dan bersemangat mengendalikan jentera berat berkenaan.

MW: Hebatnya budak lelaki ini. Baru berusia 5 tahun tapi cukup cekap dalam mengendalikan jentera berat. Kemahiran yang digunakan untuk memberi bantuan pada orang lain dan penduduk kampung. Namun tetap perlu berhati-hati, memandangkan ia jentera berat dan agak merbahaya untuk kanak-kanak.

Sumber: Hmetro

IKLAN