Peritnya menghadapi ketentuan ujian kehilangan anak. Apatah lagi kematian anak sulung. Anak yang mengajar diri seorang wanita menjadi seorang ibu. Bukan tidak mempercayai takdir, qada dan qadar tuhan, namun kematian secara kemalangan akibat kecuaian pihak yang tidak bertanggungjawab amatlah memeritkan.
Sebak dengan luahan hati yang dikongsikan oleh ibu kepada mangsa kemalangan kepada Muhammad Saifullah Muhammad Hafiez, 16, yang maut dirempuh bas persiaran di persimpangan Jalan Dato Ismail Hasyim, Bayan Lepas semalam ketika dalam perjalanan melakukan penghantaran makanan.
“Ummi tak kuat Chaq. Chaq la nyawa ummi. Chaq la yang ajar ummi macam mana jadi seorang ibu”. Demikian luah Siti Hajar Ghazali, 38, ibu kepada remaja yang terlibat dalam kemalangan semalam.
Anak Bertanggungjawab
Membahasakan diri anak sulungnya itu sebagai Chaq, Siti Hajar menzahirkan rasa sedih di Facebooknya di atas pemergian anak yang disifatkan sebagai seorang anak yang bertanggungjawab.
“Perginya putera sulung ummi, Muhammad Saifullah kepada Penciptanya. Terima kasih jadi anak yang baik untuk ummi. Jadi sahabat ummi. Walaupun ada masa Chaq tak larat tetap buat apa yang ummi suruh.
“Tidurlah sayang ummi rehat sepuas-puasnya. Tunggu ummi, abah dengan adik dekat sana. Ummi reda dengan ketentuan ALLAH.
“ALLAH pinjamkan Chaq kat ummi sekejap sahaja. 16 tahun lima bulan,” katanya.
Ads
Tak Menunjukkan Perubahan Sikap
Sementara itu, ketika ditemui di pekarangan Tanah Perkuburan Islam Bayan Lepas tadi, Siti Hajar berkata, arwah anaknya tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap sebelum meninggal dunia.
Menurutnya, arwah hanya tidak menjamah bihun sup yang dimasakkan sedangkan ia merupakan makanan kegemarannya.
“Dia tak jamah pun bihun sup yang saya masak. Saya masak tengah hari semalam, kebetulan saya cuti, jadi saya masak lah untuk kami sekeluarga. Selalunya arwah akan makan sebab bihun sup makanan kegemaran dia, tapi semalam dia terus keluar bekerja.
“Kali terakhir saya berbual dengannya selepas dia pulang dari sekolah dan ingin keluar semula untuk bekerja sebagai pengantar makanan di sebuah restoran makanan segera. Itu lah kali terakhir saya tengok dia,” katanya dengan nada sebak.
Reda Pemergian Anak
Bagaimanapun Siti Hajar berkata, dia reda dengan pemergian anaknya itu yang mula bekerja sambilan sejak Ramadan lalu.
Ads
“Saya reda dengan pemergiannya. Dia anak yang baik, bertanggungjawab dan tak pernah menyusahkan kami sekeluarga. Dia bekerja pun sebab nak cari wang saku sendiri. Dia beritahu tak mahu susah mak dan abah dia.
“Perbelanjaan sekolah dia bayar sendiri. Dari sekolah rendah, dia akan kumpul duit dia sendiri kalau dia nak sesuatu. Saya terasa dengan kehilangannya kerana dia penyeri keluarga kami. Arwah juga rapat dengan adik-adiknya,” katanya.
Jenazah Muhammad Saifullah telah disembahyangkan di Masjid Bayan Lepas sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bayan Lepas kira-kira jam 11 pagi tadi. Ahli keluarga, rakan-rakan serta saudara telah mengiringi arwah sehingga proses pengebumian selesai yang dijalankan dalam keadaan hujan lebat.
Jenazah Muhammad Saifullah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bayan Lepas kira-kira jam 11 pagi tadi.
Terakhir Jumpa Sebelum Keluar Bekerja
Sementara itu, bapa mangsa, Mohammad Hafeiz Mubara, 44, berkata, kali terakhir dia berbual dengan arwah anaknya adalah petang semalam sebelum dia keluar bekerja sebagai pembantu operasi di Sekolah Menengah Sungai Ara.
“Saya pulang ke rumah ketika waktu rehat makan tengah hari dan waktu itu, arwah ada kata nak pinjam kasut saya untuk jaga lalu lintas sempena majlis persaraan pengetua sekolahnya hari ini.
Ads
“Itu ja kali terakhir saya sembang arwah. Pada waktu petang, saya dapat tahu dari rakannya bahawa arwah terlibat dengan kemalangan jalan raya dan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Saya terus bergegas ke tempat kejadian dan luluh hati saya apabila melihat anak saya sudah ditutup dengan kain putih. Ketika itu, saya tahu anak saya sudah tiada,” katanya.
Pemandu Bas Persiaran Positif Syabu
Sementara itu, pemandu bas persiaran yang merempuh empat buah kenderaan di persimpangan Jalan Dato Ismail Hasyim, Bayan Lepas petang semalam didapati positif dadah.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA Anbalagan ketika dihubungi berkata, ujian saringan awal air kencing suspek mendapati positif dadah jenis syabu. Beliau berkata, suspek juga didapati tiada lesen memandu bas secara sah. Sehubungan itu suspek direman dua hari untuk siasatan lanjut berhubung kemalangan maut tersebut.
Dalam kejadian petang semalam, Muhammad Saifullah yang merupakan pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Sungai Ara maut di tempat kejadian akibat dirempuh sebuah bas persiaran di Jalan Dato Ismail Hasyim, Bayan Lepas di sini.
MW: Salam takziah buat seluruh ahli keluarga mangsa. Semoga diberi ketabahan, kekuatan dan redha dalam menghadapi ujian yang diberikan.
Radin Era FM atau nama sebenar Radin Amir Effendi sudah sinonim dalam penyampai radio Era dan banyak menjadi pengacara di Astro. Tidak hairanlah, buat pertama kalinya dia telah disunting untuk menjadi pengacara dalam rancangan temu bual Mingguan Wanita Talkhow yang akan bersiaran tidak lama lagi. Dia juga adalah salah satu kumbang yang akan menyerikan bual bicara ini, selain Norman Hakim.
Dalam Mingguan Wanita Talkshow, Radin akan mengendalikan segmen Food & Travellog yang akan digandingkan bersama Elizad pada setiap hari Selasa pada jam 11pagi – 12 tengah hari.
Jadi, dalam mempersiapkan diri dan memantapkan lagi semasa ke udara secara ‘live’ ini, Radin bakal menuntut ilmu dengan Pak Nil, antaranya mengikuti kelas Pak Nil. maklum sahaja, sebelum ini, dia bercakap seorang ketika di radio dan selepas ini dia akan bercakap bersama audiens ketika di tv.
Nak tahu apa kelainan yang akan Radin bawakan dalam Mingguan Wanita Talkshow ini, sama-sama kita saksikan nanti ye!
Pelajar Malaysia sorok bayi baru lahir dalam kotak bijirin, sumbat dalam beg pakaian. Seorang pelajar Malaysia, Jia Xin Teo, 22 tahun, di Coventry, United Kingdom (UK) telah disabitkan kesalahan membunuh bayi perempuannya sendiri.
Pelajar Malaysia Sorok Bayi Baru Lahir Dalam Kotak Bijirin, Sumbat Dalam Beg Pakaian
Menurut maklumat daripada Crown Prosecution Service (CPS) dan dilaporkan oleh BBC, Teo yang sedang belajar di Coventry University didapati menyembunyikan kehamilannya dan bertindak menyimpan bayi tersebut dalam sebuah kotak bijirin selepas melahirkan, sebelum memasukkannya ke dalam beg pakaian.
Teo yang tiba di UK pada awal tahun ini didakwa melahirkan bayi itu pada 4 Mac di bilik sewanya di Raglan Street, Coventry.
Sebaik bayi tersebut dilahirkan, Teo meletakkannya ke dalam kotak bijirin yang kemudian dibungkus dalam plastik sebelum diletakkan dalam beg pakaian.
Bayi tersebut dilahirkan hidup dan mempunyai peluang untuk hidup. Bagaimanapun tindakan Teo meletakkannya di dalam kotak bijirin telah menyebabkan kematiannya.
Sepanjang perbicaraan di Mahkamah Warwick Crown, Teo mendakwa dia mendengar suara-suara yang menyuruhnya membunuh atau mencederakan bayi tersebut.
Mahkamah bagaimanapun menolak pembelaannya. Lebih mengejutkan, Teo tidak memberitahu sesiapa tentang kejadian ini sehingga dua hari kemudian, apabila dia tiba di hospital menunjukkan tanda-tanda telah melahirkan bayi.
Teo pada mulanya menafikan telah melahirkan bayi, apabila ditanya oleh kakitangan hospital.
Selepas didesak, dia akhirnya mengaku melahirkan bayi itu dan menyatakan rasa takut jika keluarganya di Malaysia mengetahui perkara tersebut dan bimbang ia akan menjejaskan pelajarannya.
Teo juga enggan mendapatkan bantuan perubatan sebelum bersalin, malah menyorok keadaan ini daripada rakan serumahnya.
James Leslie Francis dari CPS menjelaskan bahawa Teo telah tiba di UK dengan mengetahui dirinya sedang hamil, namun dia memilih untuk menyembunyikan kehamilannya dan melahirkan bayi itu sendirian.
Beliau turut mendakwa bahawa Teo berpeluang untuk mendapatkan bantuan, tetapi sebaliknya, dia membuat keputusan untuk meletakkan bayi tersebut dalam kotak bijirin yang akhirnya membawa kepada kematian.
Polis West Midlands yang terlibat dalam penyiasatan kes ini turut mengesahkan bahawa Teo tidak memberikan lokasi bayi tersebut sehingga dua hari selepas kejadian.
Mahkamah menolak alasan halusinasi yang diberikan oleh Teo dan sebaliknya menekankan bahawa tindakannya adalah disengajakan.
“Mayat orang terendam nie bau dia dari jauh dah boleh hidu. Kulit mereka pun dah tertanggal. Biasa badan mereka licin, beza dengan kematian biasa.
“Satu petua bila bau mayat begini, pantangnya jangan ludah. Sebaiknya telan air liur dan insya Allah bau mayat akan hilang serta merta.
“Biasanya bagi pengurusan mandi jenazah begini, kita akan lapik kain putih dahulu dan baru letak jenazah atasnya. Jangan gosok kerana isi dah lerai.
Ambil sabun dan taburkan. Paip air kita bungkus atasnya dan jirus perlahan pada jenazah. Tak lama, biasa sekejap. Habis mandi, kulit-kulit tertanggal kita satukan sekali…
Ikuti kisah pengalaman tukang mandi jenazah, Puan Lasminah Dul Siraj yang berpengalaman berpuluh tahun dalam pengurusan jenazah di Lembah Klang.
Ikuti video penuh temubual bersama dirinya di YouTube Mingguan Wanita dan Facebook jam 8 malam ini. Jangan lupa subscribe YouTube Mingguan Wanita.
Lokasi temuramah :- Tanah Perkuburan Islam Kg Kerinchi, Bukit C2 Pantai Dalam.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Sesungguhnya bila maki hamun jadi zikir harian, bagaimana penghujung hayat kita nanti? Cuba bayangkan, mampukah kita menuturkan kalimah syahadah saat malaikat maut menjemput jika setiap saat ketika hayat hanya melontarkan kata-kata kesat serta melukakan hati orang lain.
Ikuti perkongsian Puan Busseroa Abd Jalil dan fahami apa yang dia cuba sampaikan…
Maki…
Lama juga saya tidak menulis panjang-panjang. Tetapi entahlah, hari ini hati saya terasa seperti cedera parah pula walaupun panah cacian tersebut bukan dilontarkan kepada saya.
Kisah bermula pagi tadi ketika seorang sahabat bercerita tentang video makian, maka saya pun melihat video tersebut. Sungguh, saya tidak kenal kedua-dua individu sama ada yang memaki atau dimaki.
Tetapi walau hanya menontonnya sahaja saya terasa seperti terlalu banyak racun yang masuk ke hati saya.
Hati saya menjadi cedera tiba-tiba dan menjadi sakit teramat-amat, jadi tidak percaya dengan apa yang saya tonton, jadi murung dan macam-macam lagi.
Mengapa begitu?
Kerana memaki-hamun itu bukan budaya saya. Melontarkan kata-kata kesat seperti itu bukan cara hidup saya. Memalukan, menghina dan sebagainya bukan amalan saya. Saya rasa anda juga sama seperti saya. Jadi ketika menonton toksik seteruk itu hati kita menjadi terkejut dan trauma.
Tetapi bayangkan, di saat menonton sahajapun hati kita sudah terluka, tetapi ada orang yang memilih cara sebegitu sebagai jalan hidup dan cabang rezeki.
Dan yang kian parahnya apabila cara hidup toksik itu berjaya mempengaruhi pengikut-pengikut yang lain pula.
Kelukaan di hati kita pasti kian teruk apabila membaca komen-komen yang menyokong tindakan memaki-hamun dan memalukan orang lain tersebut.
Ya betul, dia mungkin idola anda tetapi bukan bermaksud semua perkara yang dia buat betul. Ada masa sokong dan ada masa anda perlu menegur.
Maki Hamun Jadi Zikir Harian
Dalam waktu begini, saya teringat pula kepada beberapa buah filem Korea dan Jepun yang pernah saya tonton. Saya tertarik apabila ucapan terima kasih melatari dalam banyak bahagian hidup mereka.
Terima kasih kerana menjadi jiran saya.
Terima kasih kerana menegur saya.
Terima kasih kerana kamu pergi dan pulang dari kerja dengan selamat.
Terima kasih kerana belajar bersungguh-sungguh.
Terima kasih kerana menjadi anak saya.
Dan macam-macam lagi ucapan terima kasih pada perkara-perkara yang kita merasakan tidak perlu pun untuk berterima kasih. Contohnya terima kasih kerana menjadi anak saya. Sedangkan menjadi anak kepada ibu bapa itu bukan ada pilihan pun.
Hakikatnya, bukan ungkapan terima kasih itu yang didambakan tetapi proses melunakkan hati itu yang cuba diterap. Kerana hati itu sifatnya liar. Jika tidak dijinakkan dengan kelembutan maka menggilalah dia.
Seperti kisah yang pernah seorang polis kongsikan beberapa tahun yang lalu. Kata beliau pada suatu malam berlaku kemalangan jalan raya yang dahsyat melibatkan sekumpulan mat rempit.
Salah seorang mat rempit tersebut terpelanting jatuh ke dalam gaung. Ketika ditemui tubuh mat rempit tersebut telah putus di paras pinggang sehingga menampakkan isi perut, tetapi dia masih bernafas dan boleh bercakap.
Lalu anggota polis tersebut, mengajar mat rempit itu mengucap sebab beliau tahu mat rempit tersebut seperti tidak akan dapat diselamatkan lagi.
Namun, tatkala syahadah diajar, mat rempit itu mengamuk dan memaki hamun dengan berkata dia perlukan rokok. Bukan yang lain. Setelah teruk dia mengamuk dan mencerca lalu polis tersebut memberi sebatang rokok kepadanya.
Kata anggota polis itu, beliau melihat bagaimana organ dalaman mat rempit itu berdenyut tatkala rokok itu disedut dalam dan ketika asap rokok itu dihembuskan, maka terhembus keluar juga organnya yang berlonggok itu. Mat rempit tersebut meninggal dunia dengan hembusan rokoknya yang terakhir itu.
Cerita ini sudah lama. Tetapi kisah ini selalu melekat kukuh di minda saya. Betullah seperti kata ustaz, biasanya Allah akan takdirkan hayat kita berakhir dengan apa yang kita suka semasa hidup dahulu.
Maki Hamun Jadi Kesudahan
Seperti kisah mat rempit, akhir hayatnya berkesudahan dengan maki hamun dan rokok kerana itu jalan hidupnya dahulu.
Dan bayangkan pula jika hidup kita berpasak pada bicara lisan yang kotor, hati yang kelam, minda yang jahat, lidah yang kesat dan sebagainya semasa hidup?
Adakah di penghujung hayat nanti bicara syahadah mampu kita tuturkan menggantikan perkataan babi, celaka, anak haram dan sebagainya yang dizikirkan sehari beratus kali sebelum ini?
Semoga Allah ampunkan semua kelalaian kita.
MW: Semoga Allah menjauhkan diri dan keturunan kita daripada sikap sebegini. Diharap apa yang berlaku ini menjadi iktibar dan pengajaran buat kita semua.
Dari sejuta untung ke RM10 juta, Richworks bantu usahawan bumi Borneo. Dengan strategi yang tepat dan ilmu yang dipelajari, penyertaan dalam dunia perniagaan sebenarnya...