Personaliti wanita yang menghiasi ruangan Ibu Tunggal Berjaya kali ini merupakan seorang wanita yang berjiwa kental. Zainab Desa, 39 selepas berpisah dengan suami tidak mengambil masa yang lama untuk meratapi kisah sedih yang melanda diri.

Dek kerana tanggungjawab yang berat perlu dipikul iaitu menjaga seorang anak yang ketika itu berusia enam tahun dan ibu yang uzur, wanita yang dilahirkan di Kedah Darul Aman ini akui tidak sempat bersedih lama kerana banyak perkara lain yang perlu diberikan fokus.

“Saya perlu bangkit dan sentiasa kuat menjaga ibu dan anak. Selepas diceraikan saya langsung tak mempunyai wang simpanan, rumah atau kereta. Ketika itu saya fikir kesedihan yang berlarutan tak mampu memberi apa-apa faedah.

Kesedihan Berlarutan Tak Mampu Memberi Faedah, Selepas Bercerai Bangkitlah Kuatkan Semangat
Bersama keluarga tersayang.

“Saya cuba berdikari dan mujurlah ketika itu saya sudah memulakan perniagaan Online lukisan secara kecil-kecilan. Dari situ perlahan-lahan saya menabung dengan membeli kereta dan membayar sewa rumah. Segalanya berlaku dengan pantas, alhamdulillah tanpa sedar tahun pertama saya sudah mampu menanggung kos kehidupan sendirian. Allah permudahkan segala urusan dan saya juga selalu minta ibu doakan yang terbaik untuk saya setiap hari,” ungkap Zainab yang tidak pernah melarang anak tunggal lelakinya bertemu dengan bekas suami.

Wanita yang sudah bergelar lapan tahun sebagai ibu tunggal ini juga bersyukur kerana pengalaman pahit inilah yang membuatkan dirinya menjadi seorang yang kuat.

“Saya pernah berada dalam situasi yang sangat getir dan hanya mampu mengharapkan pertolongan dari Allah sahaja. Namun itu semua mematangkan diri dan membuatkan saya belajar untuk menghargai diri sendiri. Kini saya banyak masa terluang untuk ibu dan anak. Paling saya bersyukur apabila hasil karya seni saya diterima ramai,” sambung Zainab yang kini lebih banyak masa melakukan aktiviti kegemarannya seperti melancong, mendaki dan sertai larian.

IKLAN
Kesedihan Berlarutan Tak Mampu Memberi Faedah, Selepas Bercerai Bangkitlah Kuatkan Semangat
Gemar aktiviti kecergasan.

 

Kesedihan Berlarutan Tak Mampu Memberi Faedah, Selepas Bercerai Bangkitlah Kuatkan Semangat
Hasil lukisan.

Minat Melukis Sejak Kecil

Graduan Universiti Teknologi MARA jurusan Sains Komputer ini juga pernah bekerja sebagai seorang Programmer di salah sebuah syarikat IT di Malaysia. Minat yang mendalam dalam seni lukisan membuatkan anak bongsu dari tiga beradik ini tekad meninggalkan kerjaya IT.

“Saya memang meminati seni lukisan sejak dari kecil namun tidak pernah diberi peluang oleh ibu bapa. Saya terpaksa curi-curi melukis tanpa pengetahuan mereka dan pernah mengikuti pertandingan melukis peringkat daerah mewakili sekolah. Selepas SPM saya sambung pelajaran dalam bidang Sains Komputer kerana ibu bapa saya tak menggalakkan untuk ambil apa saja jurusan dalam seni. Selepas tamat belajar, saya bekerja dalam bidang IT. Saya agak tertekan apabila bekerja dalam bidang yang saya kurang minati. Jadi saya cuba melukis untuk kurangkan tekanan setiap hari.

IKLAN

“Selain melukis saya juga menjaga ibu yang berusia 70 tahun juga ibu tunggal yang agak uzur dengan penyakit radang paru-paru,” kata Zainah yang kini sudah 10 tahun menjaga ibunya yang sakit.

Tunggak utama dan merupakan sumber kewangan menyara keluarga, Zainab begitu bersemangat dalam mencari rezeki.

“Saya adalah tunggak utama dalam keluarga.Perniagaan lukisan Online saya sangat membantu dan menjadi sumber utama kewangan saya. Dalam masa yang sama saya juga menjual produk-produk lukisan yang saya repack untuk individu di luar yang ingin cuba melukis.

“Saya sangat suka semua jenis seni. Ketika di awal perceraian, saya juga menjual barang kecantikan dan menjadi jurumekap untuk majlis ringkas, bertunang, makan malam untuk kawan-kawan baik. Saya juga suka ambil tempahan hias dulang hantaran, pasang pelamin, mengambil tempahan melukis inai pengantin dan macam-macam lagi yang melibatkan seni dan paling penting rezeki yang saya dapat sumber halal. Pada waktu siang saya akan uruskan ibu kemudian persekolahan anak, urusan penghantaran lukisan dan lain-lain. Pada waktu malam hingga pagi saya akan habiskan masa dengan melukis. Hingga kini saya sudah menjalankan perniagaan lukisan kaligrafi secara Online hampir 10 tahun,” kata Zainab.

IKLAN

Kesedihan Berlarutan Tak Mampu Memberi Faedah, Selepas Bercerai Bangkitlah Kuatkan Semangat

Terpaksa Menjadi Kuat Di Hadapan Ibu & Anak

Ditanya tentang cabaran terbesar yang dihadapi sepanjang bergelar ibu tunggal, Zainab akui dia perlu kuat.

“Cabaran terbesar bila saya terpaksa menjadi kuat bila di hadapan ibu dan anak. Saya sentiasa memastikan keperluan mereka cukup sama seperti org lain. Walaupun diri sendiri terabai. Saya tak pernah menunjukkan kesedihan atau lemah dihadapan mereka walaupun hakikat sebenar hanya Allah tempat saya mengadu. Saya slalu mengingatkan mereka bahawa hidup kita baik-baik saja dalam masa yang sama saya juga perlu sentiasa positif. Jika ada sesuatu yang mnggangu hati dan perasaan saya, saya hanya fikir atau bersedih tak lebih dari dua minit sahaja dan selepas itu saya fokus perkara yang lebih penting. Rakan-rakan sekeliling sangat menbantu dan mmberi semangat dalam hidup.

“Sebagai seorang ibu tunggal saya ingin menasihati mereka yang senasib dengan saya agar baik sangka dengan Allah. Sentiasa positif keluarlah dari kepompong kehidupan lama, berada dalam kelompok orang yang positif. Jangan benarkan orang menindas kita. Setiap kesusahan pasti ada kesenangan. Kita adalah insan terpilih untuk diuji kerana Allah ingin mengangkat darjat kita lebih tinggi dari insan lain. Maka kita perlu kuat dan redha dengan ujian Allah dan buktikan pada smua yang kita juga mampu berjaya. Rajin-rajinlah membaca buku-buku motivasi, mengikuti kelas keagamaan dan buat hobi baru,” ungkap Zainab.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI