Uniform Sang Saka Biru terus menjadi sebahagian dari kehidupannya sejak menyertai pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) sejak 21 tahun lalu. Satu ketika dahulu, sosok ini cukup aktif menjadi wakilan kontinjen negeri Perak untuk sukan bola jaring dan aktif dalam Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) IPD Perak Tengah selaku setiausaha PERKEP pada tahun 2006.

Usai selesai sesi taklimat di Balai Polis Parit, Perak Lans Koperal Siti Normaslinda Nordin memandu sendirian untuk pulang ke kediamannya yang terletak di Seri Iskandar salah satu bandar membangun di daerah Perak Tengah. Petang 13 Februari 2008, telah mencatat memori meruntun emosi dan menuntut kecekalan wanita kelahiran Kampung Pasir Hor, Kota Bharu, Kelantan untuk menerima perubahan dalam seluruh kehidupannya.

“Ketika itu saya bertugas di Balai Polis Parit, Perak. Jarak antara balai ke rumah sekitar 16 kilometer (km). Sehari sebelumnya saya baru pulang dari menyertai perlawanan bola jaring bawah seliaan PDRM di Univeristi Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak. Kepenatan dan mengantuk mungkin membuatkan saya kurang fokus kepada pemanduan.

“Selesai sesi taklimat sekitar jam 4.45 petang saya memandu sendirian untuk pulang ke rumah saya yang letaknya di bandar Seri Iskandar tak jauh dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Seri Iskandar. Kenderaan yang saya pandu kemudian hilang kawalan, kereta saya kemudian menjunam ke dalam gaung. Impak dari kemalangan itu saya mengalami kecedaraan parah patah tulang belakang dan saraf tunjang hampir terputus. Akibatnya separuh dari badan saya bermula dari pusat ke bawah tiada deria rasa dan tidak berfungsi,”kongsinya mengimbau kenangan yang merubah kondisi kehidupannya.

Ujian Tidak Melunturkan Semangat Siti Normaslinda

Survival yang sukar

Kemurungan dan kesedihan menjadi sebahagian episod awal kehidupannya sebaik melalui proses permulihan pasca kemalangan. Pada mulanya, Normaslinda menyangka situasinya biasa-biasa sahaja dan dia boleh mengharunginya.

“Selaku seorang yang lincah dan aktif ke sana sini, pada mulanya saya cuba muhasabah diri dan yakin mampu melalui perubahan ini pada awalnya. Pada mulanya saya tidak ada rasa apa-apa pun, sebaliknya apabila suami membuat berita perkhabaran yang dimaklumkan dari doktor…saya rasakan dunia ini kosong dan murung.

“Menurut suami, doktor memaklumkan bahawa 99 peratus laporan menunjukkan saya tidak akan kembali berjalan. Hanya ada satu peratus sahaja peluang dan keajaiaban yang memungkinkan saya boleh berjalan semula. Semuanya masih normal bagi saya, hanya apabila saya kembali pulang ke rumah selepas cuti sakit selama lapan bulan, saya mula rasakan keterbatasan untuk bergerak. Saya perlukan bantuan orang untuk bergerak dan emosi saya berkecamuk apabila cuba menyesuaikan diri dengan fasa baru,”kongsinya menerusi e-mel.

IKLAN

Terima kasih suami

Rutin hidup Normaslinda dan suami awalnya membuatkan ahli keluarganya di Kelantan, mencadangkan supaya membuat pemohonan pindah bertugas ke Kelantan. Selaku anak yang peka dengan keprihatinan keluarga, Normaslinda menolak lembut permintaan keluarga. Alasan wanita ini lagi, susah senang biarlah dia dan suami harungi bersama. Sudah tiba masanya dia berdikari tanpa membebankan orang tua yang sudah lanjut usia.

“Saya kembali bekerja selepas cuti sakit selama lapan bulan. Sekitar awal tahun 2009, saya ditempatkan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan belajar berdikari dan melakukan kerja sendiri tanpa bantuan orang lain. Alhamdulillah, kini saya mampu menguruskan perihal kerja dan urusan rumah tangga tanpa mengharapkan orang lain.

“Pada mulanya keluarag menggesa saya membuat pemohonan tukar balik bertugas di Kelantan, walau bagaimanapun setelah menetap di Seri Iskandar selama hmpir 20 tahun…kami sudah selesa dengan kehidupan di sini.

Pengasuh anak- anak pun cukup baik  macam ahli keluarga kami sendiri. Saya juga enggan menyusahkan keluarga dan suami juga berpendapat yang sama.

IKLAN

“Susah senang biar sama-sama kita lalui. Saya juga bersyukur kerana majikan suami memahami dan memberi pelepasan kepadanya terutama apabila melibatkan urusan menghantar dan mengambil anak dari sekolah. Boleh dikatakan dialah ayah dan dialah ibu, saya cukup  berterima kasih kerana suami tidak pernah lelah membantu saya dalam menguruskan anak-anak. Dia tidak pernah mengeluh malah selalu ada disisi saya dan keluarga. Selain itu rasa terima kasih juga saya ucapkan kepada Ketua Balai Polis Seri Iskandar, Perak ;  Inspektor  Nawawi Halias kerana memberi sepenuh kepercayaan kepada staf seperti saya,”zahirnya sebak.

Anugerah tak diduga

Ibu kepada tiga cahaya mata; Muhammad Azrin Hafizi (19), Nurul Ain Shahira (14) dan Muhammad Aieman Muhaimi (8) tidak dapat melupakan khabar mengujakan sebaik disahkan hamil putera bongsu mereka lapan tahun lalu. Suri kepada Azmi Ahmad, terkejut kerana sejarah kehamilannya yang sukar dan jarak usia kehamilan yang jauh membuatkan dia tidak terfikir bakal hamil lagi.

“Suami terkejut bercampur sebak sebaik mengethaui berita kehamilan saya.  Saya sukar ‘lekat’ jadi jarak umur anak sememangnya jauh-jauh. Bukan merancang sebaliknya berikhtiar untuk hamil. Apa yang membuatkan hati ini tersentuh apabila suami memaklumkan, mungkin Allah hantar si bongsu ini buat menemani kami kelak memandangkan nanti abang dan kakaknya sudah dewasa.

“Saya bersalin secara pembedahan memandangkan doktor tidak pasti dengan kemampuan badan saya untuk melalui proses kelahiran normal. Untuk keselamatan ibu dan bayi saya disyorkan melakukan proses pembedahan. Doktor juga menasihatkan saya supaya tidak hamil lagi kerana boleh mendatangkan risiko kepada saya,”kongsinya yang melahirkan anak bongsunya di Hospital USAINS Kubang Krian, Kelantan dan berterima kasih kepada doktor yang banyak melancarkan urusan kelahiran anaknya.

IKLAN

Tidak mahu membebankan orang tua dan suami ketika ketiadaannya ketika cuti berpantang, Normaslinda awal-awal lagi sudah bersedia dengan rencananya.

“Masa hendak bersalin saya awal-awal lagi mencari pembantu untuk mengurukan saya ketika berpantang di kampung. Saya bawa pembantu itu ke kampung supaya tidak membebankan orang tua saya. Anak-anak pula sepanjang saya di kampung, dijaga ayah mereka.

“Alhamdulillah, anak-anak kini membesar dan membahagiakan hati kami. Si sulung sedang mengikuti pengajian diploma untuk tahun keempat di sebuah kolej di Seri Iskandar, Perak. Anak kedua belajar di tingkatan dua manakala si bongsu sedang bersekolah di darjah dua.

“Jika tidak terikat dengan komitmen kerja saya akan melakukan kerjarumah sama seperti suri rumah lain. Memasak, mengemas dan membuat perniagaan tudung batuan kristal kecil-kecilan. Saya rasa tenang apabila nak keluar bekerja rumah yang ditinggalkan dalam keadaan sempurna dan bersih.

“Saya bersyukur berkerusi roda tidak membataskan saya menikmati kehidupan. Saya dikeliling teman-teman, keluarga dan keluarga mertua yang supportive dan memahami. Pada tahun 2009, ketika baru dinaikkan pangkat dari Lans Koperal ke Koperal saya menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC). Inilah yang dinamakan rezeki disebalik ujian. Allah beri anak dan anugerah dalam hati saya murung dan mencari kekuatan,”cerita wanita positif ini menutup bicara.

 

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI