
Selepas beberapa hari, akhirnya isteri kepada vokalis Seventeen, Dylan Sahara, 25, ditemui mati selepas badai tsunami malam Sabtu lalu.
Orang ramai turut bersimpati apabila melihat video yang tular di media sosial memaparkan detik bagaimana ombak besar tsunami akibat dari letusan gunung anak krakatau di Selat Sunda menghancurkan pentas utama konsert yang sedang rancak berlangsung pada hari kejadian.
Kematian Dylan Disahkan Ifan Seventeen (Suami)
Berita kematian Dylan disahkan suaminya, Riefan Fajarsyah atau Ifan melalui Instagram dan meminta orang ramai mengirimkan al-Fatihah buat isterinya.
View this post on InstagramA post shared by Riefian Fajarsyah (@ifanseventeen) on
“Alhamdulillah sudah ketemu isteriku dylan_sahara, terima kasih teman mendoakan, cuma Allah dapat balas kebaikan semua.
“Minta tolong kirim al-Fatihah buat isteriku, InsyaAllah husnul khotimah. Allahumma Amin,” tulisnya.
Dylan yang juga seorang pelakon dan pengacara hilang sejak Sabtu lalu selepas pentas persembahan kumpulan Seventeen di Tanjung Lesung Beach Resort dipukul gelombang tsunami.
Menurut sumber berita dari Indonesia, jenazah Dylan ditemui di Hospital Pandeglang selepas dikenal pasti kira-kira jam 7 malam (waktu tempatan).
Pengurusan Seventeen, Aconk berkata, ketika ini, jenazah sudah dibawa menuju Hospital Serang untuk dimandikan.
“Iya ditemui di Hospital Pandeglang, jamnya tidak tahu tetapi identiti sudah dikenal pasti.
“Perancangannya, sebaik dimandikan di Hospital Serang, jenazah Dylan akan diterbangkan ke kampung halamannya di Ponorogo, Jawa Timur,” katanya.
Ifan juga sudah melihat jenazah isterinya dan sama-sama menaiki ambulans menuju ke Hospital Serang.
Isteri Di Belakang Pentas Masa Kejadian
Ketika kejadian, Dylan yang berada di belakang pentas tempat Seventeen mengadakan persembahan untuk satu undangan acara himpunan sebuah syarikat elektrik Indonesia yang dihadiri 260 orang.
Ifan, satu-satunya anggota kumpulan itu yang terselamat selepas dua pemain gitarnya, Herman Sikumbang dan Muhammad Awal Purbani serta pemain dram, Andi disahkan terkorban.
Sementara itu, Juliana Moechtar, isteri kepada gitaris Seventeen masih dalam keadaan berduka.
Jumlah mangsa yang maut dalam kejadian tsunami yang melanda Banten di Jawa Barat, Indonesia meningkat kepada 222 orang. Manakala 843 cedera dan 28 mangsa masih lagi hilang dalam tragedi berkenaan.
Semoga saudara-saudara kita disana dalam keadaan baik baik sahaja. Salam takziah buat mereka yang kehilangan insan tercinta.
Kata Konsultan Penting Ada Perjanjian Sewa Rumah Yang Dimatikan Setem, Barulah Emosi Penyewa Dan Pemilik Rumah Tak Terseksa

Berapa ramai pemilik rumah sewa dan penyewa yang faham dengan Perjanjian Sewa Rumah (Tenancy Agreement). Dan kenapa Perjanjian Sewa Rumah ini perlu dimatikan setem. Kertas kontrak ini penting sangat sangat. Sebabnya perjanjian ini bukan saja melindungi tuan rumah, malah penyewa pun akan dapat manfaatnya.
Mingguan Wanita mendapatkan perkongsian info daripada Zeela Lamin, Propland Consultant sebagai panduan mengenai Perjanjian Sewa Rumah yang perlu dimatikan setem.
“Sebenarnya Tenancy Agreement ini ada kebaikan kepada penyewa dan tuan rumah. Bukan hanya kebaikan pada tuan rumah, tapi dua-dua.”
Kenapa Perjanjian Sewa Rumah Perlu Dimatikan Setem
Berapa ramai daripada kita ada pengalaman ngeri dengan penyewa? Pasti ada bukan. Hanya mereka yang berhadapan dengan penyewa begini dapat rasa betapa terseksanya berurusan dengan mereka.
“Baru-baru ini, Zeela menyelesaikan urusan perjanjian sewa rumah seorang pemilik rumah sewa. Katanya tuan rumah fobia sebab last tenant (penyewa) tak pulangkan kunci, pass card dan macam-macam barang tenant ambil. Tuan rumah pula tak tahu nak buat apa sebab tak ada perjanjian hitam putih.”
Ada juga saya mendengar rintihan pemilik rumah yang menyewakan rumah kepada penyewa, ada yang berhadapan dengan penyewa yang tidak membayar duit sewa selama 6 bulan. Ada juga yang tidak menjaga premis yang disewa, habis rosak rumah dibuatnya, mangkuk tandas pecah, kipas tertanggal, kitchen kabinet rosak dan yang menyewakan rumah fully furnished pula, ada penyewa yang bawa keluar barang-barang rumah seperti mesin basuh, sofa, televisyen dan macam-macam lagi barang yang hilang. Perkara begini memberi kerugian yang besar kepada pemilik.
Macam Mana Boleh Jadi Gitu?
Salah satu sebabnya adalah Perjanjian Sewa Rumah yang tak dimatikan setem. Kebanyakan pemilik menganggap perkara ini kecil dan tidak penting tetapi ramai yang tidak tahu banyak kebaikan sekiranya kita matikan Perjanjian Sewa Rumah.
“Mungkin ada yang tidak tahu mengapa kita perlu matikan setem Perjanjian Sewa Rumah atau dikenali sebagai Tenancy Agreement. Sebenarnya Perjanjian Sewa Rumah yang telah dimatikan setem SAH digunapakai di Mahkamah sekiranya berlaku pertikaian pada masa akan datang.”
Apa Itu Perjanjian Sewa Rumah
Perjanjian Sewa Rumah sebenarnya adalah satu perjanjian dan ikatan kontrak yang dipersetujui di antara pemilik dan penyewa. Ianya melindungi hak pemilik dan penyewa melalui undang-undang dengan terma-terma dan syarat-syarat yang telah dipersetujui.
Di dalam Perjanjian Sewa Rumah mengandungi maklumat :
√ Jumlah sewa bulanan.
√ Tarikh bayaran sewa.
√ Jumlah deposit.
√ Maklumat pemilik dan penyewa.
√ Alamat premis yang disewa.
√ Akaun pemilik dan senarai inventori rumah.
Ini adalah asas kepada Perjanjian Sewa Rumah. Pemilik juga boleh menambah terma dan syarat di dalam Perjanjian Sewa Rumah. Contoh seperti :
√ Apa akan berlaku sekiranya penyewa lewat membayar sewa (lewat 1 bulan) atau
√ Siapa yang akan bertanggungjawab membaik pulih tandas sekiranya tersumbat atau
√ Bagaimana sekiranya premis yang disewa oleh penyewa digunakan sebagai tempat menyalahi undang-undang. Melalui contoh-contoh ini, pemilik boleh menyatakan dengan jelas di dalam Perjanjian Sewa Rumah.
Jangan Tak Tahu
Perjanjian ini juga boleh beri kebaikan kepada pemilik rumah. Yang mana, Perjanjian Sewa Rumah yang telah dimatikan setem juga boleh digunakan sebagai dokumen yang sah bagi menyokong pendapatan sewa bagi tujuan untuk memohon pinjaman.
Ini Cara Nak Matikan Setem Perjanjian Sewa Rumah, Buat Sendiri Pun Boleh
1. Sebelum kita matikan setem, pastikan dahulu Perjanjian Sewa Rumah telah dibaca dan dipersetujui oleh pemilik dan penyewa.
2. Setelah itu, pastikan pemilik dan penyewa menandatangani Perjanjian Sewa Rumah.
3. Kemudian, pemilik boleh pergi ke mana-mana cawangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Di LHDN, anda akan diminta untuk mengisi borang dan maklumat penyewaan premis. Cara lain pula anda boleh dapatkan khidmat mana-mana agen hartanah yang berdaftar. Dengan khidmat agen berdaftar, mereka boleh menyediakan Perjanjian Sewa Rumah serta matikan setem bagi pihak pemilik.
4. Kos mematikan setem biasanya ditanggung oleh penyewa. Kos mematikan setem tidak mahal seperti yang kita sangkakan. Bagi sewa rumah di bawah RM1000, kos adalah di bawah RM50 bagi perjanjian setahun.
Ini Jadi Bila Pemilik Rumah Sewakan Kediaman Tanpa Perjanjian Sewa Rumah
Apa akan berlaku sekiranya kita sewakan rumah tanpa Perjanjian Sewa Rumah atau Perjanjian Sewa Rumah yang tidak dimatikan setem? Sebenarnya kita boleh sewakan rumah kita tanpa ada Perjanjian Sewa Rumah atau tanpa matikan setem Perjanjian Sewa Rumah tersebut.
Tetapi macamana jika pemilik atau penyewa melanggar syarat-syarat Perjanjian Sewa Rumah? Saluran apa yang ada untuk kita membuat aduan? Sekiranya perkara ini berlaku, adalah sukar untuk kita membuat aduan atau sebarang tindakan lanjut.
“Oleh itu, Perjanjian Sewa Rumah yang telah dimatikan setem amat penting kerana ianya SAH digunapakai di Mahkamah sekiranya berlaku pertikaian di masa hadapan.” ulasnya yang bersedia untuk berkongsi informasi kepada mana-mana penyewa atau pemilik rumah sewa berkenaan Perjanjian Sewa Rumah.
Sumber/Foto : Zeela Lamin
Waris Mangsa Pemandu Mabuk, Ini Cara Tuntut Ganti Rugi Pada Pelaku

Peguam ini, Mufarwa Farid berkongsi tip apa yang perlu dilakukan oleh waris mangsa pemandu mabuk, untuk menuntut ganti rugi di atas kehilangan nyawa insan yang mereka sayang dalam diri mereka.
Iya, nyawa yang tiada galang gantinya itu diragut tanpa rela. Berpunca daripada hilangnya kewarasan pemanduan seorang pemandu yang mabuk. Hadamkan perkongsian ini, kerana ada cara untuk waris menuntut bela. Jangan biar diri menjadi mangsa.
Cara Ini Waris Boleh Saman Pemandu Mabuk
Cukup ramai dah yang ulas tentang kes pemandu mabuk langgar orang sampai mati ni.
Jadi, aku tak nak ulas tentang hukuman dan pendapat aku tentang undang-undang pemandu mabuk yang bunuh orang ni.
Cuma, aku tertarik dengan beberapa komen mengatakan yang sistem undang-undang Malaysia tidak adil sebab, kalau pemandu tu didapati bersalah, denda tu hanya diberikan kepada kerajaan sahaja, dan tidak kepada keluarga si mati.
Sebenarnya, ya, duit denda tu takkan diberikan kepada keluarga si mati.
Namun begitu, sebenarnya, ada cara untok keluarga si mati ni dapat ganti rugi daripada pemandu mabuk ni.
Keluarga boleh failkan saman ke atas pemandu mabuk tersebut.
Bila boleh saman ni?
Sekarang pun boleh.
Maknanya, pemandu mabuk ni akan menghadap 2 mahkamah berbeza. Satu, mahkamah yang bicarakan kes jenayah dia. Dua, mahkamah yang bicarakan kes saman keluarga si mati.
Mahkamah tu, Hakim nya bukan orang yang sama, perbicaraannya bukan pada tarikh yang sama, dan hukuman pun takkan sama.
Yang sedang diorang alami sekarang ni adalah, prosedur jenayah.
Yang kita nak minta saman-saman ini adalah prosedur sivil.
Dua benda yang berbeza. Satu, negara Malaysia saman. Dua, keluarga si mati saman.
Dalam undang-undang Malaysia, mana-mana ahli keluarga yang merasai kesakitan atau suffer ke atas kematian yang dilakukan oleh orang lain, ada hak untok menyaman.
Keluarga si mati boleh minta sekurang-kurangnya 2 claim.
Yang pertama, Dependency Claim.
Iaitu, tuntutan keluarga si mati yang menuntut agar pemandu mabuk ini bayar sejumlah wang yang sepatutnya arwah boleh provide kalau arwah masih hidup sampai umur 55 tahun.
Hak ini telah termaktub dalam Seksyen 7(3) Akta Undang-Undang Sivil 1956.
Contohnya, arwah ni masa hidup, dia provide RM2500 sebulan untok menyara keluarga. Maka, ada pengiraan tentang saraan ini, yang syaratnya, saraan itu WAJIB directly kepada ahli keluarga yang betul-betul menerima duit tersebut.
Agak panjang bab pengiraan ini, yang tak perlu diulas panjang di sini. Perlu rujuk Peguam masing-masing.
Sama ada kiraan itu diterima atau tidak, ianya tertakluk kepada keputusan Hakim.
Yang kedua, Bereavement Claim.
Keluarga si mati boleh tuntut pemandu mabuk ni untok ‘bayar’ kesedihan yang dialami satu keluarga sebab matinya si arwah.
Contohnya, disebabkan arwah meninggal, anak-anak menangis sebut-sebut nama arwah siang malam, isteri jadi macam orang gila sebab hilang tempat bermanja, suami rasa trauma sebab isteri mati dalam keadaan tragis.
Namun, tuntutan ini tak boleh lebih RM30,000.
Yang ketiga, Loss Of Support.
Berbeza dengan Dependency tadi, Loss Of Support ni lebih kepada perbuatan yang tak keluarkan duit. Ianya tuntutan ke atas kehilangan tempat untok bergantung dari segi tenaga.
Contohnya, arwah merupakan ibu yang ada anak kecil. Suami memang bergantung kat arwah untok jaga anak, dari bagi susu, mandikan, pakaikan baju dan tidurkan anak tersebut. Disebabkan arwah dah meninggal, takda siapa nak buat kerja-kerja tu.
Maka, suami dia boleh tuntut kat pemandu mabuk tu tentang kehilangan support ini.
Yang keempat, Estate Claim.
Yakni, tuntutan kecederaan si mati. Keluarga tersebut boleh tuntut kepada pemandu mabuk ini sejumlah bayaran disebabkan ‘kesakitan’ yang dialami oleh si mati.
Hak ini telah termaktub dalam Seksyen 8(5) Akta Undang-Undang Sivil 1956.
Kalau arwah masih hidup, arwah lah yang buat tuntutan ini. Tapi, sebab arwah sudah pergi, keluarga arwah pula yang menuntut, tapi, hanya bergantung kepada laporan perubatan doktor.
Sebab apa kena bergantung laporan perubatan doktor? Sebab, keluarga tak tahu pun si mati ni sakit macam mana. Tuntutan ini memang banyak bergantung kepada laporan perubatan.
Keluarga boleh tuntut kesakitan, penderitaan semasa kemalangan dan kehilangan tubuh badan si mati.
Jumlah tersebut tidak dispesifikkan, dan keluarga boleh letak seberapa banyak yang dimahukan. Namun, semuanya terserah kepada Hakim.
Dalam tuntutan ini juga, keluarga boleh tuntut bil hospital, duit transport dan duit baiki kenderaan yang terlibat dalam kemalangan.
Yang kelima, tuntutan kos guaman.
Sekiranya keluarga si mati menang, keluarga boleh tuntut supaya pemandu mabuk ini membayar kesemua kos guaman mereka.
Bagi Dependency Claim, Bereavement dan Loss of Support ni, tempoh untok mulakan saman adalah dalam tempoh 3 tahun selepas kematian. Kiranya, kalau meninggal 21 Mei 2020, last untok saman adalah 20 Mei 2022. Lepas 20 Mei 2022 ni, keluarga tak boleh tuntut claim ni.
Bagi Estate Claim, tempoh untok mulakan saman adalah dalam tempoh 6 tahun selepas kematian.
Kalau keluarga ni menang, lepas tu, pemandu ni masuk penjara pulak sebab kalah kes jenayah, lepas tu dia tak nak bayar saman tu. Macam mana?
Kalau pemandu ni dah kalah saman, tapi tak nak bayar, ada beberapa perkara yang keluarga ni boleh buat:
– Minta Mahkamah supaya arahkan PDRM sita semua aset dan barang yang dia ada, kemudian lelong sampai cukup duit.
– Minta orang lain yang berhutang dengan pemandu mabuk ni supaya lepas ni, segala hutang tu dibayar kepada keluarga itu sahaja.
– Jual share syarikat pemandu mabuk ni kalau ada.
– Minta Mahkamah Declare pemandu mabuk ni Bankrap sekiranya pampasan melebihi RM50,000.
Berdoalah kita agar makin tingkat kesedaran pemabuk-pemabuk ini supaya jangan jadi bodoh memandu masa kepala pening.
Dan berdoa, agar Tuhan lindungi kita menjadi kedua-dua pihak. Doa agar Tuhan tak jadikan kita mangsa dan tak jadikan kita pemangsa.
Sumber/Foto : Mufarwa Farid
Bukan Sekadar Satu Amalan Budaya, Ini Penjelasan Hukum Berkhatan Bagi Bayi Perempuan

Menjadi kelaziman dan amalan kebiasaan bayi perempuan yang baru lahir akan dikhatankan. Namun demikian, baru-baru ini timbulnya kritikan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) berhubung isu berkhatan bayi perempuan di Malaysia sebagai satu amalan budaya.
Menjawab segala persoalan, berkhatan buat bayi perempuan bukanlah sekadar satu amalan budaya, ini penjelasan hukum amalan ini yang dipetik daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan sebagai panduan;
AL-KAFI #419 : HUKUM BERKHATAN BAGI KAUM WANITA
Perbuatan berkhatan bagi wanita sudah menjadi amalan kebiasaan sebahagian masyarakat termasuk masyarakat Arab sejak dahulu kala. Pada zaman Rasulullah SAW, amalan ini berlaku dan Rasulullah SAW mengiktirafnya di samping meletakkan beberapa kaedah. Allah berfirman di dalam al-Quran:
ثُمَّ أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ أَنِ اتَّبِعْ مِلَّةَ إِبْرَاهِيمَ حَنِيفًا ۖ وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ
Maksudnya: Kemudian Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad): Hendaklah engkau menurut ugama Nabi Ibrahim, yang berdiri teguh di atas jalan yang benar; dan tiadalah ia dari orang-orang musyrik.
Surah al-Nahl, (16:123)
Telah sabit daripada hadis bahawa Nabi Ibrahim melaksanakan khatan seperti mana yang diarahkan oleh Allah. Daripada Abu Hurairah SAW bahawa Rasulullah SAW bersabda:
اخْتَتَنَ إِبْرَاهِيمُ عَلَيْهِ السَّلاَمُ وَهُوَ ابْنُ ثَمَانِينَ سَنَةً بِالقَدُّومِ
Maksudnya: Nabi Ibrahim AS berkhatan menggunakan qaddum (alat seperti beliung, kapak kecil) pada umur beliau 80 tahun.
Hadis riwayat Imam al-Bukhari (no. 3356) dan Imam Muslim (no. 2370) dalam al-Sahihain.
Sabitnya pensyariatan khatan ini juga dikuatkan dengan hadis daripada Humaid bin Bilal, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
وَمَسَّ الْخِتَانُ الْخِتَانَ فَقَدْ وَجَبَ الْغُسْلُ
Maksudnya: Dan apabila bertemu dua khitan (kemaluan lelaki dan wanita, ertinya jimak) maka wajiblah mandi.
Hadis riwayat Imam Muslim dalam al-Sahih (no. 349).
Hadis ini menunjukkan bahawa wanita juga berkhatan, dan bukan sahaja lelaki. Dalam mazhab al-Syafie, hukum berkhatan bagi wanita adalah WAJIB mengikut pendapat yang masyhur dan seperti mana yang diputuskan oleh Imam al-Syafie. Imam al-Rafie daripada Syafieyyah ada menyebutkan suatu wajah (pendapat) dalam mazhab Syafie bahawa hukumnya sunat ke atas wanita, tetap pendapat ini dianggap syadz (ganjil).
Imam Ahmad turut menyatakan kewajipannya tetapi Imam Abu Hanifah, Imam Malik dan majoriti ulama menyatakan ianya sunat.
Rujuk Majmu’ Syarh al-Muhazzab (1/300-301) oleh Imam al-Nawawi
Cara Yang Betul & Tidak Menyebabkan Kecacatan
Timbul isu dalam kalangan masyarakat bahawa khatan wanita mencacatkan anggota dan tafsiran bahawa khatan wanita itu tidak disyariatkan di dalam Islam. Sebenarnya kami berpendapat isu ini berpunca daripada pengamalan budaya yang bukan Islam dan kejahilan sebahagian orang yang mengendalikan khatan yang melampau sehingga mencacatkan fungsi kemaluan wanita.
Berkata Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi: “Dan wajib dipastikan tidak berlaku pencacatan oleh mereka yang mengendalikan urusan khatan anak perempuan mereka berdasarkan cara yang datang daripada hadis. Dan tidak boleh dilabelkan perbuatan khatan itu sebagai satu bentuk jenayah yang dilakukan dalam kurun ke 21, melainkan dalam kes-kes yang melanggar had-had yang disepakati dalam Syarak, iaitu al-isti’sal (pemotongan / pengembirian kemaluan), berlebihan dalam memotong, dan dikendalikan oleh orang-orang yang jahil daripada kalangan bidan dan selainnya, dan janganlah ubatan yang digunakan itu memandulkan.”[1]
Berkata Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaili: “Berkhatan itu disyariatkan, dan tidak ada pendapat yang boleh menidakkan perkara ini sama ada bagi lelaki mahupun wanita. Yang penting adalah hendaklah ianya disempurnakan oleh doktor yang dipercayai. Jika seorang wanita tidak melakukan khatan, tidak ada dosa ke atasnya kerana itu merupakan haknya dan satu bentuk penghormatan atas qaul yang rajih dan ianya bukanlah wajib dan tidak perlulah kamu mewajibkannya.” [2]
Tarjih dan Kaifiat Berkhatan
Kami mentarjihkan pendapat bahawa wajib hukumnya berkhatan bagi lelaki dan perempuan. Adapun bahagian yang wajib untuk dibuang ketika berkhatan ialah:
- Bagi lelaki, bahagian kulit yang menutupi hasyafah (kepala zakar).
- Bagi perempuan, bahagian kulit diatas saluran kencing (klitoris), yang seperti balung ayam jantan.
Bagi perempuan disunatkan agar dinipiskan atau dikemaskan sahaja, dan jangan melampau-lampau dalam memotong seperti amalan female genital mutilation yang mana sehingga merosakkan dan mencacatkan klitoris. Bahkan perbuatan seperti itu diharamkan dalam Islam.
Ini berdalilkan hadis daripada Ummu Atiyyah al-Ansariyyah bahawa perlaksanaan khatan berlaku dalam kalangan kaum perempuan di Madinah, lalu Rasulullah SAW berpesan kepada beliau:
لَا تَنْهِكِي فَإِنَّ ذَلِكَ أَحْظَى لِلْمَرْأَةِ، وَأَحَبُّ إِلَى الْبَعْلِ
Maksudnya: “Janganlah engkau potong semuanya, kerana itu menguntungkan bagi wanita dan disukai oleh suami.”
Hadis riwayat Imam Abu Daud dalam Sunan (no. 5271). Beliau mendaifkannya. Ini dipersetujui oleh Syeikh Syuaib al-Arnaut, tetapi disahihkan oleh Syeikh al-Albani.
Rujuk Majmu’ Syarh al-Muhazzab (1/301-302) oleh Imam al-Nawawi.
Begitulah cara mengkhatan lelaki dan wanita yang betul. Hendaklah dalam urusan ini kita bersikap adil, tidak cenderung kepada masyarakat yang menzalimi wanita dan tabiatnya, dan tidak pula cenderung kepada mereka yang memperlekehkan Syariat Islam dan pengamalannya.
Wallahua’lam.
Nota hujung:
[1] http://www.qaradawi.net/new/Articles-4379
[2] http://www.umatia.org/ftawa12.html
Semoga perkongsian ini bermanfaat.