Semakin dipendam, semakin kritikal emosi isteri yang buat 1001 benda. Tak tahu apa yang dirasa tetapi mungkin setiap mak-mak pernah merasa jiwa kacau, kejap rasa tenang dan ada masa rasa nak melepaskan amarah tanpa punca.
Namun sebenarnya kalau situasi ini berlaku kepada anda, itulah tanda anda sedang mengalami keletihan fizikal dan emosi. Dalam diam, fizikal dan emosi yang letih akan membuatkan anda menjadi semakin tertekan dan memakan diri dalam diam.
Atau paling tidak, mak-mak akan lalui sakit emosi seperti yang dikongsikan Puan Nieza Termizi ini, melepaskan apa yang dirasa tanpa disangka-sangka tetapi esoknya rasa OK.
Emosi Isteri Yang Tak Stabil
Banggg!!
Pintu tandas dihempas. Si isteri menangis teresak-esak di dalam sana. Pili air segera dibuka. Biar bunyi air melimpah melawan esakan tangisnya yang semakin menggila.
Bila hatinya reda, dia keluar semula. Dia kembali memeluk anak-anaknya yang setia menanti di muka pintu dari tadi. Semuanya tertanya-tanya. Bagai mencari kekuatan baru, dia menarik nafas dalam-dalam. Memindahkan energi kasih sayang pada anak-anak.
Ads
Tak lama selepas tu dia teringatkan makan malam yang belum tersedia. Dengan segera dia ke dapur. Selesai memasak, dia memanggil anak-anak. Tanpa disuruh-suruh, si suami datang menyertai. Malam makin larut. Dia menyambung tugas menguruskan anak-anak, menyiapkan pakaian sekolah untuk esok, cuci baju, melipat, mengemas dapur, dan tidur. Esoknya rutin sama berulang semula.
Peristiwa tadi sudah ditinggalkan. Entah dari mana datangnya angin marah, sesudah dia melepaskan cepat-cepat dilupakan.
Hati yang remuk tiada siapa yang datang pujuk. Air mata sebaldi tiada siapa yang peduli. Suami di sisi seolah tak pernah mengerti. Pada suami, itu hanya emosi seorang isteri. Biarlah..Bila dah reda, baiklah dia nanti.
Ads
Kawan-kawan,
Betapa ramai suami yang buat-buat tak faham dengan rajuk isteri. Betapa ramai yang menutup ruang perbincangan dengan pasangan. Betapa ramai yang sengaja pekakkan telinga, butakan mata dan mengunci mulut.
Peluklah Hati Seorang Isteri
Wahai suami,
Ads
Jangan diabai emosi seorang isteri. Jangan dibiar hatinya bernanah teruk. Hari ini dia menangis keranamu, esoknya mungkin dia kembali senyum. Buat-buat lupa apa yang terjadi semalam. Dia cuba untuk melindungi perasaan sebenarnya. Dia cuba untuk belajar menjadi seorang wanita kuat. Kerana dia tahu, seberapa banyak dia menagih perhatian, dia hanya boleh berharap. Namun, sampai satu masa tidak mustahil hatinya ibarat gunung berapi pendam yang memuntahkan larva bewarna merah dan kepanasan. Waktu itu, tidak ada apa yang dapat diselamatkan.
Suami jadilah seorang lelaki qowiyy yang berkepimpinan dan berketrampilan mengemudi bahtera rumahtangga.
“Bukalah mata hati untuk selalu nampak emosi isteri. Pujuklah dia dengan kata-kata yang baik. Dakaplah dia dan sapu air matanya. Rendahkanlah egomu untuk meminta maaf.”
Kekuatanmu bukan terletak pada kerasnya suaramu ketika kamu marah. Atau pada cepatnya naik tanganmu saat kamu mula ingin mengasarinya.
Tapi kuatnya kamu adalah apabila kamu menahan sabar dan merendahkan ego memohon maaf. Bijak menangani masalah isteri apabila ada yang tidak kena, sentiasa peka dengan perasaannya dan kembali memenuhi keperluan emosinya.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Susahnya mendengar kata penghargaan apatah lagi pujian daripada suami. Mungkin juga sesetengah suami ‘berat mulut’ untuk memberi kata-kata pujian. Cukup dengan tindak tanduk sahaja.
“Sayang masak apa tu? Sedapnya bau semerbak sampai ke luar ni”
Bagaimana agaknya hati si suami ini tatkala meluahkan rasa penuh penghargaan ini kepada isterinya? Mungkin berbunga-bunga menghargai nilai pengorbanan isterinya yang berkesempatan meluangkan waktu masak hidangan kegemaran biarpun dalam kekangan waktu sibuk.
Bagaimana pula perasaan si isteri yang sedang memasak di dapur tatkala mendengar pujian penuh pengharapan si suaminya. Ini jawapan daripada Mohd Shariman Che Deris, Professional Learning Fasilitator (mastery) @ Ketua Pembelajaran Excite Learning Consultancy tentang kupasan ini.
Seorang isteri yang bekerjaya, mungkin bangun seawal jam 5.30 pagi, menyiapkan tidak hanya dirinya malah juga anak-anaknya, setelah selesai dan siap semuanya isteri akan mula ke pejabat sambil mungkin singgah dulu di sekolah, hantar anak-anaknya. Bagaimana dengan si suami? Berkemungkinan akan buat perkara yang sama atau mungkin juga hanya bersiap untuk dirinya.
Berpenatan di pejabat dengan segala macam karenah manusia dan dokumen yang bersusun di pejabat, si isteri akan kembali ke rumah. Mungkin juga ambil anak-anak di rumah pengasuh, mungkin juga singgah ambil di sekolah. Usai sampai di rumah, rehat seketika melepaskan penat seharian bekerja kemudian akan menari berirama di dapur menyiapkan hidangan kegemaran keluarga, mungkin juga perlu bersingsing lengan mengemas rumah sekadarnya sahaja beriringan dengan membasuh baju.
Membacanya sahaja sudah membuatkan kita terasa penat apatah lagi apabila benar-benar mengalaminya. Di kala hampir maghrib, mungkin akan kedengaran enjin kereta atau motosikal si suami, masuk dengan tenangnya menegur dan bertanya khabar isteri dan anak-anak langsung terus ke bilik berehat kepenatan. Apa tidaknya seharian di pejabat dan bekerja tentu saja penat dengan segala macam ragam renyah kerjanya.
Si isteri? Tidakkah dia juga bekerja seharian? Tidakkah sama saja nilai penatnya tu?
Ini yang kadang-kadang suami lupa dan terabai tanpa sedar.
Jawapan:
Seringkali dek kerana tiada rungutan dan keluhan daripada isteri, suami akan semudahnya menganggap bahawa isterinya dengan rela hati melakukan kerana Allah S.W.T kerana berkorban dan cintakan suami serta keluarganya.
Isteri berkorban hati bermakna dia melakukan atas rasa tanggungjawab, atas sebab dia adalah seorang isteri maka inilah rutin kerja sebagai seorang isteri yang mesti dilakukannya. Tidak salah nilai ini namun yang perlu ditimbang oleh suami adalah di mana cinta dalam pengorbanan ini? Apakah boleh ditranformasikan istilah isteri berkorban hati ini kepada seikhlas hati?
5 Pengorbanan Isteri Yang Perlu Suami Tahu
1.Isteri yang kepenatan akibat sentiasa perlu berkorban untuk keluarga hingga dirasakan tidak ada waktu privasi untuk dirinya.
2.Isteri yang merasakan hanya dirinya yang lebih berkorban untuk keluarga, hingga dia tidak nampak peranan suami.
3.Isteri yang waktunya hanya terikat dalam lingkungan kerja rutin suri rumah dan menikmati suasana luar hanya di medsos.
4.Isteri yang berkerjaya apatah lagi jika berpendapatan lebih daripada suami dan perlu berkorban lagi menguruskan keluarga.
5.Isteri yang tidak hanya perlu menguruskan suami dan anak-anak malah juga perlu menguruskan mertua dan ipar duai tinggal serumah.
6 Tip Hargai Isteri
1.Hadirkan rasa empati dalam setiap pengorbanan isteri melalui kata pujian dan penghargaan, bantu ringankan kerja isteri. Bila isteri lipat baju, datang dan bantulah melipat baju sama.
2.Berikan penghormatan kepada isteri. Bawa berjalan, cuti sekeluarga, bawa keluar makan, adakan hari cuti isteri dan seumpamanya. ebut kepada isteri depan anak-anak kenapa penghormatan ini diberikan kepada isteri. Isteri akan rasa terharu.
3.Berikan kejutan hadiah daripada masa ke semasa untuk isteri sebagai tanda menghargai pengorbanannya. Tentu saja berbunga setaman harum semerbak hati isteri jadinya.
4.Senyum, berbicara dan berikan masa serta ruang sebanyaknya kepada isteri untuk bermanja dengan anda, suaminya.
5.Penuhkan hati dengan perasaan cinta kepada isteri dan tentu sahaja setiap pengorbanan isteri walau sekecil mana sekali pun akan sentiasa dipandang tinggi.
6.Bertanya khabar isteri. Sudah tentu, isteri akan rasa suami sangat concern dan ambil tahu kesusahan dirinya.
Ini adalah nilai pengorbanan yang priceless dan perlu jadi sandaran untuk setiap suami dan isteri dalam rumah tangga. Isteri tidak berkorban hati sebaliknya berkorban kerana cinta dan keikhlasan. Bila suami faham nilai pengorbanan isterinya, dia akan lebih tahu dan faham bagaimana untuk menghargainya kerana cinta.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Tidak ramai lelaki bersikap seperti Datuk Chef Wan. Mungkin 1 dalam sejuta. Walaupun telah lama beliau bercerai dengan bekas isterinya, namun dia tetap menunaikan janjinya untuk menjaga kebajikan bekas isterinya sehingga ke hujung nyawa.
Datuk Chef Wan perlu dijadikan inspirasi buat lelaki di luar sana. Ini tidak sebelum bercerai pun culas serta abaikan nafkah isteri zahir dan batin, apatah lagi setelah tiada ikatan pernikahan lagi. Ibarat tutup buku lama dan campak terus. Sikap Datul Chef Wan adalah sikap seorang lelaki sejati.
Sepanjang handle kes dan realiti kehidupan ni. Belum bercerai pun dah culas dan abai inikan pulak lepas bercerai. Sebab tu rezeki lain macam murahnya. Tak nak percaya istilah bagi rezeki lebih dekat keluarga nanti Allah bagi lagi lebih. Dikatanya auta bagai.
Nafkah isteri ke Laut China Selatan. Kalau bagi sekalipun nafkah zahir, nafkah batin dia mana? Hadap sangat dengan duit “seciput” tu agaknya. Isteri Ini kalau perasaan dia kau jaga, duit kau dia tak pandang. Silap-silap dia pula yang akan support kau luar dalam.
Ada anak isteri disia-siakan. Ada anak isteri tak pandai jaga perasaan, Ada anak isteri difitnah-fitnah, Ada anak isteri buat macam sampah.
Kebanyakkan kes, bila bercerai nafkah anak memang out. Bukan hendak bagi lebih, dikurangkan lagi adalah. Apa dia ingat anak itu selepas bercerai terus jadi patung yang tak payah bagi makan, tak payah bagi mandi, tak payah bagi insurans takaful, tak payah bagi sekolah tak payah bagi hidup. Macam itu?
Lebih Banyak Bagi, Lebih Lagi Allah Beri
Lebih kau bagi lebihlah yang Allah beri.
Buat dulu baru tau jadi tak jadi.
Nak buat tu pulak kena ikhlas sebab itu dah tanggungjawab kau.
Kalau rasa awal-awal lagi kau itu bukan JANTAN ABADI, tak payah kahwin. Tak payah rosakkan kehidupan orang lain.
Yang keluarga pula kalau sudah tahu anak kau tu memang sejenis yang tak boleh pakai, tak payah paksa dia kahwin konon-konon nanti selepas kahwin pandailah dia dengan isteri dia.
Mak, Ayah Bertanggungjawab
Hello. Kalau dah duduk seorang diri pun mampu nak handle, tak pandai hendak jalankan tanggungjawab dekat mak ayah sendiri, apa kau ingat selepas kahwin dia automatik jadi superduper tanggungjawab kah? Tambah-tambah pula dengan orang luar. Orang yang tiada pertalian darah pun dengan dia yang dia hendak tiba-tiba kena bertanggungjawab. Come on lah!
Lagi satu. Kalau sudah tahu anak tu memang jenis itu sebelum kahwin. Then bila anak kau itu ada masalah dengan perkahwinan dia, janganlah pulak dimenangkan si anak ni. Dibuangnya menantu. Dipilihnya anak. Dengan andaian si anak inilah yang betul. Si menantu itu yang salah.
Kalau diikutkan sifir mudahnya. Memang betullah anak tu kau yang lahir. Kau yang kenal hujung rambut sampai hujung kaki anak kau tu. Yang si menantu ni kau baru kenal. Dia jadi menantu kau pun sebab perkahwinan. Jadi no wonderlah kalau kau akan sisihkan menantu ni dek kerana alasan kau lebih kenal anak sendiri.
Tapi sebenarnya kau silap! Menantu kau tu yang patut kau jaga, Menantu kau tu yang patut kau sayang, Menantu kau tu yang patut kau lengkapkan hidup dia kalau dah anak kau sudah abaikan, Bukannya kau fitnah dia lagi, Bukannya kau buang dia pulak, Bukannya kau pilih anak kau, Bukannya kau kena percaya anak kau bulat-bulat.
Mana yang terkena atau diuji kehidupannya begitu.
Pilihlah untuk sabar dahulu.
Ambil langkah yang wajar dahulu,
Ikut prosedur undang-undang dan syarak dahulu,
Lepas semua dah follow,
Lepas semua dah berbincang,
Lepas semua masa dan ruang serta peluang dah kau bagi,
Tapi masih benda yang sama yang nak kena hadap,
Then masa ni kau dah tak salah untuk buat keputusan dah.
Angkat kaki dan pandang ke depan.
Depan tu lebih bahagia,
Depan tu benda yang kau tak tahu bagaimana,
Tapi Allah sentiasa ada untuk kau sama-sama harungi apa yang ada di depan.
Sekurang-kurang kau dah puas dan bebas dari cengkaman neraka di belakang.
MW: Para suami patut jadikan Datuk Chef Wan sebagai contoh terbaik. Biar pun telah berpisah dan sudah tidak bergelar suami, isteri. Jangan abaikan terus bekas isteri, lebih-lebih lagi anak-anak dijaga bekas isteri.
Berbuat baik dengan jiran tetangga sangat digalakkan. Tapi kena tahu batasan, jangan sampai terjadinya skandal dan jatuh cinta dengan jiran sendiri!
Puan Hajah Maimunah Haji Muhamad, kaunselor dan penulis bebas serta kolumnis ruangan Ya Tuhan di dalam Majalah Mingguan Wanita, menjawab permasalahan daripada seorang wanita yang terjebak dalam hubungan cinta terlarang dengan jiran sebelah rumahnya sendiri.
Seorang Isteri Dan Ibu
Assalamualaikum puan yang dihormati. Saya seorang isteri dan ibu kepada sepasang cahaya mata berusia tujuh dan sembilan tahun. Bekerja sebagai seorang guru dan begitu juga dengan suami. Tinggal di sebuah kawasan perumahan di pinggir kota.
Kebanyakan yang tinggal di situ adalah ibu bapa muda yang usianya lebih kurang saya dan suami. Saya juga jenis yang gemar mengikuti apa-apa kegiatan di kawasan perumahan tak kira anjuran surau atau sebagainya. Manakala suami pula agak ‘culas’, pada masa terluang lebih dengan hobi memancingnya hingga saya sering kali ‘naik angin’.
Tapi bagi saya, perlu untuk mengenali jiran tetangga kerana jika ada kecemasan, boleh juga meminta pertolongan.
Gemar Masak
Pada masa terluang, saya gemar memasak kerana bagi saya itulah terapi untuk melepaskan tekanan bahkan minat itu memang hadir sejak kecil kerana suka membantu mak yang merupakan pengusaha kantin.
Memandangkan anak-anak masih kecil dan tidak terlalu banyak makan, saya sering kali berkongsi makanan yang dimasak dengan jiran tetangga. Maklumlah, dah terbiasa masak dalam kuantiti yang agak banyak. Daripada membazir, lebih baik sedekah pada jiran tetangga. Secara tak langsung makanan itu penyambung silaturahim antara jiran. Di sebelah kiri rumah saya tinggal keluarga berbangsa Cina dan suka dengan masakan saya terutama kek keju hasil air tangan saya. Malah acap kali mereka menempah jika ada keraian di rumah atau di pejabat mereka.
Manakala jiran sebelah kanan rumah pula pasangan Melayu dan punya tiga orang anak. Dengan mereka saya paling rapat malah anak-anaknya yang berkawan dengan anak-anak saya sering ke rumah. Malah kata mereka, seronok bila ke rumah saya kerana boleh makan macam-macam.
Rapat
Pasangan jiran saya itu, isterinya, saya kenalkan sebagai K juga guru seperti saya manakala suaminya, M, seorang pensyarah. Namun si isteri memang jarang masak, itu pun saya ketahui menerusi anak-anak mereka. Malah M pula yang suka memasak dan sering kali memasak.
Dipendekkan cerita, saya dan M sering bertukar resipi menerusi whatsApp. Entah bila bermula, kami juga mula berkongsi tentang masalah masing-masing seperti masalah kerja, dan anak-anak. Dan tanpa disedari, kami telah menjalinkan kemesraan di luar batas antara jiran!
Puan, kami berdua saling menyayangi. Pernah kami cuba tepis perasaan itu namun tak berjaya. Ia tidak diketahui oleh pasangan kami. Bahkan tak dapat dibayangkan apa akan jadi kalau mereka tahu.
Saya sendiri sedar saya berdosa kerana menduakan suami. Tapi bagaimana saya boleh tepis perasaan ini sedangkan setiap hari kami akan bersua muka? Perlukah saya berpindah tapi saya tak mampu untuk membeli rumah lain ketika ini. Saya ingin keluar dari perangkap cinta terlarang ini tapi tak mampu…
Isteri Berdosa.
Jawapan:
Assalamualaikum puan yang dirahmati Allah. Imam Ghazali pernah bertanyakan lima persoalan kepada anak muridnya, antara satu soalan yang ditanya apakah yang paling besar dalam dunia ini? Pelbagai jawapan diberikan oleh anak muridnya.
Nafsu
Tiada satu jawapan yang betul. Maka Imam Ghazali memberitahu jawapannya kepada anak muridnya bahawa yang paling besar dalam hidup ini adalah nafsu. Apakah yang dimaksudkan dengan besar?
Besar di sini bermaksud manusia tidak pernah puas dengan apa yang ada…apa yang Allah telah kurniakan senantiasa rasa tidak cukup. Mungkin pada ketika itu manusia rasa cukup dan tiada kekurangan dalam dirinya, namun apabila ada sesuatu yang menarik di mata dan di hatinya, atau lazat atau menimbulkan kesukaan dan kegembiraan yang teramat sangat, maka dia akan mudah terpaut dengan apa yang sedang dirasainya dan keinginan memilikinya amat tinggi. Tidak kira dalam apa jua bentuk sehingga dia terlupa adakah kenikmatan dan kegembiraan yang sedang dirasainya ketika itu memberi kebaikan atau keburukan kepada dirinya.
Apabila kenikmatan yang sedang dikecap itu dibiarkan untuk sekian lama tanpa berusaha secara bersungguh-sungguh mengatasinya, melayan perasaan dan fikiran ketika itu dengan apa yang dikecap, maka lama kelamaan kenikmatan itu menjadi “ketagih” yang apabila tiadanya benda, item, manusia, perkara atau peristiwa itu menjadikan hidupnya tidak tenteram, tidak boleh fokus, perasaan yang tidak tenang, fikiran yang kacau, hidup kurang bermaya, tiada motivasi, malah sebahagian besar aktiviti seharian akan terjejas.
Sukar Dikawal
Bercinta juga merupakan nafsu yang susah dikawal, walaupun bercinta itu indah dan jika dikuti dengan landasan yang betul dari segi adat dan agama maka ianya akan menjadikan hidup ini lebih bermakna. Bermakna dalam erti kata ia menyambung hubungan dengan manusia lain yang boleh dikongsi masalah dan hidup serta melahirkan zuriat yang perlu dididik dengan baik hingga berjaya.
Namun jika sudah lari landasan yang sebenar, ianya bukan lagi cinta tetapi nafsu syaitan yang dituruti. Bercinta yang melampaui batas adat dan agama juga antara nafsu yang tidak dibendung. Disebabkan asyik dan indahnya berada dalam alam khayalan fatamorgana yang dinamakan “cinta” itu, sebenarnya telah ditipu oleh syaitan hanya kerana nafsu yang tidak dikawal. Nafsu yang tidak boleh dikawal, tidak diurus dengan baik, malah dibiarkan sehingga melampaui batas akan memberi kesan yang amat buruk, kepada diri, keluarga dan masyarakat, apatah lagi terhadap Pencipta.
Keburukan mungkin tidak nampak ketika itu, tetapi dalam jangka masa panjang ianya akan memudaratkan diri, malah mendatangkan kemurkaan Allah. Manusia tidak mampu berfikir apakah kenikmatan yang dirasai itu diredai Allah atau mendatangkan kemurkaan Allah. Malah kesannya nanti azab yang bakal diterima di neraka kelak. Nikmat yang dirasai tidak sepadan dengan azab yang bakal diterima di akhirat kelak…nauzubillah….
Manusia sering kali pendek akalnya…hanya memikirkan keseronokan yang dirasai ketika itu sahaja. Dia tahu bahawa itu sesungguhnya tidak baik untuknya, untuk keluarganya, malah mendatangkan kemurkaan Allah, namun dia belum berusaha bersungguh-sungguh untuk “meninggalkan” keindahan dunia yang sedang dikecapinya
Dosa Dan Pahala
Puan yang dirahmati Allah. Cuba tanya pada diri, adakah puan bercinta seperti yang saya nyatakan di atas, atau puan mengikut hawa nafsu hingga sudah tidak boleh membezakan antara dosa dan pahala? Tidak boleh membezakan mana yang baik dan mana yang buruk?
Jika puan sudah menyedari ianya dosa besar yang puan lakukan terhadap diri puan sendiri, terhadap suami, terhadap anak-anak dan keluarga puan, malah manusia lain iaitu isteri kepada jiran puan dan anak-anaknya, maka mahukah puan berusaha bersungguh-sungguh untuk “membasuh” dosa yang puan lakukan? Dosa yang belum tentu diampunkan Allah hanya dengan tidak lagi berhubung dengannya?
Puan tahu kan besarnya dosa isteri yang berzina dengan lelaki lain? Nauzubillah… Puan seorang guru…seorang pendidik…perlu berusaha keras untuk “membasuh” dosa itu, tidak kira sama ada ianya akan jadi bersih atau tidak, namun usaha puan mesti berlipatkali ganda untuk membasuh dosa itu, mesti berusaha…ada kesungguhan, komitmen, ketahanan dan sanggup mengawal nafsu yang senantiasa mengajak kepada tuntutan syaitan.
Sebagaimana puan mendidik para pelajar puan agar belajar bersungguh-sungguh untuk cemerlang dalam peperiksaan, malah cemerlang akhlak dan cemerlang dalam kehidupan, maka puan juga perlu ada keinginan dan keazaman yang kuat. Saya rasa puan sendiri tahu caranya…namun saya hanya mengulangi petua dan panduan untuk membantu puan melupakan sejarah hitam yang memberi kemurkaan kepada Allah dan kedukacitaan kepada ahli keluarga puan, khususnya suami puan.
Elakkan
Pertama, putuskan terus hubungan dengannya. Tukar no telefon. Kedua, jika ada keramaian dengan keluarganya atau masyarakat setempat, seboleh mungkin elakkan. Elakkan bertentang mata dengannya, walaupun berselisih atau terserempak dengannya. Jika puan tahu dia berada di luar rumah dalam waktu tertentu, cuba jauhi daripadanya.
Jika dia minta untuk berjumpa buat kali terakhir untuk jelaskan segalanya, lupakan…itu adalah ajakan syaitan…. bukannya kebaikan. Setakat nak bertukar-tukar masakan dan berkongsi hobi, banyak lagi cara yang dibolehkan. Ketiga, tumpukan kepada kerjaya membina anak-anak. Kerjaya puan adalah kerjaya yang murni. Tugas seorang pendidik mendidik manusia untuk jadi lebih baik.
Jangan hanya kerana mengikut nafsu, maka puan sanggup “mencalarkan” kerjaya seorang pendidik. Seterusnya bina cinta dengan suami, bukan lelaki lain. Belajar mencintai suami dan anak-anak. Penuhi masa dengan perkara yang berfaedah untuk melupakan apa yang puan telah lakukan yang menimbulkan kemurkaan Allah. Bertaubatlah sementara pintu taubat masih diterima Allah. Banyakkan solat malam mohon keampunan atas dosa-dosa yang telah dilakukan. Banyakkan membaca Quran, ikuti majlis ilmu agama. Mudah-mudahan Allah mengampunkan dosa puan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Isteri langgar pelajar UiTM alami halusinasi lepas keguguguran anak, suami minta amaf atas tragedi. Kejadian tiga pelajar UiTM meninggal akibat diganggu wanita mengalami masalah...