Budaya kehidupan luar biasa mewah sudah menjadi satu budaya baru dalam dunia keibubapaan dewasa ini. Di luar negara, budaya memakaikan pakaian berjenama mewah sudah menjadi kebiasaan sebaik bayi masih lagi dalam kandungan. Bukan saja kelompok selebriti mahupun VVIP yang diketahui sememangnya mewah, lazimnya majlis sambutan meraikan bakal ibu contohnya menjadi medium mempamerkan hadiah mewah buat bayi mahupun si ibu.
Terbiasa mewah dari kecil, menjadikan anak-anak ini sudah terbiasa dengan situasi wang sentiasa ada dan apa yang diingini pasti ada dalam sekelip mata. Budaya ini mula menular di Malaysia, dengan adanya pengaruh selebriti, popularity personality media social menjadikan ia satu scenario baru yang menimbulkan situasi “sindrom rich kids” sebagai satu gaya hidup baru.
Sejauh mana konsep hidup sebegini memberi kesan dan membentuk sahsiah anak-anak ini sebaik dewasa nanti. Adakah mereka mampu berdikari dan punya empati apabila berada di dalam kelompok masyarakat yang dating dari pelbagai latar belakang. Ikuti kupasan selanjutnya Dr Rosmawati Mohamad Rasit; Pengerusi Pusat Kesejahteraan Insan dan Komuniti, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berhubung isu ini.
Kitaran kehidupan berulang
Isu mengenai anak-anak dan kemewahan ini sebenarnya antara isu yang sering dibincangkan khususnya dalam pendidikan anak-anak. Malah, kita didedahkan dengan kisah filem dan drama tentang anak-anak daripada golongan bangsawan yang menunjukkan perangai dan akhlak yang buruk. Filem-filem Melayu Klasik memperlihatkan watak antagonis adalah dari golongan anak bangsawan yang jahat dan berkuasa. Kisah-kisah drama Melayu juga masih klise mengenai perkara ini apabila anak-anak hartawan diberi watak sebagai playboy atau sebagai anak yang bermasalah.
Sindrom rich kids ini pada pendapat saya, sebagai kitaran kehidupan yang sering berulang-ulang. Cuma mungkin sekarang impak media sosial jauh lebih besar dan mudah tular dalam kalangan masyarakat untuk dibincangkan secara lebih terbuka. Kita kerap dipaparkan dengan cerita golongan anak hartawan yang gemar bergaya mewah, bercuti di kota-kota elit seperti kota London dan Dubai serta majlis sambutan hari jadi yang luar biasa mewah.
Anak-anak diberi kemewahan material yang berlebihan serta gaya hidup orang kaya yang mewah. Ibu bapa terlalu memanjakan anak dengan memberikan segala-galanya sehingga mereka tidak dapat membezakan di antara keperluan dan juga kehendak. Isunya juga menjadi budaya dan membentuk gaya hidup bermewah-mewahan apabila anak dihadiahkan hadiah yang mewah dan mahal seperti kereta Ferrari, beg tangan Dior dan sebagainya.
Ads
Kemewahan bukan asbab untuk meninggi diri
Ibu bapa yang berbelanja mewah untuk anak-anak sehingga mereka tidak pernah dididik dengan kehidupan yang susah, ini adalah salah bagi saya. Walaupun ibu bapa memang dari golongan yang mampu dan berharta sekali pun namun, itu tidak menjadi asbab untuk anak-anak tidak diajar tentang kepentingan duit dan saling menghormati orang lain.
Dikhuatiri jika budaya sebegini berterusan, kita mendidik anak-anak kita sebagai anak yang tidak tahu menghargai kehidupan orang lain yang lebih susah daripada mereka. Bukan salah mereka akhirnya tiada empati dalam diri kerana mungkin mereka tidak tahu bahawa ada sebenarnya golongan manusia yang susah dan memerlukan kerana mereka tidak diajar untuk memandang ke bawah.
Sisi buruk disebalik layanan ‘super’ mewah
Isu ini seharusnya diberi perhatian yang penting terutama peranan ibu bapa sebagai faktor utama kenapa anak-anak dididik dengan gaya hidup sebegini. Hakikat ini sememangnya amat pahit untuk ditelan dan kita bukan niat untuk menuding jari kepada mana-mana pihak tetapi mendidik anak-anak dengan kemewahan yang berlebihan ini memberi kesan yang besar kepada pembawaan karakter anak-anak apabila mereka meningkat dewasa kelak.
Bayangkan jika anak-anak dididik dengan terlebih manja dan demand untuk mendapat layanan yang super istimewa, apabila mereka berada dalam persekitaran sekolah, mereka tidak boleh susah dan menolak peraturan yang ditetapkan oleh pihak sekolah. Sedangkan kita tahu dalam institusi pendidikan di negara kita tidak seharusnya wujud pilih kasih dan layanan double standard di antara pelajar yang berada dengan pelajar yang miskin. Begitu juga dalam kumpulan masyarakat, akan wujud jurang sosial di antara kelas tinggi dan kelas bawahan.
Ads
Generasi anak-anak ini seringkali beranggapan mereka seharusnya dapat apa yang mereka mahupun tanpa mempedulikan perasaan orang lain. Malah sikap dan pandangan mereka juga bias dan wujud kurang hormat. Mereka terlebih manja dan terlalu bergantung kepada ibu bapa yang kaya serta mahu dilayan sebagai seorang raja.
Kita akan nampak kesan jangka panjang hasil didikan sebegini, generasi yang akan lahir adalah generasi yang tidak boleh membuat keputusan sendiri dan tidak akan wujud wibawa kepimpinan. Jika tidak ditangani dengan baik, mereka akan membesar menjadi generasi yang nakal dan kurang adab.
Anak-anak ini sangat rapuh jiwa dan tidak tahu membuat keputusan yang rasional dengan akal fikir, agama dan iman. Bayangkan jika mereka ada masalah, tindakan bagaimana yang mereka akan ambil. Kerana apa? Sebab dari kecil tidak dididik dan diajar dengan betul bagaimana untuk survive dalam dunia hari ini yang sangat mencabar.
Cabaran generasi milenia
Ya, ini cabaran kita dalam zaman teknologi perkembangan gajet dan media baharu. Masing-masing sudah biasa berkongsi hidup di media sosial apatah lagi perkongsian kebahagian dan kemewahan yang biasanya akan digemari oleh follower. Sekarang sangat popular dengan instafamous. Semua berusaha untuk menjadi popular dan mendapat followers yang ramai. Bahkan terdapat dalam kalangan anak-anak selebriti yang masih kecil namun mempunyai follower yang ramai di akaun Instagram.
Ads
Budaya ini semakin menular dalam insitusi kekeluargaan di Malaysia rentetan daripada pengaruh media sosial. Apa sahaja perlu dilaporkan. Masing-masing berlumba-lumba untuk memberikan laporan yang terbaik kepada netizen. Bahkan sindrom rich kids ini juga memperlihatkan budaya tidak malu apabila soal-soal peribadi turut ditayangkan kepada khalayak netizen. Sudah tidak ada privasi lagi dalam hidup mereka.
Hal yang berkaitan dengan peribadi setiap detik dikongsi bersama. Kisah percutian, mereka makan apa, mereka beli apa bahkan perkara yang memalukan seperti gambar seluar dalam turut dikongsi bersama. Anehnya perkara sebegini mendapat sokongan dan like yang ramai daripada netizen seolah-olah ia suatu perkara yang biasa. Padahal perkara sebegitu sangat memalukan. Akibat daripada pengaruh media sosial yang digunakan tanpa had dan peraturan, masyarakat kita hari ini berada pada tahap yang sudah tenat.
Begitu juga kemewahan anak-anak elit ini yang dipertontonkan kepada semua. Hati-hati sebenarnya. Kadang-kadang memang ia mengundang bahaya tanpa kita duga dengan apa yang kita kongsikan. Kita bimbang akan munculnya penyakit ‘ain daripada apa yang kita kongsikan segalanya di media sosial secara berlebihan dan lebih bersifat peribadi sebagai contohnya memuji kelebihan anak sendiri.
Ibu bapa moden yang gemar berkongsi cerita peribadi di media sosial bahkan meletakkan gambar anak secara berlebihan dibimbangi akan terkena penyakit ‘ain yang menimbulkan pandangan hasad dan takjub orang lain. Panahan penyakit ‘ain ini menyebabkan mudarat dan penyakit terutama kepada anak-anak kecil yang baharu lahir kerana mereka masih lemah serta belum dapat melindungi diri sendiri daripada pengaruh jahat dalam persekitaran mereka.
Seimbang duniawi & ukhrawi
Tidak salah menggunakan media sosial sebenarnya. Berkongsilah mesej kebaikan dan usaha dakwah. Apa yang telah kita buat untuk agama dan masyarakat. Kurangkan perkongsian peribadi dan perkara yang tidak berfaedah.
Namun pada masa yang sama kita seharusnya juga mengimpikan anak-anak kita cemerlang adab dan akhlaknya. Anak-anak yang baik adalah yang boleh menjadi asbab untuk kita masuk ke syurga Allah kelak. Ibu bapa seharusnya memberi didikan yang seimbang di antara duniawi dan ukhrawi. Paling utama bagi ibu bapa Muslim ialah seharusnya sentiasa memerhatikan solat anak-anak. Didikan untuk memahami tarbiah solat sangat penting kepada anak-anak sejak kecil kerana solat yang difahami dengan baik akan menyempurnakan akhlak dan keperibadian muslim.
Oleh itu, Islam menekankan kesederhanaan dalam gaya hidup sebagai muslim. Budaya memberikan kemewahan yang berlebihan kepada anak tanpa kawalan akan merosakkan mereka. Walaupun Allah rezekikan harta kekayaan dan status pangkat elit di dunia namun, itu semua pinjaman sementara yang pada bila-bila masa sahaja Allah boleh tarik.
Kesimpulannya kita semua perlu kembali kepada agama fitrah. Apa kita nak jawab pada Allah nanti tentang amanah anak yang dikurniakan kepada kita jika kita mengabaikan didikan agama anak-anak. InsyaAllah jika kita semua memahami untuk apa kita hidup dan semua orang akan mati, kita tidak akan mampu melakukan perkara-perkara yang menyebabkan Allah murka dan menghilangkan peluang kita untuk bertemu dengan Allah dan Rasulullah SAW di syurga kelak.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Kita bernikah kerana cinta. Ada juga yang kahwin terpaksa, namun akhirnya cinta juga yang ditemui dalam rumah tangga. Dari situ wujud rasa suka, hati tenang menjalani ibadah sebagai suami isteri.
Apabila hati mulai pudar, merasai banyak yang pahit dari yang manis, ada pasangan memilih jalan akhir iaitu penceraian. Perbaiki kembali apa tujuan pernikahan dan jangan buang Allah dan Islam dalam sebanyak mana kita meneguk nikmat yang diberiNya.
Tidak dinafikan penceraian adalah salah satu jalan untuk menjaga hak seorang muslim, baik pihak suami atau pihak isteri, kerana ia adalah solusi yang terbaik jika berlaku yang memang memudaratkan bagi pasangan.
Akan tetapi, Islam juga sangat membenci penceraian bagi pasangan suami isteri, dan ia juga sesuatu yang sangat berat yang banyak Allah sebutkan didalam Al-Quran. Baca saranan pemilik dan pengurus pemasaran Be Ana Home Quran, Anna Rosdijanti Ahmat Rusdi sebelum anda memilih jalan akhir itu.
Selamatkan Hubungan Suami Isteri Dengan Cara Islam
Cari tahu apa faktor utama penceraian
Membuat perbincangan secara empat mata ( suami dan isteri) dan sangat sangat perlu menjaga emosi masing-masing.
Catat dalam sehelai kertas keburukan suami /isteri dan kebaikan suami/ isteri dan jumlahkan keduanya.
Jika ada solusi dari langkah diatas, buat perjanjian dan framekan di dalam bilik tidur.
Membuat perbincangan bersama keluarga suami dan isteri.
Dalam masa yang sama, ajak pasangan pergi surau atau masjid.
Mencari nasihat dari golongan keluarga yang bijaksana.
Jika tidak, mencari ustaz atau ustazah untuk memberi nasihat (boleh ke pihak pejabat agama islam negeri masing-masing)
Jika mampu, buat kelas mingguan bersama ustaz untuk sama-sama mendengar tausiah.
Buat kelas mengaji bersama keluarga, anak,suami dan isteri atau bersama keluarga terdekat yang lain, jika semua tidak boleh membaca dengan baik, sebaiknya memanggil ustaz atau ustazah untuk membuat kelas mengaji bersama keluarga seminggu sekali juga sudah memadai.
Perbanyakkan membaca Al-quran dan tafsir yang banyak bercerita mengenai beratnya hubungan suami isteri dan penceraian (melakukan kajian bersama).
Berikan hadiah kesukaan pasangan.
Perbanyakkan berdoa kepada Allah.
Perlu Diingat!
Perkara diatas adalah sesuatu yang perlu dilaksanakan berdua, kerana yang ingin diselamatkan adalah rumah yang telah dibina berdua
Pulihkan Kembali Rasa Cinta, Sedarlah..
Usahalah semaksimum mungkin untuk terus memulihkan rasa hati yang telah berubah, dan Allah sahaja yang dapat mengembalikannya kepada rasa itu.
1. Pernikahan adalah janji yang berat
“mitsaqan ghaliza”.
“Dan bagaimana kamu tergamak mengambil balik pemberian itu padahal kasih mesra kamu telah terjalin antara satu dengan yang lain, dan mereka pula (isteri-isteri kamu itu) telahpun mengambil perjanjian yang kuat daripada kamu?”
(An-Nisaa’ 4:21)
2. Dan bergaullah dengan mereka secara baik. Kemudian jika kamu bencikan mereka, kerana mungkin kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu).
(An-Nisaa’ 4:19)
3. Dari Abu Hurairah:Rasulullah bersabda:
“Janganlah seorang muslim (suami) membenci seorang muslimah (isteri), jika dia tidak suka salah satu dari sifat dia, ada sifat lain yang dia puas hati.” hadith sahih riwayat Muslim
4. Menerusi Abu Hurairah: Rasulullah bersabda:
“Hendaklah kalian saling memberi hadiah agar kalian saling mencintai”. Hadith sahih riwayat al Bukhari dalam kitab al Adab al Mufrad.
Sumber/Foto: Beanahomequran
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Banyak sebenarnya yang anak-anak boleh belajar daripada seorang mak. Apatah lagi figura seorang mak memainkan peranan besar dalam kehidupan anak-anaknya.
Setiap perlakuannya menjadi contoh tauladan terbaik buat rujukan anak-anak, dalam pelbagai perkara. Termasuklah aspek bab penjagaan dan mengemas rumah. Apa yang anak-anak biasa lihat dari kecil, itulah yang akan dicontohi apabila mereka membina kehidupan berkeluarga kelak. Apabila mak dah tiada, memori itulah yang menjadi ingatan manis buat mereka untuk dikenang dan menjadi ikutan.
Perkongsian daripada Puan Nurlia Mohd Normungkin antara amalan mak-mak kita juga yang boleh dijadikan panduan;
Ada 3 benda saya belajar dari arwah Mak:-
1.Pinggan Mangkuk
Pinggan mangkuk untuk kegunaan family dalam rumah sebolehnya jangan tangkap muat. Kalau raikan tetamu kita kalut keluarkan pinggan mangkuk cantik, sebenarnya di rumah pun sama. Tak kisah la plastik/ kaca tapi make sure kalau boleh seragam.
Biasa kalau ada anak kecil kita prefer plastik kan. Mahal/ murah tak jadi isu, tapi biarlah sedap mata memandang. Yang sebenarnya family dalam rumah ni lagi kena raikan. Takkan tunggu tetamu datang baru suami/ anak- anak dapat merasa guna pinggan cantik kan. Mak dulu pinggan Pyrex kaler coklat dia guna untuk pakai harian.
Kata Abah,
“Buat apa simpan. Dah beli guna. Bukan boleh bawa mati pun..”
2. Telekung Bersih Cantik
Pastikan telekung kita bersih dan cantik. Mampu beli yang mahal, belilah. Bila nak jumpa orang kita beria pilih baju cantik, siap make up bagai tapi nak mengadap Allah kenapa tak boleh cantik jugak kan. Tetiba jadi berkira dan cincai saja.
Janganlah pakai telekung yang dah bertahi lalat, dah kuning dan kusam. Murah pun takpe asalkan bersih. Mak dulu telekungnya sentiasa bersih. Kalau tak sebab reput/ kain dah jarang memang boleh guna lagi. Bila Mak meninggal saya wakafkan telekung- telekung dia yang masih elok di surau- surau.
3. Cuci Sejadah
Sejadah. Ada masa sejadah perlu dicuci. Jangan biarkan berbau kepam. Macam mana kita nak perkara lain pun cantik dan elok, sama jugalah dengan sejadah. Nak menghadap Allah jangan ambil mudah. Sampai masa kalau perlu tukar baru, tukarlah. Baju boleh beli dan tukar, kenapa sejadah tak bolehkan.
Beberapa hari lepas saya beli set pinggan mangkuk ni memandangkan set pinggan mangkuk Ikea yang kami guna seharian dah banyak yang sumbing/pecah. Incik suami suggest beli yang baru. Senang, tetamu datang pun guna yang ni, orang dalam rumah pun pakai juga yang ni.
Mingguan Wanita:Semoga perkongsian ini bermanfaat. Memang ada benarnya pesanan ini, setiap harta yang kita beli, gunakanlah sebaiknya dan tak perlu simpan kerana sayangkannya. Sekurang-kurangnya ia beri manfaat pada diri kita dan orang lain yang menggunakannya.
Selamat hari raya, maaf zahir dan batin. Alhamdulillah, hari ini adalah hari keempat umat Islam meraikan hari kemenangan. Bagi yang masih berada di kampung, teruskan amalan kunjung-mengunjung yang sudah menjadi sebahagian tradisi masyarakat Melayu. Bagi mereka yang sudah pulang ke kota itu bukanlah alasan untuk tidak meneruskan sambutan Syawal.
Seperti mana orang lain saya dan keluarga juga meraikan Aidilfitri dengan penuh kemeriahan. Bukan sekadar pulang ke kampung, malah Syawal juga menjadi medan pertemuan sanak dan saudara. Apatah lagi buat mereka yang susah untuk mendapatkan cuti. Tatkala inilah peluang diambil untuk bersama anak-anak saudara.
Apabila semua keluarga berkumpul masing-masing ada kerenah tersendiri. Tapi disebabkan hari raya jadi tidak ada yang ambil hati apabila ada yang terlepas cakap, malumlah baru saja bermaaf-maafan pada pagi raya. Pengalaman hari raya rata-rata masyarakat kita lebih kurang sama. Di sini saya nak kongsi antara 8 perkara menarik sepanjang keluarga kami berkumpul. Walaupun ada kekurangan namun masing-masing tidak pernah serik berhari raya bersama-sama setiap tahun. Bila diingatkan momen ini, memang indah dan menjadi sejarah dalam kamus keluarga besar kami. Inilah Hari Raya kami!
1.Masih Berkumpul Walaupun Orang Tua Telah Tiada
Ibu dan ayah beserta abang sulung kami sudah tiada. Walaupun mereka telah tiada namun adik beradik yang lain tetap mengambil inisiatif untuk berkumpul bersama-sama. Malah anak buah arwah abang sulung kami juga akann beraya bersama-sama. Jadi hilanglah rasa sedih mereka pada arwah bapa dan ibu mereka yang sudah tiada.
2.Berkunjung ke Rumah Ibu & Bapa Saudara
Walaupun arwah ayah sudah lama kembali ke ramahtullah. Bagaikan satu tradisi arwah ibu semasa hayatnya akan membawa kami ke rumah ibu dan bapa saudara kami sebelah arwah ayah untuk beraya. Bila kami lewat sampai pakcik akan hubungi kami dan bertanya mengapa tidak datang beraya ke rumah mereka. Setelah arwah ibu tiada, kami akan berkonvoi bertandang ke rumah ibu dan bapa saudara di Melaka pada hari raya kedua.
3.Tidur Berhimpit
Menjadi tradisi kami semua sanak saudara, akan tidur di rumah ibu mentua kakak kedua yang kami panggil nenek di Tanjung Bidara. Tiada siapa pun dibenarkan menginap di hotel atau rumah rehat. Bayangkan, dengan jumlah adik beradik, anak saudara serta cucu saudara yang ramai kami semua perlu tidur di dalam satu rumah. Tapi hakikatnya pengalaman ini sangat menyeronokkan. Masing-masing akan tidur berhimpit. Pandai-pandailah cari port untuk tidur. Tapi kaum wanita dikhaskan tidur di dalam bilik.
4.Berborak Sampai Ke Pagi
Walaupun letih seharian berjalan raya namun masing-masing tak boleh nak lelapkan mata sebab seronok berborak-borak. Ada saja cerita yang akan dibualkan apatah lagi rumah nenek berdekatan dengan laut jadi sambil berborak kami mendengar bunyi ombak.
5.Berebut Bilik Air
Bila bangun tidur pula, masing-masing akan berebut gunakan bilik air. Memandangkan jumlah kami ramai, jadi masing-masing kena bersabar menunggu giliran untuk mandi. Mereka yang malas nak tunggu giliran tu ada yang sempat ke pasar dulu kemudian barulah mandi.
6.Gotong Royong Memasak
Memandangkan ramai orang dalam satu rumah, jadi masing-masing kena tolong memasak. Tak kira lelaki ke perempuan. Paling best bila masing-masing tunjuk skil memasak. Jadi bila tengah hari banyak juadah yang terhidang. Bila dah makan anak-anak terutama yang remaja kene basuh pinggan jadi makcik-makcik dan pakcik-pakcik bolehlah berehat.
7.Kira Duit Raya
Hari raya ni paling seronok sudah pasti kanak-kanak. Anak-anak saya sendiri rasanya dalam sehari lebih 30 kali mereka kira duit raya. Kadang-kadang tu sampai ada yang ‘menyakat’ dan sorokkan duit raya mereka. Apa lagi satu rumah bergegar bila masing-masing cari duit raya mereka yang ‘hilang’. Memang riuh rendahlah.
8.Main Bunga Api
Sebelah malam pula, masing-masing menunggu main bunga api. Yang kelakarnya ada yang sanggup tak nak tidur awal sabab menanti nak main bunga api. Gembira sungguhlah semua anak-anak dan cucu-cucu saudara yang masih kecil.
Ternyata Syawal tidak akan meriah jika masing-masing tidak berkumpul bersama sanak saudara. Amalan ini kami lakukan setiap tahun, agar anak-anak juga akan lakukan tradisi ini di kemudian hari. Selamat hari raya Aidilfitri!
Selamat hari raya dari kami sekeluarga!
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
"Jika ada masalah, tenangkan diri…” Pasangan yang mendirikan rumah tangga pastinya mahu kehidupan yang kekal hingga ke anak cucu. Tidak ada satu pasangan pun...