Tujuan pelaburan pastinya bagi menambah dan meningkatkan simpanan pesaraan untuk menyara kehidupan semasa persaraan. Berita baik buat ahli KWSP yang berhasrat untuk mengeluarkan sebahagian simpanan untuk tujuan pelaburan, kini boleh melakukannya terus secara dalam talian (Online).

Ia menerusi kemudahan digital i-Invest yang baru sahaja diperkenalkan oleh pihak KWSP. Berbanding dilakukan secara manual (luar talian) atau menerusi agen sebelum ini, caj jualan dikenakan juga adalah lebih rendah.

Perkenal i-Invest

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memperkenalkan saluran layan diri dalam talian iaitu i-Invest untuk memudahkan pelaburan dalam dana unit amanah yang ditawarkan oleh Institusi Pengurusan Dana (IPD) diluluskan KWSP.

Di bawah perkhidmatan ini, ahli di bawah umur 55 tahun, boleh membuat pelaburan secara terus menggunakan sebahagian daripada jumlah simpanan yang layak dipindahkan dari Akaun 1 dan akan dikenakan caj jualan serendah sifar hingga 0.5 peratus untuk setiap transaksi.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Tunku Alizakri Alias berkata, pihaknya teruja untuk memperkenalkan i-Invest kerana kemudahan digital ini memberi kuasa kepada ahli untuk mengawal pelaburan mereka serta kos transaksi hampir sifar.

“Bagi memastikan ahli kami mendapat maklumat secukupnya, i-Invest berfungsi membantu ahli dalam mendapatkan maklumat dan membuat perbandingan antara dana unit amanah, seterusnya membantu ahli memilih dana yang sesuai dengan sasaran pelaburan mereka.

IKLAN

“Ini adalah suatu kebanggaan kerana kami percaya KWSP adalah yang pertama di dunia menghasilkan pautan terus antara simpanan persaraan ahli dengan kemudahan pelaburan dalam talian,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Terkini, Ahli KWSP Boleh Buat Pelaburan Terus Secara Online Guna i-Invest
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Tunku Alizakri Alias

Caj Jualan Lebih Rendah

Menurutnya, elemen penting dalam kemudahan pelaburan dalam talian ini adalah caj jualan yang hampir percuma berikutan langkah KWSP meletakkan had sehingga 0.5 peratus saja, berbanding caj tiga peratus ke atas transaksi sekiranya ia dilakukan di luar talian atau melalui ejen.

“Kami juga menyarankan ahli untuk menggunakan i-Invest sebagai langkah waspada dalam membuat sebarang keputusan pelaburan dan menasihatkan mereka untuk mendapatkan maklumat yang tepat atau pendapat perunding profesional sebelum membuat sebarang transaksi,” katanya.

IKLAN

Pindahan 30 Peratus Simpanan

Katanya, ahli boleh memindahkan sehingga 30 peratus dari Akaun 1 daripada jumlah melebihi Simpanan Asas mengikut umur masing-masing untuk dilaburkan dalam dana yang layak.

Ahli juga boleh membuka akaun untuk membuat pelaburan di dalam dana unit amanah melalui mana-mana IPD menggunakan kemudahan i-Invest.

Malah, ahli berumur 55 tahun ke atas juga boleh menggunakan i-Invest dengan membuat pengeluaran simpanan daripada Akaun 55 atau Akaun Emas melalui i-Akaun, dengan mengekalkan baki minimum RM1,000 dalam akaun mereka.

IKLAN

Sementara itu, Alizakri berkata, untuk tempoh 2019/2020, sebanyak 389 dana daripada pelbagai kategori, iaitu ekuiti, aset campuran, pasaran wang dan amanah hartanah, telah diluluskan di bawah Skim Pelaburan Ahli KWSP.

Info Ekstra!

Ada 3 Institusi Pengurusan Dana (IPD) atau dalam bahasa Inggerisnya Fund Management Institution (FMI) – yang diluluskan oleh KWSP.

1.Syarikat Pengurusan Unit Amanah, (unit trust management companies) termasuk yang di bawah Amanah Saham Nasional Berhad
2.Syarikat Pengurusan Kumpulan Wang (asset management companies)
3.Lembaga Tabung Haji

MW: Jadi jika mempunyai akaun KWSP, ahli kini boleh gunakan saluran layan diri dalam talian (online) iaitu i-Invest untuk memudahkan pelaburan dalam dana unit amanah yang ditawarkan oleh Institusi Pengurusan Dana (IPD) diluluskan KWSP berbanding secara manual sebelum ini. Malah caj jualannya pun lebih rendah. Namun, paling penting dapatkan khidmat nasihat daripada penasihat kewangan yang bertauliah sebelum membuat keputusan untuk menyertai skim ini.

Sumber: Hmetro, Rancangwang

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI