Ya Allah sebaknya tengok video perkongsian dalam Instagram Pencetus Ummah Amin. Video yang mengajak kita PANGGIL Allah. Beliau mengajak followernya mengambil masa sekejap bersamanya menghayati rintihan seorang pendakwah dalam video tersebut.
“Puas kita dengan dunia, segala nikmat kita dah rasa, kenyang dah kita tapi macam mana hubungan kita dengan Allah. Allah terima kita ke? Saya mohon sahabat ambil masa sekejap je tengok.
“Saya ulang banyak kali tetap mengalir air mata. Waktu tahajud PANGGIL Allah, sembang dengan Allah, merayu dengan Allah. Aku nak macam-macam Ya Allah tapi aku jauh ya Allah. Ya Allah, ampunkan dosa kami ya Allah,”kongsi beliau.
Mudah-Mudahan Kita PANGGIL Allah, Kita Masuk Dalam Golongan Allah Sayang
Berikut adalah intipati video rintihan yang mengajak kita memanggil Allah.
Saya nasihatkan diri saya dan tuan-tuan…
Ads
Terbangun tengah malam, kita malas sembahyang sunat takpe. Kita cuma PANGGIL Allah…
Terbangun tengah malam, tuan-tuan malas nak ambil wuduk, tuan-tuan duduk sekejap. Tuan-tuan PANGGIL Allah.
Sambil tuan-tuan sebut nama Allah…tuan-tuan cakap dalam hati
Ya Allah dosa aku banyak, ampunkan lah
Ya Allah, salah aku banyak, Ya Allah maafkanlah
Ads
Ya Allah, dulu aku lalai Engkau bagi aku umur Engkau bagi rezeki aku tak pernah tolak pun
Engkau bagi harta aku ambil
Engkau bagi aku sihat aku ambil tapi aku tak dapat dekat dengan Engkau
Ya Allah, aku jauh dengan Engkau.
Ads
Ya Allah umur aku makin lama makin hampir kepada kematian tapi aku seolah-olah tidak mengingati akan kematian dan aku tidak merasakan akan mati itu.
Ya Allah, apa yang ada pada aku sekarang Engkau bagi. Terima kasihlah
Terima kasih Ya Allah, terima kasih ya Allah
Mudah-mudahan dengan kita selalu panggil Allah, kita masuk dalam golongan yang Allah Sayang
Pujuk Hati Yang Degil
Ilmu yang sangat menjentik hati saya, mesejnya begitu menusuk. Semoga video rintihan ini menyentuh hati kita untuk PANGGIL Allah. Betapa kita lupa diri kita siapa, kita leka dengan nikmat yang Allah bagi.
Pujuklah hati yang degil untuk dekat dengan Allah. Belum terlambat untuk kita berubah. Semoga kita semua mendapat husnul khotimah. Amin ya rabb.
Sumber: Instagram pencetusummah_amin
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Ramadan makin meninggalkan kita. Bila tiba di sepuluh terakhir Ramadan, maka ramailah yang fokus untuk mengaut kelebihan Lailatul Qadar. Tak kurang juga yang terus leka dengan dunia sendiri, seperti tiada apa yang berlaku.
Kaum hawa, antara yang selalu bertanyakan soal ini. Ada yang merasa bersangatan sedih bila tak dapat beribadah seperti biasa kerana uzur Syar’ie.
Janganlah bersedih. Kalian diciptakan memang fitrahnya begitu. Bahkan takkan terkurang walau sedikit kasih sayang Allah SWT pada kalian. Allah SWT Maha Mengetahui, kerana DIA yang menciptakan kita semua. DIA Maha Adil.
Banyak ibadah lain yang boleh dilakukan selain bersolat dan membaca al-Quran. Pernah dalam sebuah hadis, Saidatina Aisyah r.anha bertanya pada Rasulullah SAW: يَا رَسُولَ اللَّهِ أَرَأَيْتَ إِنْ وَافَقْتُ لَيْلَةَ الْقَدْرِ مَا أَدْعُو قَالَ تَقُولِينَ اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي Wahai Rasulullah, apakah pandangan kamu sekiranya aku bertemu dengan Lailatul Qadar apakah yang patut aku berdoa?
Maka kata Nabi SAW: ‘’Ucapkanlah: Ya Allah, sesungguhnya Kau maha Pengampun, dan Kau sukakan pengampunan, maka ampunkanlah aku’’. Ini bermakna, kaum hawa yang berhaid boleh memperbanyakkan baca doa di malam itu. Digalakkan juga berzikir. Zikirlah dengan khusyuk.
Ibnu Abi Dunia meriwayatkan bahawa Az-Zuhrie berkata: تسبيحة في رمضان أفضل من ألف تسبيحة في غيره “Sekali bertasbih dalam bulan ramadan lebih baik dari seribu tasbih di waktu yang lain.”
Bangunlah awal. Kejutkan ahli keluargamu untuk beribadah. Kemudian kalian boleh terus sediakan juadah untuk sahur pada mereka. Niatkan, “Ya Allah, aku sediakan hidangan ini keranamu. Kerana ingin mendapat pahala ibadah.”
Bila keesokan harinya, sediakan pula juadah berbuka buat mereka. Menyediakan hidangan buat mereka berpuasa, MasyaAllah Tabarakallah pahalanya juga besar saudari-saudari sekalian. Sebuah hadis menyebutkan: مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِهِ غَيْرَ أَنَّهُ لاَ يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِ الصَّائِمِ شَيْئًا
Daripada Zaid bin Khalid al-Juhani r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa dia akan mendapat pahala yang sama dengan orang yang berpuasa dalam keadaan pahala orang tersebut tidak berkurangan sedikit pun.” [Hadis Riwayat Al-Tirmizi no. 807]
Imam Izzuddin al-Izz bin Abd al-Salam menjelaskan tentang fadilat memberi makan kepada orang yang berpuasa: “Sesiapa yang memberi makan kepada 36 orang yang berpuasa dalam sepanjang tahun, maka dia akan mendapat pahala berpuasa selama setahun”. [Rujuk Maqasid al-Saum, Izz Abd al-Salam (Hlm. 18)]
Ini juga berdasarkan firman Allah SWT: مَن جَاءَ بِالْحَسَنَةِ فَلَهُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا “Sesiapa yang melakukan suatu kebaikan maka baginya sepuluh ganjaran pahala.” [Surah Al-An’am: 160]
Ada. Kalian boleh perbanyakkan bersedekah. Sebagaimana yang kita maklum, amalan sedekah di dalam bulan Ramadan mempunyai ganjaran yang amat besar di sisi Allah SWT. Banyak cara sedekah yang boleh dilakukan.
Memberikan makanan kepada jiran, bersedekah barang keperluan, menyebarkan nasihat dan kalimah-kalimah yang baik di media sosial dan bermacam cara lagi. Senyum pun boleh. Tapi janganlah tersalah senyum pula. Nanti ada pula yang angau. Naya.
Kalian juga boleh saja mendengar bacaan al-Quran. Mendengar juga beroleh pahala Insya-Allah. Jangan pula bangun malam semata-mata untuk layan movie, tengok drama, dengar lagu lagha dan sebagainya. Rugilah. Dibuatnya kena malam Lailatul Qadar, sudah terlepas.
Selain itu, kalian juga boleh perbanyakkan istighfar, berselawat dan membaca buku agama serta membelek tafsir al-Quran.
Allah SWT sukakan orang yang beristighfar di waktu sahur. Firman Allah SWT: وبالأسحَارِ هُم يَستَغفِرُون
“Mereka sentiasa beristighfar waktu sahur.”
[Surah az-Zariyat: 18]
Insya-Allah, semuanya dikira amal ibadah jika kita ikhlas Lillahhi Ta’ala. Semoga Allah SWT menerima amalan kita, dan mendapat juga kelebihan hebat Lailatul Qadar itu. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.
Bantu share kepada rakan-rakan muslimah yang lainnya ya. Moga perkongsian ini juga dikira amal ibadah buat kita semua.
Membesar di kawasan kejiranan kediaman yang dikelilingi masyarakat Melayu, sedari kecil pemilik nama sebenar Sandhyalini a/p Subramaniam atau kini nama Islamnya, Nur Sandhyalini Sumayyah binti Abdullah, 26 sudah terbiasa dengan aktiviti masyarakat Islam setempat. Anak bongsu dari dua orang adik beradik ini berasal dan membesar di Ampang.
“Saya membesar di kawasan perumahan yang dipenuhi dengan masyarakat Melayu dan Cina. Keluarga saya satu-satunya berbangsa India pada ketika itu. Jadi rakan-rakan sepermainan saya orang Melayu semuanya.
“Kami membesar bersama-sama dan masih berhubung sehingga kini. Jadi saya dah biasa dengan aktiviti harian mereka terutamanya keagamaan seperti contoh saya akan berdiam diri ketika azan, baca doa sebelum makan, baca ayat Al-Qursi kalau takut, berpuasa, bersahur, berbuka puasa, cara solat dan menyambut hari raya Aidilfitri dan Aidiladha bersama-sama rakan yang beragama Islam,” bicara anggota Sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia yang berpangkat Lans Koperal ini.
Wanita yang mesra di sapa dengan panggilan Sumayyah ini juga akui tidak berasa kekok selepas memeluk Islam.
“Pergaulan dengan orang Muslim sudah sebati dengan diri saya sejak dilahirkan dan tidak kekok untuk membawa diri sebagai seorang Islam. Saya fasih berbahasa Melayu membuatkan ramai orang ingatkan saya memang keturunan Melayu atau Mamak,” sambung Sumayyah.
Berkongsi kisah bagaimana dia tertarik untuk memeluk agama Allah ini, Sumayyah meneruskan perbualan bersama penulis.
“Saya tertarik memeluk Islam ketika menonton sebuah video banjir besar di Kelantan pada tahun 2014, saya merasakan seperti mahu mengambil wudhu dan solat bagi mendoakan mangsa banjir iaitu seorang ayah yang tenggelam timbul demi menyelamatkan anaknya dan akhirnya lemas. Saya tidak tahu kenapa rasa demikian sedangkan saya tak pandai solat.
“Video seterusnya ialah video rakaman semula bagaimana Rasulullah SAW wafat, video dengan muzik yang sedih dengan ayat-ayat cinta. Selepas habis menonton video yang ditunjuk oleh rakan sebilik rumah sewa itu, saya terus menyatakan bahawa saya mahu ke pejabat agama untuk memeluk Islam.
“Sebenarnya sejak zaman sekolah lagi saya sudah pandai membaca surah al-Fatihah, doa belajar, doa makan, mengucap, istighfar, tasbih, takbir, selawat kerana sering terikut-ikut dengan perbuatan kawan-kawan Islam saya,” ujar Sumayyah.
Memeluk Islam pada 29 Disember 2014 di Jabatan Agama Islam Wilayah, Sumayyah mendalami Islam melalui pelbagai buku yang dibeli. Selain itu dirinya juga sering mendengar ceramah-ceramah di youtube dan mendengar kisah-kisah para Nabi dan Rasul dari rakan-rakan.
“Perjalanan hidup saya sebelum Islam adalah sangat sosial dan berpakaian agak kurang sopan. Tetapi sejurus memeluk Islam, saya menangis selepas mengucap dua kalimah syahadah dan pada pagi sebelum ke JAWI saya sudah mulai bertudung. Saya menangis kerana merasakan aman,tenang dan selamat akhirnya. Ramai kawan-kawan yang marah dan tidak mahu berkawan dengan saya, tetapi ramai juga yang masih berkawan dengan saya kerana mereka memang sedia maklum dengan persekitaran saya membesar dahulu.
“Saya juga merasakan sangat tenang, tidur lena, aman, selamat, syukur, terharu, gembira dan bahagia. Ini kerana beberapa bulan sebelum memeluk Islam, saya mengalami jiwa kacau seperti sering bermimpi buruk, tidak boleh tidur lena, dan telah lama lupa pada cara sembahyang.
“Gaya hidup saya sebagai seorang muslimah dengan kehidupan lama jauh bezanya bagaikan langit dengan bumi, kalau dulu saya berpakaian ketat dan tidak sopan pakaian saya yang menutup aurat sekarang lebih membuatkan saya rasa selamat dan selesa untuk bergerak ke mana-mana dan tidak dipandang serong. Pergaulan lebih kepada menjaga batasan, adab dan tutur kata,” luah Sumayyah.
Mahu berkongsi kisah di sebalik nama Sumayyah yang dipilih, wanita ini sebenarnya telah mencari agak lama nama Islam yang sesuai untuk dirinya.
“Pada malam sebelum saya ke JAWI untuk mengucap dua kalimah syahadah, saya telah mencari nama-nama Islam di carian internet tetapi tidak berkenan. Kemudiannya saya menutup data internet dan melelapkan mata, dalam mimpi saya ketika itu cukup gelap kedengaran satu suara lelaki yang memanggil Sumayyah lalu saya terjaga dari lena. Saya pun terus sambungkan semula data internet dan mencari maksud nama Sumayyah. Keesokkannya di JAWI apabila ustaz bertanyakan nama, lalu saya terus menyebut Nur Sandhyalini Sumayyah,” kongsi Sumayyah.
Selepas memeluk Islam, Sumayyah mula mendalami ilmu agama di PERKIM BAHAGIAN WILAYAH pada tahun 2015 tetapi tidak dapat memberi komitmen kerana terlalu sibuk dengan kerjaya.
“Bermula pada bulan Ogos 2018, saya tertanya pada diri sendiri “sampai bila aku nak terkontang-kanting tanpa ilmu agama ni, cemburu tengok budak kecil yang sudah pandai mengaji al-Quran sedangkan aku belum”.
“Selepas itu saya mula aktif semula memberi komitmen sepenuhnya dalam pelajaran agama suci ini. Selain itu, bermula pada bulan Januari 2019 saya telah mendaftar dan mula belajar di Kompleks Darul Hidayah yang terletak di Jalan Sentul Pasar pada waktu pagi dan masih belajar di Perkim pada waktu petang. Selain itu,saya juga banyak melibatkan diri dengan menghadiri program-program agama seperti yang terbaru Ceramah Ustaz Abdul Somad dari Indonesia di Masjid Wilayah dan pada menyertai Bengkel Belia : Generasi Pelapis Pendakwah siri 1 oleh Penceramah Profesional iaitu Ustaz Mohd Fadli Yusof.
“Setelah lima tahun memeluk agama Islam dan tidak komited dalam pelajaran agama akhirnya dibuka hati untuk mula belajar dengan serius Iqra. Banyak hikmah kehidupan saya sekarang di mana jauh lebih tenang dari sebelumnya. Ini kerana saya banyak menghadirkan diri ke majlis ilmu agama, saya juga berharap dapat menjadi seorang pendakwah atau ustazah suatu hari nanti,” akurnya.
Sebagai insan biasa Sumayyah akui tidak terlepas dari melakukan kesilapan. Dan kini dia masih dalam proses memperbaiki diri sebagai seorang muslimah sejati.
“Saya juga tidak tercicir dari melalukan kesilapan yang biasa dilakukan oleh orang lain dan masih lagi dalam proses untuk membaiki diri bagi menjadi seorang muslimah yang solehah. Dugaan datang dari pelbagai bentuk dan cara, soalnya tinggi mana keimanan dalam diri kita, bagaimana menjaga akhlak agar akidah tidak terpesong, semuanya atas pada diri kita sendiri. Bagi saya setiap agama ada larangan dan suruhan, cuma dalam agama Islam ni saya rasa lebih ketat peraturan yang kita perlu ikut. Contohnya dulu jika tidak sembahyang sehingga terlupa bagaimana caranya dan tiada apa-apa perasaan, kini saya akan berasa tidak tenteram dan serba salah jika meninggalkan solat disebabkan kelalaian sendiri atau kerja.
“Saya juga sangat bersyukur dengan bantuan dari buku panduan solat yang dihadiahkan oleh sahabat yang saya kenal selama 26 tahun iaitu Fitri Suraya. Alhamdulillah sy telah menghafal bacaan-bacaan dalam solat dan pernah juga mengimamkan solat bersama kawan-kawan saya beberapa kali,” akhiri Sumayyah.
Nak murah rezeki? Jangan miss amal doa ini. Yatt Hamzah berkongsi doa yang diajar Rasulullah di laman Instagramnya. Doa ini dibaca setiap hari selepas Subuh.
Kata Yatt lagi, ada sebuah doa yang biasa diamalkan Rasulullah setelah Subuh agar mendapat ilmu yang bermanfaat. Amal dengan bersungguh-sungguh dan konsisten, insya-Allah kita akan dapat keberkatannya.
Berikut adalah doanya:
Ertinya: “Ya Allah, aku memohon pada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang thoyyib dan amalan yang diterima.” (HR. Ibnu Majah no. 925, shahih).
Dalam hadis lain Rasulullah bersabda, “Khoirunnasi anfa’uhum linnasi.” Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia. (HR. Ahmad, Ath-Thabran, dan Ad-Daruqutni).
Maka untuk menjadi manusia bermanfaat bagi manusia lainnya, kita perlu mendapatkan ilmu yang bermanfaat. Ilmu bermanfaat akan didapatkan oleh orang-orang yang tekun, tidak sombong dan mahu mengamalkan ilmunya.
“Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk anda. Ya Allah, makbulkan doa-doa kami. Amin,”ujar Yatt yang aktif berdakwah dan melakukan pelbagai perkongsian ilmu agama menerusi instagramnya.
Selebriti popular ini juga membuat live setiap hari di Instagramnya. Dia mengajak follower untuk sama-sama bertadarus tahsin online satu hari satu juzuk bersama @sheikhmohamedelmongy di bulan Ramadan.
Aksi Yatt bertadarus online bersama anaknya mendapat perhatian netizen. Ramai yang memuji usaha murni Yatt yang tidak jemu berdakwah mengajak follower menghayati cara hidup Islam.
Selain itu, ibu kepada empat cahaya mata ini juga sering berkongsi pelbagai resipinya dengan follower. Aksi lincah Yatt di dapur mencuit hati dan ramai yang mencuba resipi air tangannya itu.