
Tengku Permaisuri Selangor – Tiada Siapa Boleh ‘Usik’ Kedudukan, Peranan Asal UiTM. Universiti Teknologi MARA (UiTM) perlu terus memainkan peranan sebagai institusi pendidikan tinggi yang menjadi benteng ilmu anak bangsa, tanpa digugat oleh mana-mana pihak, titah Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin.
Tengku Permaisuri Selangor – Tiada Siapa Boleh ‘Usik’ Kedudukan, Peranan Asal UiTM
Baginda bertitah, penubuhan UiTM mempunyai asas kukuh selaras dengan Akta 173 (1A) dan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak orang Melayu, Orang Asli serta anak negeri Sabah dan Sarawak. Oleh itu, kedudukan tersebut mesti dipertahankan dengan penuh iltizam.

“UiTM terbukti mempunyai sejarah istimewa dalam membina kecemerlangan dan jati diri bangsa Melayu serta bumiputera melalui pendidikan tinggi.
“Justeru, saya berharap tiada pihak cuba mengganggu-gugat kedudukan dan peranan asal universiti ini,” titah baginda ketika merasmikan Istiadat Konvokesyen UiTM ke-102 di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) UiTM Shah Alam.
Pada sesi pertama istiadat berkenaan, seramai 237 graduan pascasiswazah diraikan daripada keseluruhan 24,643 graduan yang menamatkan pengajian pada kali ini.

Dalam titah baginda, graduan turut diingatkan supaya tidak berhenti menimba ilmu selepas bergelar alumni kerana ilmu merupakan cahaya kehidupan serta lambang maruah diri.
“Pendidikan harus terus menjadi agenda utama negara, bukan sekadar melahirkan tenaga kerja, tetapi membina insan berakhlak dan berjiwa merdeka,” titah baginda.
Selain itu, Tengku Permaisuri Norashikin turut menyampaikan ucapan tahniah kepada Dr Ahmad Sazali Hamzah yang dikurniakan anugerah Profesor Emeritus sebagai pengiktirafan atas jasa besar beliau dalam memperkukuh pendidikan dan penyelidikan di UiTM.
Sumber: Sinar Harian dan Selangor Royal Office
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Tak Jadi Kesalahan Baca Doa Qunut Subuh Di Tanah Suci, Fahamkan Cara Dari Penjelasan Ustaz Ini

Perkongsian Penyampai, Penerbit Kanan dan Penyelidik TV AlHijrah, Ustaz Syed Shahridzan Syed Mohamed ini menjelaskan bagaimana membaca doa Qunut dalam solat Subuh ketika berjemaah bersama imam. Fahamkan betul-betul agar kita mendapat keberkatan ilmu yang disampaikan.
Qunut Subuh Di Tanah Suci
Dahulu semasa di Madinah saya ada bentangkan video mengenai cara paling ringkas membaca doa qunut di belakang imam yang bukan bermazhab Syafi’ie seperti di Mekah dan Madinah. Kini saya berminat untuk melakar dalam bentuk tulisan sebagai bacaan dan simpanan rakan-rakan sekelian.
Amalan ini merupakan ‘option’ bagi mereka yang bermazhab Syafi’ie yang meyakini kesunahan qunut Subuh dan tidak mahu terlepas dari fadilat ini, maka saya menjelaskan jalan yang paling ringkas untuk mengerjakan doa qunut sekaligus mendapatkan fadilat yang besar. Bagi mereka yang tidak yakin kesunahannya saya berharap agar tidak membuat sebarang onar di sini. Berikut adalah beberapa ‘point’ penting yang saya kongsikan:
Menurut Imam Ramli syarat membaca qunut adalah gabungan pujian-pujian kepada Allah dan doa. Contoh puji pujian yang paling ringkas ialah Alhamdulillah atau Subhanallah, manakala contoh doa yang paling ringkas, “Rabbighfir Li”. Maka bila digabungkan kedua-duanya maka ia dinamakan sebagai qunut.
Manakala menurut Imam Ibn Hajar pula, syarat untuk menjadikan bacaan itu sebagai qunut cukup hanya sekadar bacaan doa walaupun tidak disertakan dengan puji-pujian, namun menurut beliau juga lebih afdal doa tersebut disertakan dengan puji pujian.
Meskipun ada khilaf di antara kedua-dua ulama mazhab Syafi’ie namun kedua-duanya dikira sebagai pendapat yang muktamad di dalam mazhab maka terserah kepada kita untuk memilih antara kedua-dua pendapat yang dirasakan selesa. Namun tidak dinafikan bahawa doa yang diiringi dengan puji pujian kepada Allah adalah yang terbaik. Pemilihan pendapat Ibn Hajar tidak lain dan tidak bukan hanya untuk tujuan ringkasan yang sesuai dengan situasi tertentu.
Disarankan agar membaca qunut subuh dalam bacaan yang sangat ringkas ketika iktidal untuk mengelakkan kita terlewat mengikuti imam yang sudah mula sujud. Jadi bacaan qunut ringkas yang biasa saya amalkan di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi:
الحمد لله، رب اغفر لي، اللهم صل على محمد وآله
“Alhamdulillah, Rabbighfir li, Allahumma Solli ‘ala Muhammad wa Aalih“
Menurut pendapat yang muktamad di dalam mazhab Syafi’ie, selawat ke atas Nabi dan ahli keluarga baginda dalam qunut merupakan sunat ab’ad di dalam solat, jika ditinggalkan maka disunatkan bersujud sahwi. Namun hukum membaca selawat ke atas baginda dan ahli keluarga samaada sunat atau tidak merupakan khilaf di kalangan ulama mutaqaddimin(terdahulu) dalam mazhab Syafi’ie(Rujuk: Raudah al-Tolibin).
Sebahagian mereka berpendapat tidak disunatkan berselawat ke atas Baginda dan ahli keluarganya, ini merupakan pendapat kedua di dalam mazhab Syafi’ie(مقابل الأصح) yang boleh diambil untuk tujuan meringkaskan bacaan qunut Subuh, terutamanya jika imam tidak beriktidal dalam tempoh yang lama. Biasanya imam di Masjidil Haram dan Nabawi memanjangkan iktidal mereka dalam setiap solat 5 waktu. Insya Allah cukup untuk tempoh gabungan Puji pujian, doa dan selawat.
Berkenaan mengangkat tangan ketika berqunut, terdapat dua pendapat di kalangan ulama mazhab Syafi’ie(ashabul wujuh). Pendapat pertama disunatkan mengangkat kedua-dua tangan ketika berqunut(ini pendapat yang muktamad), manakala pendapat yang kedua tidak disunatkan mengangkat tangan dan pendapat kedua ini dipilih oleh Imam Nawawi di dalam kitab al-Majmu’. Maka boleh mengambil pendapat kedua dengan tidak mengangkat tangan ketika berqunut di tanah suci bagi mereka yang terasa segan kerana takut dipandang pelik atau takut berlaku fitnah.
Walaubagaimana pun, bacaan qunut Subuh ini adalah sunat di dalam solat. Jika ditinggalkan dengan sengaja ia tidak membatalkan solat sama sekali. Jika sesiapa yang memilih untuk membaca qunut ringkas itu lebih baik dan sesiapa memilih tidak membaca qunut iaitu turut serta dengan imam yang bukan bermazhab Syafi’ie juga perkara yang baik dan tidak menjejaskan solat seseorang.
Sebagai tambahan, tiada masalah jika seorang makmum membaca qunut Subuh meskipun imam tidak membacanya. Ia tidak dikira bersalahan kerana makmum diharuskan menambah apa2 bacaan zikir atau doa walaupun imam tak baca. Dalam isu ini saya baca qunut seringkas mungkin dan tidak melewat-lewatkan mengikut imam yang sudah sujud. Yang menjadi kesalahan apabila menyalahi imam dalam PERBUATAN yang tertentu dalam solat seperti tidak ikut imam yang melakukan sujud tilawah. Manakala tambahan zikir, jumlah zikir dan doa seperti qunut tidak menjadi kesalahan dalam solat berjemaah.
Wallahu A’lam, Abu Ruqayyah Ba ‘Alawi
Sumber/Foto: FB Syed Shahridzan via Mingguan Wanita
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Gadis Cekal Berperahu Rentas Sungai Rajang Ke Sekolah Kini Berjaya Bergelar Peguam!

Gadis Cekal Berperahu Rentas Sungai Rajang Ke Sekolah Kini Berjaya Bergelar Peguam! Hasil kesungguhan dan kecekalan dalam menuntut ilmu, menghasilkan kejayaan yang cemerlang. Meskipun terpaksa bersusah payah dan melipatgandakan usaha dalam menimba ilmu.
‘Basak Budouk Basak Tenguk’. Itu pepatah dalam dialek Melanau Dalat yang membawa maksud asalkan rajin berusaha akan memperoleh hasil yang lumayan.
Pepatah itu juga mengambarkan usaha kental Jacquelyn Juliet Suching, 25, wanita asal Kampung Kebuaw, di sini, sebuah perkampungan pendalaman di Sarawak mengejar impian ke menara gading sehingga berjaya bergelar peguam.
Ubah Nasib Keluarga
Wanita Melanau Iban yang berasal daripada keluarga petani itu bersemangat mahu mengubah nasib keluarganya dengan pendidikan biarpun perlu merentas Sungai Rajang dengan menaiki perahu dihantar ibu setiap hari untuk ke sekolah.
Kisah Jacquelyn Juliet mendapat perhatian di TikTok selepas peguam muda itu berkongsi video yang dimulai dengan dirinya ketika berusia 11 tahun pulang dari sekolah ditunggu ibu di perahu, bergraduasi dan ditauliahkan sebagai peguam.
Berkongsi kisahnya, Jacquelyn Juliet berkata, kampungnya terletak di bahagian hilir Sungai Rajang dan selama enam tahun dia menjadikan perahu sebagai pengangkutan utama ke sekolah di persisiran Sungai Rajang, Batang Igan.
Ibu Bapa Utamakan Pendidikan
Menurutnya, setiap hari dia akan dihantar dan diambil ibu, Catherine Stin, 48, yang mengemudi perahu sendirian, sementara bapa, Suching Jugei, 58, mengambil upah berkerja di kebun rumbia milik orang.
“Sebagai anak pedalaman saya sudah biasa merentasi Sungai Rajang, malah tak berasa takut menyeberanginya biarpun ada buaya kerana perahu satu-satunya kenderaan kami di kampung untuk ke sekolah. Lagipun saya tahu hanya dengan pendidikan dapat mengubah nasib kita.
“Malah saya beruntung mempunyai ibu bapa yang sangat mengutamakan pendidikan, malah pendapatan tidak menentu sebagai petani dan mengambil upah mengerjakan kebun rumbia tetap diutamakan untuk persekolahan kami,” katanya.
Cuti Sekolah Bantu Mak Ayah Di Kebun Rumbia
Anak ketiga daripada enam beradik itu berkata, ketika berusia 13 tahun dia belajar di sebuah sekolah berasrama penuh di Miri dan setiap kali cuti sekolah dia akan membantu ibu bapa di kebun rumbia untuk mencari pendapatan lebih, manakala waktu makan dimanfaatkan untuk mengulangkaji pelajaran.
“Kehidupan sederhana tanpa kemewahan di kampung yang tiada kemudahan Internet yang baik, jalan raya dan air bersih mendidik saya untuk tekad mengejar impian sekali gus membuktikan anak pendalaman juga boleh mencapai cita-cita.
“Sehingga belajar di universiti saya dan adik-beradik masih membantu mak dan ayah di kebun rumbia. Itu juga menaikkan semangat saya untuk memberi kesenangan kepada mereka yang banyak mengorbankan masa serta tenaga untuk kami,” katanya yang berkerja di sebuah firma guaman di Bintulu.
Kerja Keras Ibu Bapa
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dengan Kepujian dari Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok, Kedah itu berkata, kejayaan yang diperolehinya disifatkan bukan usahanya semata-mata sebaliknya ia adalah kerja keras ibu bapanya yang membanting tulang empat kerat.
“Saya masih baru dalam bidang perundangan kira-kira setahun tujuh bulan termasuk tempoh chambering dan apabila sudah tamat belajar saya melihat apa diperolehi ini hasil usaha pahit manis sejak kecil menjadikan saya sebak.
“Walaupun mak ayah hanya petani tetapi mampu membentuk masa depan kami dengan pendidikan. Tiga adik saya juga masing-masing bergraduasi dan masih belajar di universiti tempatan dan seorang di Australia, manakala dua abang saya sudah berkeluarga dan berkerja,” katanya yang masih bujang.
Berhubung video TikToknya, Jacquelyn Juliet berkata, video itu dirakam guru matematiknya, Cikgu Ermi pada 2009 dan ketika itu dia adalah pelajar terakhir yang pulang selepas mengikuti kelas tambahan di sekolahnya.
Katanya, Cikgu Ermi memberikan video itu kepadanya pada 2018, namun dia tidak pernah berkongsi video berkenaan di media sosialnya sebelum tergerak hati untuk memuat naik di TikTok, baru-baru ini sebagai kenangan selain penghargaan buat ibu bapa dan guru serta pensyarahnya.
@iamcqlyn Kadang kala kita hampir lupa dan tanpa sedar bahawa kita sudah melewati banyak kisah pahit manis di lembah kehidupan kita❤️ Peluk erat tubuhmu, jaga dia baik-baik kerna dia bertahan untukmu🥰 #usik #usikfebyputri #kehidupan #fyp #tuhanitubaik #younggirl #loveyourself #throwback #foryoupage ♬ original sound – Iamcqlyn – Juliet Paradise
Mesti Baca:Wanita Warga Emas Ditahan Simbah Asid Pada Suami Isteri, Angkara Dengki Kedai Makan Laris
Baca Lagi Di Sini:Bersalin Atas Perahu Ketika Redah Banjir, Anak Dinamakan ‘Siti Noor Banjiriah’
Artikel Menarik:SYUKUR Dikurniakan Zuriat Selepas 7 Tahun, Namakan Anak ‘Alhamdulillah Rejeki Hari Ini’
Mingguan Wanita: Tahniah atas kejayan mencapai cita-cita bergelar peguam. Meskipun laluannya tak mudah, terpaksa meredah sungai yang ada buaya dengan perahu ketika pergi ke sekolah, namun tetap cekal untuk rajin belajar. Semoga menjadi inspirasi buat anak-anak yang lain.
Sumber: Hmetro
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Hutang JAHAT Seret Wanita Muda Ini Ke Pakar Psikologi, Dengan Bantuan AKPK Dia Kembali Tidur Lena

Bila diri dikelilingi hutang ‘jahat’ mana mungkin dapat tidur lena, makan kenyang. Hari-hari rasa resah gelisah. Serabut kepala otak sampai rasa nak pecah. Hutang ‘jahat’ itu macam kad kredit waima pinjaman peribadi yang sebenarnya tak ada pun boleh hidup.
Wanita muda ini, Natalia Aivy Dibit, 25 tahun terjerat dengan hutang jahat yang dibuat tanpa sengaja. Benar, bak katanya “Bukan niatnya mahu membuka pekung di dada. Namun, kisah hidupnya ini dapat menjadi pengajaran buat semua. Terutama mereka yang bergelar penjawat awam sepertinya.”
Natalia yang lebih mesra dipanggil Nad ini akui “Terjerat dalam keterhutangan yang melampau bukanlah sesuatu yang menyenangkan.”
Dan beginilah kisah hutang ‘jahat’ Nad bermula. “Tiga bulan pertama bekerja, Nad banyak terima inbox dan kadang Whatsapp bertanyakan khabar and so on entah dari siapa tak kenal. Nampak smart bergaya, berkot, bertali leher dan ada jambangan bunga. Wuish! macam hebat diaorang-diaorang ni. Dipendekkan kisah, Nad pun terjebak.”
Dan buat personal loan semata-mata untuk bisnes entah apa-apa yang sampai sekarang tak boleh refund. Berapa? 6 angka personal loan. Menyesal? Jangan cakaplah. Boleh mental jadinya.
Nad mula terjebak dengan penggunaan kredit kad. Dan tanpa Nad duga, kelebihan kredit kad itu disalah gunakan. Swipe sana swipe sini. Last-last hutang jadi bertimbun. Bila diri dah mula terjerat dalam hutang, benda-benda macam ni berlaku pada Nad.
Dari Hutang Jahat, Ke Pakar Psikologi, Akhirnya Ke AKPK
1. Spesis kawan lelaki yang Nad support ke Bandung, buat-buat lupa dia ada hutang dengan Nad lebih 2K untuk support dia ke Bandung. Nad minta balik untuk tujuan servis motor dan insurans motor, benda jadi satu pergaduhan besar sampai semua caci maki dia keluarkan.
Aku yang hutang ke kau yang hutang? Haha! Last-last dia bayar juga balik RM900 saja sebab konon Nad pun ada hutang dia. Tak apalah. Point Nad is HILANG KAWAN YANG KONON SENTIASA ADA BILA MEMERLUKAN. Nasihat Nad berhati-hatilah dalam memilih kawan.
Orang itu smart, beruniform, sembahyang 5 waktu, setitik alkohol pun dia tak mahu, mengucap bila terduga, belum tentu mulut dia baik, bila dia hilang sabar. Bagus lagi orang yang nakal-nakal, sosial sana sini, bertattoo bagai, tapi kadang itu yang baik dengan kita. Pengalaman mengajar.
2. Panggilan telefon dari bank. Segala pemungut hutang dari segala pelosok. Bank Rakyat dan CIMB. So Nad hanya mampu bayar minimum payment saja. Balik-balik call sampai ke tempat kerja. Malu jangan cakaplah dengan kawan-kawan sekerja.
3. Terima call dari Putrajaya akan bekukan akaun gaji kalau tak bayar tertunggak kredit kad Bank Rakyat. Masa itu panik jangan cakaplah. Koreklah apa yg ada untuk tutup kes saman tu. Habis semua simpanan tambah dengan ada kawan yang sudi tolong Nad. Nad takkan lupa bantuan anda.
4. Personal loan yang auto deduct dari saving account bukanlah sesuatu yg baik sebenarnya. Itu pendapat Nad sebab slip gaji bersih tapi rekod dah buruk di bank. Dalam HRMIS Nad masih bersih. Bila-bila masa akan dapat surat bayar cukai. Bertabahlah wahai hati.
5. Simpanan. Simpanan apalagi kalau semua dah guna. Pernah tak rasa duit gaji kau tinggal berapa ratus sahaja? Begitulah Nad. Susah hati. Bank pula call nonstop. Last-last tukar number sebab tak tahan.
6. Seminggu Nad tak makan. Susah hati. Mak pun risau tengok Nad. Nad bincang dengan kakak macam mana nak atasi semua benda ni. Belanja diri sendiri memang tak cukup apalagi nak support family.
7. Cuba buat bisnes MLM. Mengarutlah. Semua pun mengarut. Kerugian.
8. Akhirnya, Nad buat satu keputusan paling drastik dan besar. Bukan bunuh diri! Nad jumpa pakar psikologi dan psikiatri. Uisshh macam orang mental. HAHA!
9. Nad mula search cara atasi masalah hutang. Jumpa personal blogger and banyak lagi. Jumpa satu term AKPK. Uisshh apa tu? Mula isi online dan set appointment. Mula buat kajian apa syarat-syarat AKPK. Dan sebagainya. Akhirnya Nad serah diri pada 14.09.2017.
10. CCRIS mengatakan Nad bukan dalam pemerhatian khas. Masih terkawal dan masih ada ruang positif yang banyak. Kira bernasib baik Nad jumpa AKPK supaya malam boleh tidur lena. Handphone pun takda dah bunyi-bunyi bank call setakat ini.
11. Nasihat kaunselor AKPK Nad : Masih muda masih banyak keinginan. Mujur kamu cepat dapatkan bantuan sebelum kamu diisytiharkan muflis, selepas ini kena bijak aturkan perbelanjaan. Utamakan simpanan sebelum keinginan.
Masa muda inilah kamu banyak tenaga untuk tingkatkan pendapatan bulanan. Jangan harap gaji. Jangan cepat percaya skim cepat kaya, bisnes MLM yang akhirnya makan diri. Buatlah sesuatu yang kamu suka, yang boleh kurangkan stress and earn from it. Biar sikit, lama-lama jadi bukit.
12. Malu? Dah jadi dah pun. Nak kata padan muka, silakan. Nad rela. Nad share benda ni supaya jadi pengajaran buat anda di luar sana.
13. Walau teruk macam mana pun bisnes Mykad pertama yang Nad join buat Nad, Nad ikhlaskan hati bayar loan ribu-ribu kat bank gara-gara itu. Kesilapan diri. Ada hikmah di sebalik kejadian. Tinggal 7 tahun lagi sebelum ianya habis. Banyakkan berdoa dan bersabar. Dan hasilnya Nad dapat beli sebuah motorsikal Yamaha R25 cash in hand. Dan settlekan bayar motor kecik Nad. Bagi-bagi kat adik beradik dan kedua orang tua.n
14. Usai AKPK, dari bayar ratus-ratus ribu-ribu bulan-bulan untuk kredit kad, Nad cuma komit RM150 setiap bulan untuk selesaikan hutang kredit kad. Personal loan Nad tak minta AKPK payung sebab nak biarkan dia cepat habis lagipun tempoh loan tu masih baru. Komitmen dengan AKPK jadi 8 tahun lebih. Ada rezeki lebih boleh bayar double RM300 supaya cepat selesai dalam masa 4 5 tahun saja.
Hutang Ini Bukan Galakan Keluarga
Kisah hutang Nad bukanlah kerana keluarga yang galakkan. Tapi sebab keinginan Nad sendiri. Tamak dan haloba. Padan mukalah kan. Pengajaran yang sebaik-baiknya sudah ni. Semoga jadi manfaat pada yang lain.
Sekarang? Nad buat apa yang Nad suka. Yang Nad ikhlaskan diri untuk komit. Nad buat kek. Sentiasa usaha majukan diri. Untung taklah banyak mana tapi berbaloi untuk diri. Nak nangis pun ada bila cerita soal impian ni. 3 tahun pertama kerja dah teruk. Semoga selepas ini Nad akan belajar dari kesilapan dan semakin bijak mengatur perbelanjaan.
Itulah kisah Nad. Hutang menjerat. Segeralah dapatkan bantuan. Masih belum terlambat. TERIMA KASIH AKPK!
KATA MAK : BELAJAR DARI KESILAPAN. PERCAYA REZEKI TUHAN. USAHA DALAM DOA. KAU AKAN BERJAYA. BUKAN RIBU RATUS RINGGIT YG MAK NAK TAPI KAU SELALU BAHAGIA, SENANG MAKAN DAN TIDUR, ITU IMPIAN MAK. CUKUPLAH KAU SENGSARA DARI KECIL, SAKIT, SEDIH, SEKARANG MASANYA KAU UTK BAHAGIA. BAGI PELUANG DENGAN DIRI SENDIRI.
(sambil dia cium dahi Nad, cium kedua pipi Nad)
Akulah Penghutang Itu
Serah diri pada AKPK sewaktu usia genap 23 tahun iaitu 14.9.2017 adalah satu keputusan terbaik saya pernah lakukan dalam hidup. Satu keputusan yang mengajar saya erti usaha dan tabah dalam kehidupan. Satu penyesalan setelah gagal dalam mengurus kewangan itu tak mampu saya tanggung.
Setiap malam hanya mampu tidur 1 ke 2 jam, berat kepada memikirkan hutang. Berendam air mata menahan rasa kesakitan tubuh apalagi akal fikiran. Hidup pada masa itu kusut. Duit tak cukup. Bunga kredit kad semakin bertambah.
Saat susah dan perti itulah Tuhan tunjukkan erti sebuah keluarga. Syukur Tuhan saya punya keluarga yang tak pernah berpaling tadah. Dari gagal bisnes ratus ribu hinggalah berniaga kek secara kecil-kecilan.
Mereka sentiasa berdiri dan berjalan beriringan dengan saya. Penat lelah, sakit sihat, tawa tangis, duit tak cukup nak makan, mereka ada bersama saya. Terlalu banyak yang terjadi pada diri ini. Dugaan itu hanya Tuhan saja yang tahu.
Air mata seorang ibu setelah saya meluah kepertitan itu membuat saya ingin bangkit berjuang.
“Kau sakit, susah masih boleh ketawa. Orang tak tahu kau susah. Dari dalam kandungan kau sudah sengsara. Masa kecil asma teruk. Naik umur 8 tahun kau patah tangan. Asma attack lagi masa darjah 5. Naik dewasa, jumpa seseorang yang mak sangka boleh jaga kau tapi dia pula menambah luka.”
Sumber/Foto : Natalia Aivy Dibit
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI