Telekung mahal atau murah Allah tak pandang, yang penting ikhlas & istiqomah. Baru-baru ini telah tular apabila seorang pengasas hebat berkongsi sebuah video pendek di akaun Tik Toknya memaklumkan telekung bernilai RM16,000 digunakan untuk berjumpa Allah sekaligus menghilangkan rasa bersalah memakai beg berharga belasan ribu untuk berjumpa rakan-rakan.
Perkongsian tersebut telah menimbulkan perbincangan dan pertikaian di kalangan warganet. Malah video tersebut yang mendapat 16.6 ribu tanda suka juga dihujani pelbagai komen. Ada yang memberikan komen positif, negatif dan tidak kurang yang mencadangkan agar wang tersebut dibelanjakan bagi kegunaan para asnaf.
Telekung Mahal Atau Murah Allah Tak Pandang
Dek kerana hal tersebut Mingguan Wanita terpanggil untuk mendapatkan komen dari aspek agama. Pendakwah Bebas, Ustaz Hj Mohd Riza Hj Kamaruddin telah sudi memberi pandangannya secara umum.
Moga nasihat dan perkongsian dari Ustaz Haji Mohd Riza ini memberi manfaat kepada semua.
“Pertamanya saya ingatkan diri saya dan kepada kita semua agar bertaqwalah kepada Allah dalam semua urusan termasuk dalam urusan pakaian lebih-lebih lagi berpakaian ketika hendak beribadah kepada Allah.
Islam sama sekali tidak pernah melarang cara dan rekabentuk pakaian kita ketika hendak beribadah asalkan ia bersih dan menutup aurat secara syarie dan hendaklah ia berpakaian ikhlas kerana Allah.
Syarat diterima sesuatu ibadah itu adalah Ikhlas dan Ittiba’ ( mengikuti petunjuk Rasulullah) dalam semua perkara ibadah termasuk berpakaian ketika beribadah.
Islam Tidak Menetapkan Jenama Khusus Bagi Pakaian Individu Muslim
Secara umumnya, Islam tidak menetapkan jenama khusus bagi pakaian individu muslim. Ini menunjukkan keluasan dalam menggayakan pakaian walaupun ketika solat samada mengikut pakaian adat setempat sekalipun pelbagai gaya dan reka bentuk fesyennya. Namun, perkara yang perlu dititikberatkan ketika mengayakan pakaian ialah wajib menepati ciri-ciri pakaian yang menutup aurat dengan sempurna selain mengikut piawaian yang telah ditentukan syarak.
Bagi menjawab persoalan yang diajukan berkisar wanita yang memakai telekung untuk solat dengan harga yang mahal mungkin kerana gaya rekabentuknya, cara jahitannya atau kerana jenamanya. Maka, saya cenderung menyatakan bahawa ia merupakan satu nikmat Allah untuknya dan dia wajib mensyukurinya namun dia perlu berhati-hati agar dia termasuk dalam kategori orang yang bersifat melakukan pembaziran dalam berpakaian, apatah lagi JIKA disertakan niat untuk bermegah dengan mempamerkan kecantikan secara berlebihan. Islam melarang umatnya melakukan pembaziran serta sikap bermegah berdasarkan dalil-dalil berikut:
Maksudnya : “Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat Ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; Sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.”
(Surah al-A’raf : 31)
Ayat di atas menunjukkan bahawa manusia perlu bersikap sederhana dalam melakukan sesuatu kerana Allah tidak suka sama sekali mereka yang melampaui batas. (Rujuk Tafsir al-Maraghi, 4/2174). Ayat ini turut menjelaskan bahawa Allah SWT tidak suka kepada mereka yang melakukan pembaziran pada makanan, minuman dan semua aspek lain (Rujuk Tafsir al-Muyassar 1/154). Bahkan, Allah menjelaskan bahawa perbuatan membazir adalah amalan syaitan berdasarkan firman berikut:
Maksudnya Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya. Surah al-Isra’ (27)
Ads
Tidak Berlebih-Lebihan Dalam Berpakaian
Saya menasihatkan diri sendiri dan kepada semua umat islam agar tidak berlebih-lebihan dalam berpakaian kerana ia akan boleh menimbulkan rasa bangga diri dan berlagak angkuh kepada orang lain.
Rasulullah SAW melarang memakai pakaian untuk meraih kemasyhuran. Ini berdasarkan hadis daripada Ibn Umar R.Anhuma, Nabi SAW bersabda:
Maksudnya : “Siapa yang memakai pakaian syuhrah di dunia maka Allah memakaikan kepadanya pakaian kehinaan pada hari kiamat.”Riwayat Ibn Majah (3606)
Maksud pakaian syuhrah ialah baju yang ketara perbezaannya dengan manusia lain dari sudut warnanya atau bentuknya yang mampu untuk menggamit pandangan manusia lain untuk tertumpu melihat kearahnya sehingga menimbulkan perasaan ujub dan takbur dalam diri pemakai. Hadis tersebut turut menunjukkan larangan memakai pakaian syuhrah (Lihat, Nail al-Authar (303).
Namun perkara tersebut berbeza bagi mereka yang berkemampuan untuk berpakaian cantik disertakan niat tawadhuk (rendah diri) kerana ingin menzahirkan nikmat kurniaan Allah SWT kepadanya. Ini bertepatan dengan sebuah hadis Nabi SAW yang menasihatkan sahabatnya yang kaya dan bersabda:
Maksudnya: Jika Allah mengurniakan kepada kamu harta, maka perlihatlah kesan nikmat Allah ke atas kamu dan kemuliaannya. Riwayat Abu Daud
Hindari Sifat Hasad Dengki
Perkara kedua dalam isu ini adalah sifat hasad dan dengki melihat kelebihan yang dimiliki oleh orang lain. Sifat hasad dan dengki ini bermula dengan pandangan mata seseorang dan akan bersarang dalam hatinya yang akan membuatkan dirinya merasa tidak senang melihat nikmat dan kurniaan Allah kepada orang lain.
Ads
Sehubungan dengan itu saya sekali lagi menasihatkan diri sendiri dan kepada seluruh umat islam agar sentiasa berhati-hati dan berwaspada agar kita tidak dijangkiti dengan virus yang bakal merosakkan amal ibadah kita kelak.
Maksudnya: Perasaan hasad dan dengki itu dilarang kecuali pada dua perkara: dengki terhadap seseorang yang Allah SWT kurniakan kepadanya harta dan dia membelanjakannya pada jalan kebenaran, serta seseorang yang dikurniakan hikmah dan dia berhukum dengannya dan mengajarkannya. Sahih al-Bukhari (73)
Maksudnya: ‘‘ Perasaan hasad dan dengki itu dilarang kecuali pada dua perkara: dengki terhadap seseorang yang dikurniakan ilmu tentang al-Qur’an dan dia membacanya sepanjang malam dan siang, serta dengki terhadap seseorang yang dikurniakan harta dan dia menginfakkannya (ke jalan Allah SWT) sepanjang malam dan siang ‘. Sahih al-Bukhari (7529) dan Sahih Muslim (815)
Ads
Kisah Seorang Lelaki Dri Kaum Ansar
Akhirnya saya ingin menarik perhatian para pembaca semua tentang kisah seorang lelaki dari kaum ansar yang Rasulullah istiharkan dia sebagai Lelaki Ahli Syurga dihadapan para sahabat baginda sebanyak tiga kali di masa dan tempoat yang berbeza sehingga membuatkan Abdullah bin Amru al-Ash bertindak menyelidiki apakah amalan lelaki tersebut sehingga dia diistiharkan oleh Rasulullah sebagai Ahli Syurga.
Setelah tiga hari dia tumpang bermalam di rumah lelaki tersebut Abdullah bin Amru Al-Ash tidak menemui apa-apa ibadah yang luar biasa yang dilakukan sehingga dia bertanya kepada lelaki tersebut ;
“Sebenarnya apa rahsia amalanmu yang membuatkan Rasulullah mengatakan bahawa kamu ahli surga?” soal Abdullah Ibnu Amru.
Lelaki itu berkata, ”Ya, benar, amalanku adalah seperti yang kamu saksikan.”
Setelah merasa yakin jawapan dan kejujuran lelaki tersebut , Abdullah bin Amru Al-Ash pun mahu beransur pulang. Namun, belum jauh dari rumahnya, orang itu berlari-lari untuk memanggil kembali Abdullah bin Umar semula sambil menjelaskan kepadanya :
“Ketahuilah, amalanku adalah seperti yang kamu lihat. Namun, aku tidak pernah merasa iri atau dengki kepada seorang pun dari orang-orang islam atas kebaikan atau kenikmatan yang mereka perolehi dari Allah SWT.”
Mendengar itu, Abdullah bin Amru al-Ash berkata, ”Inilah amalan yang dapat engkau lakukan dan yang belum dapat kami lakukan!” (HR Ahmad : 12236)
Kalau mak-mak ke pasar, sebolehnya harga barang yang ingin dibeli terutamanya yang ingin di beri makan keluarga mahu dikurangkan selagi boleh dengan penjual. Selagi tidak berjaya, selagi itulah dipujuknya.
Sampaikan penjual tidak mampu berbuat apa dan memberikan harga yang diminta oleh pembeli. Keadaan ini biasanya berlaku di pasar basah, yang mana pembeli membeli makanan atau pun bahan basah untuk di beri makan keluarga.
Inilah yang dikatakan belanja ber akad bathil iaitu memaksa penjual untuk dapatkan harga yang lebih murah. Tawar menawar ini boleh saja tapi jangan sampai memaksa penjual, bimbang penjual tidak ikhlas dan dalam keterpaksaan menjualnya.
Apa yang boleh dikatakan, barangan yang dibeli itu halal tapi tidak diredai oleh Allah. Kena hati-hati. Contoh yang boleh dilihat adalah perkongsian daripada Farhan Bin ini. Moga ia memberi pengajaran untuk kita semua.
JANGAN BERI MAKAN KELUARGA DENGAN BELANJA BER AKAD BATHIL
Emak: Ayam sekilo berapa man? Penjual: 8 ringgit je makcik..! Emak: Alaa 7 ringgit dah la ye..! Penjual: Hurmm, bolehla makcik Emak : Hati ayam ni sekilo berapa? Penjual: 4 ringgit je.. Emak : Minta 3 kilo ye. Sama kaki ayam setengah kilo ya.. Penjual : Kaki ayam setengah kilo 2 ringgit je makcik.. Emak: 10 ringgit dah la ye. 3 kilo hati ayam dengan setengah kilo kaki ayam tu..! Penjual : Bolehla makcik.. Emak: Jadi total berapa bang semua..? Penjual : Ayam sekilo 7 ringgit + hati ayam + kaki ayam 10 ringgit. Jadi semuanya 17 ringgit je makcik. Emak : Alah 15 ringgit dah la ye.. beli untuk anak balik kampung je ni. Nah 20 ringgit. Meh baki dia.! Sambil hulur tangan. Penjual : .. Emak: Acik ambil pedal ini 2 ketul yaa (sambil masukkan pedal ayam dalam beg plastik) Penjual: @@@@
………….
Kena Tahu Rukun Jual Beli
Wahai mak-mak, dalam jual beli ada 3 rukun yang perlu kita tahu iaitu:
1. Al Aqidan (penjual & pembeli) 2. Al Ma’qud alaih (wang & barang) 3. Shigat beli
Dalam Shigat Akad adalah bentuk isyarat dari penjual dan pembeli yang melakukan transaksi tanpa paksaan.
Sudah ikhlaskah penjual tadi melepaskan barang jualannya ?
Jangan sampai tidak ikhlas penjual itu melepas barang jualannya menjadikan barang yang kita beli menjadi tidak diredhai kerana dilakukan dengan bathil atau memaksa penjual.
“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu memakan harta sesamamu dengan cara yang Bathil, kecuali dengan jalan perniagaan yang berlaku dengan suka sama suka di antara kamu”
(QS.An-Nisaa:29)
Wang yang kita dapat halal, untuk beli barang yang juga halal, jangan sampai rosak kerana transaksinya yang tak diredhai Allah..
Semoga bermanfaat untuk bersama
Ps: gambar sekadar hiasan
-MSS (peniaga jalanan)
MW: Biasalah mak-mak, kalau membeli kat pasar, mahu minta dikurangkan selagi boleh kecuali di pasar raya memang harga tetap. Tapi tidak semua yang suka tawar menawar, ada yang tanya harga terus bayar.
Pembahagian faraid bermula bila suami meninggal dunia dengan meninggalkan harta-harta untuk isteri dan anak-anak teruskan kehidupan. Pembahagian mengikut hukum-hukum Islam yang telah ditetapkan.
Peliknya, ada juga yang mempertikaikan tentang pembahagian faraid buat perempuan atau isteri yang agak sedikit, sedangkan dialah yang akan menjaga anak-anak yang ditinggalkan itu.
Jangan salah faham, pembahagian faraid dan isteri dapat sedikit kerana itulah pemberian bersih untuk dirinya saja. Jangan difikirkan tentang nafkah anak sebab itu semua adalah tanggungjawab orang lain, walaupun isteri yang akan membesarkan anak-anak. Ikuti perkongsian daripada Puan Umi Yusof tentang perkara ini.
“Dan janganlah kamu iri hati terhadap kurniaan yang telah Allah berikan kepada sebahagian dari kamu melebihi sebahagian yang lain. Kerana bagi lelaki ada bahagian daripada apa yang diusahakan, dan perempuan pun ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan”.
Sebelum kedatangan Islam, perempuan dinafikan hak dari mewarisi harta pusaka. Perempuan tidak dapat mewarisi harta dari suaminya atau bapanya yang telah meninggal dunia.
Ini kerana mereka beranggapan perempuan merupakan kaum yang lemah dan tidak boleh memegang harta. Namun, kedatangan Islam mengangkat darjat seorang perempuan melalui pembahagian harta mengikut faraid.
Perempuan juga berhak mendapat pusaka dari bapa atau suaminya yang meninggal dunia.
Faraid sebenarnya cukup sempurna jika diamalkan dengan cara yang betul.
Malangnya pada zaman sekarang ramai yang datang mengambil hak faraid tetapi tidak memahami dengan jelas bahawa mereka juga perlu ambil dengan tanggungjawab. Mereka lupa faraid datang dengan tanggungjawab.
Contoh kes:
Encik Zulkifli meninggal dunia akibat demam denggi. Waris faraid Encik Zulkifli adalah isteri, ibu, bapa, seorang anak lelaki dan seorang anak perempuan yang masih di bawah umur.
Nilai harta yang ditinggalkan selepas ditolak hutang berjumlah RM500,000
Dari segi pembahagian faraid:
Isteri 9/72 = RM62,500
Ibu 12/72 = RM83,333.33
Bapa 12/72 = RM83,333.33
Anak Lelaki 26/72 = RM180,555.56
Anak Perempuan 13/72 = RM90,277.78
Kenapa isteri dapat bahagian paling kecil?
Ini kerana bahagian isteri merupakan bahagian yang “bersih” hanya untuk dirinya sahaja. Beliau tidak perlu untuk menggunakan bahagiannya untuk membesarkan anak-anaknya.
Tanggungjawab menjaga anak-anaknya dari segi nafkah jatuh kepada bapa mertuanya iaitu Datuk kepada anak-anaknya. Datuk ini yang perlu memastikan nafkah cucu-cucunya diberi dengan sempurna.
Jika Datuk tidak berkemampuan untuk menjalankan tanggungjawabnya, maka tugas tersebut akan diambil alih oleh bapa saudara iaitu adik beradik lelaki sebelah suami.
Kemudian apabila anak lelaki telah besar, maka tanggungjawab menjaga ibu dan saudara kandung perempuan jatuh dibahunya. Apabila saudara kandung perempuan menikah, tanggungjawab itu beralih kepada suaminya pula.
Tanggungjawab Di Bahu Lelaki
Hukum faraid selalu dikaitkan tidak adil bagi seorang perempuan. Kenapa lelaki dapat lebih? Seorang lelaki bertanggungjawab memberi mas kahwin, nafkah tempat tinggal, makanan, pakaian kepada isteri dan anak-anak, manakala perempuan tidak perlu memikul tanggungjawab yang sama.
Beban nafkah lelaki lebih banyak dan memerlukan kewangan yang lebih besar. Jadi tidak hairanlah jika lelaki mendapat hak pusaka yang lebih berbanding perempuan.
Hukum faraid sangat adil dan indah jika kita betul-betul mengikuti apa yang disarankan di dalam Islam. Ingat faraid datang dengan tanggungjawab. Bukan hanya hendakkan faraid tetapi tanggungjawab diabaikan. Berdosa kita nanti.
Bagaimana kita hendak berdepan dengan Allah di akhirat nanti?
Mingguan Wanita : Mungkin isteri tak kisah tapi keluarga dari pihak suami yang meninggal jangan lepas tangan untuk beri tanggungjawab nafkah pada anak-anak buahnya.
Setiap penghujung tahun, mesti orang pantai timur tak lena tidur, Bimbang memikirkan musim banjir yang melanda. Kalau rumah di kawasan tanah rendah, bersiap sedialah dan sentiasa berpada-pada.
Sudah tentu, musim banjir juga banyak harta benda yang rosak, buka nsetakat rumah dipenuhi air lumur, perabot rumah rosak dan tak kurang juga kenderaan langsung ‘total lost’.
Dalam menghadapi musibah musim banjir dan sibuk uruskan harta dan ahli keluarga, jangan lupa tentang amal ibadah juga. Usah fikir dengan keadaan badan yang tidak bersih dengan keadaan rumah tak terurus sukar untuk beribadah.
Ada cara dan panduan ibadah yang boleh dilakukan buat mangsa banjir. Ikuti penjelasan dan panduan daripada perkongsian ini.
Saya ada menulis beberapa dapatan dari Fiqh Banjir oleh INFAD, iFFAH dan juga USIM yang dikelola oleh Dr Irwan Bin Mohd Subri pengarah International Fatwa and Halal Centre (iFFAH).
Moga bermanfaat buat mangsa banjir yang terkesan.
1. Air banjir boleh dikira air mutlak sebab kuantiti dia banyak. Jadi ia boleh diguna untuk berwuduk. Tapi yang sunat macam berkumur dan masukkan air dalam hidung tak perlu. Kalau ada najis atau bangkai yang berdekatan air tersebut, boleh guna air yang jauh sikit dari tempat tu.
2. Air banjir juga boleh digunakan untuk beristinjak. Jika ada benda-benda kesat seperti tisu, kertas dan kain, ia juga boleh digunakan. Benda yang tak boleh guna ialah najis seperti tahi kering atau benda-benda yang dihormati macam makanan.
3. Kalau pusat penempatan banjir terputus bekalan air atau air tu cukup untuk minum je, boleh tayammum. Mangsa banjir yang sakit dan tak boleh guna air pun boleh tayammum. Kalau susah dapat debu tanah, boleh tepuk debu yang ada dekat dinding, cermin, meja atau tempat-tempat lain.
4. Solat Jumaat wajib untuk lelaki. Kalau ada masjid dan surau yang dekat dan tiada halangan, kena solat kat sana. Kalau ada halangan, pusat pemindahan banjir kena hubungi Jabatan Mufti supaya luluskan solat Jumaat dekat pusat tu.
5. Masa banjir, mangsa atau petugas banjir boleh solat jamak ketika situasi mendesak macam selamat diri dan juga harta. Kalau sempat jamak taqdim sebab dulu sebab takut ada kesukaran nak jamak takhir, maka digalakkan untuk solat jamak taqdim.
6. Aurat wajib tutup bagi lelaki & perempuan. Kalau darurat syarie, boleh bersentuhan antara bukan mahram sekadar perlu je. Penempatan mangsa banjir yang bujang perlu diasingkan lelaki dan perempuan yang bukan mahram.
7. Yang berkeluarga boleh letak di tempat yang terpelihara aurat mereka. Boleh guna langsir, khemah atau pemisah yang lain. Mangsa atau petugas banjir kena jaga pergaulan antara bukan mahram dan tidak berada dalam situasi yang boleh menimbulkan fitnah.
8. Dalam situasi banjir, air banjir boleh digunakan untuk mandikan mayat. Yang mandikan jenazah kena yang sama jantina. Kalau pusat pemindahan tak ada air atau air hanya cukup untuk minum je, boleh tayammumkan mayat bagi ganti mandi jenazah. Kalau tayammum pun tak boleh, terus solat.
9. Yang kafankan jenazah pun kena yang sama jantina. Pastu kalau tak ada kain yang mencukupi atau warna putih, boleh guna sekadar yang mampu untuk tutup jenazah. Selepas itu wajib disolatkan dan dikebumikan dekat tanah perkuburan yang disediakan pihak berkuasa.
10. Tak boleh ambil harta orang lain tanpa dibenarkan pemiliknya. Kalau dalam darurat syarie, makanan atau barang yang dimakan dan diambil sekadar untuk terus hidup, mesti diganti semula atau dibayar harganya jika diketahui pemiliknya.
11. Jika pemiliknya tak diketahui lepas dicari dengan bersungguh-sungguh, kena usaha hebahkan. Kemudian dia kena sedekah harga anggaran makanan atau barang yang diambil itu. Kalau pemiliknya dijumpai lepas tu, kena ganti semula atau bayar harga mengikut budi bicara pemiliknya.
12. Barang yang kita jumpa waktu banjir ni kita boleh bahagi kepada 2 jenis. Pertamanya yang mudah rosak atau susut nilai macam makanan yang dah dimasak dan lain-lain. Yang ni boleh dimakan atau dimanfaatkan. Tapi kalau pemilik tuntut dengan bukti, kena ganti semula atau bayar ikut budi bicara.
13. Yang keduanya barangan yang tak mudah rosak macam jam, barang kemas dan sebagainya. Yang ni kalau dijumpai boleh ambil/simpan untuk tujuan jaga barang tu dan iklankan selama setahun sedaya upaya.
14. Lepas setahun, barangan tu boleh dimanfaatkan oleh orang yang jumpa. Tapi kalau pemilik asal tuntut samada sebelum atau selepas setahun, kena berikan semula kepada pemilik asal. Pusat penempatan banjir boleh buat inisiatif tabung atau kaunter uruskan barang luqatah (lost &found).
15. Tentang solat tadi lupa nak tambah pasal boleh tak solat dengan pakaian yang terkena lumpur. Jawapannya boleh sebab lumpur bukan najis.
16. Satu lagi solat dalam keadaan rumah dinaiki air atau berselut wajib berdiri dulu kalau mampu. Untuk sujud boleh duduk atas kerusi kalau air atau lumpur menghalang sujud yang sempurna.
17. Last sekali, boleh tak bagi zakat kepada mangsa banjir? Harus sebab mereka dikira dalam golongan al-Gharimin iaitu orang yang terkena mudarat/bencana yang menyebabkan harta mereka musnah.
Mingguan Wanita : Islam itu mudah dan memudahkan. Moga bermanfaat dan takziah buat mangsa-mangsa banjir.
Bekas suami Liza Abdullah meninggal dunia. Salam takziah buat keluarga Allahyarham Zolkefli Abdul Rahman yang telah pulang ke ramahtullah malam tadi.Berita tersebut telah disampaikan...