Telekung mahal atau murah Allah tak pandang, yang penting ikhlas & istiqomah. Baru-baru ini telah tular apabila seorang pengasas hebat berkongsi sebuah video pendek di akaun Tik Toknya memaklumkan telekung bernilai RM16,000 digunakan untuk berjumpa Allah sekaligus menghilangkan rasa bersalah memakai beg berharga belasan ribu untuk berjumpa rakan-rakan.
Perkongsian tersebut telah menimbulkan perbincangan dan pertikaian di kalangan warganet. Malah video tersebut yang mendapat 16.6 ribu tanda suka juga dihujani pelbagai komen. Ada yang memberikan komen positif, negatif dan tidak kurang yang mencadangkan agar wang tersebut dibelanjakan bagi kegunaan para asnaf.
Telekung Mahal Atau Murah Allah Tak Pandang
Dek kerana hal tersebut Mingguan Wanita terpanggil untuk mendapatkan komen dari aspek agama. Pendakwah Bebas, Ustaz Hj Mohd Riza Hj Kamaruddin telah sudi memberi pandangannya secara umum.
Moga nasihat dan perkongsian dari Ustaz Haji Mohd Riza ini memberi manfaat kepada semua.
“Pertamanya saya ingatkan diri saya dan kepada kita semua agar bertaqwalah kepada Allah dalam semua urusan termasuk dalam urusan pakaian lebih-lebih lagi berpakaian ketika hendak beribadah kepada Allah.
Islam sama sekali tidak pernah melarang cara dan rekabentuk pakaian kita ketika hendak beribadah asalkan ia bersih dan menutup aurat secara syarie dan hendaklah ia berpakaian ikhlas kerana Allah.
Syarat diterima sesuatu ibadah itu adalah Ikhlas dan Ittiba’ ( mengikuti petunjuk Rasulullah) dalam semua perkara ibadah termasuk berpakaian ketika beribadah.
Islam Tidak Menetapkan Jenama Khusus Bagi Pakaian Individu Muslim
Secara umumnya, Islam tidak menetapkan jenama khusus bagi pakaian individu muslim. Ini menunjukkan keluasan dalam menggayakan pakaian walaupun ketika solat samada mengikut pakaian adat setempat sekalipun pelbagai gaya dan reka bentuk fesyennya. Namun, perkara yang perlu dititikberatkan ketika mengayakan pakaian ialah wajib menepati ciri-ciri pakaian yang menutup aurat dengan sempurna selain mengikut piawaian yang telah ditentukan syarak.
Bagi menjawab persoalan yang diajukan berkisar wanita yang memakai telekung untuk solat dengan harga yang mahal mungkin kerana gaya rekabentuknya, cara jahitannya atau kerana jenamanya. Maka, saya cenderung menyatakan bahawa ia merupakan satu nikmat Allah untuknya dan dia wajib mensyukurinya namun dia perlu berhati-hati agar dia termasuk dalam kategori orang yang bersifat melakukan pembaziran dalam berpakaian, apatah lagi JIKA disertakan niat untuk bermegah dengan mempamerkan kecantikan secara berlebihan. Islam melarang umatnya melakukan pembaziran serta sikap bermegah berdasarkan dalil-dalil berikut:
Maksudnya : “Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat Ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; Sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.”
(Surah al-A’raf : 31)
Ayat di atas menunjukkan bahawa manusia perlu bersikap sederhana dalam melakukan sesuatu kerana Allah tidak suka sama sekali mereka yang melampaui batas. (Rujuk Tafsir al-Maraghi, 4/2174). Ayat ini turut menjelaskan bahawa Allah SWT tidak suka kepada mereka yang melakukan pembaziran pada makanan, minuman dan semua aspek lain (Rujuk Tafsir al-Muyassar 1/154). Bahkan, Allah menjelaskan bahawa perbuatan membazir adalah amalan syaitan berdasarkan firman berikut:
Maksudnya Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya. Surah al-Isra’ (27)
Tidak Berlebih-Lebihan Dalam Berpakaian
Saya menasihatkan diri sendiri dan kepada semua umat islam agar tidak berlebih-lebihan dalam berpakaian kerana ia akan boleh menimbulkan rasa bangga diri dan berlagak angkuh kepada orang lain.
Ads
Rasulullah SAW melarang memakai pakaian untuk meraih kemasyhuran. Ini berdasarkan hadis daripada Ibn Umar R.Anhuma, Nabi SAW bersabda:
Maksudnya : “Siapa yang memakai pakaian syuhrah di dunia maka Allah memakaikan kepadanya pakaian kehinaan pada hari kiamat.”Riwayat Ibn Majah (3606)
Maksud pakaian syuhrah ialah baju yang ketara perbezaannya dengan manusia lain dari sudut warnanya atau bentuknya yang mampu untuk menggamit pandangan manusia lain untuk tertumpu melihat kearahnya sehingga menimbulkan perasaan ujub dan takbur dalam diri pemakai. Hadis tersebut turut menunjukkan larangan memakai pakaian syuhrah (Lihat, Nail al-Authar (303).
Namun perkara tersebut berbeza bagi mereka yang berkemampuan untuk berpakaian cantik disertakan niat tawadhuk (rendah diri) kerana ingin menzahirkan nikmat kurniaan Allah SWT kepadanya. Ini bertepatan dengan sebuah hadis Nabi SAW yang menasihatkan sahabatnya yang kaya dan bersabda:
Maksudnya: Jika Allah mengurniakan kepada kamu harta, maka perlihatlah kesan nikmat Allah ke atas kamu dan kemuliaannya. Riwayat Abu Daud
Hindari Sifat Hasad Dengki
Perkara kedua dalam isu ini adalah sifat hasad dan dengki melihat kelebihan yang dimiliki oleh orang lain. Sifat hasad dan dengki ini bermula dengan pandangan mata seseorang dan akan bersarang dalam hatinya yang akan membuatkan dirinya merasa tidak senang melihat nikmat dan kurniaan Allah kepada orang lain.
Sehubungan dengan itu saya sekali lagi menasihatkan diri sendiri dan kepada seluruh umat islam agar sentiasa berhati-hati dan berwaspada agar kita tidak dijangkiti dengan virus yang bakal merosakkan amal ibadah kita kelak.
Maksudnya: Perasaan hasad dan dengki itu dilarang kecuali pada dua perkara: dengki terhadap seseorang yang Allah SWT kurniakan kepadanya harta dan dia membelanjakannya pada jalan kebenaran, serta seseorang yang dikurniakan hikmah dan dia berhukum dengannya dan mengajarkannya. Sahih al-Bukhari (73)
Maksudnya: ‘‘ Perasaan hasad dan dengki itu dilarang kecuali pada dua perkara: dengki terhadap seseorang yang dikurniakan ilmu tentang al-Qur’an dan dia membacanya sepanjang malam dan siang, serta dengki terhadap seseorang yang dikurniakan harta dan dia menginfakkannya (ke jalan Allah SWT) sepanjang malam dan siang ‘. Sahih al-Bukhari (7529) dan Sahih Muslim (815)
Ads
Kisah Seorang Lelaki Dri Kaum Ansar
Akhirnya saya ingin menarik perhatian para pembaca semua tentang kisah seorang lelaki dari kaum ansar yang Rasulullah istiharkan dia sebagai Lelaki Ahli Syurga dihadapan para sahabat baginda sebanyak tiga kali di masa dan tempoat yang berbeza sehingga membuatkan Abdullah bin Amru al-Ash bertindak menyelidiki apakah amalan lelaki tersebut sehingga dia diistiharkan oleh Rasulullah sebagai Ahli Syurga.
Setelah tiga hari dia tumpang bermalam di rumah lelaki tersebut Abdullah bin Amru Al-Ash tidak menemui apa-apa ibadah yang luar biasa yang dilakukan sehingga dia bertanya kepada lelaki tersebut ;
“Sebenarnya apa rahsia amalanmu yang membuatkan Rasulullah mengatakan bahawa kamu ahli surga?” soal Abdullah Ibnu Amru.
Lelaki itu berkata, ”Ya, benar, amalanku adalah seperti yang kamu saksikan.”
Setelah merasa yakin jawapan dan kejujuran lelaki tersebut , Abdullah bin Amru Al-Ash pun mahu beransur pulang. Namun, belum jauh dari rumahnya, orang itu berlari-lari untuk memanggil kembali Abdullah bin Umar semula sambil menjelaskan kepadanya :
“Ketahuilah, amalanku adalah seperti yang kamu lihat. Namun, aku tidak pernah merasa iri atau dengki kepada seorang pun dari orang-orang islam atas kebaikan atau kenikmatan yang mereka perolehi dari Allah SWT.”
Mendengar itu, Abdullah bin Amru al-Ash berkata, ”Inilah amalan yang dapat engkau lakukan dan yang belum dapat kami lakukan!” (HR Ahmad : 12236)
Membasuh pakaian, jemur baju dan melipat, kerja rumah yang paling bosan dilakukan oleh mak-mak. Namun, tidak semua ye. Sebab ada mak-mak yang suka basuh dan jemur, tapi bila bab melipat memang ‘bercinta’ dibuatnya. Boleh jadi sampai seminggu menimbun.
Walau bagaimana pun, membasuh baju dan jemur adalah perkara pertama yang mak-mak buat pada waktu pagi, usai solat dan bersihkan diri. Malah, ada juga yang biasa membasuh pada waktu malam. Paginya, bolehlah terus jemur.
Sedar tak? Dalam kita jemur baju pun kena adabnya. Jangan fikir, semua pakaian yang dibasuh itu boleh dijemur di halaman rumah. Maklum sahaja, hari panas, memang cepatlah kering baju kan!
Kena ingat, sebagai seorang Islam ada adab dalam menjemur, lebih-lebih lagi ‘anak baju’ bukan sahaja milik kita tetapi juga suami dan anak-anak.
Perkongsian daripada Ahlia Fariza boleh dijadikan panduan buat mak-mak atau sesiapa sahaja terutamanya dalam ada menjemur ‘anak baju’. Jangan fikir, halaman rumah kita, tak ada siapa yang tengok dan sesuka hati kita menjemur semua pakaian termasuklah ‘anak baju’.
Nasihat isteri dan anak-anak perempuan kita. Sebagai adab dan maruah ni..
‘Anak baju’ atau lebih formal dipanggil pakaian dalam ialah pakaian terlindung. Namanya pun pakaian dalam, sebaiknya pakaian dalam ini lebih lagi yang wanita punya apatah lagi isteri kita, ibu, adik-beradik perempuan dan anak-anak perempuan kita punya mestilah ada adab dalam menjemur.
ADABnya elakkan dari JEMUR di tempat yang boleh jadi pandangan umum kerana boleh timbul fitnah. Kita orang Islam dan melayu terkenal dengan bermaruah malu dan santun.
Islam, agama yang penuh dengan adab dan akhlak, sangat-sangat memelihara maruah wanita.
Apa yang tidak best dan tidak beradab bila kita yang menutup aurat dan memakai tudung atau orang Islam lain tetapi dalam bab-bab menyidai baju dan pakaian dalam terdedah di jemuran yang boleh di lihat lelaki bukan mahram.
Nama pun pakaian dalam, sudah tentulah harus terlindung. Bagaimana kita melindungi tubuh mereka dari di lihat, sepatutnya begitulah kita jaga juga bab adab menjemur pakaian. Carilah tempat yang agak tertutup sedikit
Jaga Maruah
Menjaga maruah adalah wajib, lebih-lebih lagi kita sebagai lelaki perlu jaga maruah keluarga kita. Pakaian dalam ini kecil dan ringan je, insya Allah cepat kering. Ia bukan jenis pakaian lain. Jarang kita dengar orang guna kain jeans untuk membuat pakaian dalam. Kalau jenis kain ini memanglah lambat kering.
Begitu juga, pakaian dalam sendiri ini bukan sahaja perlu dilindung dari di lihat oleh jiran tetangga dan orang luar lihat BAHKAN kalau keluarga kita,mereka yang bukan mahram dengan isteri kita pun sebaiknya lindunglah.
Baik sepupu, abang ipar, adik ipar atau biras. Apatah lagi, kalau kawan-kawan yang datang ke rumah. Jika mereka tahu nak datang, angkatlah pakaian dalam dan letaklah di tempat yang terlindung seperti bilik stor. Kemudian, bolehlah sambung di bawha kipas atau sebagainya.
Jangan Basuh Bersama
Begitu juga bab basuh baju, kalau sesekali adik ipar perempuan cuti datang rumah kita, biasanya dia suka bantu isteri kita basuh baju.
Pesan pada isteri, pakaian dalam kita jangan letak sekali. Ini maruah dan menjadi satu keaiban kalau adik ipar perempuan kita basuh seluar dalam kita.
Maka, adab dan akhlak adalah yang utama. Moga Allah menjadikan kita mukmin yang terbaik seperti para sahabat yang sentiasa beradab dan sentiasa berusaha menutup pintu fitnah juga menjaga maruah diri. Aamiin.
Us khann
Muhajir Madani
MW: Satu pengajaran dan panduan buat kita semua. Memanglah, kita mak-mak nak bagi scepat kering tapi sebenarnya kena faham adab ini sebab ia berkaitan dengan maruah kita dan keluarga. Jaga-jaga.
Jangan bersedih. Tiap orang yang hidup di dunia ini pasti menghadapi pelbagai jenis ujian. Namun, andai kita larut dalam kesedihan, diri sendiri yang akan lebih merana. Oleh itu, carilah penawar kesedihan itu.
Jangan Bersedih, Kaji Penyebab
Jika kita ditakdirkan merasai kekecewaan berpunca daripada perangai anak yang lebih banyak menghadap telefon berbanding berkhidmat kepada ibu bapanya, memang sedih! Mereka seolah-olah hanyut dalam dunianya sendiri. Abaikan orang tua, lupakan ilmu, lalai mengejar kesenangan dan hiburan.
Kesedihan lain yang kerap dirasai wanita adalah berpunca daripada suami mereka, berjodoh dengan lelaki miskin amatlah perit menanggung kesusahan tetapi dapat suami kaya pula suka menghinakan, memerli sesuka hati, egonya pula melangit tinggi. Kemudian tiba-tiba penyakit datang, bertambah lagi derita hidup yang mesti ditelan, seolah-olah dunia ini isinya hanya ujian.
Benarlah sungguh firman-Nya: “Allah, dialah yang menciptakan kematian dan kehidupan untuk menguji kalian siapa di antara kalian yang paling baik amalannya.” (Surah al-Mulk ayat: 2)
Ada insan yang tak dapat tidur berfikir tentang jalan keluar untuk mengakhiri ujian yang dideritai. Ada yang tak lalu makan, tak kering wajah daripada air mata, tak mampu tersenyum walau seketika. Akhirnya jika dia tak kuasa menasihati hatinya untuk bersabar boleh jadi penyakit jiwa akan menewaskannya. Kita berlindung kepada Allah SWT dari segala keburukan yang dideritai hati yang terlampau sedih.
Bagaimana Menasihati Hati Supaya Kekal Bersabar Sampai Ke Syurga?
PUJUK HATI LIHAT KEPADA UJIAN YANG DIDERITAI ORANG LAIN
Setiap hari ada saja deraan yang diterima hati kita, yang ringan hingga berat semuanya terpaksa diharungi dengan susah payah. Sedih ketika suami suka memerli dengan perkataan yang menyakitkan? Kecewa dengan isteri yang perangainya kasar dan tidak menghormati suami? Sakit hati melihat anak-anak yang wajahnya penuh kebencian apabila bermuamalah dengan ibu bapa? Dendam kepada majikan yang kejam memerah tenaga tanpa rasa prihatin?
Bila sedih, ubat pertama adalah lihat orang lain yang lebih teruk kesedihan dan ujiannya.
Sedangkan Nabi s.a.w kekasih Allah SWT juga disentuh kesedihan dan ujian yang berganda-ganda lagi sakitnya apatah lagi kita insan biasa yang jahil lagi miskin amal. Kita rasa susah tapi Nabi lebih hebat susahnya, dihina, diboikot, dirampas hartanya, diancam bunuh, sehingga mengorbankan isteri dan anak-anaknya dalam perjuangan dakwah baginda.
Tengoklah juga kehidupan orang-orang yang lebih teruk lagi diuji pada zaman sekarang. Insya-Allah kesedihan hati bertukar menjadi rasa syukur sebab kita lihat apa yang kita derita lebih ringan dari orang lain.
JANGAN SEDIH, TERIMA HAKIKAT DAN TAKDIR
Jangan bersedih. Segala jalan yang kita tempuh telah tergaris dalam catatan takdir yang Allah tuliskan sebelum Dia mencipta kita. Jadi jangan sedih kerana ia satu catatan yang perlu dijalani seorang hamba, tak payah salahkan orang lain jika kita rasa sedih.
Hadapinya dengan penuh kerelaan dan ketaatan seorang hamba kepada ketentuan Allah SWT. “Allah telah menulis segenap takdir manusia (di lauh mahfuz) 50.000 tahun sebelum Dia menciptakan langit dan bumi.” (Hadis riwayat Muslim)
Jika kita masih menyalahkan orang lain nescaya hati selamanya tidak akan tenang, namun berserah diri dan reda kepada Allah sememangnya menjadi senjata untuk mengakhiri segala kepiluan.
INGATLAH MATA AIR PAHALA YANG SENTIASA MELIMPAH
Ada pahala yang tak pernah kering sentiasa mengalir selagi kita diuji iaitu pahala sabar. “Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabar sahaja yang akan disempurnakan pahala untuk mereka dengan ukuran yang tak terkira.” (Surah al-Zumar ayat: 10)
Kalau isteri mengomel, suami dapat pahala sabar. Begitu juga suami yang cerewet menjadi sebab isteri dilimpahi pahala sabar. Bila pasangan berhenti menyakiti maka berhenti jugalah pahala sabar untuk kita.
Oleh itu reda dan bergembiralah dalam hati kerana pasangan anda sedang menghadiahkan pahala kepada anda. Apatah lagi yang diuji dengan musnahnya harta benda dan anak-anak, betapa penuh melimpah pahala yang diterima. Rasulullah s.a.w bersabda: “Ujian tetap menimpa atas diri orang mukmin dan mukminah, anak dan juga hartanya sehingga dia bertemu Allah dan pada dirinya tiada lagi dosa. (Hadis al-Tirmizi)
Kemudian sabda Nabi s.a.w lagi: “Tidaklah seorang mukmin ditimpa sakit, letih, demam, sedih, sehingga risau yang mengusiknya melainkan Allah mengampuni dosa-dosanya.” (Hadis Al-Bukhari dan Muslim)
JANGAN SEDIH, ASBAB DIANGKAT DOSA
Allah timpakan ujian dengan bersebab supaya diangkat dosa dan dilimpahinya si hamba dengan pahala yang mencurah-curah.
Tidak mengapalah hati diuji, sedih sesekali kerana nanti di syurga ramai malaikat yang mengucapkan selamat kepada kita: “Sedang malaikat masuk ke tempat-tempat mereka dari semua pintu sambil mengucapkan selamat ke atasmu kerana kesabaran kamu dahulu. Maka alangkah baiknya tempat kesudahan itu (syurga).” Surah al-Ra’ad ayat: 23-24
Sungguh dalam tangisan ada mata air syurga yang kita kumpulkan.
Artikel: Dato’ Dr. Haji Juanda Haji Jaya, Perunding Undang-Undang Keluarga Islam.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Orang kata bila umur 40 tahun, inilah kemuncak kehidupan dan dikatakan cukup istimewa. Inilah titik tolak untuk perbaharuan taubat dan penyesalan yang dilakukan sebelum ini.
Dalam fasa ini juga ia menjadi sangat penting dalam kehidupan kita kerana pada umur 40 tahun inilah Rasulullah dipertanggungjawabkan menjadi seorang nabi. Sebaliknya bagi kepercayaan orang barat, usia ini adalah permulaan bagi pengembaraan kehidupan seseorang. Tapi kita sebagai umat Islam, usia begini kita perlu merancang kehidupan menjadi tetap dan lurus.
Dalam umur 40 tahun, kita dinasihatkan untuk tidak leka dan hanyut dengan kesibukan dunia yang bersifat sementara. Sibukkan diri dengan amalan kerana kita tak tahu ajal akan tiba.
Tapi, lumrahnya apa yang berlaku pada sesetenngah kita adalah sibuk mengejar kemewahan dan mula mengecapi kebahagiaan, menguruskan kehidupan dunia dan sebagainya.
Kena ingat, walaupun kemuncak kehidupan, kita kena ingat, usia makin bertambah dan kita tak tahu ajal tiba. Persiapkan diri untuk dapat redha Allah dan kumpul amalan sebanyak untuk bekalan di sana.
Antara perkongsian yang cukup bermanfaat terutamanya yang usia 40 tahun. Tapi tidak bermakna usia sebelum ini boleh leka. Tak perlu fikir hal dunia tapi kumpullah amalan sebanyak mungkin.
1. Lipat tilam dan bantal yang selesa, hidupkan malam dengan amal.
2. Ingat kembali usia yang telah dilalui, hitung masa yang banyak terbuang Jangan banyak rehat dan hiburan yang melekakan. Kurangkan pakaian mahal dan makanan sedap. Jangan banyak bersenang kerana kematian semakin hampir.
3. Imam shafie…umur 40 tahun berjalan pakai tongkat supaya ingat diri sedang berjalan ke akhirat.
4. Jika masih tidak berubah ketika masuk 40 tahun, syaitan dah nobatkan sebagai rakannya untuk ke neraka.
5. Kurangkan fikir hal dunia, sebaliknya kumpul amalan untuk mati.
6. Pada usia ini, tukarkan niat kerja kerana ALLAH. Fokus urusan dunia untuk mendapat redha ALLAH.
7. Apa harta yang ada pada umur ini, cukuplah kerana itu saja rezeki yang ALLAH bagi. Tumpukan perhatian lebih kepada amal, kurangkan pesona kepada dunia, jika tidak terus tertinggal akhirat.
8. Jangan tamak dengan dunia. Ingat dunia bukan lagi milik kita.
9. Kata ulamak, aku dengar setiap pagi ada suara dari langit ke 4 yang berseru- “Wahai anak yang berusia 40 tahun, kamu sudah hampir kepada kematian, wahai anak umur 50 tahun, hitunglah apa yang kamu belum lakukan untuk mati. Wahai anak umur 60 tahun masa kamu sudah tiada..”
10. Doa semasa umur 40 tahun ke atas.. “Wahai Tuhanku tolonglah lapangkan dalam diri aku rasa syukur atas nikmat yang telah kau beri kepada kedua-dua ibu bapaku dan redai mereka.”
11. Banyakkan taubat – 70 kali sehari
12. Tingkatkan keyakinan kepada agama – hanya Islam yang jadi pegangan sehingga mati.
13. Jaga hati, bersihkan hati, redha dengan ketentuan dan berbaik sangka dengan ALLAH.
14. Tingkatkan iman dan ibadah – tingkatkan amalan sunat, lebih khusyuk, solat awal waktu, sentiasa solat berjemaah dan laksanakan semua ibadah lebih berkualiti.
15. Amalkan sifat-sifat Mahmudah, jauhi dan hindari sifat-sifat Mazmumah.
Semoga bermanfaat.
Mingguan Wanita : Moga kita menjadi lebih baik lagi.
Group khas buat semua wanita B40 dan M40 yang mahu bangkit maju dari kehidupan sekarang menerusi perkongsian tip, promosi kursus anjuran Mingguan Wanita, perkongsian kisah inspirasi wanita. #langkahyakinlakarkejayaan
Polis mengesahkan nota terakhir suspek tikam berusia 14 tahun dirampas ketika tangkapan, bukan di lokasi kejadian. Frasa “Dunia ini palsu, saya sudah menang” kini disiasat bagi mengenal pasti motif sebenar.