
“Saya pegang skrol ini bagi pihak anak saya yang tak sempat berjaya seperti yang dia impikan.”
Itu luahan hiba seorang ibu, Melor Ahmad, yang menyentuh perasaan seluruh dewan ketika majlis Konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) ke-101 berlangsung baru-baru ini.
Dalam suasana yang penuh sebak, Melor dan suaminya, Zuliskandar Zolkeflee, tampil ke pentas mewakili anak sulung mereka, Allahyarham Muhammad Isyraf Mifzal Zuliskandar, yang telah pergi menghadap Ilahi akibat kemalangan jalan raya, Ogos tahun lalu.
Ketika pasangan suami isteri itu menerima skrol Diploma Pengajian Perniagaan milik arwah anak mereka, air mata mengalir deras. Bukan sekadar kerana rindu yang tak berpenghujung, tetapi juga kerana impian dan cita-cita anak mereka tidak sempat direalisasikan.
Anak Sulung Yang Menjadi Harapan
Melor, 47 tahun, berkongsi bahawa Isyraf adalah seorang anak yang sangat bertanggungjawab, ringan tulang dan amat menghormati ibu bapa. Dia bukan sahaja anak sulung, malah menjadi harapan besar keluarga dalam mengejar ilmu dan mencipta kejayaan dalam hidup.
“Dia tidak pernah menyusahkan kami, sangat mendengar kata. Jika saya atau ahli keluarga perlukan pertolongan, dialah yang pertama akan datang. Anak saya ini terlalu baik… dari kecil sampai besar, dia sentiasa jaga hati saya,” ujar Melor sambil menyeka air mata.
Berjuang Demi Masa Depan
Isyraf merupakan penuntut semester kedua dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kepujian) Pemasaran. Kerana minat mendalam dalam bidang perniagaan, dia mengambil peluang cuti semester untuk bekerja sambilan sebagai penghantar makanan Foodpanda – bukan semata-mata demi wang, tetapi untuk mengutip pengalaman berniaga.
Namun, takdir berkata lain. Pada 25 Ogos 2024, ketika dalam perjalanan menghantar makanan di Kuching, Isyraf terlibat dalam kemalangan yang meragut nyawanya. Lebih memilukan, kejadian berlaku sebulan sebelum tarikh lahirnya yang ke-23.
Reda, Tapi Rindu Tak Pernah Hilang
Sebagai ibu, Melor tetap reda dengan ketentuan Ilahi. Namun, rasa rindu terhadap anak tersayang tidak pernah berkurang, malah semakin menyesakkan dada terutama bila melihat rakan sebaya anaknya melangkah ke pentas konvokesyen.
“Saya tahu dia berusaha keras demi masa depan. Kalau dia masih ada, tentu dia sendiri yang berdiri menerima skrol ini… Tapi saya yakin, dari ‘sana’ pun dia pasti bangga,” ujar Melor dalam nada sebak mengakhiri perbualan.
Sumber: http://suarasarawak.my
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI