Hari ini genap lima tahun Humaira bertugas di syarikat pengiklanan. Setelah tamat belajar, dia memilih untuk mencari kerja dan ternyata jalan rezekinya mudah, dia diterima bekerja di syarikat pertama dia memohon kerja. Suasana di tempat kerja yang selesa dan banyak kemudahan disediakan pihak syarikat membuatkan Humaira tidak terfikir untuk mencari kerja lain.

Namun ada sesuatu yang menghantui hidup Humaira selama ini sepanjang bekerja di syarikat tersebut. Dia sering diganggu suara halus setiap kali pulang lewat malam. Pada peringkat permulaan, Humaira merasakanya ianya sekadar gangguan biasa, namun lama-kelamaan suara halus itu semakin menjadi-jadi.

Setiap kali diminta bertugas hingga lewat malam bagi menyiapkan permintaan klien, dia jadi resah. Paling diingati peristiwa sebulan lalu, apabila dia bersama dua temannya berada di pejabat sehingga jam 1 pagi. Awalnya mereka bertiga bukan main seronok menyiapkan kerja masing-masing.

Tiba-tiba terdengar satu suara yang menakutkan menjerkah mereka entah dari mana. Sudahnya, mereka bertiga terdiam, lalu pantas menyiapkan kerja. Tidak lama kemudian, ketika hampir jam 12 tengah malam, mereka mula menghidu bau harum entah dari mana. Kemudian disusuli dengan bau busuk seolah-olah bau bangkai.

Humaira mula tidak tentu arah dan memberi isyarat untuk teman-temannya agar mereka segera beredar dari pejabat. Walaupun masih berlambak kerja belum siap, hati Humaira jadi tidak keruan. Bimbang juga dengan keselamatan mereka apatah lagi hanya tinggal mereka di pejabat kala itu.

Kerja Terbengkalai

IKLAN

Setelah menutup komputer, Humaira dan sahabatnya bergegas ke kereta walaupun kerja-kerja mereka yang perlu disiapkan terbengkalai. Dalam perjalanan ke kereta, suasana yang hening dikejutkan pula dengan suara tangisan bayi. Keadaan bertambah kelam-kabut apabila kereta Humaira tidak boleh dibuka.

Puas menekan “alarm”, tetap tidak berbunyi. Apabila diacukan kunci, kereta pula berbunyi alarm. Suasana yang tenang jadi kecoh, dalam keadaan yang gelap, mereka bertiga berusaha memasuki kereta. Humaira bersyukur, enjin hidup seperti biasa.

Tanpa disangka, apabila Humaira ingin memulakan pemanduan, kereta jadi berat biar pun brek tangan telah dilepaskan. Sahabat Humaira, Asyikin mula memasang ayat suci Al-Quran. Mereka bertiga diam membisu, hanya peluh yang mengalir bak hujan saat itu.

Selang beberapa minit, kereta Humaira mampu bergerak perlahan-lahan walaupun agak payah. Asyikin yang tadi hanya berdiam diri secara tiba-tiba menjerit agar Humaira cepatkan kelajuan kerana ada lembaga mengikut mereka.

IKLAN

Niat di hati untuk selamat diri dari pejabat, rupa-rupanya lembaga tersebut mengikut mereka bertiga pulang ke rumah.

Sentiasa Beringat

Setelah masuk ke jalan utama, barulah keadaan mereka kembali aman. Asyikin mula menangis kerana dia seorang sahaja yang nampak kelibat lembaga yang hitam dan besar. Manakala hijab Humaira tertutup dan dia bersyukur kerana jika tidak mungkin dia tidak mampu melelapkan mata.

IKLAN

Bagi menghilangkan rasa takut, Humaira dan sahabatnya berjumpa dengan seorang ustaz. Ustaz tersebut menasihatkan agar mereka tidak lagi pulang lewat malam kerana masing-masing anak dara.

Sentiasa beringat dan sebaiknya jangan lupa solat dan membaca Al-Quran setiap hari agar dilindungi daripada gangguan syaitan. Kejadian itu membuatkan Humaira menolak untuk bekerja lewat malam lagi, dia benar-benar serik.

 

 

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI