Masih dalam mood raya. Masa inilah, macam-macam rancangan yang dibuat dengan grop sekolah, grop tempat kerja lama untuk bertemu. maklum sahaja setahun sekali, itu pun kalu dibuat setiap tahun. Tak kurang juga baru pertama kali nak berjumpa selepas berbelas tahun.

kadang-kadang, reunion nie baik untuk eratkan hubungan silaturahim antara kawan-kawan lama. Tapi yang menjadi tidak baik bila ada yang mula jeling menjeling, pandang memandang. Kononnya secret admirer masa sekolah atau bekas ‘cinta monyet’ dulu.

Perkara-perkara inilah yang boleh menggugat rumah tangga yang dibina selama ini hanya kerana reunion. Bolehkah ia diselamatkan, jika ia masih lagi baru bermula? Ketahui pandangan dan nasihat daripada Prof Dr. Hj Mohd Nor Mamat tentang perkara ini.

IKLAN

Tak Salah Reunion Raya Tapi Jangan Nakal Sampai Menyakitkan Hati Pasangan

Reunion – Hubungkan Semula

Tujuan asal reuinion adalah untuk menyambung hubungan silaturahim dan persahabatan yang terputus ataupun mengukuhkan hubungan sedia ada, memandangkan masing-masing saling berjauhan dengan haluan hidup yang berbeza. Persahabatan ketika waktu persekolahan dan zaman belajar bersama-sama adalah persahabatan yang paling indah dan asli.

IKLAN

Jangan Test Market

Ia adalah majlis penyatuan semula selepas lama terpisah dan kali ini pertemuan dalam bentuk yang lebih dewasa dan matang, bukannya semata-mata untuk mengenang kisah silam yang nostalgik. Ia lebih kepada networking, update perkembangan dan kontak satu sama lain dan bukannya untuk percintaan ataupun percubaan untuk test market semula selepas ada kerjaya dan sebagainya.

Persahabatan adalah satu-satunya pintu kemerdekaan kita. Banyak perkara yang tak dapat kita nyatakan kepada isteri kita sendiri sekalipun, tetapi dapat dinyatakan kepada sahabat. Sebab itu persahabatan yang jujur itu adalah salah satu dari tangga kejayaan.

IKLAN

Bolehkah Cinta Bertaut Kembali

Keadaan ini boleh berlaku sekiranya reunion dilangsungkan untuk tujuan bertemu dan menghubungkan semula cinta lama. Mungkin ada yang masih bersendirian ketika reunion dan sudah tentu tidak menjadi kesalahan untuk bertemu sesama kawan yang masih lagi solo.

Cara Betul Tanpa Gangguan Rumah Tangga

  • Family-Based Reunion adalah paling selamat diadakan untuk mengelakkan daripada kemungkinan kecurigaan ataupun kemungkinan ruang berputik semula hubungan percintaan. Reunion begini juga menggalakkan sesama anak-anak untuk menyambung silaturahim.
  • Apa yang boleh dipraktikkan, reunion di peringkat usia yang sudah berkeluarga haruslah lebih berbentuk membina hubungan silaturahim kekeluargaan. Jaringan kekeluargaan dengan anak-anak kita sebagai generasi kedua yang meneruskan hubungan ibu bapa sejak dahulu.
  • Hadirlah reunion bersama sahabat-sahabat anda dengan membawa pasangan dan anak bagi tujuan untuk perkenalan dan kelangsungan silaturahim. Walau bagaimanapun, pasangan juga perlu memahami untuk membenarkan berlaku sedikit kenakalan apabila pasangan kita bertemu semula rakan-rakannya pada zaman remaja (selagi tidak menimbulkan kesan yang menyakitkan hati).
  • Jangan Timbulkan Kisah Lama – Ada reunion di usia selepas masing-masing berkeluarga dan ini selalunya mengundang risiko, jika kita masih lagi terbuai dengan nostalgia lama ataupun kadangkala ada yang mengambil kesempatan bertemu sahabat-sahabat lama sebagai jalan melarikan diri daripada masalah dengan pasangan dalam rumah tangga.
  • Ia berisiko apabila reunion berlaku pada usia kita 40-an ataupun 50-an, di mana kadangkala sesetengah hubungan rumah tangga ada yang telah melalui tahap yang lusuh, kurang menarik dan tertarik. Ada yang berjenaka, bila kita mulai suka reunion, bermakna salah satu tanda ketuaan dan kebosanan berlaku.
  • Elakkan menghadiri reunion ketika rumah tangga tidak begitu stabil, kerana ia mudah mengundang kesan emosi dan sentimental sampingan.
  • Bertengkar Kerana Reunion – Sejarah tidak boleh diubah. Begitu juga warna-warni persahabatan pasangan kita yang lalu sepanjang zaman belajarnya tidak boleh dihapuskan. Sebab itu, saling menghargailah dan berkenalanlah dengan rakan-rakan pasangan secara positif. Jika wujud kebarangkalian silap faham ataupun ada cerita-cerita nakal yang silam, lupakan dan elakkan daripada bercerita kepada pasangan.

Buat Ingatan…

1.Betulkan niat kita untuk menyambung silaturahim dan mengeratkan rangkaian persahabatan sejak sekian lama.
2.Elakkan daripada bertujuan untuk melarikan diri daripada konflik rumah tangga ataupun mencari semula hubungan lama.
3.Sama ada suami atau isteri, bawalah pasangan kita bersama untuk diperkenalkan kepada rakan-rakan, silaturahim akan lebih ikhlas.
4.Pada masa yang sama, kita perlu juga memahami apabila pasangan kita bertemu semula dengan rakan-rakan lama, akan ada elemen kenakalan zaman persekolahan atau cerita-cerita nostalgik sedikit sebanyak.
5.Elakkan terlalu banyak bercerita tentang persahabatan kita di sekolah kepada pasangan, apatah lagi jika ada elemen perhubungan yang nakal atau percintaan monyet.
6.Jangan terbawa-bawa kenangan silam, kerana kita semua telah pun berkeluarga. Utamakan kebahagiaan keluarga dan eratkan rangkaian persahabatan.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI