Lepas bersalin, jangan terlalu taksub untuk berdiet. Sanggup tidak ambil makanan yang betul, sedangkan anda menyusu badan. Jangan terlalu memikirkan diri sendiri, sedangkan bayi anda memerlukan makanan yang berkhasiat daripada susu ibu untuk dia membesar.
Kenapa perlu takut, bila berat badan tidak turun semasa dalam pantang. Sebenarnya, boleh sahaja anda berdiet tetapi kenalah dengan cara yang betul. Beberapa saranan yang diberikan oleh Alina Ita Azhar, Pakar Pemakanan untuk anda yang baru melahirkan anda dan ingin berdiet.
Ads
Diet Untuk Ibu Baru Bersalin, Sesuai Tak?
Memulakan diet atau ‘makan bersukat’ terlalu cepat selepas bersalin tidak digalakkan kerana ia boleh melambatkan pemulihan dan menyebabkan badan terasa lebih letih. Lagi pun, ibu menyusu, berdiet akan menjejaskan bekalan dan kualiti susu dari segi kandungan zat.
Perlu tahu, berat badan ibu sudah pun berkurangan apabila kelahiran bayi, termasuk berat bayi, uri atau plasenta serta kehilangan cecair amnion dan darah. Dalam jangka masa seminggu selepas bersalin atau pospartum, badan akan kehilangan cecair yang ada dalam badan.
Cara Betul Untuk Diet
Elakkan berdiet terlalu drastik. Fokus kepada makanan berserat tinggi yang boleh membekalkan vitamin, garam galian dan memberi kekenyangan seperti buah-buahan, sayur-sayuran, dan bijirin penuh. Keperluan kalori ibu menyusu lebih tinggi kerana lebih kurang 500 kalori digunakan untuk menghasilkan susu (Recommended Nutrient Intakes of Malaysia 2005). Oleh itu, makan hidangan yang kecil tetapi secara kerap dan makan snek yang sihat antara waktu makan utama.
Pilih makanan yang padat-nutrien (nutrient-dense) seperti susu dan produk tenusu, daging ayam dan ikan dan kekacang.
Minum segelas air setiap kali menyusukan bayi. Ini kerana, keperluan cecair dalam badan bertambah apabila menyusu. Oleh itu, minum air secukupnya sebanyak 8 hingga 10 gelas sehari.
Bila Boleh Diet Selepas Bersalin
Pada tempoh 6 bulan pertama, seseorang ibu dinasihatkan supaya tidak mengurangkan berat badan secara mendadak kerana tempoh ini penting untuk menggalakkan menyusu secara eksklusif.
Ads
Ads
Elakkan Perkara Ini Semasa Berdiet
Jangan melangkau waktu makan dan tidak menepati masa. Ini menggalakkan pengambilan makanan secara berlebihan pada waktu makan seterusnya dan menambahkan rasa lapar dan penat.
Hadkan pengambilan makanan yang tiada nilai zat.
Makanan yang padat-kalori (calorie-dense) secara lazimnya mengandungi gula dan lemak tepu yang tinggi. Pilih makanan yang rendah lemak dan tanpa gula tambahan serta buah-buahan segar dan makanan tinggi serat sebagai snek.
Kawal minuman berkafein kerana ia boleh beralih ke dalam susu ibu dari salur darah dan seterusnya ke bayi dan menyebabkan bayi resah dan tidur terganggu, Hadkan sebanyak dua hingga tiga cawan sehari adalah selamat tanpa menyebabkan perubahan kelakuan bayi.
Elak ambil suplemen herba dan tradisional seperti ginseng, teh herba atau ‘pelangsing’ dalam tempoh menyusu.
Tip Untuk Mulakan Diet
Menyusu, menyusu, dan menyusu
Menyusu memudahkan proses penurunan berat badan disebabkan penggunaan kalori sewaktu aktiviti menyusu itu sendiri.
Jenis makanan yang dipilih dapat membantu dan mendorong pengurangan berat badan secara berkesan.
Mulakan penurunan berat badan secara aktif selepas tamat tempoh menyusu. Gabungkan senaman aerobik yang ringan seperti berjalan, berbasikal statik atau berenang dan senaman Kegels untuk mengembalikan ketegangan otot dasar pelvik.
Keadaan cuaca yang tidak menentu, sekejap panas, sekejap hujan membuatkan badan kita pun berubah. Demam, batuk dan selesema, masalah kesihatan ‘tiga serangkai’ nie mudah sahaja menyerang.
Kalau rasa sudah tidak tahan, ubat klinik sahajalah jalan terakhir untuk anda mengurangkan dan menghilangkan masalah kesihatan ini. Tapi, ada juga mak-mak yang tidak suka mengambil ubat klinik dan sedaya upaya untuk merawat secara alami. Lebih-lebih lagi kepada anak-anak yang masih kecil. Mak-mak boleh cuba guna bahan ini untuk hilangkan batuk dan kahak. Malah, bahan-bahan ini pun senang nak dapat. Cubalah.
Bahan-bahan :
Lobak merah
6 sudu besar madu
Air
Cara-caranya :
1.Kupas dan potong lobak merah. Kemudian, rebus lobak merah itu sehingga lembut.
2.Asingkan air rebusan lobak merah tadi.
3.Kemudian. Kisar lobak merah yang direbus tadi sehingga lumat.
4.Ambil madu dan masukkan ke dalam air rebusan lobak merah. Campurkan dengan isi lobak merah yang dikisar dan kisar sekali lagi.
5.Siap untuk diminuim dan boleh disimpan dalam peti ais.
6.Ambil 3-4 sudu besar setiap hari.
Mudahkan! Mak-mak boleh cuba berikan pada anak-anak tetapi kurangkan jumlahnya, mungkin 1-2 sudu sahaja.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Pejam celik pejam celik usia perkahwinan anda dah masuk 5 tahun pertama atau mungkin daripada itu. Dalam tempoh perkahwinan ini, mesti ada pahit, manis, suka dan duka. Tapi kalau boleh mestilah nak semuanya baik-baik kan.
Namun, ada masanya badai melanda, mulalah seorang ke hulu dan seorang ke hilir. Kat tengah anak-anak yang tergapai-gapai tak tahu mana yang mahu dipilih. Nak kata tak kenal pasangan, rasanya dah lama kenal tapi mungkin ada sesuatu yang membuatkan anda rasa tidak bahagia walaupun dah dikurniakan anak.
Menurut pakar psikologi perkahwinan yang dikenali Abang Arjuna (Faizal Rohban), setiap pasangan inginkan rumah tangga bahagia, malah Islam amat menitik beratkan soal pembinaan keluarga bahagia kerana ia merupakan platfrom kepada pembentukan generasi masa hadapan.
Namun begitu, niat dan usaha ini tidak akan lengkap tanpa disulami dengan doa. Jika ketiga-tiga elemen ini digabungkan, tidak mustahil keluarga bahagia yang diimpikan itu akan menjadi kenyataan. Jadi, niat, usaha dan seterusnya dilengkapkan dengan doa, pasti sesebuah keluarga itu akan menuju bahagia yang berpanjangan.
1.Rezeki Halal – Setiap rezeki yang diperoleh akan menjadi darah daging dan akan mempengaruhi pembentukan keluarga bahagia melalui zuriat keturunan nanti.
2.Komunikasi – Fahami bahasa tubuh atau mimik muka yang diberikan oleh pasangan setiap kali berhubung.
3.Kasih Sayang – Tanpa kasih sayang, keluarga yang dibina akan runtuh sekelip mata. Perlu saling melengkapi antara satu sama lain.
4.Toleransi – Amat perlu apabila wujudnya selisih faham antara suami isteri.
Dalam membentuk keluarga bahagia. Peranan suami, isteri dan anak-anak perlu bersatu demi melahirkan kesejahteraan dalam keluarga. Antara peranan yang perlu dimainkan oleh:
1. Pasang niat dan berdoa untuk menjadi suami terbaik
2. Setiap kali pulang ke rumah bawalah senyuman sekali. Apabila suami tersenyum, isteri dan anak-anak akan merasa bahagia dan rahmat pasti akan turun.
3. Telefon atau hantar pesanan whatsApp untuk menyatakan yang anda sayang atau rindu pada isteri.
4. Sentiasa hiburkan hati isteri dan anak-anak dengan bercerita, buat lawak atau bergurau senda.
5. Sesekali ajaklah isteri untuk mandi bersama sambil bergurau senda sebagaimana Sunnah nabi untuk mengeratkan lagi rumah tangga.
6. Ambil berat kehendak isteri.
7. Didik isteri dengan lemah lembut dan berhikmah.
8. Taat kepada perintah Allah.
1.Taat kepada perintah suami. Apabila suami meredhai isteri maka Allah akan meredhai rumah tangga tersebut.
2. Menjaga maruah diri dan harta suami. Tidak menceritakan masalah rumah tangga kepada orang lain.
3. Menjaga kebersihan diri, anak-anak dan rumah tangga. Perkara ini nampak seperti tidak penting tetapi ingatlah kebersihan merupakan satu cara untuk menarik malaikat rahmat kerap mengunjungi kita.
4.Menjaga dan mendidik anak-anak dengan sempurna.
1. Sentiasa berbuat baik kepada ibu bapa dan mendengar apa sahaja nasihat dari mereka.
2. Menjaga diri dan maruah keluarga. Anak yang baik akan sentiasa menjaga maruah keluarga agar tidak terpalit ke arah yang boleh merosakkan keluarga.
3. Sentiasa mendoakan kesejahteraan ibu bapa.
1. Sentiasa bertolak ansur dan menjadi pendengar setia setiap masalah ahli keluarga.
2. Sentiasa berkongsi masalah dengan keluarga sahaja.
3. Ambil lah masa untuk makan bersama-sama sekurang-kurangnya dua kali seminggu.
4. Solat berjemaah. Inilah paling penting dalam membentuk keluarga bahagia.
Suami sebagai nakhoda atau jurumudi perlu bijak untuk mengharungi badai rumah tangga, begitu juga dengan isteri sebagai pembantu. Bantulah suami anda dengan penuh taat setia, Insya-Allah semuanya akan berjalan lancar.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Buat mak ayah,didiklah anak sebaiknya dengan cara yang betul. Kawallah emosi tatkala berhadapan dengan anak-anak. Tegurlah dan perbaikilah sikap anak-anak mengikut peringkat usia mereka.Seharusnya ketegasan mak ayah itu perlu, namun hendaklah bertempat.
Tidak dapat dinafikan sebagai mak ayah, adakalanya kelakuan anak-anak memang mampu menguji kesabaran yang maksima.Ketika ini, pertimbangan dan kewarasan fikiran harus didahulukan berbanding mainan emosi.Anak-anak perlukan teguran melalui kasih sayang, secara baik, bukannya melalui herdikan mahupun tengkingan yang mampu mencalar emosi dan perkembangan mereka.
Semoga secebis perkongsian oleh Ustaz Ws Adli W Muhammad ini mampu dijadikan pengajaran dan iktibar buat kita.
Ada orang tanya saya, bagaimana cara terbaik untuk mendidik anak. Saya tidak layak menjawab soalan begitu. Yang saya boleh katakan, saya bukanlah bapa yang baik, yang boleh dijadikan contoh kepada yang lain.
Ada satu peristiwa yang benar-benar sehingga kini mengganggu diri saya. Setiap kali dikenang, saya tidak malu katakan bahawa saya menangis. Pernah juga saya teresak-esak tidak dapat menahan betapa sesalnya saya berbuat perkara tidak baik dalam mendidik anak saya, Safiyyah. Apalah beban yang perlu ditanggung pada usianya yang hanya berumur empat tahun ketika itu.
Ceritanya begini.
Sejak Safiyyah mempunyai adik, dapat dilihat bahawa dia banyak cemburu. Safiyyah ini sejak lahir tidak pernah meragam besar, hanya kecil-kecil sahaja ragamnya seperti mahukan susu, mahu tidur dan mahu berjalan di luar rumah. Budaknya diam, tidak banyak bercakap. Melainkan apabila diacah oleh kami dan saudara mara.
Di dalam rumah kami, Safiyyah mempunyai motor beroda tiga berkuasa bateri yang boleh ditunggangnya di dalam rumah. Yang saya perasan, apabila adiknya Riyadh, ketika itu sudah berusia 2 tahun mahu bermain bersama, akan ditolak adiknya. Yalah, padanya itu harta dia. Budak-budak. Banyak kali saya lihat, Safiyyah suka menolak adiknya itu apabila cuba menaiki motornya.
Sampailah suatu hari pada waktu senja, mereka bergaduh pasal motor tu. Safiyyah seperti biasa akan jadi pemenang, menolak adiknya sehingga jatuh terduduk. Riyadh menangis besar.
Saya yang masa itu mahu ke bilik air untuk mandi, naik marah. Memarahi Safiyyah sunguh-sungguh dengan mengatakan padanya, dia seorang kakak yang kedekut, suka cari pasal, bencikan adik dan paling saya ingat sampai sekarang “Abah tak akan cakap lagi dengan Safiyyah”.
Kau bayangkan kawan, saya berkata kasar begitu kepada anak kecil yang baru berusia empat tahun. Safiyyah menangis. Tersedu-sedu dan membawa diri ke bilik wan (nenek) nya. Berjalan penuh sayu, menunduk sambil tangan kanan mengesat-ngesat air mata yang jatuh berjurai di pipinya. Sayu, teramat sayu dan pilu.
Saya terus dalam keadaan marah masuk ke bilik air. Mulut masih lagi membebel. Selesai mandi saya kembali ke bilik. Sudah sahaja memakai pakaian, saya pun bersedia untuk keluar dari bilik menuju untuk bersolat maghrib di ruang tamu. Ketika mahu keluar,di dinding, bersebelahan pintu bilik, Safiyyah duduk di situ.
Dengan kedua-dua tangan memeluk lutut yang mana lututnya itu di paras dadanya, kepalanya tertunduk, dan dia kemudian memujuk saya dengan mengangkat kepala memandang ke arah saya, perlahan suaranya tersedu-sedu memanggil “Abah, abah, Safiyyah ni”.
Itulah Safiyyah. Kena marah macamana pun, tak sampai seminit dia akan cuba mengambil hati saya dengan menunggu di pintu bilik. Banyak kali sudah dibuatnya begitu.
Itulah perkara paling bodoh saya lakukan dalam hidup saya hari itu. Saya langsung tidak menyahut panggilan Safiyyah, dan lebih malang bagi Safiyyah, saya tidak langsung menghiraukannya. Terus membentang sejadah dan bersolat maghrib, dalam keadaan marah hanya reda sedikit.
Safiyyah pula, kekal duduk bersandar di dinding, dengan harapan saya akan memujuknya.
Tidak. Saya terus tidak melayannya. Keluar dari rumah, untuk ke masjid pula, saya terus dengan ego bodoh saya terhadap anak kecil itu, tidak memandang dan melayannya.
Ketika saya bergerak ke masjid dengan menaiki motorsikal, saya sempat memandang ke arah pintu cermin, kelihatan Safiyyah memandang sayu ke arah saya. Saya pula, kekal tidak pedulikannya.
Kalian tahu, hari itu anak kecil bernama Safiyyah ini diuji perasaannya pada usia begitu dengan sikap sombong dan bodoh bapanya, iaitu saya.
Sungguh, pandangan sayu Safiyyah hari itu, masih kekal dalam ingatan saya.
Di masjid, sebelum Ustaz Jauhari memulakan kuliahnya, beliau suka bermula dengan mukadimah berkaitan isu-isu semasa. Entah kenapa hari itu, beliau memberi peringatan dan pengajaran berkaitan mendidik anak dengan betul.
1. Mendidik anak bukan seperti mendidik orang dewasa, perlu belaian dan kasih sayang yang berlebihan daripada walinya dan ibunya.
2. Tarik minat anak-anak dengan ilmu agama, sirah nabi.
3. Tegur anak dengan baik, bukan menengking, memboikot malah menarik muka mahupun tidak bertegur sapa beberapa hari.
4. Rujuk cara nabi Muhammad melayan anak-anak.
5. Anak kalau bergaduh sesama, itu biasa. Bagi masa untuk mereka suaikan diri, bagi peluang semua merasa dan bagi menang-menang, bukan sorang menang, sorang kalah.
6. Anak merajuk, ambil hati anak. Bukan dibiarkan begitu sahaja dengan dunia rajuknya.
7. Dengarkan anak dengan bacaan al Quran dari bibir kita sendiri, perlahan-lahan anak ini akan jadi anak yang patuh pada arahan kita, lembut hatinya mendengar kata.
Saya termenung. Semasa itulah saya sedar, betapa bodoh dan sombongnya tindakan saya terhadap Safiyyah. Tindakan paling bodoh diambil untuk budak seusia begitu. Ya Tuhan, ampuni aku.
Mengikut marah saya, saya lupa perasaan Safiyyah yang masih kecil. Saya lupa betapa dia perlukan kasih sayang saya. Saya lupa, betapa dia suka duduk di atas riba saya. Saya lupa, bahawa umurnya ketika itu baru empat tahun. Saya silap, bukan itu didikan untuk Safiyyah pada usianya begitu. Saat itu, hati saya mendesak untuk pulang segera, bertemu dan memeluknya erat sepuas-puasnya.
Selesai solat isyak, saya lekas pulang. Hati saya memberontak, mahu terus berjumpa dengan puteri si jantung hati saya. Sesampainya di rumah, isteri membuka pintu, kemudian berkata pula dalam sayu,
“Kasihan Safiyyah. Dia sudah tidur, menangis tidak henti-henti. Abang ni, nak marah ke budak pun, janganlah sampai begitu sekali sikapnya. Tak layan ke dia, tak pandang ke dia, tak tegur ke dia. Apalah yang dia tahu pada umurnya begitu. Dunianya hanya kegembiraan, dunianya hanya penuh permainan yang menyeronokkan. Dunianya, sudah pasti ada cemburu pada adik-beradiknya. Kita pun begitu kan dulu-dulu?”
Saya terduduk di atas sofa. Menghadap wajah Safiyyah yang sedang lena di atas toto, dibentang di ruang tamu. Wajah comel itu, sayu dan menyimpan rindu buat ayah yang baru sahaja memarahinya tanpa memikirkan tahap usianya, tanpa memikirkan bahawa Safiyyah itu anak perempuan, yang memerlukan kelembutan dalam asuhan berbeza dengan lelaki.
Saya, bertegas tidak bertempat. Itu semua mencipta tindakan bodoh dari diri sendiri.
Saya perlahan turun dari sofa dan merapati Safiyyah. Mengusap-ngusap kepalanya, menyentuh lembut pipinya. Ketika jari saya menyentuh tapak tangannya, seakan dia tahu ketika itu saya yang menyentuhnya, cepat dia menggenggam dengan jari kecilnya. Erat. Lama bagai tidak mahu dilepaskan.
Saya sebak. Menyesal dengan tindakan melulu saya, menyesal dengan dosa yang telah saya lakukan kepada Safiyyah. Entah kenapa saya hari itu, menuruti kata syaitan memenuhi nafsu amarah, meninggi ego kononnya saya betul lakunya.
Wahai kawan,
Anak ini anugerah agung kurniaan Allah. Didiklah mereka dengan jalan dan ajaran yang betul dan benar. Tegurlah mereka, perbaikilah sikap mereka mengikut usianya, berikanlah kasih dan sayang sepenuhnya selagi berpeluang. Kawal emosi kita ketika berhadapan dengan mereka. Berikan masa untuk mereka bermanja dengan kita, luangkan masa untuk bersama bergurau senda bermain.
Saya pernah tersasar dalam memperbaiki sikap anak. Betapa sakitnya dan perasaan sesal itu kekal terpahat dijiwa sehingga sekarang. Tak pernah pudar walau sesaat.
Anak menghadirkan berkat dan rahmat buat kita, menambah rezeki keluarga. Tidak pula mereka membebankan kita, apatah lagi menyusahkan hidup kita.
Hadir mereka membawa keindahan dalam kehidupan berkeluarga. Indah jugalah hendaknya cara didikan kita, kelak harapannya apabila membesar setiap tahun, mereka mengikut segala didikan dan ajaran yang baik-baik, dan dapat menempuh alam kehidupan penuh cabaran dengan berpandukan jalan-jalan disukai agama dan masyarakat.
Mereka, pengirim doa bahagia kita di sana, asuhlah sebaiknya.
WS Adli,
Belajar dari kesalahan dan kesilapan diri.
Baru celik tengok dunia, ada yang sanggup tinggalkan bayi dalam surau. Apa salah anak ini, sehingga jadi mangsa orang dewasa yang mahu selesaikan masalah hidupnya dengan cara begini.