Kalau dah kahwin, buat cara dah jadi milik orang dan tak perlulah nak ada kawan rapat berbeza jantina sampai pasangan cemburu.
Nak-nak pula kalau berkawan rapat sampai balik rumah pun masih contact. Apa hal yan penting sangat sampai tak boleh nak tunggu esok pagi. Tak manis sungguh perangai macam itu.
Ini yang Hakak sedikit emosi bila sentuh pasal rumah tangga yang berkait ala-ala kes curang. Andai pernah berlaku dalam hubungan, berubahlah sebelum rasa cinta itu pudar sedikit demi sedikit. Nah, jemput renungkan kejap pandangan Puan Intan Dzukefli ini dari sudut kawan rapat lain jantina.
Salah Ke Kawan Rapat Lain Jantina
Pendapat saya, kita tidak perlu ada kawan rapat berlainan jantina hingga tahap perlu kerap sangat berhubung.
Apatah lagi setelah bernikah, ada pasangan yang setianya hanya untuk kita serta anak-anak yang sedang sangat-sangat memerlukan perhatian.
Suka atau tidak, perbualan yang awalnya mungkin sekadar hal remeh-temeh mungkin akan berlanjutan menjadi melampaui batas. Mungkin akan mula mengimbau detik manis kenangan silam hingga kemudiannya bercerita tentang aib dan kekurangan pasangan, serta mengadu keluh kesah jerih perih berumahtangga yang sepatutnya kita hanya kongsikan dengan pasangan kita.
Ustaz kata, kadang punca kecurangan dan zina terjadi semudah dari pandangan, senyuman dan mesej “hai, hai” sahaja. Namun, oleh kerana terjebak ikhtilat, akhirnya menjadi semakin rapat, kerap berhubung, bertemu, bergurau senda. Malah akhirnya mungkin akan mula rasa sayang (nafsu yang disalah tafsir oleh godaan syaitan).
Sebab itu, tuntutan menjaga ikhtilat (pergaulan) ini sebenarnya bermula sejak bujang lagi. Inilah hikmahnya. Supaya tiada ‘kisah silam’ yang bakal menggoncang tiang seri rumahtangga.
Tiba-tiba datang semula ‘kawan baik’ yang mengadu kisah peribadi rumah tangga. Mula-mula sekadar simpati, namun sudah terlalu banyak terjadi kes sebegini yang akhirnya terjerumus ke lembah kecurangan dan penzinaan. Nauzubillah min zaliq.
Bila kata zina, jangan hanya ingat syaitan menggoda orang yang masih bujang sahaja. Bahkan setelah nikah asbab pergaulan bebas dari sebelum nikah akhirnya menjadikan jalan untuk berzina bahkan lebih mudah kerana tak risau tentang ‘pak sanggup’ kerana si dia memang bersuami. Tak takut kalau mengandung kerana sudah memang sudah jadi status isteri. Astaghfirullah, nauzubillah min zaliq.
“Alaaa… suka-suka je.. kami kawan lillahi ta’ala.” Kalau sebegitu, jadikan mereka kawan baik pasangan kita kerana mereka sejantina. Tak perlu kita terjebak ikhtilat tanpa keperluan. Beringat dari awal adalah lebih baik.
Kes Pasangan Berzina
Sejak akhir-akhir ni, banyak terbaca confessions dan berita suami yang tahu isteri berzina dengan bekas teman lelaki, kawan sepejabat, teammates. Astaghfirullah. Yang menyedihkan, si suami mungkin kerana jahil sekadar mendiamkan kerana terlalu sayang. Walhal, sebenarnya hal sebegini perlu dirujuk kepada pejabat agama untuk tindakan selanjutnya.
JANGAN LUPA, DALAM ISLAM HUKUMAN BAGI PENZINA YANG TELAH BERKAHWIN IALAH REJAM SAMPAI MATI.
Dayus bagi seorang lelaki membiarkan isteri melakukan kemungkaran hatta sekadar mendedahkan aurat rambut kepada bukan mahramnya. Apatah lagi hingga ke tahap berzina! Astaghfirullahal adzhim.
Bagi para suami pula, sekiranya benar-benar mampu, maka teruskanlah dengan pernikahan (yakni berpoligami) tanpa perlu terjebak berzina dan menzalimi hak isteri yang sedia ada, mengabaikan nafkah anak isteri kerana leka mabuk cinta. Allahuakbar.
Islam tidak zalim. Islam sangat menjaga kebajikan dan hak para suami pun isteri, namun kebanyakan dari kita yang sendiri menzalimi diri sendiri kerana kejahilan dan terlalu bertuankan nafsu.
Jangan ambil Islam ikut apa yang kita suka. Ambil separuh, buang mana yang tidak selari dengan nafsu dan lifestyle kita. Astaghfirullah.
Selebihnya sentiasa ingatkan diri, apa niat bernikah dahulu?
Kerana Allah, kerana agama, mahu ada teman penguat semangat mengejar syurga Allah. Lalu muhasabah semula, kini jalan yang sedang dilalui seiring atau tidak dengan niat dan matlamat tadi?
Para suami…
Ada ajar anak isteri hal agama?
Ada ingatkan anak isteri jaga maruah, aurat dan solat?
Ada imamkan solat anak isteri atau tidak?
Cukupkah nafkah dan tarbiyyah anak isteri selama ini?
Semua ini sentiasa perlu diingatkan. Begitu jugalah dengan isteri sebagai ibu rumahtangga. Jangan sibuk leka dengan pujian lelaki ajnabi yang sebenarnya melekakan dan sengaja menduga keimanan. Terus block hal sebegini dan sibukkan diri dengan hal-hal ibadah supaya terhindar dari godaan.
Niat yang baik menjadikan komitmen pernikahan kukuh. Kita sentiasa memperbaiki diri dan berusaha melakukan yang terbaik buat pasangan dan keluarga. Kerana pada kita, mereka adalah lubuk pahala kita.
Hormatilah ikatan nikah kalian. Begitu besarnya ikatan ini, sehingga Al Quran menyebut akad nikah sebagai mitsaqon ghaliza, atau perjanjian yang berat.
Dalam Al-Quran, ayat ‘mitsaqon ghaliza’ hanya disebutkan 3 kali iaitu;
(+) ketika Allah SWT menyatakan hubungan pernikahan (surah an-Nisa’ : 21)
(+) ketika Allah SWT mengangkat Bukit Tsur di atas kepala Bani Israil dan menyuruh mereka bersumpah setia di hadapan Allah (surah an-Nisa’ : 154)
(+) ketika Allah SWT membuat perjanjian dengan para Nabi dan Rasul Ulul Azmi (surah al-Ahzab : 7)
Cukuplah kalam ini menjadi peringatan untuk kita muhasabah kembali. Pasangan kita bukannya tunggul, sekadar mesin ATM, amah atau hamba abdi. Mereka adalah amanah dan antara jalan kita ke syurga. InsyaAllah.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Betapa susahnya nak bagi anak putus susu, hanya kaum mak-mak menyusu badan sahaja yang tahu dan rasa. Bukan nak kedekut susu, tetapi bila anak cerai susu badan, selera anak makan nasi pun boleh bertambah.
Jadi bagi mak-mak yang nak cuba cara Puan Surianah Yahya ini, lepas ini boleh get ready beli susu segar. Ok jom ‘bedah’ cerita susu anaknya…
Cara Anak Putus Susu
Harini aku nak share sikit perjalanan selepas Saif putus susu (bf) dengan aku. Ini berdasarkan pengalaman aku. Setiap orang mungkin tak sama. Lepas umur Saif 2 tahun tamat breastfeeding, aku dengan husband decide untuk bagi susu kambing (formula) kat Saif sebagai ganti sebab nak stop kan. Mula2 ok, takda apa pun.
3 bulan lepas tu kami perasan satu hal dia jadi macam taknak makan. Sebelum tu elok ja makan nasi, ayam ikan semua. Tapi lama-lama taknak makan, asyik nak susu memanjang. Sehari boleh katakan 5-7 botol dia minum. Sebulan tak hengat berapa kotak.
Aku dah start risau sebenarnya. Ntah kenapa aku tukar susu dia ke susu formula biasa. Dengan harapan ada perubahan. Hahaha. ‘Pandai’ betul mak dia ni. Kejadian yang sama berlaku. Makin bising pulak. “Umiii, bat susu, bat susu, bat susu!” Bat tu buat. Pelat. Menjadi2 taknak makan.
Disebabkan dia macam ketagih, aku terfikir untuk consult dengan seorang paeds ni. Dipendekkan cerita berdasarkan apa yang aku dapat, semua susu yang berbentuk powder adalah sama sahaja. Kandungan gula yang tinggi, menyebabkan anak tak lalu makan. Tak kisah lah susu apa. Mahal ke murah ke.
Sepatutnya lepas dua tahun breastfeeding tu tak perlu dah tukar bagi fm ke apa ke. Aku macam woooo. Ternganga pula haha. Paeds tu cakap bagi fresh milk lebih baik. Ni lagi buat aku nganga hahaha. Sebab bukan senang nak dapat. Pernah beli sekali susu kambing segar. Tu pun susah nak dapat. And then paeds tu cakap beli kat kedai je hehe. Tapi pastikan yang betul-betul susu segar.
Macam mana nak tahu? Susu segar ni bukan yang full cream, low fat semua tu. Susu segar ni dia akan tulis fresh milk. Baca kat ingredient memang tertulis ramuan susu segar sahaja. Takda campuran lain. Ooo.. balik tu terus aku gitau kat husband.
Akhirnya Beli Susu Segar…
Ambik kata putus untuk cuba. So start bulan lepas (awal september) beli fresh milk ni. Masa ni Saif umur 2 tahun 6 bulan. Kitorang pun beli sebotol dulu sebagai percubaan. Balik tu bagi kat Saif. Masuk dalam botol susu dia. Mula2 dia minum berkerut dahi dia. Dia stop dia renung botol susu tu. Aku dan husband dah pandang tempat lain, sebab tahan gelak.
Pastu pura-pura tanya. Kenapa Saif? Pastu dia geleng. Dia bagi botol susu tu, dia taknak la maksudnya. Suruh buat lain. Aku pun bangun la. Ambik yang baru depan mata dia. Pastu dia dengan hepinya baring dapat yang baru. Try dan perkara sama berlaku. Dia minum sikit je terus letak tepi muahaha.
Tiba-tiba dia cakap kat aku, umi nak nasi. Aku jadi macam wowwww. Pestime dengar dia cakap macam tu sejak dia putus susu dengan aku. Aku dengan hepinya bagilah dia makan. Semangat dia makan. Lapar.
Pendekkan cerita lagi dia terima jugala kehadiran susu segar tu. Tapi tu pun maximum dua botol sehari. Siang satu, malam satu sebelum tidur. Dia minum sekadar syarat utk kalsium la kot haha. Sekarang ni dia memang dah makan nasi, ayam ikan, buah macam pisang, epal, tembikai, jambu. Makan mcm2 yg berbentuk makanan sebenar2nya.
Aku? Puas hati dan syukur. Tak dengar dah dia mengamuk-ngamuk suruh buat susu macam 6 bulan yang lepas. Sekarang pagi2 dah cakap, umi makan nasi. Hihi. Aku teliti khasiat susu segar tu. Memang sangat2 bertepatan dengan apa yang aku nak. Sehari dua cawan dah cukup untuk sumber kalsium umur macam Saif.
Pada mak-mak yang hadapi masalah macam aku mungkin korang boleh cuba. Sekadar perkongsian. Mudah2an bermanfaat. Lain orang lain. Ni apa yang aku lalui.
Disclaimer:
Freshmilk brand apa pun tak kisah. Saya pun tukar2. Kadang farm fresh, kdg australian, kadang good day.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Sebut sahaja warna, maasing-masing tentu ada warna kegemaran dan kadang-kadang warna inilah yang akan digunakan untuk menghias rumah. Tahukah anda, warna ini sangat penting dalam menentukan keceriaan dan keharmonian rumah tangga.
Menurut pakar, Nor Hanita Mohd Shariff, Ketua Perunding Psikologi & Kaunseling, Pusat
Transformasi Kendiri, Personaliti & Imej@TWINsTALK Studio, Shah Alam, warna mampu
meningkatkan kualiti dan keharmonian kehidupan kita. Justeru itu, salah satu cara untuk
rumah tangga ceria dan harmoni adalah melalui ‘Warna’.
Daripada perspektif rumah tangga, warna dapat membangkitkan emosi kasih sayang, keyakinan, keberanian, ketabahan, imaginatif, bertimbang rasa, fokus, bekerjasama dan sebagainya, di mana penggunaan warna sebagai salah satu medium terapi rumah tangga yang dibuktikan melalui penentuan julat frekuensi yang diukur dalam bacaan nanometer dengan menggunakan spectrum analyser.
Beberapa fungsi warna yang boleh bantu dalam meningkatkan keharmonian rumah tangga:
MERAH
* warna merah mempunyai kadar frekuensi 730 -780 nanometer. Warna ini mampu merangsang otak manusia agar lebih bersemangat, berkeyakinan, optimis, berani menghadapi cabaran, kemampuan mempengaruhi, yakin mengambil risiko, menonjolkan diri dan lebih bersifat pemimpin.
* Hiaslah rumah dengan sedikit unsur warna merah seperti bunga, gambar, kusyen, alas meja dan lain-lain bagi membangkitkan mood atau semangat positif.
INGAT!, Janganlah dihiasi semua sudut dekorasi rumah dengan warna merah kerana sekiranya berlebihan warna merah ia berpotensi menjadikan seseorang agak angkuh, keras hati atau sensitif.
MERAH JAMBU
* Bagi menyemarakkan lagi kasih sayang dalam rumah tangga, gunakan kreativiti diri untuk
dekorasi rumah dengan menggunakan warna merah jambu yakni frekuensinya ialah sama seperti
warna violet iaitu 308 nanometer – 409 nanometer.
* Hiasi ruang tamu atau bilik tidur dengan warna ini kerana ia boleh meningkatkan perasaan
positif yang membangkitkan keceriaan, kecintaan, menghargai orang lain, menenangkan
perasaan, riang, berkomunikasi secara berhemah, terbuka, tidak suka melengah-lengahkan
sesuatu perkara dan rajin menolong.
BIRU
* Warna biru boleh meningkatkan lagi komunikasi di rumah di mana frekuensinya ialah 490
nanometer – 544 nanometer. Warna biru lebih dikenali sebagai warna yang seimbang.
* Banyakkan warna biru dari segi berpakaian atau dekorasi di rumah untuk meningkatkan lagi elemen karisma dan ciri-ciri seorang pemimpin yang adil, stabil dan suka mencari jalan
penyelesaian terhadap sesuatu permasalahan yang dihadapi.
HIJAU
* Frekuensi warna hijau ialah 545 nanometer – 554 nanometer di mana penggunaan warna ini secara maksimum dapat meningkatkan ciri-ciri seorang yang bijaksana, bersyukur, pemurah, mengamalkan kesederhanaan, suka bekerjasama, seorang yang terbuka dan sentiasa berlapang dada dalam menghadapi sesuatu permasalahan, mempunyai sifat simpati dan penyerahan diri kepada Penciptanya.
* Warna hijau juga mampu mengurangkan stres dan mampu memberi ilham yang baik di samping mampu merehatkan kepada mata yang kepenatan. Bayangkan sekiranya di dalam rumah tangga, tiada langsung unsur hijau dalam dekorasi rumah, warna pakaian atau pemakanan seharian.
PUTIH
* Warna putih (frekuensi 0 nanometer – 279 nanometer) juga adalah yang sering dikaitkan
dengan sistem otak yakni kelenjar pineal sebagai kelenjar pertama yang terbentuk di dalam rahim semasa ibu melalui proses mengandung bayinya.
* Penggunaan warna putih dari segi pakaian atau dekorasi rumah boleh mencetuskan unsur spiritual yakni kelebihan mensyukuri nikmat kehidupan. Di samping itu, gelombang yang terdapat pada warna putih membolehkan merangsang ahli keluarga menjadi lebih tenang, bercita-cita tinggi, suka membantu orang lain, kuat berusaha, tabah menghadapi ujian, optimis, suka tepati janji dan mementingkan persaudaraan serta ketuhanan.
Pilih Warna Ini Untuk Aktiviti Harian
1. Warna Tema Baju
- Menjadi trend dewasa ini iaitu keluarga akan memilih warna tema baju yang hendak dipakai sama ada semasa hari perayaan, kenduri, sukan, seminar, kursus dan lain-lain.
- Warna tema ini secara tidak langsung akan mewujudkan semangat kekitaan atau bekerja secara berpasukan.
- Semua ahli keluarga bersatu hati memakai pakaian mengikut tema warna yang telah ditentukan.
2. Warna Rumah
- Pemilihan warna rumah perlu dilakukan dengan berhati-hati kerana setiap warna menghasilkan gelombang yang berbeza. Seandainya terdapat ahli keluarga yang panas baran, maka kurangkanlah penggunaan warna merah dalam dekorasi rumah sebaliknya gunalah warna kasih sayang seperti merah jambu, biru, violet, hijau atau putih.
3. Warna Kereta
- Pilihlah warna kereta yang bersesuaian dengan personaliti diri anda. Jika anda
mementingkan gaya dan prestij, digalakkan menggunakan warna hitam. Jika mementingkan kedamaian dan keharmonian, pilih warna biru atau hijau. Jika suka kepada sesuatu yang lasak, maskulin atau energetic, pilih warna merah.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Rimasnya rasa, bila masa saudara mara yang jauh, nak kata rapat pun tidak, mesra jauh sekali. Bertubi-tubi bertanyakan soalan-soalan sensitif menjeruk rasa. Aduhai kot ya pun nak memulakan bicara, elakkan dari membuka kata dengan sesuatu yang boleh buat orang yang ditanya terasa hati.
Beramah mesra itu ada caranya. Lebih parah bila pertanyaan ‘cepu emas’ itu boleh buatkan suami isteri yang harmoni jadi gundah gulana. Kalau dapat suami sporting, terpujuklah hati isteri. Kalau sebaliknya.. makanlah hati berulam jantung.
Huii.. cemas saja baca perkongsian Nurul Kasmadillawati Zakaria ini. Kejadian yang dialaminya di hari raya pertama, 1 Syawal. Dari rasa nak gembira-gembira di Hari Raya terus jadi drama air mata.
Acik Dapat Soalan Cepu Emas
Raya pertama hari tu, acik dapat soalan cepu cemas. Sepupu Encik Hensem. Entah siapa, acik tak kenal. Pernah jumpa sekali dua agaknya. Waktu Encik Hensem sibuk bagi duit raya, acik duduk sorang-sorang, dia datang menyerang.
“Isteri Farid kan?”
Sambil hulur tangan, bersalam.
“Haah” acik senyum. Dalam otak dok memikir, cuba ingat nama dia. Komfom tak kenal.
“Dua je anak? Dua-dua perempuan? Kena TRY lagi ni. Kena dapat lelaki pulak. Sorang pun jadilah.” Tengok Balqis & Aina yang tengah melompat, seronok main. Siap cakap, dia ke tepi. Tinggal acik sendirian.
Nak berbasa-basi sekali pun, ayat tu biarlah manis sikit. TRY? Bila acik tengok anak dia berderet lelaki, paling kecik perempuan, acik faham. Dia ni dulu waktu anaknya semua lelaki, mesti dia rasa tak bahagia. Hati dia tak tenteram selagi tak dapat anak perempuan. Sebab tu dia ingat orang lain sama macam dia. Wajib ada anak lelaki, anak perempuan baru lengkap sebuah keluarga.
Punyalah Sakit Hati, Acik Sampai Mengamuk Dalam Kereta
Masuk kereta, acik mengamuk kat Encik Hensem. Sebab, ni rumah kedua kitaorang pergi. 2 rumah, 2 kali dapat soalan cepu cemas. Memanglah bukan salah dia. Tapi dah yang bertanya tu sedara mara kaum kerabat dia, lagi pun dia je tempat acik boleh lepaskan geram. Maka dia jadi mangsa. Mau tak mengamuk? Acik tak kenal pun perempuan tu siapa, datang terus cakap bab sensitif.
Sampai rumah, masuk bilik, acik minta maaf kat Encik Hensem. Terus menangis. Situ jugak. Macam orang gila acik menangis. Macam disampuk setan. Dia peluk acik kuat-kuat sambil bisik ke telinga:
“Kita bahagia dengan hidup kita sekarang. Berapa ramai yang cemburu dengan kita? Jangan biarkan soalan tak sampai 3 minit tu spoil kebahagiaan kita. Dia tanya soalan macam tu, sakitkan hati awak, dia yang dapat dosa. Kita tak rugi apa.”
Tahukah awak? Ada orang, menangis saban malam sebab ditakdirkan dah tak boleh mengandung lagi. Sedangkan hati meronta-ronta nak anak. Ya. Aciklah orangnya. Hati ni punyalah teringin nak mengandung lagi. Nak rasa anak bergerak dalam perut. Nak mengandungkan zuriat, benih dari kekasih hati. Nak pangku anak yang lahir dari rahim sendiri.
Rindukan pandangan pertama, saat mata bertentang mata buat kali pertama. Rindukan jemari kecil yang bertaut dengan jari acik setiap kali menyusukan. Setengah mati acik teringin nak mengandung & melahirkan seorang lagi anak. Acik suka anak perempuan. Acik nak seorang lagi girl. Acik suka tengok baju anak perempuan.
Inilah Hakikat Acik Alami.. Terlajak Sembang Tu Boleh Makan Dalam
Apakan daya. Rahim acik dah tak mampu nak mengandung lagi. Waktu bersalinkan Aina ada komplikasi. Acik & Aina hampir terkorban. Nasib baik masih dipanjangkan umur. Doktor nasihatkan acik tunggu 6 tahun sebelum mengandung semula. Tapi Encik Hensem dah putuskan, cukuplah 2 orang zuriat kami.
Suami mana tak fobia? Hampir kehilangan isteri & anak darah daging sendiri?
Anak acik cuma 2 orang bukan sebab kitaorang TRY tapi tak berjaya nak mengandung. Bukannya Encik Hensem mati pucuk atau tak cukup power nak mengandungkan acik. Bukan juga sebab acik tak subur. Bukan ye. Bukan. Kami takde anak lagi sebab kami pilih untuk tak mengandung lagi. Kalaulah acik ni boleh mengandung macam perempuan lain yang normal, kot dah berderet anak acik. Kejap lagi awak kata tak pandai nak family planning pulak. Ada je yang tak kena.
Siapa boleh faham perasaan acik tiap kali buka facebook tengok orang ni mengandung, orang tu selamat bersalin? Tumpang gembira. Tapi dalam hati menangis.
Kalaulah Satu Hari Allah Tarik Semua Anak Lelaki Akak…
Tolonglah fikir panjang sebelum bersembang soal sensitif. Soal anak, jodoh, bentuk tubuh badan. Awak mungkin takde niat jahat. Sekadar nak berbasa-basi. Tapi bagi tuan badan, awak tak tau struggle yang dia hadapi setiap hari.
Anak sikit, tak ramai macam awak, ada sebabnya. Mungkin sebab kesihatan. Mungkin sebab kewangan.
Ada orang badannya besar. Bukan sebab pelahap makan tak ingat dunia. Ada orang badan besar sebab ubat-ubatan. Komplikasi kesihatan. Pil kesuburan. Pil hormon.
Yang dah berusia tapi belum berkawin, jangan semudah abc judge kata dia tak kahwin sebab terlalu memilih, cerewet nak cari pasangan. Mungkin dia tak kahwin sebab ada komitmen nak jaga mak ayah. Mungkin ada pengalaman pahit. Mungkin Allah saja nak bagi dia peluang berjasa kepada orang tua sampai akhir hayat.
Jaga lisan. Jaga adab. Jangan main sembur. Lebih-lebih lagi bila bersembang dengan orang yang awak tak kenal.
Kepada kakak yang bertanya tu, jangan sampai satu hari nanti Allah uji dengan benda yang awak banggakan. Dia ambik semua anak lelaki awak, tinggal anak perempuan je sorang. Waktu tu baru awak tau apa rasanya. Awak nak mengandung lagi semata-mata nak dapatkan anak lelaki?
Sumber/Foto : Nurul Kasmadillawati Zakaria
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI