Tak gusar aksi romantis Lan akui lelaki setia, isteri profesional dah kenal sejak bangku sekolah. Kehidupan sebagai anak seni sememangnya banyak pancaroba. Namun Lan Solo begitu bersyukur kerana dikurniakan isteri yang cukup memahami tuntutan kerja.
Baru-baru ini aksi Lan berpegangan tangan dengan seorang wanita dalam Video Muzik (MV) 5 Kaki 4 Inci mencuri perhatian ramai. Isu tersebut membuatkan ramai yang tertanya-tanya bagaimana dengan reaksi isterinya, Nur Sheila Hassim.
Tak Gusar Aksi Romantis Lan Akui Lelaki Setia
Ketika menghadiri sidang media pelancaran Video Muzik single terbaharu Lan yang berjudul 5 Kaki 4 Inci, sewaktu ditemubual Lan menerangkan babak berpegangan tangan dengan model wanita dalam video muzik tersebut tidak menjadi isu besar.
Isterinya cukup memahami tuntutan kerja seorang suami. Bertuah sungguh Lan kerana isterinya yang juga bertindak sebagai pengurus peribadi sudah sedia maklum terlebih dahulu mengenai aksi romantis tersebut memandangkan dia juga turut berada di lokasi sewaktu penggambaran dilakukan di Kundasang, Sabah.
“Saya seorang lelaki yang setia. Muzik video itu ialah tuntutan kerja dan isteri sangat profesional malah kami pun sudah mengenali antara satu sama lain sejak di bangku sekolah.
“Isteri sememangnya sudah masak dengan selok-belok industri seni dan tiada isu pun di situ sebab dia memahami kerja saya,” luah Lan.
Ads
Lan dan Sheila telah mendirikan rumah tangga pada 5 Disember 2009 dan dikurniakan empat cahaya mata iaitu Nur Amna Qaleesya, 9, Nur Amna Qeesyara, 6 dan Muhammad Akid Qassyaff, 5 dan Nur Amna Quxandra, 3 tahun.
Bimbang Tanggapan Orang Luar
Berbual lebih lanjut mengenai gadis cantik yang menjadi model dalam video muzik tersebut, Lan tidak menafikan dirinya berasa risau dengan pandangan pihak luar.
“Dalam video muzik saya Ratu Cantik Kota Kinabalu 2019, Kerinah Mah berperanan sebagai wanita yang menjadi pasangan kepada saya.
“Sejujurnya, saya tidak risau mengenai babak tersebut tetapi bimbang dengan tanggapan orang luar yang menontonnya kerana akan disalah anggap,” sambung Lan yang turut memberitahu 5 Kaki 4 Inci merupakan lagu hasil ciptaan Marsha Milan dan Velvet Aduk Lawrence.
Lan juga sangat bersyukur akhirnya selepas lagu tersebut terperap selama setahun akhirnya dapat diperdengarkan kepada umum. Paling istimewa lagu itu mengandungi hampir 20 peratus lirik dalam bahasa Dusun.
“Alhamdulillah semua perancangan untuk lagu ini berjalan dengan baik dan video muzik ini juga telah dilancarkan secara rasmi selepas hampir setahun dalam simpanan,” akhirinya.
Mingguan Wanita: Seronok tengok kebahagiaan Lan dan isterinya Sheila. Sama-sama saling berusaha tingkatkan ekonomi keluarga. Malah kini kedai mereka Solo Borneo Mart semakin maju.
Wahai suami isteri, berhati-hatilah ketika upload content di media sosial. Bukan semua perkara boleh dijadikan content di media sosial. Lagi-lagi melibatkan content ‘unboxing isteri’ apatah lagi ‘unboxing by husband.
Ustaz Farid Rashidi mengulas akan isu yang sedang trending ketika ini isteri diunboxing oleh suami sendiri atau pun ‘Unboxing Isteri’ di Tik Tok. Istilah yang selalu digunakan apabila membeli barang.
Sedih, bila isteri itu dah jadi macam barang. Isteri pula, jangan lah terlalu ‘lurus’ hingga hilang malu. Sebenarnya, ada perkara yang tak perlu pun nak beritahu orang lain.
Perhalusi pesan ustaz ini ya,
Muncul trend Unboxing by Husband di TikTok. Entahlah, rasa kecewa, sedih semua ada. Saya tak ada akaun Tiktok pun, tapi bila viral di FB jadi terbacalah apa yang viral di sana.
Katanya trend pasangan pengantin muda baru nikah kemudian di unboxing oleh suami sendiri. Yang rakam isteri sendiri pula tu. Aduhai.
Selalu istilah ni orang guna bila beli barang. Tapi ini suami sendiri buat kat isteri. Seolah-olah isteri diperlakukan semacam barang pula. Astaghfirullahal Azim.
Demi sebuah content, malu dan maruah diri diselak sesuka hati. Ya benar hubungan suami isteri itu halal, tapi halal bukan bererti boleh mempertontonkan aksi intim suami isteri sebegitu. Hatta di depan anak-anak sekali pun. Rahsia dan aib rumahtangga perlu disimpan rapi.
Tugas suami ialah menjaga isteri dan maruahnya, mendidik serta memberi pengajaran berguna agar menjadi pembantu terbaik saat pelayaran bahtera rumahtangga. Bukan mengajar sesuatu yang pelik bercanggah dengan syariat Islam serta menjatuhkan maruah diri sebegitu.
Hati-hati, semua itu akan diperhitungkan. Ingat, amanah itu berat. Jenuh nak menanggungnya. Dan hidup bukan sekadar untuk suka-suka setiap masa. Ada batasnya ya.
Bukan batas ubi kentang, tapi batas syariat Islam.
#UFR
Mingguan Wanita : Biar pun ada yang kata sekadar buka jarum peniti, perlu difahamkan konsep ‘unboxing’ itu sendiri yang dengan kata mudahnya selak, buka satu persatu. Jangan mudah terikut-ikut. Berhati-hatilah bila berkongsi di media sosial wahai suami isteri.
Kerja-kerja membersihkan rumah sememangnya cukup meletihkan, dan boleh sakit-sakit badan. Apatah lagi jika pelbagai kerja membersih dilakukan secara mendalam dan besar-besaran. Namun kepuasan pastinya dapat dirasai lebih-lebih lagi bila buat sendiri.Baik di rumah sendiri mahupun rumah mak ayah di kampung. Malah inilah juga peluang berbakti selagi hayat mak ayah masih ada.
Baru-baru ini Puan Sri Normala Samsudin, 58 berkesempatan pulang ke kampung halaman di Kampung Kuing Patah, Buloh Kasap, Segamat Johor. Kepulangan ke rumah bonda tercinta pasca banjir, bertujuan untuk menziarahi bonda tersayang yang kini berusia 84 tahun, sekaligus membantu membersihkan kawasan rumah yang turut dilanda banjir pada awal Januari lepas.
Dalam perkongsian video di Instagram bekas Penyampai Berita Buletin Utama dan Pengacara Rancangan NONA ini kelihatan bersungguh-sungguh dalam melakukan kerja-kerja rumah dan membersihkan bilik ibu tercinta.
Dalam berseloroh, isteri kepada bekas Menteri Sumber Manusia, Tan Sri Azmi Khalid ini turut menjelaskan bahawa emaknya tidak menggemari orang lain mengemas biliknya melainkan Normala dan adiknya sendiri.
“Hampir dah 5 tahun tak spring cleaning dan bersihkan bilik emak. Rasa sakit badan tapi puas hati buat sendiri. Biasalah emak kita memang tak suka kalau orang lain bersih bilik dia, samada adik saya atau saya, kemas lama-lama sikit pun takpa… kalau orang lain cuci dia akan jenguk bilik dia 10 kali.”ujarnya.
Ramai yang berkongsi di ruangan komen, rasa bahagia melihat Puan Sri Normala berbakti menolong mak tersayang malah turut mendoakan kesihatan dan kesejahteraan buat kedua-duanya.
Puan Sri Normala Samsudin kini menetap di Negeri Perlis Indera Kayangan. Sering mengamalkan gaya hidup aktif, berbasikal, mendaki bukit dan sebagainya, maka tidak hairanlah beliau masih kekal cantik dan mengekalkan anggun pesona yang tersendiri.
Mingguan Wanita: Alhamdulillah, selagi dapat berbakti pada mak ayah, rasa sakit-sakit badan memang tolak tepi. Puas hati sebenarnya bila dapat kemas dan buat sendiri.
Dayuskah seorang suami yang unboxing isteri? Trend segelintir pasangan pengantin baru ‘unboxing pengantin’ atau ‘unboxing by husband’ menjadi ikutan terutamanya di kalangan pengantin wanita bertudung baru-baru ini. Ternyata trend tersebut semakin digilai ramai dan kini mendapat kecaman dan kritikan yang hebat daripada orang ramai.
Bagi menyedarkan orang ramai tentang trend tersebut, Ustazah Asma’ Harun dan tim penyelidikanya berkongsi tentang isu ‘unboxing pengantin’ atau ‘unboxing by husband’ ini. Seperti mana yang dikongsi menerusi akaun rasmi Facebook milik Ustazah Asma’ Harun menerangkan betapa pentingnya seorang suami menjaga maruah dan kehormatan isteri dan anak-anak.
“Menurut Imam al-Munawi, sifat dayus (الديوث) merujuk kepada orang yang membiarkan kejahatan / maksiat dalam keluarganya, iaitu isteri dan kerabat terdekatnya. Dalam erti kata lain, dayus juga mudah difahami sebagai seseorang yang tidak ada perasaan cemburu (kerana iman) terhadap isteri dan anak-anaknya.
“Mengapa penting untuk seorang suami dan ayah memiliki perasaan ‘CEMBURU’ ini? Cemburu seorang suami dan ayah adalah WAJIB bagi mereka demi menjaga maruah dan kehormatan isteri dan anak-anaknya. Tanpa perasaan ini, seorang bapa atau suami tidak ada rasa sensitif dan ambil peduli terhadap apa yang dilakukan oleh isteri dan anak-anaknya. Dengan siapa mereka bergaul, dengan siapa mereka keluar, adakah aurat mereka telah ditutup sempurna dan adakah mereka ada sifat malu dalam diri? Semuanya tak diendahkan.
Di saat seorang suami atau bapa menyedari dan mengetahui kemungkaran yang dilakukan oleh si isteri dan anak-anak, namun masih tidak menegur dan mengubahnya. Maka inilah yang dinamakan DAYUS yang sebenar.
Daripada Abdullah bin Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Tiga golongan yang telah diharamkan oleh Allah daripada memasuki syurga: Iaitu penagih arak, orang menderhakai ibu bapanya dan orang yang dayus iaitu orang yang membiarkan kejahatan dalam keluarganya.
(HR Ahmad, hadis sahih)
Allahu Akbar, terkejut dan sedih rasa apabila melihat trend “Unboxing by Husband” yang dimuat naik beberapa pasangan muda yang baru sahaja bernikah dan masih memakai busana pengantin, sehingga ada yang sanggup membuka tudung.
“Walaupun bukan sehingga tahap membuka pakaian seperti barat, namun saya tertanya adakah tidak ada sekelumit pun perasaan malu dalam diri ketika memuat naik video ini? Ke manakah peranan seorang suami yang seharusnya menjaga maruah dan kehormatan rumah tangga yang baru sahaja dibina?
“Kadang disebabkan rasa teruja yang amat dalam melalui peristiwa yang sangat dinanti-nantikan, menyebabkan kita hilang pertimbangan. Mungkin ada yang terlalu gembira sehingga merasakan detik itu perlu dirakam dan dikongsikan kepada orang ramai, sedangkan ia sepatutnya disimpan kemas sebagai detik istimewa suami isteri.
“Budaya berkongsi sesuatu yang peribadi bagi suami isteri ini bukan budaya dan tuntutan Islam. Bayangkan, apabila video sebegini mula tular dan semakin ramai pula pasangan pengantin baru yang ikut melakukan perkara ini, bagaimana agaknya? Ingatlah pesan Rasulullah SAW dalam sebuah hadis:
Maksudnya: “Kalian benar-benar akan mengikut jalan orang sebelum kalian sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehinggalah jika mereka masuk ke dalam lubang biawak pun kalian akan memasukinya. Kami (iaitu kalangan sahabat) bertanya: “Ya Rasulullah, adakah mereka itu Yahudi dan Nasrani? Baginda SAW menjawab: “Siapa lagi (kalau bukan mereka)?”
(HR Muslim, hadis sahih)
Sahabat, jauhilah segala bentuk trend yang menjatuhkan maruah diri sendiri, malahan membentuk budaya yang rosak. Kita amat risau jika sudah terlalu ramai mula ikut trend yang sama, lalu akhirnya kemungkaran pun jadi suatu yang dianggap biasa. Nauzubillah.
Maksudnya: “Barangsiapa menjadi pelopor suatu amalan kebaikan lalu diamalkan oleh orang sesudahnya, maka akan dicatat baginya ganjaran seperti ganjaran orang yang mengikutinya dan sedikitpun tidak akan mengurangi ganjaran yang mereka peroleh. Sebaliknya, barangsiapa menjadi pelopor suatu amalan keburukan lalu diamalkan oleh orang sesudahnya, maka akan dicatat baginya dosa seperti dosa orang yang mengikutinya, tanpa mengurangi dosanya sedikit pun.”
(Riwayat Muslim, hadis sahih)
“Islam sangat menitikberatkan tentang sifat malu pada diri seseorang, begitu juga buat suami isteri. Antara adab yang penting namun sering dilupakan termasuklah tidak mendedahkan kemesraan suami isteri secara terbuka di depan khalayak umum.
“Hikmahnya supaya tidak timbul fitnah (syahwat) kepada orang lain, rasa tidak senang orang sekeliling yang melihat atau mempengaruhi orang yang belum ada hubungan sah untuk turut melakukan perbuatan yang dihalalkan kepada suami isteri.
“Larangan ini bukan sahaja dalam bab berpelukan, mencium pasangan, suap menyuap, dan sebagainya, tetapi termasuk juga posting di media sosial sama ada gambar atau video suami isteri bermesraan secara intim.
“Buat adinda sekalian yang saya kasihi kerana Allah,
“Yakin dan percayalah bahawa mempamerkan momen romantis bersama pasangan untuk tontonan umum bukanlah kayu ukur sebenar kebahagiaan. Lumrah lelaki suka melihat, wanita suka dilihat.
“Namun, pesanan penting buat para suami, peliharalah aurat dan maruah isteri, serta didik dirinya dengan taqwa dan sifat malu. Jangan sampai menjadi seorang suami yang DAYUS. Dan buat kaum wanita, jangan pula biarkan diri kita terpedaya dengan kehendak nafsu sendiri, bimbang kelak bila sudah terlambat terpaksa menanggung penyesalan yang tiada kesudahan.
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya malaikat-malaikat yang kasar dan keras, yang tidak derhaka kepada Allah terhadap apa yang Dia perintahkan kepada mereka, dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.”
“Pasangan bukanlah objek yang layak diperlakukan sebegitu tanpa rasa segan atau mengaibkan. Sebagai ketua keluarga, suami perlu sedar dan tahu membezakan perkara yang baik di sisi agama ataupun sebaliknya. Bersederhanalah dalam ekspresikan kebahagiaan.
“Peranan suami dan isteri supaya saling menegur dan perbaiki akhlak sesama pasangan, bukan menjadi pendorong terhadap perkara yang mengundang murka Allah SWT.
“Saya doakan agar semua yang sudah atau bakal bergelar suami isteri diberikan hidayah dan bimbingan dalam menjalani kehidupan berumah tangga. Agar suami, isteri, ibu ayah dan anak-anak semuanya menjadi penyejuk mata kita.
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
“Semoga dengan kita memohon bersungguh-sungguh supaya diberi hidayah, Allah SWT menyelamatkan kita daripada terjatuh ke lembah dosa maksiat yang hitam dan melemaskan
“Semoga bermanfaat buat semua,” tulis Ustazah Asma’ Harun.
Mingguan Wanita: Benar tu suami tolonglah pelihara maruah isteri jangan dek kerana ikut trend maruah diabaikan.
Penemuan mayat wanita dalam beg di sebuah rumah kosong di Pedas dipercayai berkaitan kehilangan Suri sejak 15 Disember. Siasatan diteruskan bagi mengenal pasti identiti dan suspek terlibat.