“Syarat utama saya beritahu Wany ialah labuhkan tudung. Itu paling utama” begitulah ungkapan dari suami kepada penyanyi popular Wany Hasrita, Mohd Al-Adib Fahmi Harun apabila diaju soalan untuk isterinya meneruskan karier seni.
Sebelum ini, Wany Hasrita, 30, selamat bernikah dengan lelaki pilihannya Mohd Al-Adib Fahmi Harun, 30, dengan dua kali lafaz, di Glam Hall, Damansara Perdana.
Pasangan itu dinikahkan bapa pengantin perempuan Hasbullah Hassan, 56, dengan disaksikan Penolong Pendaftar Perkahwinan Qariah Masjid Al Mukarramah, Daerah Petaling, Mat Syaharuddin Al Rasyid Mat Isa.
Pada majlis itu, Wany atau nama sebenarnya Nurshazwany Hasrita Hasbullah menerima mas kahwin sebentuk cincin berlian. Manakala wang hantaran dirahsiakan serta tidak ada dulang hantaran daripada kedua-dua pihak.
“Syarat Utama Saya Beritahu Wany Ialah Labuhkan Tudung.”
Seperti mana dipetik menerusi Harian Metro, Mohd Al-Adib akui sudah bersedia menjadi seorang suami kepada selebriti dan harungi hidup ‘glamor’.
Ads
“Bagi saya, kalau peminat Wany setakat meminta untuk ambil gambar dan berborak biasa, itu tiada masalah. Asalkan, jangan sampai mengganggu kehidupan peribadi dan karier saya saja.
“Untuk syarat Wany dalam meneruskan karier seninya, saya mudah saja. Apa-apa yang dia akan buat atau dia tanya boleh buat ke tidak, selalunya saya akan tanya dia balik, kalau saya buat okey tak? Macam ‘reverse psychology’ sebab wanita memang selalu rasa dia yang betul kan?
“Apapun, syarat utama yang saya beritahu dia ialah labuhkan tudung. Itu paling utama. Untuk masak pula, zaman sekarang sudah berubah dan banyak kemudahan untuk mendapatkan makanan,” ungkapnya.
Mohd Al-Adib juga menerangkan dia begitu tertarik dengan sikap Wany yang tidak suka merungut apabila ditimpa masalah dan sentiasa mengucapkan Alhamdulillah.
Dek kerana itu membuatkan hatinya tertarik sehingga jatuh cinta.
“Saya terpikat dengan isteri kerana dia mempunyai hati yang baik dan tidak gemar bercakap buruk mengenai orang lain,” sambung Mohd Al-Adib.
Susu ibu ternyata mempunyai banyak khasiat yang tersendiri. Lebih-lebih lagi bagi peringkat bayi yang berumur 2 tahun ke bawah, mempunyai masalah kesihatan, lahir secara pramatang dan sebagainya.
Namun demikian, bukan semua wanita yang bergelar ibu berpeluang untuk menyusukan bayi dengan susu badan sendiri. Terdapat segelintir yang memang mempunyai masalah ‘tiada susu badan’ walau telah mencuba pelbagai usaha.
Atas kekangan ini, Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada Selasa merasmikan Pusat Susu Bonda Halimatussaadia di Pusat Kesihatan Sultan Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (SASMEC@IIUM) di sini, yang merupakan bank susu patuh syariah pertama di Malaysia.
Sehubungan itu, Tunku Azizah menzahirkan harapan agar ibu yang diberikan kelebihan susu badan yang banyak untuk mendermakan susu kepada pusat itu kerana susu ibu adalah yang terbaik untuk bayi, selain berharap lebih ramai wanita mengetahui kewujudannya.
“Sebagai ibu yang susah mendapat anak, semasa mengandung, saya memang ingin menyusukan semua anak dengan susu ibu. Tetapi ALLAH SWT kurnia ini, mungkin ada (perkara lain) yang tidak dapat.
“Walaupun saya berjaya dengan kuasa ALLAH memakbulkan doa saya dikurniakan anak, tapi malangnya saya tidak dapat menyusukan seorang pun anak kerana saya antara seorang yang tiada susu.
“Waktu itu, IIUM tiada bank susu…kalau sudah ada bank susu, sudah tentu anak-anak saya boleh memanfaatkan kelebihan susu ibu. Saya sedih juga kerana tidak dapat memberikan susu ibu kepada anak sendiri,” titah Seri Paduka Baginda.
Tunku Azizah bertitah demikian semasa menyempurnakan perasmian pusat susu tersebut yang dinamakan sempena ibu susuan Nabi Muhammad SAW di sini pada Selasa, yang turut dihadiri Presiden IIUM, Tan Sri Samsudin Osman dan Rektornya Prof Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak.
Pada titah itu, Tunku Azizah juga berkongsi bahawa sejak idea menubuhkan bank susu itu disembah maklum ke pengetahuan baginda, Seri Paduka Baginda telah menitahkan supaya penyelidikan menyeluruh dilakukan agar tidak timbul isu dari segi hukum syarak khususnya untuk mengelak daripada berlaku pertalian adik-beradik susuan.
“Saya suruh mereka untuk semak betul-betul dan alhamdulillah, apa yang hendak dibuat IIUM telah dimakbulkan…dalam apa juga program yang saya lakukan, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan bertitah supaya jangan hangat-hangat tahi ayam dan saya berharap bank susu ini juga akan berterusan,” titah Seri Paduka Baginda.
Sementara itu, Samsudin dalam ucapannya berkata, penubuhan pusat susu itu telah melalui pelbagai siri perbincangan dengan jabatan agama termasuk Pejabat Mufti Pahang, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) serta Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Pahang bagi mendapatkan panduan dan nasihat jelas berhubung pematuhan syariah.
Antaranya, ia sangat menitikberatkan sumber susu, kekenyangan bayi yang dicatatkan dengan penuh ketelitian selain penderma dan penerima saling berkenalan serta penderma wajib mendapatkan keizinan suami.
SASMEC@IIUM dalam kenyataan pula memaklumkan idea penubuhan pusat susu itu bermula pada akhir 2019 sebagai sebahagian daripada inisiatif hospital mesra bayi dengan penyelidikan meluas termasuk mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) yang komprehensif bagi mematuhi maqasid syariah dalam memelihara bukan hanya nyawa, malah keturunan, harta dan akal.
“Semua prosedur diteliti oleh pasukan terdiri daripada doktor Jabatan Obstetrik dan Ginekologi serta Jabatan Pediatrik, jururawat ahli mikrobiologi dan Jabatan Pematuhan Syariah.
“SOP yang dibuat juga mengandungi garis panduan lengkap yang memperincikan keseluruhan proses daripada pengambilan bakal penderma susu sehingga penyusuan susu penderma kepada bayi.
“Aplikasi digital i-Milk juga dicadangkan sebagai tambahan untuk memastikan jumlah susu penderma yang diberikan kepada bayi baru lahir mematuhi syariah dan keturunan susu ibu terpelihara,” menurut kenyataan itu.
Selain itu, pasukan penyelidikan terlibat juga telah melawat sebuah bank susu di Hospital Queen Elizabeth di Glasgow, Scotland bagi mempelajari kemahiran teknikal dalam mewujudkan dan menyelenggara bank susu.
Mingguan Wanita:Alhamdulillah di atas perasmian Pusat Susu Bonda Halimatussaadia (HMMC), semoga lebih ramai lagi bayi berpeluang menerima khasiat susu ibu, mengikut garis panduan dan pematuhan syariah yang telah ditetapkan.
Siapa sangka adat dan ritual tradisi masyarakat setempat di sesebuah kawasan mahupun negara adakalanya cukup unik. Buaya yang dianggap binatang berbahaya, dikahwinkan dengan pemimpin tempatan dipercayai mampu membawa ‘rezeki’ dan ‘tuah’.
Di Mexico, seorang Datuk Bandar melamar seekor buaya yang lengkap dipakaikan gaun pengantin demi meneruskan upacara tradisi di negeri itu.
Datuk Bandar San Pedro Huamelula, Victor Hugo Sosa ‘berkahwin’ dengan buaya itu sebagai sebahagian daripada ritual tradisi orang asli untuk membawa ‘rezeki’ ke kampung di barat daya Mexico.
Upacara itu turut dipercayai akan membawa ‘tuah’ kepada komuniti nelayan setempat.
Buaya betina yang dinamakan Little Princess dikenakan pakaian berwarna putih seperti pengantin dan kemudian dibaptiskan sebelum Sosa melafazkan ikrar perkahwinan.
Pengantin lelaki turut memberikan ciuman kepada isterinya.
Reptilia berusia tujuh tahun itu dipercayai sebagai dewa yang mewakili ibu pertiwi dan perkahwinan dengan pemimpin tempatan melambangkan penggabungan manusia dengan alam lain.
Majlis penuh warna-warni itu turut diserikan dengan persembahan muzik tradisional dengan tetamu bersorak kegembiraan.
“Kami meminta alam supaya hujan turun dengan cukup, makanan serta mempunyai sumber ikan di sungai,” kata datuk bandar itu.
Oaxaca terletak di selatan Mexico yang mempunyai ramai penduduk miskin.Mexico merupakan negara paling kaya dengan budaya orang asli dan masih mengekalkan bahasa serta tradisi mereka.
San Pedro Huamelula ialah sebuah perkampungan nelayan kecil di pantai Pasifik Oaxaca.
Setiap umat Islam pasti berhajat untuk jadi tetamu Allah suatu hari nanti. Tak dapat bayangkan betapa syukur dan seronoknya bila dijemput untuk tunaikan haji. Itu rezeki yang paling istimewa.
Namun, jika belum rezeki dan tidak terpanggil untuk jadi tetamu Allah, jangan sedih. Ada cara yang boleh kita lakukan. Inilah yang dikongsikan oleh Ustazah Asma’ Harun.
Seseorang yang telah bersungguh-sungguh melakukan persediaan dan menanam azam yang tinggi untuk jadi tetamu Allah namun tidak dipanggil menjadi tetamu-Nya, sesungguhnya Allah SWT menerima niat mereka untuk melaksanakannya dengan ganjaran pahala yang sempurna
Di dalam satu hadis qudsi, ada menyebutkan bahawa Allah SWT telah berfirman:
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah menetapkan nilai kebaikan dan kejahatan, kemudian Dia menjelaskannya. Maka siapa berniat mengerjakan kebaikan tetapi tidak dikerjakannya, Allah mencatatnya sebagai satu kebaikan yang sempurna. Jika ia berniat untuk berbuat kebaikan lalu ia mengerjakannya, Allah mencatatnya sebagai 10 sampai 700 kali kebaikan atau lebih banyak lagi. Jika ia berniat melakukan kejahatan, tetapi ia tidak mengerjakannya, Allah mencatatkan padanya satu kebaikan yang sempurna. Jika ia berniat melakukan kejahatan lalu dikerjakannya, Allah mencatatnya sebagai satu kejahatan”
(HR Bukhari & Muslim, hadis sahih)
SubhanAllah, mudahnya Allah SWT nak berikan kita pahala, hanya dengan niat melakukan kebaikan sudah diberikan ganjaran. Tak semua yang kita hajatkan itu baik untuk kita, namun akhirnya takdir Allah jualah yang terbaik buat hamba-hambaNya.
Firman Allah SWT: وَعَسَىٰ أَن تُحِبُّوا شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَّكُمْ ۗ وَاللَّـهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ Maksudnya: “Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” (Surah Al Baqarah: 216)
Benarlah, kita hanya mampu merancang, tapi Allah yang menentukan segalanya. Berbaik sangkalah kepada-NYA. Pasti ada hikmah di sebaliknya.
Walaupun tak dapat ke Tanah Suci Mekah dan Madinah, tapi sebenarnya ada banyak amalan yang ganjarannya umpama pahala haji yang boleh kita lakukan. Antaranya adalah:
1. SOLAT SUBUH BERJEMAAH
Daripada Anas bin Malik beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Siapa yang solat subuh berjamaah kemudian duduk berzikir sehingga matahari terbit kemudian diikuti dengan solat dua rakaat, maka dia mendapatkan pahala seperti pahala haji dan umrah.” Beliau (Anas r.a.) berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Sempurna, sempurna, sempurna.”
(HR Tirmizi, hadis hasan)
Maksudnya: “Seorang lelaki datang kepada Nabi Muhammad SAW berkata: “Aku ingin berjihad tetapi aku tidak mampu.” Baginda SAW bertanya kembali: “Adakah ibu bapamu masih hidup?” Lelaki itu berkata: “Ya, ibuku.” Lalu, baginda SAW berkata: “Berbuat baiklah kepada ibumu kerana ALLAH, engkau akan dapat pahala haji, umrah dan jihad jika ibumu redha kepadamu. Bertakwalah kepada Allah dan berbuat baiklah kepadanya.”
(HR at-Tabrani, hadis hasan)
3. MENGHADIRI MAJLIS ILMU DI MASJID
Daripada Abu Umamah r.a., Nabi Muhammad SAW bersabda:
مَنْ غَدَا إِلَى الْمَسْجِدِ لَا يُرِيدُ إِلَّا أَنْ يَتَعَلَّمَ خَيْرًا أَوْ يَعْلَمَهُ، كَانَ لَهُ كَأَجْرِ حَاجٍّ تَامًّا حِجَّتُهُ
Maksudnya: “Siapa yang pergi ke masjid dengan tujuan untuk mempelajari sesuatu kebaikan atau mengajarkannya, maka baginya pahala seperti orang yang menunaikan haji dengan sempurna.”
(HR al-Thabrani di dalam al-Mu’jam al-Kabir, hadis sahih)
4. MEMBACA UCAPAN TAHMID, TAKBIR DAN TASBIH SELEPAS SOLAT FARDHU
Maksudnya: “Pernah datang sahabat yang miskin kepada Nabi SAW lalu berkata, “Orang-orang kaya, dengan harta benda mereka itu, mereka mendapat kedudukan yang tinggi, juga kenikmatan yang abadi. Mereka melaksanakan solat seperti juga kami melaksanakan solat, mereka puasa sebagaimana kami juga puasa. Namun, mereka memiliki kelebihan disebabkan harta mereka, sehingga mereka dapat menunaikan ibadah haji dengan harta tersebut, dapat melaksanakan umrah bahkan dapat berjihad dan bersedekah.” Maka Rasulullah pun bersabda: “Mahukah aku sampaikan kepada kamu sesuatu yang apabila kamu ambil (sebagai amal ibadah) kamu akan dapat mengatasi (darjat) orang yang sudah mengalahkanmu. Dan tidak akan ada yang dapat mengalahkanmu dengan amal ini sehingga kamu menjadi yang terbaik di antara kamu dan di tengah-tengah mereka, kecuali apabila ada orang yang mengerjakan seperti yang kamu amalkan ini. Iaitu kamu membaca tasbih (Subhanallah), membaca tahmid (Alhamdulillah) dan membaca takbir (Allahu Akbar) setiap selesai solat sebanyak tiga puluh tiga kali.”
(HR Bukhari, hadis sahih)
5. SOLAT FARDHU JEMAAH DI MASJID
Daripada Abu Umamah r.a., Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Sesiapa yang keluar dari rumah dalam keadaan suci untuk menunaikan solat fardu, pahalanya seperti menunaikan haji.”
(HR Abu Daud, hadis hasan)
Semoga dengan melakukan amalan ini dapat memberikan ganjaran serta memujuk hati para jemaah yang telah bersedia menunaikan haji namun tidak direzekikan untuk menjadi tetamu Allah SWT pada tahun ini.
Mingguan Wanita : Sentiasa pasanga niat moga suatu hari mampu jejakkan kaki ke rumah Allah. Aamiin.
Lelaki Bangladesh kahwini wanita lumpuh berusia 69 tahun sebelum dipercayai mempergunakan isterinya untuk mendaftarkan tiga syarikat yang dikaitkan dengan kegiatan menyediakan permit kerja palsu kepada warga asing.