Dalam suasana penuh adat istiadat dan kemuliaan diraja, hari ini menjadi saksi bersatunya dua jiwa dalam ikatan suci. Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj selamat diijabkabulkan dengan Cik Afzaa Fadini Datuk Abdul Aziz dalam satu majlis akad nikah yang berlangsung di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah, Klang.
Menyusuli detik bersejarah itu, DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Kelas Pertama Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.) yang membawa gelaran Datin Paduka Seri kepada Cik Afzaa.
“Dengan penganugerahan itu, gelaran rasmi konsort kepada Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor adalah Yang Mulia Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Datuk Abdul Aziz,” titah Datuk Pengelola Bijaya Diraja Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani dalam satu kenyataan.
Majlis perkahwinan diraja itu berlangsung dengan penuh keanggunan, dihadiri kerabat diraja, tetamu kenamaan serta dif-dif jemputan. Adat istiadat Melayu Selangor diserikan dengan doa restu, menjadikan penyatuan ini bukan sahaja diraikan sebagai perkahwinan diraja, tetapi juga simbol kasih, tanggungjawab dan harapan bagi masa depan negeri.
Isu status perkahwinan pasangan selebriti popular, Kamal Adli dan Uqasha Senrose, akhirnya terjawab apabila Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) mengesahkan bahawa pernikahan mereka sah di sisi syarak.
Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan pada Khamis, JAIP memaklumkan bahawa pasangan tersebut telah dinikahkan pada 4 November 2021, jam 9.30 malam di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Bentong, dengan wali mujbir pengantin perempuan yang juga bapa kandungnya, Nik Sen Mat Ripin.
“Berdasarkan Rekod Pendaftaran Nikah Negeri Pahang, Ahmad Kamal bin Ahmad Adli (Kamal Adli) telah sah bernikah dengan Nik Zaris Uqasha binti Nik Sen (Uqasha Senrose) melalui persetujuan dan kehadiran wali mujbir, Nik Sen bin Mat Ripin.
Bapa pengantin mewakilkan (secara wakalah wali) kepada Penolong Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Kawasan Bentong 1 untuk menjalankan akad nikah tersebut,” jelas kenyataan itu.
Majlis akad nikah pasangan selebriti berkenaan dijalankan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih berkuat kuasa.
Wali mujbir ialah wali yang mempunyai kuasa mengahwinkan anak atau cucu perempuan yang masih dara tanpa perlu meminta izin terlebih dahulu, dengan syarat perkahwinan itu mendapat kerelaan anak dan persetujuan bakal suami.
Terdahulu, nama pasangan ini kembali menjadi perhatian selepas Uqasha mempersoalkan tarikh pernikahan mereka dalam satu hantaran di media sosial, mendakwa tarikh dalam sijil perkahwinan berbeza daripada tarikh sebenar.
Pelakon drama Hati Tanpa Rasa itu mendakwa akad nikah berlangsung pada 5 November 2021, dan menuduh pihak suami serta keluarganya telah memanipulasi tarikh pernikahan.
Namun begitu, hantaran berkenaan kemudiannya dipadam, dan JAIP tampil menjelaskan kedudukan sebenar berdasarkan rekod rasmi.
Sebelum ini, Uqasha dilaporkan telah memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur pada 1 Oktober lalu, sekali gus mengundang pelbagai spekulasi tentang hubungan mereka.
Air muka tenang Hazwani Helmi sebaik tiba di Lapangan Terbang Istanbul, Turkiye jam 8.40 malam semalam, nyata tidak dapat menutupi pengalaman perit yang baru dilaluinya.
Sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) ini, yang juga penyanyi dan aktivis kemanusiaan, tampil menceritakan kekejaman rejim Zionis terhadap para tahanan sebaik sahaja dilepaskan dari cengkaman tentera Israel (IDF).
Dalam temu bual eksklusif bersama Al Jazeera, Hazwani menggambarkan layanan zalim yang diterima sebagai sesuatu yang tidak mungkin dapat dilupakan.
“Ia memang teruk. Apa yang boleh saya katakan, mereka layan kami seperti binatang. Kami tidak diberi makanan dan minuman bersih,” ujarnya penuh sebak.
Hazwani turut mendedahkan bahawa segala ubat-ubatan, beg, dokumen dan barangan peribadi mereka telah dirampas tanpa belas ihsan.
“Sampai sekarang kami masih belum dapat semula barangan kami. Dunia perlu tahu kekejaman mereka,” tambahnya lagi.
Lebih memilukan, Hazwani menceritakan bagaimana aktivis alam sekitar terkenal dunia, Greta Thunberg, turut diperlakukan secara tidak berperikemanusiaan oleh tentera Zionis.
“Saya teringat bagaimana mereka menyeretnya dengan kasar dan menekap bendera Israel di wajahnya. Mereka melayannya seperti binatang,” dedah Hazwani dengan suara bergetar.
Menurut laporan media antarabangsa, Greta yang kini berusia 22 tahun masih berada dalam tahanan tentera Israel. Kerajaan Sweden dilaporkan sedang giat berunding untuk membawa pulang aktivis muda itu melalui saluran undang-undang.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengesahkan 23 sukarelawan Malaysia yang menyertai misi GSF selamat tiba di Istanbul dan kini menjalani pemeriksaan kesihatan serta mendapat sokongan psikologi penuh daripada pihak berkuasa Turkiye.
Degup jantung para aktivis kemanusiaan kian deras apabila komunikasi terakhir mereka sebelum terputus kedengaran dingin dan menggerunkan. “See you in jail” – itulah mesej provokasi yang diterima peserta misi Global Sumud Flotilla (GSF), sebelum talian radio kapal dipintas rejim Israel.
Nurul Hidayah Mohd Amin atau lebih dikenali sebagai Ardell Aryana, sempat memuat naik IG Story yang menceritakan detik cemas itu. Menurutnya, tentera Isr4el menyekat talian internet, memadamkan akses komunikasi sebaik sahaja kapal Mikeno yang dinaikinya berada di Zon Merah R3 sejak jam 9 malam waktu Gaza.
“Saya sedang cuba sorok telefon bimbit saya. Tentera Israel sedang sekat semua line internet kami… Kami tunggu masa untuk live semula. Doakan kami dan rakan-rakan kami,” tulis Ardell dalam catatan singkatnya.
Setakat jam 4.30 pagi, Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) mengesahkan tiga kapal misi – Alma, Sirius dan Adara – telah ditawan tentera Israel. Malah, lapan amaran kecemasan tahap tinggi telah diaktifkan.
Kapal Alma membawa tiga aktivis Malaysia: Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil, manakala kapal Sirius pula menempatkan Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli dan Rusydi.
Namun, status sebenar kesemua aktivis di atas kapal masih belum diketahui. Apa yang pasti, tujuh rakyat Malaysia kini disahkan ditahan secara tidak sah oleh rejim Zionis.
Meskipun berdepan ancaman, Ardell menegaskan bahawa seluruh peserta flotilla tetap berpegang pada matlamat asal mereka: menghantar bantuan kemanusiaan kepada rakyat G4z4 yang sedang menderita.
“Belum cukup membongkarkan kegiatan mereka! Ya Allah, selamatkan semua orang awam yang bersama kami untuk hantar bantuan kemanusiaan di G4z4. Walaupun kami telah dikepung, kami yakin Allah bersama kami,” ujarnya penuh reda dan tawakal.
Kini, nasib 23 aktivis Malaysia yang menyertai konvoi pelayaran ini terus menjadi tanda tanya. Dunia menanti dengan debar, apakah khabar mereka yang kini ditawan dalam perjalanan suci membawa bantuan ke bumi G4z4.
3 kapal diserang.
12 kapal aktifkan SOS emergency.
Kapal-kapal kecil disimbah air.
Beberapa aktivis, termasuk 7 rakyat Malaysia, ditahan.
Siaran langsung oleh Haroq, Ardell, Zizi & Farah Lee terputus – hanya Hazwani sempat bersiaran lebih lama.
Semua live berakhir apabila kapal Israel menghampiri flotilla.
Isyarat internet dipercayai diganggu secara sistematik.
Sukarelawan diminta membuang telefon ke laut demi keselamatan.
Sedang berpantang selama 15 hari selepas melahirkan anak kedua pada 2016 bukan penghalang untuk ibu anak tiga menghadiri temuduga dalam bidang kejuruteraan.