Bukan calang-calang semangat dan keberanian yang diperlukan apabila melibatkan diri dalam sukan ekstrem udara. Apatah lagi faktor usia bukanlah satu halangan untuk menyahut cabaran melakukan aktiviti ini.
Seorang nenek berusia 93 tahun dari Britain melengkapkan aksi berjalan di atas sayap pesawat yang sedang terbang buat kali kelima, sekali gus membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk melakukan pelbagai cabaran, lapor akhbar Metro UK kelmarin.
Aksi tersebut memerlukan keberanian tinggi untuk memanjat sayap pesawat, diikat dengan abah-abah dan berdiri ketika pesawat melakukan penerbangan aerobatik di udara.
Mengumpul Dana Untuk Badan Amal
Namun, aktiviti itu bukan perkara yang baharu buat Betty Bromage kerana dia telah melakukannya sebanyak empat kali sebelum ini bagi mengumpul dana untuk badan amal, Sue Ryder.
Ads
Diilhamkan oleh sebuah iklan bar coklat di televisyen, warga emas berkenaan mengambil bahagian dalam sukan ekstrem itu pada usia 87 tahun walaupun mengalami radang sendi pada lehernya.
“Anda tidak akan tahu apa yang mampu dilakukan sehinggalah anda mencuba.
“Saya berusia lewat 80-an ketika kali pertama mencuba aktiviti seumpama ini. Sebelum itu, aktiviti paling berbahaya yang pernah saya lakukan adalah menunggang kuda,” katanya.
Ads
Setakat ini, Bromage telah menyelesaikan lima cabaran berjalan di atas sayap pesawat, melintasi garisan zip terpantas dunia di Snowdonia dan melakukan aktiviti turun cenuram setinggi 49 meter di Menara Eagle, Cheltenham.
Mingguan Wanita: Fuh memang luarbiasa semangat dan keberanian nenek ini. Ternyata faktor usia bukanlah penghalang.Tahniah, berani mencabar kemampuan diri dengan menyertai sukan ekstrem udara.
Ibu bayi 9 bulan kongsi detik cemas anak diculik dari rumah pengasuh & bakal dijual kepada sindiket. Tiada apa yang lebih menakutkan seorang ibu bila mana anak kesayangan diculik orang. Lebih menakutkan anak itu dijual kepada sindiket kanak-kanak. Inilah pengalaman ngeri dilalui seorang ibu muda, Farisha Amirah Zainal yang mana bayi kecilnya berusia 9 bulan, Raisya Mohamad Rahimi dilarikan dari rumah pengasuh.
Menceritakan trauma ngeri dilaluinya, dirinya mengakui jantungnya seperti mahu luruh bila diberitahu anak saya dilarikan sekumpulan individu tapi kini saya bersyukur kerana bukan sahaja dia selamat malah polis turut berjaya mengesan suspek yang terlibat.”
Memetik perkongsiannya di Malaysia Gazatte, Farisha Amirah Zainal, 24, ibu kepada bayi, Noor Raisya Mohamad Rahimi, sembilan bulan yang dilarikan sekumpulan individu dalam satu kejadian di Taman Pauh Perai di sini semalam.
Mencerikan kejadian, Farisha Amirah dikejutkan dengan berita kehilangan anak perempuannya pada pukul 5.30 petang sebaik pulang dari tempat kerja dan dalam perjalanan mengambil anaknya dari rumah pengasuh.
Jelasnya, dia kaku dan lemah apabila pengasuhnya yang juga warga emas memaklumkan cucu perempuannya sendiri yang melarikan anaknya.
Ketika itu wanita tersebut sedang solat.
“Memang macam nak luruh jantung bila saya dengar jiran saya (pengasuh) memaklumkan perkara sedemikian. Susulan itu, saya menelefon keluarga termasuk yang di kampung bagi memaklumkan kejadian sebelum suami saya pergi membuat laporan polis.
Sampai pukul 9 malam kami (saya dan suami) masih berurusan dengan pihak polis sebelum saya kuatkan hati pulang ke rumah untuk solat.
“Selepas solat, tiba-tiba naluri hati saya kuat mengatakan anak kami akan kembali ke pangkuan. Susulan itu, saya siapkan kelengkapannya termasuk menyediakan susu serta pakaian dalam satu beg sebelum turun dan tunggu kehadirannya di pos pengawal pangsapuri kami,”.
Menurut Farisha Amirah, sejam kemudian, dia dan suami menerima panggilan daripada polis memaklumkan mereka telah berjaya mengesan suspek namun bayi yang dilarikan tiada bersama.
Katanya, meskipun diberitahu anak mereka belum lagi ditemui namun naluri tetap mengatakan bayi itu akan diselamatkan dan pulang ke pangkuannya.
Syukur sangat selepas 10 minit kami dapat panggilan mengatakan anak saya ditemui dalam keadaan selamat dan dibawa ke Hospital Bukit Mertajam untuk pemeriksaan.
“Memang bagaikan mimpi dan lembik lutut saya sebaik dapat memegang dan peluk anak di hospital. Selalunya dengar cerita sahaja anak diculik tapi tak sangka kami sendiri lalui kejadian ngeri itu.
“Anak saya itu mungkin dijual kepada sindiket sekiranya pihak polis lambat mengesan suspek memandangkan bayi kami ditemui dalam sebuah van yang dipercayai dalam perjalanan ke sempadan negara jiran melalui negeri di Pantai Timur,” jelasnya yang berasal dari Changlun, Kedah.
Tambahnya, sehingga kini, dia masih trauma atas kejadian tersebut selain mengambil keputusan berhenti kerja untuk menjaga anaknya sepenuh masa.
“Saya sudah serik nak bagi orang lain jaga anak dan kami sekeluarga harap mereka yang terlibat dikenakan hukuman setimpal agar kejadian yang sama tidak berulang kepada ibu bapa lain,” katanya.
Terdahulu, lima individu termasuk seorang remaja bawah umur yang dipercayai terlibat dalam kes melarikan bayi berkenaan direman di Mahkamah Bukit Mertajam di sini hari ini.
Mereka yang terdiri daripada dua wanita dan tiga lelaki berusia lingkungan 14 hingga 43 tahun itu direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan iaitu culik.
Hari perkahwinan merupakan hari yang paling bahagia apabila ia turut diraikan oleh insan tersayang, saudara mara mahupun rakan-rakan.Namun demikian atas rasa sedih dan berkecil hati, seorang wanita di China nekad meletakkan jawatan selepas kecewa kerana hanya seorang daripada 70 rakan sekerja menghadiri majlis perkahwinannya, lapor laman berita Oddity Central semalam.
Menurut laman berita ETtoday, wanita yang identitinya tidak dinyatakan itu meluahkan rasa kecewa di media sosial kerana dimalukan oleh rakan-rakan sekerja pada hari bahagianya.
Wanita berkenaan dikatakan bekerja di syarikat tersebut selama lima tahun dan mengaku mempunyai hubungan rapat dengan rakan-rakan sekerjanya.
Dia juga pernah menghadiri majlis perkahwinan satu pertiga daripada 70 rakan sekerjanya, justeru, apabila tiba gilirannya untuk berkahwin, dia yakin mereka akan turut serta.Selain itu, dia menjemput kesemua mereka kerana bimbang ada yang akan berkecil hati sekiranya tidak dijemput.
Tidak dinyatakan sama ada tetamu perlu membuat pengesahan kehadiran sebelum majlis berlangsung atau sebaliknya.
Pada hari perkahwinan tersebut, wanita berkenaan telah mengkhususkan enam meja khas buat semua rakan sekerjanya namun malangnya, hanya seorang yang hadir.
Rakan yang hadir itu merupakan seorang pekerja junior yang berada di bawah seliaannya, yang mungkin berasa bertanggungjawab untuk hadir ke acara itu.
Berdasarkan hantaran di laman sosial Weibo, wanita tersebut berkata, dia berasa dimalukan di hadapan tetamu lain terutamanya keluarga sebelah suaminya.
Dia akhirnya membuat keputusan untuk meletakkan jawatan kerana enggan terus bekerja dengan orang yang telah memalukannya pada hari perkahwinan sendiri.
Mingguan Wanita:Kasihannya. Faham sangat perasaan sedih dan kecewa tu. Hari bahagia sepatutnya diraikan dengan kawan-kawan, dah dijemput namun tak datang. Sangat rasa tak dihargai. Bertabahlah ada kawan-kawan sebegini. Seeloknya cari persekitaran kerja yang lebih positif dan menghargai kawan.
Sungguh ajal maut takdir ketentuan tuhan. Namun insiden gurauan sehingga mengakibatkan kematian sewajarnya mendapat pembelaan dan keadilan secara menyeluruh.
Keluarga kepada remaja lelaki yang meninggal dunia dalam kebakaran di sebuah tandas awam terbiar di Bandar Puncak Alam Fasa 3 di sini, menuntut polis menjalankan siasatan menyeluruh berhubung punca sebenar kematian.
Ibunya, Hizanawati Abu Bakar, 48, berkata, pihak keluarga masih menanti keputusan bedah siasat terhadap anaknya, Muhammad Damin Mikhail Kamsol, 16, yang dijangka diperoleh pada petang Isnin.
Bagaimanapun katanya, keluarga tetap reda dengan pemergian Muhammad Damin namun menuntut keadilan agar punca sebenar dapat diketahui dan didedahkan kepada orang ramai.
“Saya hanya menuntut pembelaan terhadap kematian anak saya dan jika kes ini meragukan, kami akan membuat laporan polis.
“Saya tidak anggap kejadian ini sebagai satu gurauan kerana ia melibatkan kehilangan nyawa selain bimbang selepas ini perlakuan tidak disengajakan seperti ini berlaku kepada pihak lain,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Puncak Alam di sini pada Isnin.
Menurut Hizanawati, kematian Allahyarham Muhammad Damin amat dirasai apatah lagi, dia kehilangan suaminya, Kamsol Abd Kadir, dan anak keduanya, Muhammad Haikal Danial tiga tahun lalu.
Katanya, Allahyarham Kamsol meninggal akibat strok pada April 2019 dan Muhammad Haikal pula maut 1 September tahun sama.
“Luluh hati saya apabila mengenangkan tiga ahli keluarga sudah dijemput Ilahi dan kehilangan Muhammad Damin tentunya memberikan kesan mendalam kepada kami sekeluarga,” ujar Hizanawati.
Hizanawati memberitahu, Muhammad Damin sebelum ini mengalami kecederaan luka di dua jari kanan akibat terkena serpihan kaca semasa membonceng motosikal ke tempat futsal pada Jumaat lalu.
Ujarnya, akibat kejadian itu, anaknya ada mengambil ubat dan mungkin atas faktor itu Allahyarham Muhammad Damin mengalami gejala mengantuk semasa kejadian.
“Malah semasa pagi sebelum kejadian arwah meminta izin untuk keluar rumah mengikut rakannya ke restoran mamak berhampiran.
“Sebelum keluar, saya sempat bertanya pada arwah hendak makan apa hari ini dan Muhammad Damin memberitahu ingin nikmati juadah sambal ikan kembung.
“Saya tersentak apabila arwah teringin makan sambal ikan kembung memandangkan arwah abangnya (Muhammad Haikal) menggemari lauk sama,” tambahnya.
Hizanawati memberitahu, sejurus siap memasak, dia kemudian menghantar aplikasi WhatsApp kepada Muhammad Damin dan menyuruhnya singgah ke klinik untuk mencuci luka.
Katanya, Allahyarham yang membalas kiriman WhatsApp menyatakan ingin mencuci luka pada petang, namun tidak menyangka dia pergi buat selamanya.
“Saya hanya mengetahui kejadian menimpa anak selepas selesai menunaikan solat Zohor dan terdengar bunyi ketukan pintu rumah.
“Seseorang yang datang ke rumah memberitahu Muhammad Damin sudah keras dan minta saya segera ke tandas awam tersebut.
“Ketika itu badan saya tiba-tiba jadi lemah dan menggigil ketakutan sambil berdoa agar semuanya selamat dan dipermudah,” katanya.
Jelas Hizanawati, sebaik tiba di tandas awam itu, dia kemudian dimaklumkan tidak dibenarkan memasuki kawasan kejadian sambil melihat ketibaan trak polis.
“Pada masa itu, hati saya kuat mengatakan anak kemungkinan sudah tiada dan polis pula meminta saya menunggu di Unit Forensik Hospital Sungai Buloh dan sempat melihat wajah arwah buat kali terakhir di situ,” jelasnya.
Hizanawati memberitahu, Allahyarham Muhammad Damin disifatkan seorang anak bertanggungjawab, peramah dan mengasihi adik-beradik lain.
“Saya sedih sebab arwah rapat dengan saya, malah jika hendak keluar rumah pastinya dia bersalaman, peluk dan cium terlebih dahulu.
“Kehilangan arwah memang saya rasai lebih-lebih lagi arwah seorang anak yang baik dan mendengar kata,” luahnya.
Ujar Hizanawati, jenazah Allahyarham Muhammad Damin dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Puncak Alam selepas urusan bedah siasat selesai.
Pada Ahad seorang remaja berusia 16 tahun ditemui rentung di dalam sebuah tandas awam berhampiran sebuah padang pada Ahad.
Ketika kejadian mangsa dikatakan tidur di atas sebuah sofa di hadapan pintu tandas tersebut sebelum kedua-dua suspek menyalakan api di bawah sofa terbabit untuk bergurau.
Berikutan kejadian itu, polis menahan dua remaja berusia 15 dan 16 tahun untuk membantu siasatan berhubung kejadian kebakaran terbabit.
Kedua-dua suspek ditahan untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 304 Kanun Keseksaan.
Mingguan Wanita: Salam takziah buat keluarga mangsa. Semoga diberik kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian kehilangan anak ini. Semoga keadilan dapat ditegakkan dan pelaku mendapat pembalasan yang setimpal sebagai pengajaran buat yang lain juga.