Izinkan saya mulakan dengan memberitahu, manusia memusuhi apa yang dia tidak tahu. Kisahnya bermula begini.
Anda berkahwin dengan pasangan yang sangat anda cintai. Setelah beberapa bulan hidup
bersama, anda merasa ada sesuatu yang tidak kena. Bukan dia curang atau tidak jujur tetapi perkara lain.
Suami anda itu berperangai pelik. Dia seperti terperangkap dalam dunia sendiri. tidak memandang anda bila bercakap tapi sibuk memandang ke arah lain.
Dia tidak fokus apabila membuat sesuatu kerja. Ada sahaja yang menarik perhatiannya.
Petang semalam anda minta dia membersihkan rumah tetapi selepas dua jam anda lihat dia sibuk dengan hal lain.
Anda nasihat dia jangan memandu laju tetapi minggu depan dia kata mahu meneroka gua di Sarawak.
Dia boleh berjanji dan mungkir janji dalam masa yang hampir sama. Memang masa bercinta dengannya anda sudah nampak dan rasa perkara ini tetapi anda tidak sangka serius macam itu.
Rupanya Suamiku ADHD, Isteri Tak Lagi Bahagia
Kesudahannya anda mengalami tekanan perasaan dan rumah tangga jadi huru-hara. Suatu hari anda terbaca berkenaan satu masalah psikologi yang dikenali ADHD (Attention deficit hyperactivity disorder).
Semua tanda-tanda ADHD yang saya sebut sebelum ini ada padanya. Patutlah anda selalu tersinggung dan tertekan dengan sikapnya.
Sekarang barulah anda faham kenapa dia berperangai begitu. Anda rasa sangat bersalah kerana sudah terlalu salah sangka selama ini. Semua itu bukan sengaja dia lakukan.
Ads
Dan sekarang anda mahu tahu apa yang perlu dilakukan untuk terus hidup bahagia bersama dengannya.
Pertama Sekali, Terima Hakikat
Anda mesti menerima hakikat bahawa mereka yang dikurniakan ADHD adalah berbeza
dengan orang lain.
Memahami dan menerima hakikat ini adalah kunci kepada perjalanan panjang anda untuk hidup bersamanya.
Kedua, Jangan Ambil Hati
Selepas ini jangan terlalu ambil hati tentang sikapnya yang begitu. Orang yang dikurniakan ADHD memang ada masalah untuk fokus dalam tempoh lama.
Mereka sukar menumpu perhatian pada satu-satu perkara. Kalau dia jenis pengemas, maka senyum dan bertabahlah.
Jangan terlalu mengharap yang dia akan mengekalkan kekemasan rumah yang baru anda kemaskan. Dia ada banyak idea untuk mengalih barang yang baru anda kemas itu.
Jika anda marah-marah pun tidak banyak yang akan berubah. Bersabar dan berdoalah banyak-banyak supaya anda boleh terus bersabar.
Ketiga, Cari Jalan Untuk Menyerap Sikapnya
Sikap dan perangai penghidap ADHD pasti sangat mencabar kepada sesiapa yang mahu hidup dengan mereka.
Ads
Sekiranya anda menyayangi suami yang ada ADHD maka carilah jalan untuk menyerap sikapnya itu.
Contoh jika dia selalu tidak ingat apa yang anda minta dia beli di kedai maka buatkan senarai.
Jika anda tidak mahu dia ada idea untuk ke tempat lain, maka telefon dia supaya pulang segera kerana anda perlu apa yang baru dibeli itu.
Keempat, Anggaplah Geram Itu Medan Tambah Pahala
Dalam keadaan ini perasaan geram dan marah pasti akan mencabar tahap kesabaran anda.
Jangan jadikan itu sebagai sesuatu yang anda tidak boleh lalui. Lihat itu sebagai peluang baik untuk anda membuat pahala.
Ads
Ingat, bahawa suami anda itu bukan curang seperti yang anda takut selama ini.
Dia bukan sakit terlantar yang memerlukan perhatian anda 25 jam sehari 8 hari seminggu! Dia hanya ada ADHD. Itu sahaja.
Tidak ada masalah dalam dunia ini yang tidak boleh diselesaikan melalui perbincangan.
Anda mungkin geram dengan suami kerana kesan ADHD itu tetapi bayangkan betapa dia keliru dan marah pada diri sendiri kerana menyusahkan anda.
Oleh itu adalah sangat penting anda duduk berbincang dengan suami tentang perkara itu.
Kelima, Beritahu Suami.. Kerana Dia Takkan Tahu Apa Anda Rasa
Jangan buat andaian sendiri tentang dirinya atau mengharapkan yang dia tahu sendiri apa yang anda rasa.
Beritahu dia tentang apa yang anda lalui. Dengar juga apa yang dia mahu anda faham tentang dirinya.
Perbincangan hati ke hati akan mencerahkan kefahaman tentang had dan keupayaan toleransi anda. Sudah tentu sebagai manusia biasa anda mempunyai had tolak-ansur sendiri.
Namun dalam kebanyakan masa anda tidak perlu berfikir sejauh itu.
Keenam, Latih Diri Jadi Positif
Latih fikiran supaya sentiasa positif. Dia hanya ada ADHD. Dia bukan curang kerana perempuan lain. Setiap malam dia pasti balik ke rumah. Tidak ada masalah bukan?
Jadi, apa yang kecoh sangat?
Penulis : Dr Syed Yusaini Yahya, Relationship Coach, Promind Training And Consultation. Beliau juga merupakan kolumnis ruangan Nota Untuk Isteri di majalah Mingguan Wanita
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Jika bukan isteri menghulur, maka semua dalam rumah kebulur. Nasib isteri lebih teruk dari seorang hamba! Allahu Akhbar, jauhkanlah nasib seorang wanita bergelar isteri yang diperlakukan seperti hamba dalam bahtera yang dibina.
Hari ini ramai wanita yang berada dalam dilema. Mana tidaknya, rumah tangga yang dibina bersama insan disayangi terpaksa diharungi dengan penuh penderitaan.
Ada yang akui suaminya baik namun dari segi nafkah perbelanjaan harian golongan isteri yang lebih banyak menghulur.
Jika Bukan Isteri Menghulur, Maka Semua Dalam Rumah Kebulur
Penulisan penuh bermakna dan perkongsian manfaat dari Puan Sharifah Zahidah menerusi akaun Facebooknya membuka mata para wanita di luar sana terutama mereka yang masih belum bertemu jodoh agar mencari seorang calon suami yang baik dan bertanggungjawab.
Janganlah hanya mencari lelaki yang baik saja ya, carilah lelaki yang bertanggungjawab. Mudah dan ringkas saja namun hal nafkah biasanya selalu terlepas pandang.
“Ramai wanita berdepan dengan kebuntuan apabila diuji dengan suami yang ‘tidak kecil baiknya, tetapi tidak besar pula jahatnya.’ Ini adalah dilema yang paling banyak wanita hadapi. Teruskan membaca.
Suaminya bukan orang jahat.
Tidak mencaci maki.
Tidak memukul.
Tidak panas baran.
Tidak kaki perempuan, kaki botol atau kaki dadah.
Bahkan ada juga baiknya.
Sesekali atau kerap kali berjemaah di masjid.
Selalu ikut aktiviti-aktiviti agama.
Rajin main dengan anak-anak.
Hormat orang tua.
Suka meneman isteri ke sana ke mari.
Tetapi….
Segala beban nafkah diletakkan di pundak sang isteri.
Kereta rosak isteri kena pergi baiki dan keluarkan wangnya untuk kereta sendiri termasuk kereta suami.
Yuran sekolah anak-anak 100% ditanggung isteri. Suami menambah RM100 setahun sekali.
Yuran pengasuh anak juga sama.
Apatah lagi susu, pampers, baju dan alat pendidikan untuk anak-anak. Semuanya di bahu isteri. Si suami sekadar jadi tukang bawa pergi membeli, tetapi beban kewangan semua di bahu isteri.
Jika bukan isteri yang menghulur. Maka semua dalam rumah akan kebulur.
Ikan, sayur, beras, minyak, rempah ratus. Semuanya isteri perlu siapkan dan sponsor. Ada juga sesekali suami bawa balik telur, tepung dan beras sekampit dua; katanya ’melunaskan nafkah keluarga’ yang belanjanya sekitar RM50 sahaja.
Si suami yang manis dengan senyuman pada anak dan isteri ini fikir; ayam, ikan dan dan daging yang mereka 6 beranak itu nikmati, semuanya turun dari langit.
Belum kira bab perabot dan kelengkapan di rumah, bayaran sewa rumah, bil air, api, elektrik dan internet.
Jika bukan isteri yang membayar, sudah lama mereka bergelap gelita.
Kata suami,
“I tahu you taste tinggi. I support saja apa yang you suka. You beli mesin basuh mana you suka, peti apa you nak. I izinkan you beli ikut selera you..” Sambil tersengih-sengih lagak suami misali.
Bila sampai di kaunter untuk bayaran, suami hilang tanpa bayangan. Terkial-kial isteri sekali lagi keluarkan segala simpanan demi mencukupkan keperluan asas dalam kediaman.
Kemudian isteri sebegini jumpa saya, dan mengadu;
“Puan, suami saya baik Puan. Saya sayang dia. Dia pandai buat lawak. Dia selalu senyum dekat saya dan anak-anak. Tak pernah maki atau pukul saya. Tapi kenapa saya rasa STRESS dan TAK BAHAGIA? Kufurkah saya Puan? Orang lain suami kaki pukul, perompak, lari dari rumah tinggalkan anak bini. Saya ni dah bertuah dah suami tak buat semua tu. Tapi kenapa saya betul-betul hilang bahagia dan rasa terlalu penat menjadi isteri dia… Berdosakah saya?”
Saya tarik nafas panjang.
Dan saya mulakan dengan soalan,
“Dari segi urusan kewangan rumahtangga macam mana? Siapa bayar segala belanja rumah, makan, utilities, sekolah anak-anak, kesihatan, kecemasan, belanja balik kampong semua tu…”
Belum saya habis sebutkan satu persatu dia sudah memintas,
“Saya puan. Saya semuanya tanggung apa juga belanja. Kadang-kadang ada juga dia hulur seratus dua.. Sebab gaji dia lebih kecil dari gaji saya..”
“Gaji lagi kecil dari Puan? Maafkan saya bertanya, berapa kecil tu? Berapa gaji Puan dan berapa gaji dia?”
“Gaji saya RM3500, gaji dia dalam RM2800 macam tu.”
“Beza RM700. Tapi tanggungan semua di bahu Puan atas alasan suami gajinya lebih kecil?” Saya sekadar menduga. Ada bayangan keliru yang nyata di wajahnya.
“Sekarang Puan keliru, apa yang membuatkan hilang sudah senyuman di bibir Puan, tak rasa kebahagiaan tapi sang suami sentiasa tenang dan kelihatan ‘menyenangkan’ di mata Puan? Kalau Puan yang berada di posisi suami Puan sekarang, agak agak Puan bahagia tak?”
Persoalan demi persoalan saya lontarkan untuk dia mencari jawapan.
Akhirnya saya tanya,
“Sebenarnya, puan tahu ke apa yang membuatkan suami sentiasa tersenyum bahagia tapi puan menjeruk rasa dan menderita?” Saya bertanya tanpa berselindung apa-apa lagi.
Tugas saya bila mendengar, adalah membawa dialog kami kepada satu kesimpulan yang membuka mata dan letak duduk perkara bagi mereka yang bercerita.
Bukannya saya yang perlu beri jawapan. Bahkan jawapan itu perlu dicari sendiri oleh sang isteri yang meluahkan.
Masalah ini, dilema ini, bukan seorang dua wanita yang merasa. Tapi sangat ramai dalam kasut yang sama.
Dia rasa dia bahagia sebab suami tak caci tak cela dia. Tak main judi tak makan pil kuda. Tapi dalam masa yang sama, hampir seluruh jiwa raga dia sudah ‘HILANG’ dalam rumahtangga yang dibina. Sedangkan suami bersenang lenang bersuka ria melepaskan segala tanggungjawab di bahu isterinya.
Bahkan lepas beberapa ketika, ada suami yang tiba-tiba perasan,
“Banyak pula wang aku ini.. Boleh ‘menanggung’ seorang isteri lagi nampaknya”
“Banyak pula masa lapang aku ni. Asyik ditinggal isteri yang sibuk bekerja sampai jiwa rasa sunyi. Nampaknya kena cari lagi calon isteri..”
“Banyak lagi tenaga aku ini rupanya. Tiba-tiba rindu suara tangis dan ketawa bayi. Bolehlah tambah bini untuk menambah bayi..”
Dia tak tahu wang yang banyak itu sebab isteri yang melepaskan hak-haknya sebagai isteri demi menyenangkan suami.
Dia tak tahu masa lapang yang banyak sebab dia tak pernah nak bantu isteri dalam hal ehwal rumahtangga walhal keduanya bekerja.
Dia tak tahu tenaga yang banyak bukan sebab dia masih muda perkasa, tapi sebab keringat jantannya yang tak pernah diguna!
Suami makin senang lepas kahwin sebab dibela isteri yang melunaskan serba serbi tentang keluarga. Isteri pula dari anak dara jelita dah bertukar menjadi naga gara-gara keringat dan segala upayanya diperguna untuk membela seorang bayi tua.
Akhirnya, isteri nampak serba tak kena sebab asyik serabut dan hilang sinar di muka. Suami nampak sempurna ala-ala jejaka idaman Malaya sebab selalu tampil kemas bergaya, senyum setiap masa.
Kawan,
Suami yang BAIK dan suami yang BERTANGGUNGJAWAB adalah 2 perkara yang berbeza.
Seorang lelaki boleh jadi suami yang baik tapi langsung tak bertanggungjawab. Seorang lelaki juga boleh jadi suami yang tidak berapa baik tetapi bertanggungjawab.
Kedua ini adalah karakter yang berbeza yang WAJIB dimiliki oleh seorang ketua keluarga.
Suami tidak baik yang bertanggungjawab akan MEMBELI isterinya dengan harta. Dia tabur harta pada isteri, menafkahi secukupnya – tetapi ada perempuan lain, menonton porno, berkata-kata kesat, bermuamalam dengan kelat, meninggalkan solat dan sebagainya. Dia MEMBELI isteri dengan menyempurnakan keperluan materi tetapi dia tetap gagal sebagai seorang ketua keluarga.
Suami baik yang tidak bertanggungjawab pula MEMPERKULI isteri dengan layanan baiknya kepada isteri. Anjing mana tak setia dengan Tuan kan? Itupun belum tentu kesetiaan yang berpanjangan. Hujung usia, diduakan juga sang isteri ’tua.’
Dalam situasi pertama, ramai wanita dilema tapi dia SEDAR sesuatu tidak kena. Tapi situasi kedua, adalah apa yang LEBIH berbahaya kerana wanita ini tidak sedar apa yang dilalui, dek kerana tersorok dengan baiknya perilaku seorang suami menyebabkan dia merasa tiada apa-apa yang salah dalam rumahtangganya.
Sedar-sedar, sosok seorang isteri yang penyayang, isteri yang menjadi penyejuk hati, isteri yang menjadi sumber ketenangan keluarga – semuanya sudah ’HILANG’.
Yang ada dalam rumahtangganya, cumalah seorang suami yang memperkuli isteri dan seorang wanita yang menjadi hamba.
Kawan,
Hamba pun kadangkala lebih mulia dari isteri yang diperguna.
Kenapa?
Sekurang-kurangnya hamba disuruh buat kerja. Tetapi upahnya adalah makan, pakai dan tempat tinggal yang disedia. Dia tak pening memikirkan segalanya.
Isteri yang diperguna?
Sudahlah segalanya dia usahakan dengan tulang 4 keratnya. Makan, pakai dan tempat tinggal pula dia perlu sediakan kepada ‘tuannya’? Segala masalah rumahtangga juga, terbeban atas dirinya untuk diselesaikan.
Rupanya, nasib seorang isteri boleh jadi lebih teruk dari seorang hamba. Inilah isteri yang telah ‘HILANG’ fungsinya dalam rumahtangga.
Yang ada kini, seorang suami kepada suaminya sendiri,” kongsi Sharifah Zahidah.
Betapa pentingnya seorang ayah untuk menjadi contoh terbaik untuk anak. Sentiasa ada di sisi anak lelaki baik perempuan, dalam susah mahupun senang.
Ustazah Asma Harun, pernah rasai sakitnya kemurungan. Dan arwah ayahlah yang sentiasa ada, mendorong, memujuk malah memberikan jalan hikmah yang akhirnya membantu membebaskan dirinya dari belenggu keletihan.
RINDU YANG TIDAK KESAMPAIAN
Dalam riuh rendah orang sekeliling, selalu sahaja hati ini tiba-tiba rasa sunyi sepi sayu, halus sahaja rasa tu tapi menghiris-hiris. Air mata laju tidak terbendung. Rindu yang sangat dalam.
Saat saya rasa lemah, sedih, sakit, sempit dalam melalui jalan dakwah ini, saya cuba pejamkan mata dan bayangkan wajah lembut dan kata² arwah ayah. Rindu suara ayah. Ayah baru sahaja pergi tahun lepas.
Masih jelas dalam ingatan, satu ketika saya dah nekad nak berhenti daripada teruskan master, rasa dah tak boleh nak siapkan thesis. Waktu itu juga ujian bertalu-talu, dihimpit dengan tekanan di tempat kerja (belajar dan kerja sepenuh masa), mengandung kali ke 7 dan keguguran (dr. kata kandungan terhenti pembesaran mungkin terlalu stress), tanggungjawab sebagai ibu dan isteri, jadual kuliyah dan ceramah, masalah kewangan dan lain-lain. Ketika itu saya rasai sakitnya kemurungan.
Dalam tempoh dua tahun, selalu mengunci diri masuk bilik bila due date assignment dan exam, walaupun orang kata ustazah buat cincai je asal lulus sudah, tapi sudah terbiasa mesti mujahadah dalam belajar, target mesti A dan 3.8 ke atas, di situ ada nikmatnya.
Selalu Juga Kalah Pujuk Rayu Anak
Paling sedih bila anak kecil duk ketuk-ketuk pintu menangis sebab nak kita, macam-macam alasan mereka bagi, nak bagi beg la, nak tunjuk sesuatu la, selalu juga kalah pujuk rayu anak. Suamilah yang banyak berkorban. Banyak sangat. Moga Allah berkatimu.
Arwah ayah selalu telefon tanya khabar dan bagi semangat supaya habiskan belajar. Satu ketika saya telefon ayah bagitahu perlu berhenti kerana keadaan saya dah teruk dari sudut emosi, fizikal dan mental. Ayah terdiam seribu bahasa. Saya tahu ayah sangat sedih.
Tak lama lepas tu ayah telefon, Ayah kata..
“Asma’, cuba lihat orang bukan Islam yang bersungguh belajar hingga PhD untuk dapat habuan dunia, kita ni belajar untuk dunia dan akhirat, tak cukupkah SYURGA ALLAH sebagai pengubat segala sakitnya ujian tu, betulkan niat Asma’, buat kerana Allah”.
AllahuAkbar, ketika itu saya terduduk hanya mampu menangis sahaja. Teresak-esok. Saya ditegur lembut oleh ayah, saya nak siapkan master sebab nak kejar pengiktirafan manusia atau kerana mendalami ilmu kerana cari redha Allah, untuk perbaiki diri yang serba lemah.
Jika kerana manusia, maka kita sentiasa akan diuji dengan manusia. Jika kerana Allah, Dia sentiasa ada dalam hati, dalam langkah dan jatuh bangun kita.
Betul-betul Merayu Minta Tolong Dengan Allah
Saat itu ditikar sejadah memohon ampun pada Allah, kerana lemah menjaga niat, meletakkan tujuan dunia itu lebih besar daripada akhirat. Betul-betul merayu minta tolong dengan Allah, tunjukkan jalan, bukakan kekusutan dan leraikan belenggu yang mengikat.
AllahuAkbar, Dia ya Saami’ Maha Mendengar, Dialah ya Qaarib Yang Maha dekat. Tekanan demi tekanan rupanya laluan untuk merasakan nikmatnya kalimah,
لا حولا ولا قوة الا بالله
AllahuAkbar, Allah buka satu persatu jalan keluar setiap kesulitan, kesempitan dan kesakitan. MasyaAllah Maha Baik Allah ya Barr, rupanya Allah tidak membiarkan saya selesai pengajian sebelum jelas akan niat dan tujuan. Itulah Tarbiyyah Allah kepada hambanya yang lalai. Fahami dan yakinlah Allah ya Rahman ya Rahim sentiasa sayang kita.
Ayah, duhai ayah. Tak mampu nak tuliskan kebaikan ayah. Peringkat awal saya mula langkah untuk berdakwah, ayah lah yang sanggup bersusah payah membaca dan mencatatkan nota, lalu telefon menjadi perantaraan kami hingga berjam-jam.
Ayah akan tanya esok ceramah dimana dan tajuk apa, Ayah akan berikan isi penting dan dalil yang berkaitan. Ayah selalu tegaskan, hafal dalil Quran, Hadis dan Sirah, jangan cakap kosong, semua kena semak dulu, nak sampaikan ilmu buat betul-betul.
Jadilah lelaki Terbaik Buat Anak Anda..
Selesai ceramah ayah telefon lagi, bertanya bagaimana ceramah tadi. Seringkali saya cakap nak berhenti, malu sangat sebab penyampaian yang teruk, gugup sampai hilang habis isi, suara pun terketar-ketar. Tiap kali itu Ayahlah yang tidak henti beri semangat. Ayah tak pernah hilang percaya walau anaknya sendiri tak yakin lagi. Ayah duhai ayah. Tak mampu lagi catatan ini diteruskan..
Coretan ini buat semua ayah di dunia, jadilah lelaki yang terbaik buat anak anda. Sekali anda menjadi seorang ayah, iya adalah untuk dunia dan akhirat. Andalah tokoh paling penting dalam hidup anak, jadilah contoh yang terbaik, anda akan sentiasa hidup walau telah pergi.
Rindu bertamu menguatkan lagi rasa ingin bertemu, moga di Syurga Allah tempat kita semua kembali bersatu, insyaAllah.
Bahagia jika semua lelaki berfikiran sebegini, sayangnya tak semua lelaki sama bila tiba bab beri nafkah isteri. Itu sememangnya hakikat yang perlu isteri-isteri hadap dan telan. Sebab itu, apabila adanya kisah suami yang sanggup kerja keras demi nak beri duit nafkah isteri lebih, perlu sangat dikongsikan pada suami sendiri.
Moga jadi penyuntik inspirasi buat mereka. Untuk lebih percaya, apabila memberi nafkah isteri ikut kemampuannya malah lebih, akan bertambahlah rezekinya dan berkat kehidupannya. Dengan syarat amalan wajib jangan pula ditinggalkan.
Hadamkan perkongsian Puan Marliya Ramli ini tentang suami yang setiap bulan beri nafkah isteri RM5,000 dan sedang sasarkan nafkah isterinya RM10,000 sebulan.
SEMUA LELAKI SAMA
“Saya call isteri. Airmata keluar tanpa ditahan. Ayang ada apa-apa yang kecik hati dengan Abang? Jika ada, Abang nak minta maaf. Abang janji akan perbaiki segera.”
“Isteri saya terdiam di hujung talian. Akhirnya isteri bagitau sebuah kejadian dan sebut dia maafkan saya. Pada hari itu jugalah saya menang tender XX dan perniagaan berkembang hingga hari ini.”
“Dulu… Setiap kali berdoa saya selalu cakap. Ya Allah, sekarang aku cuma mampu bagi RM300 pada isteri. Jadikanlah aku suami yang mampu bagi RM3,000 padanya. Dia berkali-kali bertarung nyawa lahirkan zuriat aku. Malah, dia terima aku pada waktu tangan aku kosong. Dia menghabiskan nafas menemani aku dalam susah dan senang. Lihatlah muka isteriku ya Allah. Lelahnya dia membantu aku menjaga keluarga. Dia penat Ya Allah. Tapi dia gagahkan tubuh untuk terus buat kerana tulus cintanya pada aku” Itulah doa saya setiap hari.
“Hari ini, semua perbelanjaan keluarga saya tanggung. Malah saya mampu bagi sebulan RM5,000 buat isteri. Semakin tinggi nafkah isteri saya rasa rezeki semakin berkat dan bertambah.”
“Saya sedang sasarkan untuk beri RM10,000 sebulan. Sebabnya isteri saya berpelajaran. Tapi dia korbankan kerjaya demi nak jaga anak-anak kami. Saya siang malam fokus perniagaan maka isteri tulang belakang mengurus keluarga. Kalau hari ini isteri saya masih bekerja kemungkinan gajinya telah melebihi RM10,000 sebulan. Tapi dia memilih untuk menjadi Manager rumahtangga demi saya dan demi anak-anak kami. Maka, jika saya bagi RM10,000 bukan berlebihan sebenarnya.”
“Saya wajibkan diri terhadap nafkah sebab perintah Allah. Saya yakin bila Allah suruh bermakna ianya wajib dibuat. Dan saya usaha beri lebih maka rumahtangga kami aman sentosa”
Akak tekun mendengar. Akak kagum. Menarik Tuan ini. Patutlah boleh menabung emas lima angka setiap bulan. Bisik hati akak.
Nafkah Isteri Bukan Perkara Ringan..
Tuan Puan… Istilah SEMUA LELAKI SAMA dah tak boleh pakai. Ramai jutawan senyap di luar sana yang setia kasih terhadap isterinya luarbiasa.
Bukan semua arjuna bila dah senang lupa dunia. Ada arjuna, dia percaya asbab rezeki isterinya kekayaan dunia bertambah. Mudah mudahan akhirat juga.
Kadang kita ni bagi RM250 sebulan pun dah rasa banyak. Mengigil tangan dan kebas badan. Kita sentiasa fikir bila gaji naik, bisnes berkembang nak beli kereta, nak tukar sportrim, nak beli set pancing, kayu golf mahal, nak tambah isteri, nak senangkan adik beradik kat kampung, nak bawak mak bapak bercuti. Allah ke suruh semua tu atau Allah suruh settle dulu nafkah isteri?
Alah… Isteri kita diam, tak kisah dan ada pendapatan sendiri… Sebab tu hak isteri kita pandang sepi. Inilah fikirnya sebahagian suami. #apeni?
Macam mana nak kaya sebab masa miskin pun niat dah salah? Niat dan tujuan tidak letak hak isteri sebagai salah satu tanda pentingnya nafkah?
Kita tak letak niat dalam hati “bila aku kaya, aku nak isteri nafkahnya sempurna” Aku nak sediakan semua keperluan dan bagi isteri RM1,000 atau RM3,000 atau RM5,000 atau RM10,000 setiap bulan.
Nafkah terhadap isteri ni bukan perkara ringan. Allah suruh. Bila kita mahu kaya sebab nak laksana perintah Allah, rezeki bakal melimpah ruah.
Kalau masa miskin pun niat fokusnya asyik nak tambah isteri, pentingkan sedara mara yang muncul masa senang hilang masa susah, memang payahlah…
Salam sayang
MW :Alhamdulillah… sebenarnya masih ramai suami yang faham dan berusaha nak beri nafkah isterinya dengan secukupnya.
Sumber/Foto : Marliya Ramli
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
"Jika ada masalah, tenangkan diri…” Pasangan yang mendirikan rumah tangga pastinya mahu kehidupan yang kekal hingga ke anak cucu. Tidak ada satu pasangan pun...