Bulan Ramadan semakin tiba ke penghujungnya. Dalam pada tinggal berbaki beberapa hari lagi, ramai yang berusaha melipat gandakan lagi amalan pada yang Maha Esa demi merebut ganjaran malam Lailatul Qadar yang dijanjikan.

Pesanan buat golongan suami yang berpeluang beribadah untuk mencari lailatul qadar, memohon keampunan, ganjaran syurga dan segala hajat dimakbulkan, jangan lupa doakan sekali buat isteri tercinta.

Ini kerana golongan isteri seringkali terpaksa memendam keinginan di hati untuk turut beribadah sendiri demi berbakti mulia pada anak-anak dan suami.Menyediakan hidangan sahur buat keluarga agar perut terisi sepanjang berpanjang berpuasa.

Jemput baca perkongsian daripada Ammar Kamilin;

Sedang suami khusyuk, tenggelam dalam ibadah mencari malam lailatul qadar, si isteri berkecah di dapur menyediakan makanan sahur untuk suami dan anak-anak yang masih lena tidur.

Ikut hati kecilnya, pasti teringin benar dia turut bersenang-senang rukuk dan sujud dalam damai hening, mendamba kasih Allah.

“Ciangg…!”

Menggoreng pula dia ayam kegemaran anak.

“Kting, kting, kting…”

Membancuh pula dia, kopi kemestian suami.

IKLAN

“Prak, prak, prak….”

Pinggan dan cawan diangkat dan dihidang ke meja makan.

“Iman, bangun Iman.”

Bergegas dia mencuit anak bujang yang tidur di tingkat atas ‘double decker’.

“Zulfa, Zahraa, bangun. Solat tahajud, hajat.”

Dia menarik selimut yang membaluti badan mereka.

IKLAN

Sedang anak terpisat-pisat melawan kantuk. Dia kembali ke dapur.

Walaupun pada pandangan kasar, Dia tak sempat rukuk dan sujud, mengejar pahala ibadah khusus untuk dirinya. Tetapi dia menjadi asbab suami dan anak-anak dapat ruang mencecah dahi ke lantai menyembah Tuhan.

Percaya, ada isteri dalam situasi begini.
Memendam keinginan ibadah sendiri untuk bakti mulia kepada anak-anak dan suami.

Suami.
Jika kalian sedang beristighfar di atas sejadah.
Istighfar sekali untuk keampunan isteri.

Suami.
Jika kalian sedang bersujud meminta hajat dari Allah,
Mohon sekali dimakbulkan hajat yang didamba si isteri.

Suami.
Jika menangis berjujuran mohon diampun dosa-dosa,
Mohon sekali buat isteri yang bertungkus lumus tadi.

IKLAN

Suami,
Jika berteriak kecil memohon Allah masukkan kalian ke syurga, minta sama istana syurga untuk dia.

Suami,
Mohon pada Allah,

“Ya Allah, apa saja amal yang kau terima daripadaku, ganjari jugalah pahalanya buat isteriku malah lebih lagi buat dia, kerana dia asbab elok sempurna aku beramal.”

Hadiahkan mereka, doa kita yang bersungguh-sungguh.

-Ammar Kamilin-

Semoga perkongsian ini bermanfaat!

MW: Pesanan buat para suami, dalam pada merebut amalan di malam lailatul Qadar, jangan lupa mohon doakan isteri perkara yang sama juga.

Sumber: Ammar Kamilin

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI