suami murung isteri kena bijak bagi sokongan emosi

Anda sebagai isteri tentu rasa sangat bahagia jika suami sentiasa di depan mata dan anak-anak yang baik. Namun bayangkan jika anda dikelilingi orang yang murung. Besar kemungkinan anda juga terpalit dengan rasa kemurungan itu.Lebih-lebih lagi jika suami, orang yang paling rapat dengan diri anda sendiri yang mengalami kemurungan. Sebagai isteri, anda perlu main peranan dalam memberikan sokongan emosi buat suami menangani kemurungan itu.

Ikuti perkongsian daripada Dr. Syed Yusainee Yahya, daripada Promind Training And Consultation, yang juga penulis tetap ruangan Nota Untuk Isteri di dalam majalah Mingguan Wanita.

Masalah

Suami yang ada masalah di tempat kerja, dihimpit hal kewangan atau masalah hubungan dengan anda sangat terdedah kepada kemurungan ini. Keadaan ini adalah benar kerana kira-kira satu pertiga penduduk di negara ini mengalami penyakit kemurungan seumur hidup. Ini berdasarkan statistik Kajian Kesihatan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) yang dijalankan pada 2015. Dengan cabaran peningkatan kos hidup hari ini pasti situasi kemurungan ini semakin mencengkam.

Anda mungkin tidak terkesan dengan keadaan ini jika suami sentiasa senyum semasa di rumah. Tetapi bagaimana jika sebaliknya? Dua hari lepas, dia balik dalam keadaan macam naga. Anak-anak yang tidak tahu apa-apa, semua ditengkingnya dengan kata-kata berapi. Semalam dia senyap dan banyak termenung. Puas anda bertanya tetapi dia kata ‘tidak ada apa-apa!’. Malam tadi dia mengigau sehingga bertempik-tempik. Semua itu tidak pernah berlaku sebelum ini. Sekarang izinkan saya bertanya. Apa yang perlu lakukan sekarang?

IKLAN

Suami Kemurungan, Isteri Perlu Bijak Beri Sokongan

Faham

Pertama sekali anda tidak boleh bertindak balas tanpa faham situasi suami. Ya, anda rasa dia menengking tanpa sebab. Anda betul tetapi kena segera beristighfar dan berundur. Anda tahu bahawa itu bukan sifat suami anda yang sebenar. Salurkan apa juga ayat-ayat kasar yang dia hembus ke telinga kanan terus keluar ke telinga kiri. Jangan benarkan tengkingan itu melencong masuk ke dalam hati. Saya pasti Allah akan memberikan pahala mudah yang melimpah ruah apabila anda sebagai isteri mengamalkan tip pertama ini.

IKLAN

Emosi Kena Teguh

Untuk berada di samping suami yang kemurungan, emosi isteri perlu teguh dan kuat. Anda tidak tahu selama mana keadaan itu akan berlaku tetapi yang pasti emosi anda perlu bertahan selama kemurungan itu berterusan. Semua itu bukan mudah tetapi juga bukan mustahil. Seperti menakung ‘air tempayan’ maka air itu perlu dilepaskan keluar. Kalau tidak nanti jadi tempat nyamuk membiak. Bagaimana untuk melepaskan tenaga negatif itu?

Cara terbaik ialah dengan melakukan aktiviti fizikal yang mengeluarkan peluh. Apabila kita bersenam atau melakukan aktiviti fizikal yang mengeluarkan peluh maka sesuatu yang ajaib berlaku. Tubuh secara semula jadi mengeluarkan hormon dopamine, endorphin dan serotonin. Anda tidak perlu ingat nama hormon-hormon ini tetapi cukup mengetahui inilah hormon yang mendatangkan rasa lega dan gembira. Maka bila suami tidak ada maka bersenam dan kemaskanlah rumah. Pasti anda rasa lega dan sedia untuk satu pusingan lagi.

IKLAN

Diri Sendiri

Siapa atau apakah yang menjadi cabaran terbesar anda dalam menghadapi suami yang kemurungan? Bukan suami tetapi sebenarnya ialah diri sendiri. Apabila dalam kesedihan kita cenderung membandingkan diri dengan orang lain yang kelihatan ceria. Secara tidak sedar kita mula menghitung kesusahan yang pernah dilalui.

Yang peliknya kita hanya menghitung hal-hal yang tidak elok saja. Adakah selama hidup ini tidak ada rahmat Allah yang kita nikmati?. Oleh itu elakkan daripada membandingkan diri kita dengan orang lain yang dirasakan lebih hebat.

Jika cabaran kemurungan suami ini menjadi cabaran, pasti ada orang lain menghadapi cabaran hidup yang sepuluh kali lebih getir. Sebab itu kita perlukan agama untuk faham erti reda dalam hidup. Apa juga cabaran yang sedang dihadapi pasti bukan satu yang sia-sia. Pasti Allah telah aturkan yang terbaik untuk anda kerana setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI