Dalam rumah tangga, bukan tugas isteri saja untuk menjaga keharmonian, bahkan suami juga kena main peranan. Kadangkala suami sering buat tak peduli bila isteri membebel tentang sesuatu perkara sedangkan itu adalah salah satu cara isteri ‘berkomunikasi’ dengan suami. untuk meluahkan rasa rindu dan sayang mereka.

Bayangkan suami sibuk bekerja dan seharian di luar. Begitu juga isteri yang mungkin suri rumah tangga atau juga wanita berkarier. Sudah pasti ada masanya isteri ingin meluahkan perasaan pada suami tapi disalah ertikan oleh suami. Jangan ambil mudah ye wahai suami, sikap anda itu boleh buat isteri anda curang! Ikuti perkongsian daripada puan Suzana Ghazali, Perunding Psikologi Keluarga & Guaman Syarie, juga penulis ruangan Resipi Hidup di dalam majalah Mingguan Wanita.

“Saya dah cakap kat dia Su, tapi dia buat tak tau. Dia pernah belajar kaunseling dulu jadi saya harap dia boleh lebih faham tapi bila saya cakap saya perlukan bantuan, dia kata selagi saya luahkan yang saya perlu bantuan, itu bermaksud saya masih boleh urus hal tu sendiri.”

Luahan Isteri

Petikan saya kongsikan di awal perbincangan kali ini ialah antara luahan seorang klien yang bertemu janji bersama saya menerusi telefon pada hari Jumaat yang lalu. Menurut wanita ini, dia kesunyian bila suami terlalu sibuk dengan kerja. Saat jarang bersua juga tak digunakan untuk bermesra sepenuhnya.

Tatkala berjauhan, mesej-mesej rayuan dan luahan cinta tidak juga diendahkan suaminya. Hingga muncul seorang lelaki yang pernah dikenali tika di kampus dan si lelaki berjaya memenuhi kesepian tersebut dek panggilan saban hari, dengan ayat-ayat cinta menjerat emosi. Dia akui betul-betul merasai cinta yang tak pernah dirasai sebelum ini lantaran mengahwini suami juga dengan cinta selepas perkahwinan. Syukur dia cepat tersedar dan menghubungi saya bagi mendapatkan pertolongan.

IKLAN

Realitinya, kes saya kongsikan kali ini bukan kes yang luar biasa lagi kebelakangan ini. Malah menurut kajian yang dibuat oleh satu syarikat antarabangsa, wanita Malaysia diletakkan di tempat keempat di dunia sebagai antara negara paling tinggi mempunyai isteri yang pernah curang kepada suami.

Kalau Suami Sayang Rumah Tangga Dan Tak Nak Isteri Curang, Jangan Abaikan Satu Hal Penting Ini!

Suami Gagal Penuhi

Sebagai individu yang terlibat secara langsung mengendalikan kes-kes rumahtangga, saya boleh percaya hasil kajian yang dibuat tersebut memandangkan pengalaman kerjaya saya sendiri yang kini berusia lebih 17 tahun, saya akui lima enam tahun kebelakangan makin bertambah aduan kes kes yang mencintai lelaki lain kerana kegagalan suami memenuhi kehendak batin isteri.

IKLAN

Perlu difahami, kehendak batin bukan bererti hubungan seksual semata-mata tetapi juga adalah perhatian, belaian, pujukan, pelukan dan paling penting, mewujudkan ketenangan di hati isteri, ambil berat kesedihan yang isteri alami, peduli dengan kesepian yang isteri rasai dan lebih utama adalah memberikan perhatian kepada segala yang isteri luahkan. Sememangnya wanita seringkali meluah emosi dan lebih terkenal meluahkannya menerusi leteran tetapi bukan bererti setiap luahannya adalah leteran. Ada tikanya isteri meluah rindu, melafaz cinta. Malah ketika isteri mohon untuk perbincangan, bererti isteri benar-benar memerlukan anda sebagai suami dalam usaha untuk menyelamatkan perkahwinan kalian.

Semua ini merangkumi tanggungjawab seorang suami seperti yang dianjurkan oleh syariat iaitu wajib melayan isteri dengan baik. Terdapat banyak arahan dan suruhan di dalam ayat al-Quran dan hadis

IKLAN

Rasulullah s.a.w mengenai kewajipan ini. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik.” – surah al-Nisa’ ayat 19. Rasulullah s.a.w  bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang paling baik antara kamu semua adalah orang yang paling baik terhadap isterinya dan aku adalah orang yang terbaik antara kamu semua (dalam membuat kebaikan) terhadap isteriku.” – hadis riwayat al-Tirmizi.

Layanan Baik

Maksud layanan yang baik bukan sekadar tidak memukul atau menampar tetapi layanan yang baik seperti yang dikehendaki di dalam Islam malah undang-undang perkahwinan agama lain juga ialah suami perlu menjaga hati dan perasaan isteri agar tidak dilukai dan disakiti. Isteri berhak dilayan dengan penuh kemesraan, kelembutan dan dengan penuh kasih sayang. Suami juga perlu sentiasa bermesra dengan isteri agar isteri tidak rasa terpinggir, tidak terasing dan tidak merasai kesepian. Jarak jauh bukan alasan tatkala terdapat pelbagai gajet yang boleh digunakan untuk meluahkan emosi dan rasa cinta.

Para suami juga perlu peka dan faham, belaian dan kasih sayang bukan hanya ketika inginkan seksual. Dalam satu riwayat, Saiyidatina Aishah r.anha pernah menceritakan, saat dirinya sedang dalam keadaan haid, Rasulullah s.a.wmendatanginya dan menyuruhnya menyelak kain hingga menampakkan pahanya lalu Rasulullah s.a.w meletakkan kepala baginda di pangkal paha Aishah. Riwayat ini menjadi tanda, belaian yang seorang suami perlu berikan kepada isteri adalah sepanjang masa, bukan hanya untuk seksual sahaja.

Saya merayu buat para suami, tolonglah prihatin dengan setiap luahan isteri. Buat para isteri, jangan pendam kesepian yang anda rasai. Luahkanlah agar suami memahami. Moga kes-kes kecurangan isteri tidak bertambah lagi…

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI