Kehidupan Norhakilah Ali, 46, diuji sebaik suami disahkan alami masalah mata. Hilanglah mata pencarian dari suami. Terpaksalah ibu tiga anak ini meneruskan pekerjaan sebagai tukang cuci di bilik bedah dekat sebuah hospital di Kedah.
Demi nak cari duit, Norhakilah yang membahasakan dirinya Kak Ilah ini bekerjalah siang dan malam. Membanting tulang empat kerat, tak kira siang atau malam.
“Segala perbelanjaan keluarga semua atas bahu saya. Suami yang tak dapat bekerja akibat masalah mata. Sejak itu, ekonomi keluarga kami mengalami masalah.”
Beban hutang dan perbelanjaan anak-anak sekolah buat Kak Ilah makin tak lena tidurnya.
“Hari-hari saya menungkan nasib keluarga. Lagi-lagi, sayalah tulang belakang keluarga sekarang. Memang tak ada orang lain yang boleh diharapkan.”
Kakak Takut Hendak Mulakan
Cerita kesusahan kakak cukup diketahui adiknya, Nurul Husna Ali, 31 tahun. Semasa kakaknya bersusah payah itu, dia masih lagi bekerja di Kuala Lumpur.
Husna juga tahu yang kakaknya ada membuat kerja sambilan membuat kerepek pisang demi menampung keluarga. Dah lebih 10 tahun pun kakaknya buat kerja sambilan itu. Tapi masih ditakuk yang sama.
“Kerepek pisang ini sudah lama saya usahakan, tetapi saya akan buat bila ada permintaan sahaja kerana waktu saya terbatas. Ada juga saya perlu tolak permintaan mereka.”
Husna tahu kakaknya boleh berjaya jika tahu cara bagaimana mahu menjadikan perniagaan kerepek pisangnya berjaya dan melebar luas pasarannya.
Jadi, dia beritahu pandangannya tentang apa yang kakak perlu lakukan. Kakak dengar saranannya tapi kakak tak mahu laksanakan.
Ads
“Dia takut kalau idea yang saya kongsikan itu nanti memakan diri. Tak berjaya. Mana nak bayar hutang.. mana nak sara hidup anak-anak. Sudahnya tak menjadi.”
Syukurlah Husna tak pernah berputus asa dan tetap dan berjaya memujuk kakak dengan bersyarat.
Ini Syarat Yang Adik Letak Dekat Kakak
Waktu itu, Husna masih lagi bekerja di Kuala Lumpur. Niat nak bantu kakak, Husna beritahu kakaknya yang dia mahu berhenti kerja dan fokuskan perniagaan kerepek yang dilakukan kakaknya secara sambilan.
“Saya yakinkan kakak. Beritahu yang saya tahu cara nak pasarkan selain secara tradisional. Akhirnya kakak setuju nak berhenti kerja.” Maka pada awal Mac 2018 kakaknya buat kerepek sepenuh masa.
“Masa itu, saya beri suntikan modal dan dalam masa yang sama sokongan moral. Mulalah saya buatkan perancangan supaya kakak nampak apa yang kena kami lakukan untuk lebih maju dan capai income untuk sebulan.”
Ads
Husna pun mulakan platform online dengan membuat fb page Maryam Golden Crunch. Diam tak diam, dari setandan pisang itu, hari ini adik beradik ini dah boleh hasilkan dekat 10 ke 20 KG kerepek pisang dipasar sekitar Kedah dan Selangor.
“Tugas emak mengupas kulit pisang, suami pula cari pisang di pelosok kampung. Ada juga guna pisang yang ayah tanam. Tapi masih belum cukup permintaan. Semuanya dihasilkan secara manual di rumah dekat Lorong Becah Harimau, Kg. Lanjut Malau, Kedah.”
Sabar.. Nanti Allah Permudahkan Segalanya
“Syukur ke hadrat ilahi kerana adik saya membuka minda dan banyak membantu untuk pasarkan, sekarang ini bukan sahaja saya dapat ringankan beban keluarga. Secara tidak langsung saya dapat membantu emak dan ayah saya melalui penghasilan kerepek pisang ini.
“Usaha ini dapat mengukir senyuman kami sekeluarga. Senyuman yang diukir dari hati yang tenang mahal harganya.
“Bagi saya dan untuk wanita di luar sana, jika kita dapat mengenali kemahiran yang di anugerahkan daripada Allah, kita jangan abaikan atau persiakan.
“Mana tahu itu adalah punca rezeki yang dah tertulis. Benar kata Rasullullah 9/10 adalah punca kekayaan daripada perniagaan. Biarpun pada permulaan secara kecil-kecilan. Berkat ilmu, kesabaran, InsyaAllah akan permudahkan segalanya.”
Mingguan Wanita akan mengadakan Webinar Bangkit Wanita secara PERCUMA. Anda yang berminat boleh pilih mendaftar di mana-mana webinar pilihan masing-masing. Klik link untuk info selanjutnya :
Tak semua orang mampu lalui ujian sebesar ini, tambah bila sudah berkeluarga. Banyak duit yang nak guna, tambah nak tampung kos kesakitan anak syurga ini.
Kalau imbas cerita dulu, memang tak sangka keadaan anak ini semakin baik. Cuma tubuh badannya agak berbeza berbanding orang lain. Ikuti cerita penuh ibu kepada anak istimewa ini…
“Abah merayu berkali-kali pada doktor. Pakaikan semula oksigen untuk Hazim terus bernafas. Tapi doktor memaklumkan, jangan menaruh harapan terlalu tinggi kerana keadaannya agak teruk.”
“Kami kata, biar Allah menentukan hidup matinya kerana kami memang tak sanggup lihat Hazim meninggal perlahan-lahan depan mata.”
“Alhamdulillah, dari tidak diberi harapan pada usianya empat hari ketika itu, hari ini Hazim sudah menjangkau usia empat tahun setengah,” kongsi Zainab Salim mengenai anak bongsu istimewanya ini dengan beratnya kini hanyalah 3.3 kg.
Anak Syurga Ini Menghidap Sindrom Cornelia De Lange
Dilahirkan dengan hanya 1.00 kg, anak syurga ini disahkan mengidap sindrom Cornelia De Lange yang mana kelahiran sebegini sangat mengecil dengan nisbah 1:10,000 namun sindrom ini banyak berlaku kepada kanak-kanak di negara Barat.
Tumbesaran pengidapnya akan mengecil, tidak berkembang, tubuh badan dipenuhi bulu-bulu bahkan ada sesetengahnya mengalami kecacatan fizikal. Ini bukan penyakit genetik dan bukan juga kerana kekurangan hormon.
Dalam sehari, tubuh kecil ini perlu diberi minum susu 10 kali dengan kuantiti 80 aun. Menjaganya juga sangat mudah kerana Hazim langsung tidak banyak ragam. Sesekali apabila dibawa keluar berjalan, wajahnya menjadi tumpuan lensa orang ramai kerana kecomelan wajahnya selain memiliki alis mata lentik dan kening bertaut ini.
Ini Doa Saya Pada Allah
Biarpun Hazim mendatangkan bahagia dalam hati ibu kepada 10 orang cahaya mata ini, namun ada harapan tinggi dalam sanubarinya.
“Saya selalu berdoa kepada Allah. Saya mahu mendengar Hazim memanggil saya Mama, mahu melihatnya berlari dan berjalan, nak lihat dia bermain-main dengan kakak-kakaknya tetapi saya tak tahu bila doa itu akan dimakbulkan Allah.”
Dengan keperluan susu dan lampin pakai buang serta tidak bekerja dan hanya bergantung kepada pendapatan suami, bagi anda yang ingin menghulurkan sedikit sumbangan buat anak syurga ini, bolehlah salurkan ke akaun Hazim terus.
BANTULAH MANA YANG SUDI
Akaun Bank Simpanan Nasional: 11500-41-00015181-5 Muhammad Hazim Muhaimin bin Mohamad
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Kehidupan seorang wanita yang bergelar ibu tunggal itu sebenarnya sarat dengan kecekalan. Hidup sendirian, membesarkan anak-anak tanpa bantuan kewangan dari suami. Susah macam mana pun ditanggung sendirian.
Ini yang dikongsikan Andy Sulaiman tentang seorang ibu tunggal yang terpaksa membawa anak kecilnya ke tempat kerjanya di sebuah kedai tomyam. Sayu lihat apa yang terpaksa dilalui anak kecil ini. Tapi demi sesuap nasi, kehidupan getir itu perlu diteruskan.
Sehingga Tengah Malam Anak Kecil Itu Di Situ
Depan gerai aku ni, ada sebuah kedai makan. Kedai tomyam. Dan kedai tomyam ini punya beberapa orang staff.
Dan salah seorang staff mereka adalah seorang ibu tunggal yang terpaksa membawa sorang anak nya yang masih kecil ke tempat kerja. Anggaran aku dalam 3 atau 4 tahun.
Pada awalnya, biasa pada aku. Tapi bila aku saksikan sendiri anak kecil ini menangis ditinggalkan ibu nya sendirian di satu sudut, hati aku rasa sedih.
Bagaimana dia menangis, mengejar ibu nya yang sibuk ke sana ke mari mengambil pesanan, betul-betul buat aku rasa sebak.
Anak ini mungkin terlalu rapat dengan ibunya. Jadi bila berada di kedai makan, ditinggalkan sendirian di satu sudut, keadaan ini mungkin tidak biasa baginya.
Tambahan pula si ibu yang sibuk melayan pesanan dan menghantar pesanan pelanggan. Jadi keseorangan lah dia tak siapa melayan.
Sehingga ke tengah malam lah anak kecil itu di situ. Menunggu ibu selesai kerja. Ada kalanya sampai tertidur.
Nasib anak kecil ini baik. Tuan kedai sediakan tempat tidur untuknya. Mujur lah tuan punya kedai ini tidak kisah dan biarkan sahaja anak ini wujud di dalam kedai beliau.
Akhirnya Si Kecil Ini Pandai Sesuaikan Diri
Sekarang anak kecil ini tidak menangis lagi. Mungkin sudah biasa baginya keadaan sebegini. Sudah pandai sesuaikan diri ditinggalkan keseorangan.
Cuma, aku kagum dengan ketabahan si ibu. Tabah hatinya walaupun dengar tangisan dan rengekan si anak, si ibu cekalkan hati demi mencari sesuap nasi untuk mereka dua beranak.
Mungkin tiada siapa mahu menjaga anak ini. Dan yang pastinya, jika ingin orang lain menjaga, sedikit wang harus dikeluarkan dan mungkin di luar kemampuan ibu ini.
Begitu lah pengorbanan seorang ibu tunggal. Demi anak, apa jua sanggup dikorbankan.
Tangisan anak yang inginkan perhatian, tangisan anak yang perlukan belaian, tangisan anak yang tidak mahu dijaga oleh orang lain, terpaksa dibelakangkan demi mencari rezeki sekeluarga.
Ya lah, kalau tidak ibu ini mencari rezeki, mahu harapkan kepada siapa lagi? Beliau lah ibu, beliau lah ayah.
Biar anak menangis, janji anak tidak kelaparan. Biar anak menangis, janji anak tidak putus susu. Biar anak menangis, janji anak pakai lampin. Biar anak menangis, janji anak dapat ke sekolah.
Status Ibu Tunggal Selalu Disalah Erti
Ibu mana sanggup menangis melihat anak kelaparan, ibu mana sanggup menangis melihat anak dahagakan sebotol susu, ibu mana sanggup menangis melihat anak terlalu teringin untuk ke sekolah? Tiada.
Dan lebih menyedihkan, status ibu tunggal selalu disalah ertikan. Status ibu tunggal sentiasa diambil kesempatan oleh golongan berlainan jantina, hanya untuk keseronokan.
Tidak lah semua lelaki macam tu, tapi telah banyak kes berlaku. Ibu tunggal hanya dianggap sebagai tempat berseronok dan melepaskan nafsu.
Mereka juga perlu diangkat darjatnya. Mereka ini ibu yang menggalas segala bebanan di dalam keluarga.
Buat semua ibu tunggal, anda hebat. Anda menggalas dua jawatan di dalam keluarga. Semoga sentiasa baik-baik dalam apa jua keadaan dan dijaga Yang Esa.
Paling terkesan dalam satu-satu keretakan rumah tangga sebenarnya bukanlah pada diri orang tua, tetapi anak-anak yang tanggung derita. Apabila suami tak lagi cinta, mencari kasih lain dari syurga yang sebenarnya ada di rumah sendiri, makin terseksalah hidup isteri malah anak-anak.
Ini kisah benar yang terjadi pada sebuah keluarga yang menyewa rumah sewa Azlina Hazmi. Dan inilah yang disaksikan sendiri olehnya di depan matanya. Pilu kisah anak-anak ini. Kerana suami yang berkahwin dengan gadis 16 tahun, isterinya turun naik mahkamah untuk proses penceraian dan anak-anak terabai sampai kelaparan.
Isteri Hamil Anak Ke-4, Suami Kahwini Gadis 16 Tahun
Kisah ini benar terjadi di depan mata saya. Pasangan berpisah anak 3 orang dengan isteri mengandung. Anak yang sulung umurnya 5 tahun, kedua 4 tahun dan ke tiga 2 tahun. Suaminya dah berkahwin dengan budak umur 16 tahun.
Si isteri ke sana sini uruskan diri sorang-sorang. Ada sekali dia datang minta tolong tengok-tengokkan anaknya sebab dia nak ke mahkamah uruskan penceraian. Masa dia hantar tu, anak sulungnya demam. Bila saya tanya dah makan ke belum.
Dia cuma jawab, “Dalam peti ais tak ada makanan. Mama dah bagi makan telur rebus.”
Saya suruh dia makan nasi, dia tak nak. Tapi dia minta makan roti. Saya beri dia 2 keping dan makan sampai habis. Dalam setengah jam, anak tadi cuit saya sebab dia ini macam ada masalah bercakap. Bila bercakap guna bahasa dia saja. Orang lain tak faham.
Masa dia cuit itu nak beritahu yang dia nak muntah. Air mata saya tak boleh tahan bila tengok budak sekecil itu tanggung sakit.
Dua orang adik-adiknya masa itu bekas suaminya dah ambil. Saya tak sampai hati Jadi saya suruh suami cari ayah budak itu. Dan tunjuk gambar anak dia yang tak sihat. Sekali ayahnya tanya suami saya balik, “Ibunya pergi mana?”
“Allahu.. rasa macam nak suruh laki saya tumbuk muka dia masa itu.” Saya cakap kalau sayang anak tolong datang ambil dan bawa pergi klinik.
Dia datang rumah saya dengan bini mudanya. Malam itu juga dia terus hantar anak dia balik kampung. Lega hati bila mama dia tunjuk gambar anak-anak dia dalam jagaan bekas mentua dan sihat walafiat.
Saya tahu ibunya tak kuat masa itu. Tengah mengandung lagi, tak kerja, tak ada tempat tinggal. Itu yang saya usahakan supaya bekas suami dia ambil anak dia. Tapi si bekas isteri ini sangat baik dengan bekas mentua. Selalu pergi ke kampung melawat anak-anak.
Bekas Suami Tak Nak Ambil Tahu Kandungan Isteri Sebab Bayi Itu Lelaki
Sebelum ini pasangan ini menyewa di rumah saya. Tapi mereka bercerai selepas berpindah ke rumah sewa lain. Rumah baru itu tak jauh pun dari kawasan rumah sewa saya. Cuma sekarang dah hilang jejak sebab mereka dah berpindah tempat lain selepas bekas suami dikecam jiran-jiran.
Masa itu suaminya mengabaikan anak-anak yang masih kecil. Masa dia ambil anak-anak untuk duduk sama-sama dengan isteri baru, anak-anak 3 orang tu ditinggalkan dalam rumah sendirian dalam gelap. Ayahnya pergi kerja, mak tiri pula keluar jumpa kawan.
Jiran ternampak dan ajak anak dia tapi anaknya tak nak pergi. Duduk kat tangga sambil tunggu ayahnya balik. Masa jiran nak pergi pujuk anak tu, masa itulah mak tirinya balik. Tanpa ucap sepatah lata pun tapi dimarahnya anak-anak tu.
Saya mesej dekat ibu kandung mereka. Masa itu ibunya tengah sarat mengandung dan berulang alik ke hospital Ampang seorang diri. Anak nombor empat yang dikandung ini bekas suami langsung tak nak ambil peduli.
Tak belikan kelengkapan bayi. Katanya bekas suami tak nak baby tu. Masa scan doktor kata bayi lelaki. Dia dah ada 3 orang anak lelaki jadi kalau boleh nak anak perempuan. Dengan izin Allah Yang Maha Kuasa, masa bersalin keluar bayi perempuan.
Satu Lagi Kejadian Menyayat Hati
Ini kejadian sebelum ayahnya hantar anak-anak ke kampung. Suatu hari ibunya tumpangkan anak-anak 3 orang itu di rumah saya. Sebab dia pergi kerja dan tak ada orang yang jaga. Saya setujulah sebab anak-anak dia dah biasa dengan saya.
Masa hantar anak dalam pukul 10 pagi macam itu, daya terus masak sebab tengok diaorang lesu ke. Dah siap masak saya cedukkan nasi nak suap diaorang. Anak yang no 2 yang umur 4 tahun datang dari belakang dan tarik baju saya. Lepas itu saya pusing dia tengah gosok perut dia sambil sebelang tangan lagi angkat baju tunjuk isyarat lapar.
“Ya Allah, sedih sangat-sangat. Saya pusingkan muka sambil menangis sebab tak tahan tengok muka anak tu masa itu.”
Yang terakhir kali saya dapat berhubung dengan ibu anak empat ini. Bekas suaminya dah ambil yang bayi perempuan dan hantar ke kampung. Maknya yang jaga semua anak-anak dia. Tengok pada gambar yang dikirimkan anak-anak ini makin sihat dan bersih. Tapi emosi anak-anak ini saya tak tahulah macam mana.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Datuk Ram Singh: "Saya beri khidmat percuma, tertuduh bukan anak VVIP." Peguam yang mewakili salah seorang daripada lima remaja yang dituduh berhubung kes kematian Zara Qairina Mahathir mendedahkan, pasukan guamannya menawarkan khidmat secara pro bono tanpa sebarang bayaran.