
Memang ada benarnya bagi para suami yang mahu isteri jadi suri rumah dan tidak bekerja, maka dia perlu ambil tahu tanggungan isteri. Tanggungan seperti hutang pendidikan, duit ansuran kereta, duit bulanan kepada mak ayah dan sebagainya yang sebelum ini menjadi tanggungan isteri ketika dia masih bekerja.
Hadam betul-betul perkongsian daripada Profesor Madya Dr Yasmin Hanani Mohd Safian ini.
Terbaca hantaran seorang lelaki dinasihatkan oleh seorang wanita berumur agar mencari wanita bekerja sebagai isteri. Wanita itu kecewa kerana ketiga-tiga anak perempuannya tidak bekerja walaupun berkelulusan tinggi, end up makcik ni yang perlu lunaskan hutang ptpn anak-anak perempuan.
Perempuan kerja ke tak, bukan masalah ya bila dia berkahwin. Kawan satu batch kami, bawa isteri ke Mesir, dia bekerja bersungguh-sungguh, dan dia lunaskan PTPTN isterinya. Malang tragedi menimpa, sekeluarga terbunuh di Kaherah, alhamdulillah telah lunas hutang pengajian.
Saudara saya juga berkahwin dan isteri tidak bekerja. Dan dia juga lunaskan hutang PTPTN isteri. Emak ayah takde sibuk pun bila menantu perempuan tak bekerja.Ada masalah ke? Yang kena kerja lelaki bukan perempuan.
Ambil Tahu Tanggungan Isteri
Suami, jika mahu isteri tidak bekerja, dia perlu tahu tanggungan isteri. Jika tidak, dia perlu benarkan isterinya bekerja.
Jangan berkata buruk dan mencerca isteri yang tidak bekerja, mereka juga banyak menyumbang dalam perkahwinan. Suami yang baik, dia membayarkan hutang isteri, malah menghulur juga kepada keluarga mertua walaupun tidak wajib.
Contoh menantu lelaki yang baik, adalah arwah abah saya. Bagaimana dia sangat baik melayan arwah embah kami. Ramai lelaki melayan baik ibu bapa sendiri, tetapi bukan dengan mertua. Balik kampung isteri pun mulut muncung macam penyangkut baju.
Jangan Berniat Tumpang Senang Anak
Kita sebagai ibu bapa, besar kan anak, didik anak tapi jangan sesekali berniat mahu tumpang senang anak. Nanti kita mengungkit bila sudah tua. Dan anak juga buatlah baik kepada ibu bapa. Memang ada ayah yang tak mahu beli rumah, dengan harapan bila anak besar, anak-anak akan belikan rumah. Anak-anak yang baru bekerja disuruh berhutang belikan rumah dan kereta. Pergi haji juga begitu.
Sudahnya anak-anak bergaduh suami isteri kerana tercekik wang. Belum masuk ada orang sibuk bertanya ‘eh anak ko bagi berapa sebulan?’ ‘Anak aku bawa aku pergi oversea.”Menantu aku beli kan aku kereta.’
Sejak kecil emak bapa sibuk membanding beza anak sapa pandai paling cantik, dan tua pun sama juga, anak menantu sapa paling kaya…. Penat!
Anak-anak berbuat ihsan pada ibu bapa tapi jangan pula ibu bapa ambil kesempatan. Ada yang mahu menantu perempuan bekerja kerana tak mahu menantu perempuan habiskan duit anak lelaki dia. Pemikiran apakah ini??
Namun bila isteri tidak bekerja, suami isteri kena ada perancangan kewangan yang baik, bersedia dengan sebarang kemungkinan, sediakan takaful hibah dan lain-lain. Tawakkal dalam masa yg sama ada back up plan.
Baca Lagi Di Sini:
Isteri Yang Tak Ada Duit Gaji, Pendapatannya Patut Datang Dari Suami
Duit Isteri BUKAN Duit Suami, Suruh Bayar Itu Ini Tanya Dulu
MW: Setuju sangat dengan apa yang dikongsikan ini. Jangan sesekali pandang rendah pada isteri/menantu/ wanita yang tidak bekerja. Hakikatnya tanggungjawab sebenar menanggung keluarga dan memberi nafkah adalah peranan suami. Isteri bekerja berkemungkinan adalah untuk menyelesaikan tanggunggan yang ada. Suami, sekiranya mahu isteri TIDAK bekerja, dia perlu tahu tanggungan isteri.
Sumber: ياسمين حناني محمد سفيان
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Dapatkan Dos Pertama Vaksin, Pesakit Mental Juga Perlukan Peneman

Isteri ini, Husna Adnan berkongsi pengalaman membawa suaminya yang menghidap ‘panic disorder’ untuk mendapatkan dos pertama vaksin di pusat vaksin. Suaminya ini amat memerlukan peneman bagi menguruskan keperluan sedemikian.
Namun, jadi satu kesukaran buat isteri ini yang menemani suami mendapatkan dos pertama suntikan vaksin, apabila masih ramai yang belum faham akan situasi yang dihadapi pesakit mental sebegini.
Tak mudah sebenarnya, kerana penyakit yang suaminya hadapi itu masih ramai yang belum ada kesedaran tentangnya. Masih ramai juga yang belum memahaminya.
Dan inilah yang terjadi, dikongsikan isteri ini agar lebih ramai buka mata dan memahami penyakit sebegini wujud. Sebagai penjaga pesakit yang menghadapi masalah mental, Husna berharap semoga semakin ramai lebih cakna dengannya.
TIDAK SEMUA SAKIT TERLIHAT PADA MATA
Tidak seperti insan yang diuji dengan kecacatan kekal, sakit mental hanya dapat disahkan selepas kita bertemu pakar di hospital.
Selepas disahkan oleh pakar pun, tiada siapa akan tahu selain kita sendiri memberitahu kepada umum.
Sudah diberitahu pun tidak semua faham. Tidak sama reaksinya apabila kita menjelaskan yang kita menghidap anxiety disorder, major depressive disorder, bipolar, atau skizofrenia, berbanding apabila menyebut sakit kanser atau jantung.
Sakit mental juga salah satu penyakit. Boleh diubati, boleh sembuh. Sama waktu kita demam.
Namun masyarakat masih skeptikal akan pesakit mental dan ini yang berlaku semalam waktu aku menemani suami yang menghidap panic disorder bagi mendapatkan dos pertama vaksin.
Nazry disahkan menghidap panic disorder / anxiety disorder sejak tahun 2016, empat tahun selepas kami sama-sama sedar yang Nazry tidak berkelakuan normal seperti orang lain.
Dia tidak boleh memandu seorang diri.
Dia tidak suka kawasan sesak.
Dia takut pergi solat Jumaat.
Dia tidak boleh berbuat apa sahaja di luar rumah tanpa kehadiran aku. Nak aku juga teman.
Sekiranya dia tidak bersama aku, pasti kerana dia ada bersama kawan-kawan / escort.
Selama ini aku sentiasa menemani dia hampir ke mana jua hatta terpaksa menunggu berjam-jam di dalam kereta Kelisa yang akan menjadi panas bagaikan ketuhar ketika dia bermesyuarat, adalah kerana ini. Bukan kerana aku isteri yang manja, bukan juga kerana dia suami mengada-ngada.
Pengalaman Pesakit Panic Disorder Dapatkan Dos Pertama Vaksin
Panic disorder bukan ketakutan seperti kita panik apabila rumah terbakar, air tiada waktu mandi, ataupun diserang lipas terbang.
Perkataan “disorder” itu membezakan panik orang biasa dan panik pesakit ini.
Ia tidak normal.
Apa yang ditakutkan dengan bersolat Jumaat?
Apa yang ditakutkan dengan memandu sendirian?
Apa yang ditakutkan dengan buang air besar?
Apa yang ditakutkan dengan tidur?
Ayat biasa orang normal adalah,
“Nak takut apa?”
Ya, kita yang sihat tidak akan faham sekiranya tiada ilmu. Hal biasa saja tapi kenapa nak takut beria?
Apabila Nazry mendapat SMS berkenaan dos pertamanya – sehari selepas tarikh berperang mendapatkan AZ kumpulan kedua yang gagal – dia sudah mula panik.
Panik apabila dia dapat vaksin yang asalnya gagal dimohon, panik apabila dia diarahkan ke PWTC dan bukannya di sekitar Kajang, dan lebih panik apabila mendapati aku yang lebih berusaha berjuang menempah tarikh AZ, tiada panggilan hingga ke hari ini. Isi borang sekali lagi, sudah. Kemas kini segala info, sudah. Semua sudah, semua sudah.
Bagaimana pesakit panic disorder seperti dia mampu pergi seorang diri ke PWTC demi mendapatkan dos pertama?
Tiada cara.
Tiada cara melainkan aku menemani dia.
Maka itulah yang berlaku semalam.
Buku temujanji berwarna biru dari Klinik Psikiatri Hospital Kajang siap dibawa sebagai bukti.
Namun apa yang berlaku seawal masuk ke PWTC, adalah amat mengecewakan.
Buku Biru Sebagai Bukti Ketika Dapatkan Dos Pertama Vaksin
Kami ditahan oleh seorang anggota tentera kerana aku tidak dapat menunjukkan bukti temujanji di MySejahtera. OF COURSE. Dah kerajaan belum beri, macam mana aku nak dapat. Aku di situ pun bukan sebab aku ada temujanji.
Maka Nazry hulurkan buku biru dia dan menjelaskan kedudukan sebenar.
Anggota itu masih menghalang aku dan menyuruh Nazry masuk seorang diri.
Bayangkan.
Ini PWTC. Luas. Besar.
Kena naik ke tingkat 2 dan 3.
Bukan klinik desa.
“Saya ada panic disorder, tuan.”
Nazry dah mula panik dan marah.
Aku menjelaskan sekali lagi, namun anggota itu membalas yang dia tidak dapat berikan kebenaran kerana memang tidak dibenarkan ada peneman. PWTC perlu uruskan 18k temujanji setiap hari.
Itulah yang diulang. Tidak mahu berlaku kesesakan tidak perlu barangkali.
Lalu Nazry kata dia tak nak naik seorang. Dia tak nak ambil vaksin dan nak balik.
Dengan nada bersahaja anggota itu berkata, “Terpulanglah.” Tetapi beberapa saat kemudian, dengan buku biru Nazry masih di tangannya, dia memanggil pegawai lebih tinggi. Tak pasti pangkat apa, kami pun tak jelas hal paku.
“Tuan, mereka ni nak masuk berdua.”
Kini kami menghadap tiga anggota tentera.
Pegawai itu mengambil buku biru dan membelek. Beberapa soalan diajukan, dan buku biru diserahkan semula kepada aku.
Sambil memeluk tubuh, pegawai itu bertanya, “Dia memang selalu macam ini ke?”
“Ya, tuan. Kami ke sini pun saya yang memandu. Beberapa hari sebelum, dia dah panik sampai tak boleh tidur. Ini saya yang ‘encourage’ dia supaya dia ambil vaksin.” Penat kena ulang jawab tapi kita jawab jugalah.
“Hmm.” Jeda. “Boleh naik, tapi saya tak jamin di atas nanti kamu diberi masuk.”
Kami pun beredar selepas mengucapkan terima kasih. Bayangkan. Temujanji jam 4, kami dibenarkan masuk dengan jarak jauhnya, dengan soal jawabnya, jam 4.30 baru selesai.
Itu baru di lobi.
Masuk ke Dewan Merdeka, tiada yang tahan. Tetapi sekali lagi aku ditanya petugas waktu nak masuk ke ruang menulis borang.
“Sini tak boleh masuk kalau tak ada temujanji, kak,” kata seorang petugas lelaki.
“Saya temankan sebab dia ada panic disorder.” Sekali lagi aku tunjuk buku biru.
“Ha tak boleh, kak. Sebab sini sehari 18k orang kami kena urus, tak cukup kerusi.”
Waktu itu Nazry dah masuk ambil borang, maka aku hanya menunggu di luar pagar putih yang membezakan meja petugas dengan Station 1.
Melihatkan aku berdiri di luar pagar, Nazry juga mengisi borang sambil berdiri di hadapan aku walaupun banyak kerusi kosong.
Kemudian terdengar petugas lelaki itu memanggil.
“Kak, masuklah kak.”
Aku pun angguk dan berjalan ke arah pintu masuk sebelum seorang lagi petugas wanita bersuara, “Masuk tapi tak boleh duduk ya kak. Akak kena berdiri. Kerusi untuk yang nak isi borang je.”
Aku tarik nafas dalam-dalam.
Sebagai Penjaga Pesakit, Ini Yang Selalu Dihadapi
Aku tak kisah kalau semua ini disusahkan kerana prosedur. Aku serius memahami.
Tapi aku sebagai penjaga pesakit / caregiver rasa sayu pun ada. Sebab ini situasi biasa yang aku dah hadapi sejak jadi peneman Nazry.
Nazry diberi air, aku tidak.
Nazry diberi kerusi, aku tidak.
Nazry mendapat simpati bagi yang memahami, tetapi aku yang menjaganya dilayan macam habuk.
Aku tak minta dilayan lebih, tapi aku harap masyarakat kena faham yang penjaga pesakit seperti kami ini sentiasa dalam keadaan penat.
Penat fizikal, penat mental.
Bukan waktu itu saja, sebab kami kena buat banyak persediaan rapi sebelum hari kejadian.
Aku tak sempat makan apa pun sebelum ke PWTC memandangkan banyak tempahan yang perlu aku bungkus sebelum ke sana. Aku kena siapkan kerja sebelum temankan Nazry. Itu pun sambil-sambil menguruskan PdPR anak-anak.
Jangan tanya kenapa Nazry tak bantu.
Dia sedang berperang dengan diri dia.
Dia yang akan dicucuk petang itu.
Jam 1 petang baru selesai. Aku minta tidur sekejap kerana nanti aku perlu memandu.
Jam 1.40 petang aku bangun, mandi, bersiap, solat, kemas apa yang patut, dengan Afia masih berusaha siapkan PdPR, jam 3 petang kami hantar anak-anak ke rumah mak aku sebelum ke PWTC.
Tak sempat makan apa pun.
Tapi kepenatan aku tiada buku biru nak dijadikan bukti. Kepenatan penjaga hanya kami yang rasa.
Pesakit mental perlu difahami.
Penjaga mereka juga perlu diambil peduli.
Aku berdiri pun tak apa, tapi nada mengarah dengan gaya tubuh yang menyebalkan itu buat aku jadi tambah letih. Okey sambung.
Orang Tak Beri Duduk, Saya Tak Duduk
Aku masuk dan berdiri di belakang kerusi Nazry. Dari satu kerusi ke satu kerusi kerana perlu penuhkan kerusi di hadapan, aku hanya berdiri.
Ada dalam 5 – 10 minit aku berdiri. Entahlah.
Tiba-tiba petugas lelaki tadi menghampiri aku. “Akak duduklah. Ada kerusi kosong.”
Aku dah rasa nak flip chair. “Saya hanya ikut arahan. Orang tak beri duduk, saya tak duduk walaupun nampak banyak kerusi kosong.”
Dia gelak kecil. “Biasa ramai, kak. Waktu ini tak ramai pula. Akak duduklah.”
Beberapa ketika selepas aku duduk, nombor Nazry dah naik. Aku ekori dengan buku biru, petugas tahan sekali lagi tetapi terus dibenarkan masuk apabila aku kata aku peneman.
Sampai di Dewan Tun Razak 4, ditanya sekali lagi tapi dibenarkan masuk. Berdiri di sebelah Nazry tetapi tidak lama. Di ruang Consultation, aku kira petugasnya adalah staf kesihatan, maka aku dilayan lebih baik. Dapat duduk haha.
Waktu dipanggil ke meja penasihat, doktor memberi beberapa penerangan. Nazry alah pada paracetamol, jadi diminta ke farmasi bagi mencari ubat alternatif sekiranya demam.
Selepas itu proses vaksinasi cepat dan lancar. Tunggu 15 minit, dia kata lengan lenguh-lenguh saja, tiada kesan yang lebih serius.
Malam tadi dia demam sekejap. Tangan dan seluruh badan jadi sangat sejuk. Dia bangun makan ubat dan tidur semula. Pagi ini alhamdulillah dah okey, tiada kesan sampingan lain.
Pada aku, PWTC waktu PBAKL pun banyak kerenah. Aku malas nak ungkit apa jadi sebab orang buku pun meloncat hal-hal dulu sampailah sekarang, tapi aku tak sangka bab vaksinasi ini pun disusahkan sehabis boleh berbanding tempat lain.
Di UKM, mak ditemani kakak sulung. Semuanya sangat cepat. Tahu-tahu dah selesai. Kakak tidak sempat turun dari kereta, mak dah masuk balik.
Pengalaman mak dan kakak berbeza. Petugas baik melayan dan membantu. Indah belaka.
Tapi mungkin bukan sebab lokasi semata-mata.
Sebabnya, aku menemani suami yang sama-sama nampak sihat dan muda.
Harap Mudahkan Urusan Kes Yang Ada Bukti Klinikal
Aku yakin pasti sudah banyak perangai manusia yang petugas hadap sampai ketat sebegini. Mungkin benar ada yang diteman sebab mengada-ngada, sekadar nak meluangkan masa di luar rumah sambil berOOTD.
Tapi aku harap mana-mana kes yang siap diberi bukti klinikal seperti pesakit mental ini, dimudahkan urusan. Cukup baik mereka hadir demi temujanji yang diaturkan, banding tidak hadir langsung.
Dan aku harap dengan perkongsian ini juga, masyarakat lebih berusaha dalam memahami situasi pesakit mental dan penjaganya.
Nak suruh empati, tidak semua mampu.
Tapi terimalah yang sakit ini wujud.
Bukan rekaan semata-mata.
Dan tolong.
Sakit mental tidak berkaitan dengan iman. Nazry cukup solat, mampu jadi imam, tidak culas nafkah keluarga, dan hafal al-Mulk. Tiap kali sebelum tidur dia akan baca al-Mulk. Namun dia tetap diuji dengan sakit mental. Bukan dia minta.
Cuma, ya. Iman membuatkan dia mudah tenang dan ditenangkan. Ubat yang doktor beri juga wajib dimakan supaya dia tidak masuk ke tahap depresi. Insya-Allah, ada nampak perkembangan baik dengan pengurangan dos dan bilangan pil.
Doakan dia, doakan aku, doakan kami, dan doakan semua yang sedang bertarung dengan diri sendiri. Ramai kawan kami yang sudah didiagnos dengan pelbagai kondisi sejak zaman PKP ini.
Anda takkan faham selagi tidak menghadapinya.
Aku harap, tiada siapa perlu menghadapinya.
#HusnaAdnan,
Allah uji ikut kemampuan.
NOTA: Dengan perkongsian ini, jangan tanya apa-apa kepada Nazry, jangan telefon Nazry nak tanya pengalaman dia, jangan ada stigma, jangan apa pun. Cukup dengan doa.
Sekiranya anda rasa anda juga ada masalah mental, bertemulah dengan pakar. Jangan Google saja, jangan diagnosis sendiri. Just don’t.
Dibenarkan Share. Aku izinkan.
Aku harap lebih ramai cakna dan ada perubahan.
Mingguan Wanita : Hakikatnya bukan saja warga emas, pesakit mental juga memerlukan peneman dalam mendapatkan dos pertama dan kedua vaksin di pusat suntikan vaksin.
Sumber/Foto : Husna Adnan
Untuk dapatkan info berkaitan kursus keusahawanan anjuran Mingguan Wanita, join telegram BANGKIT Wanita : https://t.me/bangkitwanitaMW
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
“Titah Ibu Melebihi Segala Titah Makhluk Yang Lain” Dr MAZA Akur Pesanan Bonda Tidak Sertai Politik

Sesungguhnya apa juga pesanan, nasihat dan teguran daripada seorang ibu adalah kata-kata keramat yang wajar seorang anak patuhi. Dengarlah nasihat seorang ibu, kerana disitulah terletaknya keberkatan dan doa demi kebaikan seorang anak.
Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin atau lebih DR MAZA terkenal dalam menyuarakan pandangan yang lantang berkaitan sesuatu isu.Sering melontarkan pandangan yang bernas dalam menegur apa juga perkara yang dirasakan perlu ditegur. Baru-baru ini, viral gambar pertemuan DR MAZA bersama Tun Mahathir di Pejabat Perdana Menteri. Hasil pertemuan tersebut menimbulkan pelbagai spekulasi, antaranya kemungkinan penglibatan Mufti Perlis ini dalam memegang jawatan politik.
Rupanya, perkara tersebut menimbulkan kerisauan buat bonda tersayang DR MAZA sendiri. Ibu Mufti Perlis ini, berharap agar anaknya tidak sama sekali melibatkan diri dalam arena politik dan terus kekal dengan jawatan mufti.
Berikut antara perkongsian perbualan bersama ibu oleh Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin didalam laman Instagramnya;
Suatu awal pagi ibu saya telefon. Selepas saya bertanya khabar terus ibu saya ‘masuk tajuk’ tanpa intro:
“Mak harap jangan pegang jawatan politik. Buat apa duduk bawah telunjuk orang lain. Mak suka macam sekarang. Apapun terpulanglah”.
Saya jawab: “Kenapa tiba-tiba risau?”.
Jawab beliau: “Takpalah, terpulang”. Saya diam sahaja.
Titah ibu melebihi segala titah makhluk yang lain. Kalau ada pandangan lain, kena balik mengadap sendiri dan pujuk.
Beberapa hari lepas DYMM Raja Perlis juga berkata pada saya:
“Kalau jadi orang politik, penerimaan orang terhadap pandangan agama yang diberikan akan ada prasangka yang lain”.
Saya orang biasa. Hidup sebagai rakyat marhaen. Tidak bergaya pun nak jadi pemimpin politik. Apapun, kepada Allah penentu segala urusan.
A post shared by Dr MAZA (@drmaza_official) on
Ternyata perkongsian tersebut mendapat pelbagai respon daripada para pengikut instagram Mufti Perlis ini. Antara yang bersetuju dengan pandangan dan nasihat ibu Dr Maza seperti berikut;
norzihan_j Pandangan & teguran dari seorang ibu ada hikmahnya. Nasihat beliau dari hati nurani kasih sayang seorang ibu pada anaknya yang beliau nampak baik buruknya hidup dalam dunia politik. Pada pendapat saya, @drmaza_official fokus dalam bidang yang bersangkut paut dengan ilmu keagamaan. Negara kita memerlukan intelektual-intelektual yang dapat membantu memberi maklumat, nasihat & teguran pada institusi yang terlibat secara langsung. Semuga sampai hasrat ibunda tercinta.
abd.fazir Betul kata bonda Dr tu. Sekarang boleh kritik mana-mana parti yang buat salah.. Papepun tetap sokong DR dan doakn Dr Semoga dipermudahkn urusan dunia dan akhirat..Ilove u Dr… Mencintai ulama itu kerana sebab merekalah pewaris Nabi.
dekna_ct Nasihat terbaik dari seorang ibu..alhamdullilah…
2aa1sk Betul sangat cakap Ibu. Doa Ibu adalah segala-galanya, selamat dunia akhirat.
aaleeyahkareem Nasihat Ibu dr.Maza itu adalah do’a yg trbaik buat anaknya.
rohayahismaon Semoga @drmaza_official akan menegur sekiranya ada berlaku pencanggahan dalam agama..no need to be a politician..sekarang pun kami sangat menghormati pandangan dato.
rexaa_sportcrew Saya suka bila kamu bebas dari mana-mana partipolitik, saya suka bila kamu mengkritik semua parti politik dan saya suka bila kamu sampai kan ilmu kamu dalam keadaan saya anggap kamu bukan ahli politik atau ikut telunjuk ahli politik.
syamsul.azuar Better ustaz kekal sebegini. Boleh tegur mana-mana pihak tanpa ada sebarang agenda peribadi. Juga menjadi sumber rujukan sesiapa sahaja.
nikhazard Harap Dr. MAZA x masuk politik… tak kira pemimpin siapa yg salah, Dr. MAZA dapat menegur sebaiknya dan memberi pandangan tanpa prejudis dan taksub mana-mana parti.
Namun begitu tidak kurang ada yang turut memberi pandangan sebaliknya. Menyokong penglibatan Mufti ini memegang jawatan dalam politik.
ririnasjhad Saya berpandangan berbeza pula. Semua ibu mahukan keselesaan bagi anak mereka. Namun jika sebagai pendukung agama kedudukan kita sekarang telah mencapai keselesaan, bermakna kita diperlukan ditempat lain. Kerana mendukung agama adalah perjuangan seumur hidup. Selesa, tiada di dalam kamus seorang pejuang. Semoga Allah menggerakkan hati Dr memilih yg terbaik utk Dr, sekeluarga dan saudara-saudara sesislam atau bakal islam. Amin.
hafahamzah Saya harap @drmaza_official menimbang dari sudut masalih & mafasid di atas sebarang pelantikan jawatan politik, lebih-lebih lagi demi masa depan Islam, dakwah sunnah & ummah secara keseluruhannya. Kalau bukan Dr MAZA, siapa lagi?
ezad_am Berdakwah banyak cara dr,dan masuk dalam politik pun salah satu cara untuk dr menarik orang lain ke jalan kebenaran,kerana sebelum ni dr disekat dalam menyampaikan dakwah dan video dr dan ilmuan lain hanya di youtube,mungkin dengan cara ni,dr boleh bawa kebenaran dengan lebih meluas..kebenaran pada orang diluar sana lebih ditonjolkan, saya berpendapat dr harus lebih kedepan unutk membawa lebih ramai ke jalan kebenaran , saya tahu dr boleh…wallahu ta’ala a’lam.
Mendengar kata-kata, nasihat dan pandangan daripada seorang ibu biasanya adalah yang terbaik. Kerana dalam pesanannya terselit doa dan harapan dalam menentukan kehidupan terbaik buat seorang anak. Apa-apa pun, semoga Dr MAZA membuat pilihan yang terbaik demi agama, bangsa dan negara tercinta.
Sumber: drmaza_official
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Jangkaan Hidup Hanya Dua Hari, Namun Sehingga Kini Jannah Masih Kuat Bertahan

Mendapat perkhabaran bahawa dirinya berbadan dua buat kali ketujuh membuatkan dia rasa cukup teruja, gembira dan bahagia kerana dapat merasai nikmat mengandung dan pertambahan ahli keluarga baru. Malah sepanjang perjalanan kehamilan Sity Warhana Sa’yan kelihatan normal dengan tiada komplikasi berat yang melanda. Keterujaan bakal menimang cahaya mata jelas terpancar pada pasangan ini, namun berita yang diterima ketika usia kandungan 36 minggu ternyata membuatkan pasangan ini sedikit gusar.
“Sepanjang hamilkan Jannah, doktor tidak dapat kesan sebarang kelainan. Semuanya nampak normal. Daripada awal kehamilan, perkembangan Jannah dalam kandungan sentiasa normal, kecuali pada minggu ke-36. Berat bayi dalam kandungan saya dikesan menurun dari 2.8kg kepada 2.6kg. Begitulah minggu seterusnya bila purata penurunan sekitar 200gm seminggu berlaku. Saya mula rasa bimbang tetapi tetap yakin bahawa bayi yang saya kandung akan sihat,”ujar ibu kepada 7 cahaya mata ini.
Anak yang dikandung selama 40 minggu ini, dilahirkan dengan kelainan kromosom trisomi 18 atau turut dikenali sebagai Sindrom Edward. Sesungguhnya keajaiban itu kuasa Maha Pencipta, nyawa si kecil yang diberi nama Sity Nur Jannah yang sudah berusia setahun lebih masih lagi utuh hingga ke detik sekarang. Meskipun doktor pernah meramalkan hayat Jannah tidak lama namun benarlah ajal maut itu di tangan Allah Yang Maha Esa.
“Cukup usia kandungan 40 minggu pada tarikh 8 Mei 2017, saya terpaksa lahirkan bayi yang dikandung dengan bantuan ubat indius oleh doktor di Kajang Plaza Medical Centre, Kajang. Doktor bimbang dengan corak penurunan berat badan bayi yang berlaku setiap minggu. Syukur, mudah saya lahirkan Jannah. Sakit kontraksi hasil cetusan ubat indius pun tidak lama.
“Bayi yang saya lahirkan terlihat sempurna, panjang dan lilit kepala bayi saya normal, cuma doktor terkejut dengan berat yang cuma 2.2kg. Terus bayi saya dibawa ke NICU bagi mendapatkan bantuan oksigen kerana gagal bernafas sendiri.”
Rawatan pakar
Melihat kepada keadaan kesihatan bayi yang semakin merosot, doktor menyarankan Jannah di bawa ke Hospital Kajang untuk mendapatkan rawatan pakar. Seakan lupa diri masih berpantang, demi bayi yang baru dilahirkan Sity Warhana dan suami membawa anak kecilnya untuk mendapatkan rawatan pakar yang sewajarnya.
“Seorang doktor pakar kanak-kanak menyatakan bahawa kondisi bayi saya agak kritikal dan mencadangkan kes ini segera dirujuk kepada doktor pakar di Hospital Kajang. Tanpa berlengah, pagi itu juga saya terus ke hospital Kajang. Kalau ikut teori, doktor kata peluang untuk bayi saya hidup sangat tipis. Boleh bertahan dua hari sahaja.
“Syukur, pada hari ketiga Jannah masih lagi bernyawa, doktor cadangkan sampel darah bayi saya diambil untuk menjalani ujian kromosom di LPPKN. Selepas 14 hari, ujian mengesan kromosom Jannah trisomy 18. Menurut doktor hayat anak saya tidak lama memandangkan ada masalah jantung dan saluran paru-paru berlubang. Saluran pernafasan juga sempit. Selepas berbincang, saya dan suami mahu bawa pulang anak kami ke rumah kerana doktor jangkakan dia hanya boleh bertahan paling lama pun, dua bulan. Siapa tak sedih mendengar makluman doktor pada saat itu. Tapi saya dan suami perlu kuat untuk menghadapi hari-hari mendatang.
Perkembangan terkini Jannah
Sehingga kini Jannah masih lagi menerima rawatan fisioterapi tanpa had umur dari Hospital Kajang di samping turut menjalani rawatan di Kardiologi Pediatrik, ENT Pediatrik, Ortopedik Pediatrik di Hospital Canselor Tuanku Muhriz atau lebih dikenali sebagai HUKM sebelum ini.
“Jannah masih dapatkan rawatan daripada Klinik Pakar Kanak-kanak Hospital Kajang di samping pemeriksaan jantung oleh doktor pakar jantung kanak-kanak di Hospital Canselor Tuanku Muhriz atau HUKM . Doktor pakar kardiologi kanak-kanak di PPUKM mendapati, dahulu VSD dan PDA adalah sebesar 1sm. Sewaktu umur Jannah empat bulan, echo yang dilakukan sekali lagi menunjukkan PDA sudah tertutup manakala VSD pula 5mm, Syukur!
Kuatnya si kecil Jannah ditambah dengan usaha dan semangat serta sokongan ibu dan ayah, perkembangan positif yang ditunjukkan Jannah sedikit sebanyak membuatkan hati Sity Warhana dan suaminya lega. Siapa sangka si kecil yang dahulunya dikatakan hanya mampu bertahan selama dua hari, diikuti dua minggu dan seterusnya dua bulan sehingga kini nyawanya masih dikandung badan. Namun menurut Sity Warhana, dia dan keluarga sudah bersedia menerima segala kemungkinan yang akan berlaku kelak.
“Alhamdulillah, Jannah kini semakin aktif. Walaupun perkembangan tidak sama seperti bayi yang sebayanya, Jannah banyak tunjukkan perubahan positif. Dia sudah boleh meniarap. Berat juga makin bertambah dari semasa ke semasa. Kalau dahulu Jannah hanya boleh makan dan minum menggunakan ryles tube disebabkan masalah jantung, kini dia sudah boleh makan dan minum menggunakan sudu atau shrink. Saya dan suami sangat bersyukur melihat perubahan tersebut.
“Ketika Jannah dilahirkan doktor ramalkan dia hanya mampu bertahan selama dua hari, kemudian dua minggu dan seterusnya dua bulan. Saya dan suami sebenarnya sentiasa bersedia dengan apa sahaja kemungkinan yang akan berlaku kepada Jannah suatu hari nanti. Apa yang kami tahu adalah untuk memberikan rawatan yang terbaik untuk anak kami selebihnya kami serahkan pada yang Maha Esa.
“Menjaga anak seperti Jannah memang memerlukan lebih pemerhatian. Jannah tak boleh dibiarkan selesema atau batuk. Bimbang keadaan tersebut akan memburukkan lagi kesihatannya. Jadi saya akan sentiasa pastikan pengudaraan dalam keadaan baik selain memastikan kebersihan dalam rumah. Anak-anak saya yang lain juga memahami keadaan adik mereka yang tidak sihat. Mereka sangat memahami dengan keadaan kami jadi anak-anak yang lain tak banyak bagi masalah buat saya dan suami,” ujarnya lagi.
Setiap ibu bapa pasti mahukan anak-anak mereka sihat dan membesar dengan baik. Sity Warhana dan suami juga tidak terkecuali. Namun dengan ketentuan Ilahi, dugaan yang sedang dialami dihadapi dengan penuh keredaan. Tidak pernah putus harapan dan semangat dalam menghadapi hari-hari mendatang, setiap ujian yang menimpa dilihat dalam sudut positif oleh pasangan ini.
“Mempunyai anak seperti Jannah buat saya dan suami belajar banyak benda baharu. Sudah semestinya semua ibu dan ayah mahukan anak-anak yang sihat dan membesar dengan baik, tapi untuk Jannah kami sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan. Tapi kami tak pernah putus asa dan doa untuk kesihatan anak kami itu. hadirnya dia bukan setakat seorang puteri buat saya dan suami tetapi lebih kepada amanah Allah yang datangnya dari syurga,”akhirinya sayu.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI