Sudah menjadi kewajipan dan tanggungjawab suami dalam memberi nafkah pada isteri, lebih-lebih lagi pada isteri yang tidak bekerja. Bagaiamana pula dengan isteri yang bekerja dan mampu pegang wang sendiri.
Kebanyakan suami mula ambil sikap mudah bab-bab memberi nafkah pada isteri terutamanya bila isteri bekerja. Baginya, isteri sudah ada wang sendiri dan mampu belanja apa sahaja. Namun, jangan ambil kesempatan pula bila isteri bekerja dan mula cuai dalam menunaikan tanggungjawab ini.
Cuai Tanggungjawab
Menurut Prof Madya Ts Dr Hj Mohd Nor Mamat, Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara Malaysia (UiTM) ada jawapannya. Terdapat beberapa faktor mendorong situasi kecuaian suami daripada bertanggungjawab terhadap nafkah keluarga iaitu:
Suami cuba mengambil kesempatan.
Berpunca daripada isteri yang bersetuju sedari awal untuk bekerja dan menyumbang pendapatannya untuk menampung nafkah keluarga. Dalam situasi begini, barangkali tidak menimbulkan sebarang masalah, namun secara tidak langsung tetap juga menggalakkan suami menjadi seorang yang tidak bertanggungjawab
Terdapat juga kes disebabkan oleh suami yang tidak mempunyai pekerjaan dan sumber pendapatan yang tetap.
Ada juga disebabkan suami yang selesa dengan bantuan nafkah daripada pendapatan isteri, lama-kelamaa nmenyebabkan terlalai dan mula salahgunakan pendapatannya untuk perkara lain, sedangkan nafkah keluarga terabai.
Bukan Trend
Dalam masyarakat sekarang ini, selalu mengandaikan situasi yang berlaku sebagai fenomena atau trend. Hakikatnya wanita bekerjaya bukanlah suatu trend. Tatkala perkara ini menjadi budaya, ia semakin sukar untuk diubah.
Tanpa menyalahkan mana-mana pihak, boleh jadi isteri pada peringkat awalnya tidak kisah kalau bakal suami tidak berharta atau berpendapatan rendah dan tawarkan diri untuk berkongsi menyara keluarga.
Namun selepas beberapa waktu, isteri fitrahnya dijaga, bukannya menjaga dan menyara suami. Lama-kelamaan akan timbul konflik kerana isteri akan terasa suaminya tak bertanggungjawab.
Ads
Bagi suami, mungkin awalnya berkongsi tetapi apabila selesa dengan saraan oleh isterinya menyebabkan terlalai dan mungkin akhirnya bersandar kepada isteri.
Tidak dinafikan ada kes disengajakan oleh suami untuk mengambil kesempatan ke atas isteri yang bekerjaya dan berpendapatan, tetapi ia tidak boleh berlaku sekiranya wanita tak membiarkannya berlaku dari awal.
Inilah situasi kenaifan tentang peranan dan tanggungjawab hakiki masing-masing atau pun sikap acuh tak acuh terhadap hak masing-masing sejak dari awal. .
Ads
Dalam masa yang sama, terdapat kes yang suami sengaja mengambil kesempatan dan melepaskan tanggungjawab pada isteri. Perkara ini berlaku disebabkan oleh:
Kerelaan oleh isteri, disebabkan kasih sayang yang keterlaluan
Keadaan yang terdesak pada pihak suami
Kenaifan isteri tentang hak dirinya dan tanggungjawab suami
Rasa Rendah Diri
Walau bagaimanapun, berdasarkan fitrah asas seorang lelaki dan suami, sebenarnya rasa rendah diri jika dia tidak mampu menyara keluarga ataupun disara oleh wanita. Sikap lelaki yang seronok bergantung kepada isteri untuk menyara hidupnya dan keluarga juga berkaitan dengan gangguan psikologi ataupun tidak normal.
Sesuatu yang harus dijaga juga, kemungkinan suami akan menjadi inferior dan rendah diri, manakala kemungkinan kesan isteri menjadi dominan dan superior juga wujud. Peranan masing-masing akan bercelaru sekiranya kesefahaman mulai terhakis.
Seharusnya suami isteri kena jelas dari awal yang suami adalah penyara nafkah keluarga. Sebaiknya carilah pasangan suami yang layak dan berada untuk menyara keluarga.
Rancangkan sedari awal elemen-elemen yang berkongsi dibantu oleh isteri, contohnya bayaran kereta kedua atau bil eletrik, air dan sebagainya. Manakala saraan utama mestilah dikekalkan pada isteri.
Memang isteri bekerjaya perlukan izin suami, sebab itu, elakkan elakkan juga bekerja semata-mata untuk diri sendiri tanpa kaitan langsung untuk membantu suami dan keluarga. Pada masa yang sama, suami pula perlu faham bahawa pendapatannya adalah untuk nafkah keluarga manakala pendapatan isteri bukanlah untuk nafkah keluarga.
Sama-sama toleransi dan membantu dalam melaksanakan tanggungjawab tanpa meninggalkan tugas hakiki masing-masing yang saling melengkapi.
Penting juga untuk diberi perhatian supaya elemen sekufu atau setaraf itu dilihat ketika mencari pasangan. Persamaan taraf dan budaya hidup suami iateri akan lebih memudahkan lagi persefahaman untuk berkongsi pendapatan secara bersederhana.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Setiap wanita bercita-cita untuk memiliki suami yang dikatakan sebagai Mr Perfect? Malah, rata-rata apabila ditanya apakah ciri-ciri suami idaman pada pandangan matanya? Majoriti akan mengatakan mereka inginkan suami yang kacak, tinggi dan boleh menjaga keluarga, tidak kurang juga yang mengatakan mereka mahukan suami yang beriman dan tinggi nilai agamanya, berharta dan mampu mendidik mereka serta menyayangi mereka tanpa ada sisi kecurangan.
Persoalan yang paling penting, apakah ada lelaki yang dikatakan Mr Perfect ini atau pun yang kerap ditemui wanita adalah lelaki yang bertopengkan Mr Perfect dan terbongkar segalanya apabila sudah berkahwin rupanya si suami adalah Mr Looser. Paling bimbang jika suaminya ini seorang yang terpesong jauh daripada didikan agama, suami yang derhaka dengan Allah SWT. Bagaimana pula boleh isteri hidup dalam keadaan rumah tangga yang bagaikan retak menanti belah. Inilah yang dibincangkan bersama Mohd Shariman bin Che Deris.
Suami yang tidak berpuasa di bulan Ramadan, suami yang lebih suka tidur daripada berjemaah solat tarawih suami yang bebelnya panjang seakan tiada kesudahan. Suami yang lebih suka melayani media sosial daripada isterinya. Malah ada banyak lagi yang boleh kita senaraikan. Maklum sahaja, inilah imam yang tergelincir daripada landasannya.
Banyak persoalan yang bermain di fikiran seorang isteri dan dek kerana kegusaran dan ketakutan inilah yang membuatkan ramai isteri berdiam diri, menyembunyikan rasa hati terhadap si suami yang tidak lagi menjadi Mr Perfect di matanya.
Mereka lebih rela dimamah keperitan hidup, dihimpit rasa hati, diserang kebimbangan perasaan daripada nanti rumah tangga dilanda tsunami hanya kerana mereka mahu memperbetulkannya.
Adakah ini adil buat seorang isteri? Iye ianya adil jika isteri itu sendiri yang memilih untuk tidak mahu menegur suaminya yang sudah tergelincir landasan. Tidak boleh lagi dijadikan sebagai contoh ikutan dalam rumah tangga.
Ini perlu diperbetulkan, akan adakah rasa bahagia buat seorang isteri dalam rumah tangganya jika imam ini berterusan melayan nafsu diri tanpa ada teguran daripada seorang isteri?
Sebelum rumah tangga ini bertambah parah, isteri perlu bangkit dan tidak hanya menyerah.
Setiap sesuatu itu sebelum ianya berlaku, akan ada corak perubahan tingkah lakunya, bibit benih ini akan mula kelihatan. Isteri perlu bijak menegur dan memperbetulkan ini di waktu awal bunga ini memutik. Sungguh, isteri perlu memerhati suaminya dan perlu segera dikendalikan sebelum ia berakar umbi.
Isteri perlu peka dan lebih cakna dengan perubahan diri si suami.
Ada cara tertentu untuk isteri menegur imamnya agar teguran itu diterima dengan baik . ego suami perlu disantuni dan bukan dipertikaikan.
Pilihlah waktu yang suami, apabila dia sudah relak, tenang dan berehat, pastikan dia dalam keadaan mood bersedia untuk mendengar dan bercakap-cakap. Bersabar dan jangan gelojoh dalam mahu menyuarakan teguran hinggakan suami sedang baring-baring berehat, isteri dah mula sibuk nak bercakap memang menyinga suami jadinya.
Cara yang paling best apabila menegur suami adalah dengan cara memuji dulu suami sebelum menegur “Best la lauk yang abang bawa balik tadi untuk berbuka puasa, pandai abang pilih, jap lagi kita ke surau jemaah Isya dan tarawih ye bang”Suami akan kata iye, jika tidak malam ni, malam esok. Ini cara isteri menegur suaminya yang agak malas nak solat Tarawih.
Lelaki ini tabiatnya tidak suka sesuatu yang kompleks dan panjang, dia suka mudah dan ringkas sahaja, tidak menberatkan kepalanya. Jadi apabila mahu menegur suami permudahkan untuk suami menerima teguran. “Abang, boleh abang jadi imam untuk saya dan anak-anak solat Isya’ nanti” .Jika suami menolak, tidak mengapa. Hasrat dan teguran kita dah sampai kepadanya, cuba lagi dan lagi berterusan. Hati-hati jangan sampai mendesak ye.
Hati suami akan mudah cair dan tewas dengan keikhlasan sama ada melalui pandangan mata atau pun kelembutan suara isteri, gunakan kelebihan ini untuk menegur suami.
Ini kemahiran yang sepatutnya dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh seorang isteri, tona suara yang lembut, memujuk dan merayu sangat baik dijadikan sebagai senjata ketika mahu menegur suami. Begitu juga dengan perkataan-perkataan yang positif dan ada nilai pengaruh. Tidak boleh hanya semberono sahaja.
Kadang-kadang isteri belum apa-apa dah mula bersangka-sangka dengan si suami, macam-macam yang dibimbangkannya, walhal belum pun lagi tegur kesilapan suami tu. Tidak perlu untuk memikirkan sangat implikasi negatif tu, tujuan menegurkan untuk memperbetulkan kesilapan suami, jadi bersangka baik dan tegurlah demi kebaikan dalam rumah tangga.
Iye doakan suami tu, doa dengan penuh rasa dan pengharapan kepada-Nya agar suami ini berubah dan kembali ke landasan yang sepatutnya dalam rumah tangga.
Tidak perlu untuk seorang isteri merasa ragu-ragu dan gusar untuk menegur kesilapan suaminya, yang paling penting adalah teknik dan pendekatan perlu betul kerana untuk mencari Mr Perfect adalah mustahil namun untuk mencipta Mr Perfect ianya memerlukan sentuhan seorang isteri.
Suami tidak akan sempurna, imam ini akan juga tergelincir daripada landasan tanggungjawabnya sebagai seorang suami, di sini lah datangnya peranan seorang isteri untuk memperbetulkannya dan menarik kembali imam ini ke landasan yang betul sebagai seorang suami yang bertanggungjawab dan dicintai.
Kehidupan rumah tangga akan dipenuhi dengan rahmat Allah SWT sekiranya budaya saling tegur menegur kesilapan ini diterima dan menjadi amalan baik, tiada isteri yang sempurna dan tiada suami yang perfect. Apa yang meneguhkan lagi sebuah rumah tangga itu adalah sikap saling menerima kekurangan dan saling pula melengkapi satu sama lain menjadikan rumah tangga ini bahagia dan kekal sehingga ke Jannah-Nya.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Madu itu manis, tapi bermadu itu pahit bagi wanita bergelar isteri! Kadangkala tertanya-tanya, apa kesilapan mereka hingga diri dimadukan dalam diam?
Ikuti luahan hati seorang wanita yang telah dijawab oleh kaunselor dan penulis bebas, Puan Hajah Maimunah Mohamad. Beliau juga salah seorang penulis tetap di dalam Majalah Mingguan Wanita.
Assalamualaikum puan. Saya berusia awal 40-an. Memiliki empat orang cahaya mata, dua lelaki dua perempuan. Saya beryukur kerana mempunyai suami yang penyayang, anak-anak yang sihat dan boleh dikatakan cemerlang di dalam pelajaran.
Yang sulung kini di Ireland mengikuti jurusan kedoktoran; kedua di UiTM di dalam jurusan Mechanical Engineering, ketiga di UIA di dalam jurusan Undang-Undang dan keempat sedang menunggu keputusan SPM (ketika e-mel ini dihantar).
Suami seorang ahli perniagaan dan saya pula tidak lagi bekerja selepas anak kedua lahir. Soal duit tak jadi masalah dan kami mampu hidup selesa. Namun, kami bukan sesenang sekarang. Awal kahwin, saya bersusah payah bersama suami yang baru nak membina perniagaan. Sehinggalah akhirnya dia memiliki beberapa buah syarikat.
Saya jenis isteri yang tak pernah campur urusan kerja suami dan fokus saya pada anak-anak. Sejak anak-anak kecil, saya yang uruskan segala-galanya tentang mereka; pelajaran dan sebagainya. Suami hanya akan berikan duit. Tapi saya tak kisah kerana faham tanggungjawab masing-masing.
Walau pun ada bibik, tapi saya selesa bab memasak, saya tak lepas tangan kerana suami dan anak-anak cerewet soal makan. Kami jarang makan di luar kecuali nak meraikan hari-hari tertentu seperti hari jadi dan sebagainya.
Saya juga bersyukur, dua anak gadis saya rajin membantu mengemas dan memasak. Mungkin kerana saya dah didik mereka sejak kecil. Yang lelaki juga sama, malah mereka pandai masak walau pun tak lah sehebat chef. Bolehlah masak untuk mereka makan. Jadi, saya tak risau bila anak-anak belajar jauh kerana bab makan, mereka akan masak sendiri.
Jika suami cuti lama, kami akan curi masa untuk melawat anak sulung di Ireland. Kalau dia sibuk, kadangkala saya pergi bercuti bersama anak-anak atau rakan-rakan saya. Tak Pernah merungut kalau suami sibuk kerana faham nak uruskan bisnes bukan mudah.
Di kala anak-anak sudah besar, saya punya banyak masa luang dan itu yang membuatkan saya menyertai beberapa NGO. Dapatlah saya hilangkan kebosanan bila anak-anak sibuk dengan pelajaran dan suami juga sibuk dengan kerjanya.
Saya seronok bila dapat menyumbangkan tenaga untuk badan-badan tersebut. Itu juga bagi saya, salah satu cara untuk saya mencari sedikit pahala untuk amalan. Kadangkala saya turut menyertai misi ke luar negara menerusi badan-badan sukarelawan tertentu.
Selain itu, saya banyak menyertai kelas pengajian bagi menimba ilmu agama dan saya ada ‘geng road to jannah’. Kadangkala kami akan ronda-ronda, sambil makan-makan, kami cari masjid untuk ‘merasa’ pengalaman solat di situ. Rasa seronok yang sukar digambarkan.
Menuju ke usia emas, saya inginkan kehidupan yang tenang. Bersama suami dan anak-anak. Namun, ternyata dugaan hebat muncul di penghujung usia.
Sejak tahun lalu, saya perasan suami bersikap pelik tapi saya cuba bersangka baik. Namun akhirnya terjawab semua apabila dia pergi menunaikan umrah awal tahun ini. Saya tak ikut serta kerana saya baru saya menunaikan umrah hujung tahun lalu. Ketika itu suami tak boleh pergi kerana banyak kerja katanya.
Kuasa Tuhan, ada salah seorang sahabat ‘ Road To Jannah’ saya turut menunaikan umrah pada waktu yang sama dan terserempak dengan suami ketika di Madinah. Sekembali ke Malaysia, rakan itu terus berjumpa saya. Katanya, puas dia berfikir namun demi sayangnya pada saya, dia rasakan dia patut luahkan. Dia pulang beberapa hari lebih awal.
Rupanya di Mekah, dia terserempak dengan suami dengan seorang wanita muda. Bila ditanya, suami mulanya hanya diam namun wanita itu yang menjawab yang dirinya adalah isteri kepada suami!
Tuhan saja yang tahu apa yang saya rasa ketika itu. Tiada air mata yang mengalir kerana saya sangat terperanjat. Dalam diam, suami memadukan saya rupanya! Dia menunaikan umrah bersama isteri muda.
Saya memohon kekuatan daripada Yang Esa dan akhirnya saya tekad untuk berterus terang dengan suami sebaik dia kembali ke tanah air. Dia seolah dapat menduga saya akan bertanya hal tersebut. Dia mengaku, dia telah berkahwin dengan seorang janda anak tiga, hujung tahun lepas ketika saya menunaikan umrah.
Waktu inilah air mata saya tumpah. Sebelum ini hati saya cuba menafikan berita yang disampaikan oleh rakan saya itu tapi bila keluar daripada mulut suami sendiri, ia adalah satu hakikat.
Saya masih keliru dengan apa yang terjadi. Hati saya sakit dan marah tapi tak mampu saya luahkan. Memang benar suami mampu berpoligami. Tapi sebagai isteri, ia teramat pedih untuk saya telan. Rasa diri ini dikhianati. Wanita itu masih muda, baru berusia 32 tahun.
Saya sedaya upaya melayan suami dengan baik jika giliran dia di rumah. Namun saya tak dapat membohongi kedukaan hati saya. Sikap saya berubah. Jarang berbual dengannya lagi. Walau pun pelbagai cara dilakukan untuk mengambil hati saya, tapi hati saya seolah-olah sudah layu.
Saya tak tahu sampai bila saya mampu bertahan dalam keadaan ini. Saya cuba reda untuk terima namun hati saya amat sakit.
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang. Poligami adalah perkara yang tidak disukai oleh isteri, tetapi disukai oleh ramai suami. Ada suami yang mampu dan mahu berpoligami. Ada yang tidak mampu tetapi mahu berpoligami.
Ada yang mampu tetapi tidak mahu berpoligami kerana tidak mampu menjalankan tanggungjawab yang lebih berat. Kepada seorang isteri ia adalah suatu kecurangan terhadap kesetiaan dan kasih sayang yang telah diberikan sepanjang perkahwinan.
Tiada wanita yang mahu dimadukan oleh suaminya. Kepada suami diberikan kasih sayang, layanan yang baik, dijaga makan dan pakaiannya, diberi asuhan yang sempurna kepada anak-anak , namun kenapa suami mencari wanita lain selain dia. “Apa salah saya” adalah soalan yang biasa diajukan oleh isteri apabila suaminya ada wanita lain, sama ada dalam alam percintaan dengan wanita lain, mahupun suami telah berkahwin dengan wanita lain. Rasa dikhianati, rasa tertipu, rasa keliru dan kecewa bermain dalam emosi yang remuk redam.
Puan yang dirahmati Allah. Saya dan pembaca memahami situasi yang puan alami. Bukan mudah untuk menerima hakikat dan berhadapan dengan hakikat suami telah ada seorang lagi wanita lain yang disayangi suami.
Tidak dinafikan untuk menerima dan menyayangi suami seperti sebelumnya teramatlah sukar. Ada kebenarannya yang puan sebut, tidak mampu berbohong dengan diri. Namun, kehidupan perlu dilalui bersama suami. Apa yang perlu dilakukan?
Pertama, ambil masa untuk menerima suami. Luka yang teruk pastinya memerlukan rawatan yang lama. Malah luka itu perlu ubat yang kuat untuk menyembuhkannnya. Antara ubat itu adalah banyak mengingati Allah melalui solat, doa, zikir, membaca al-Quran. Kerap mengikuti kuliah agama juga antara penawar untuk sembuhkan luka.
Luka ini pula kalaupun sembuh pastinya meninggalkan parut yang boleh memberi sedikit kecacatan. Malah setiap kali pastinya akan terkenang apabila melihat parut itu. Namun parut tidak boleh hilang bukan? Maka apa yang suami lakukan terhadap puan mungkin sukar untuk dilupakan.
Tidak mengapalah jika hati masih rasa berat untuk menerimanya. Puan boleh melayan perasaan itu. Kita tidak mampu berbohong apabila kepercayaan dicalari. Namun membiarkan perasaan sebegitu dalam tempoh yang lama juga memberi kesan buruk kepada puan. Aktiviti seharian tidak terfokus, emosi tidak gembira, kecewa dan sebagainya.
Sebagai manusia kita perlu meneruskan kehidupan. Cuba puan lihat sekeliling dan lihat kehidupan yang puan miliki. Puan punya anak-anak yang berjaya, punya harta, punya masa dan hobi yang puan boleh lakukan, puan juga mampu menjalankan kerja-kerja amal dalam hidup yang ramai orang belum dapat melakukannya.
Puan juga punya suami yang bertanggungjawab.Tiada apa pun kekurangan yang puan miliki. Namun, Allah hanya beri sedikit ujian ini. Ujian suami ada wanita lain. Jika ditakdirkan puan dilanda ujian yang lebih besar bagaimana? Ujian pastinya ada dalam hidup bagi meningkatkan keimanan kita. Bila ingin mengubat hati, pasti kita bermunajat dan lebih banyak memohon kepada Allah agar hati kita tidak kecewa dengan begitu lama.
Daripada apa yang puan nyatakan, saya dapat memahami bahawa puan tidak dapat membohongi diri puan untuk menyayanginya. Untuk meringankan kekecewaan yang puan hadapi, terus terang katakan kepada suami bahawa hati puan tidak dapat menyayanginya walaupun telah cuba. Puan ada menyebut tidak mampu luahkan.
Jangan biarkan ianya tersimpan dalam hati. Perlu luahkan kepada suami. Lihat responsnya. Kalau dia tidak respon bermakna dia tidak kisah kepada persoalan hati dan perasaan. Maka tidak perlu puan menjeruk rasa terhadapnya. Puan boleh memilih sama ada puan belajar dan berusaha menyayanginya atau pun puan kekal untuk perasaan biasa-biasa terhadapnya.
Perasaan kasih dan sayang terhadapnya boleh diagihk-agihkan kepada aktiviti-aktiviti kemasyarakatan yang puan terlibat. Ini adalah salah satu cara bagaimana puan boleh mengubat hati yang duka kerana puan tidak memfokuskan kasih itu kepada suami sahaja. Banyak ruang dan peluang untuk menyebarkan kasih sayang dan dengan sendirinya hati puan akan terubat.
Banyakkan sedekah, menyantuni asnaf dan anak yatim. Insya-Allah, lagi banyak kebaikan yang puan lakukan untuk manusia lain dan untuk agama Allah, suatu hari Allah akan “campakkan” ketenangan dan kebahagiaan dalam diri puan. Wallahuallam.
Doa merupakan salah satu jambatan perhubungan kita dengan Yang Maha Esa. Ia menjadi simbol kehambaan dan pengharapan yang tinggi kepada-Nya. Sebagai hamba, tiada satu perkara pun yang mampu kita lakukan tanpa bantuan dan perkenan Allah.
Apatah lagi dalam hal mendidik permata hati, ia adalah tanggungjawab yang besar maka kepada Dialah kita seharusnya bergantung harap dan meminta bantuan. Selaku hamba, doa tidak seharusnya berlaku mengikut konteks tertentu bahkan ia seharusnya menjadi umpama perbualan harian kita dengan-Nya.
Ikuti perkongsian daripada Dr. Nurul Asiah Fasehah Muhammad, Universiti Sains Islam Malaysia, juga penulis tetap ruangan PERMATA HATI di dalam Majalah Mingguan Wanita.https://www.facebook.com/mingguanwanita/
Justeru, ia sudah tentu untuk mengembalikan hamba kepada pengakuan Penciptanya, iaitu untuk menjadi hamba dan khalifahnya yang soleh. Jadi inilah yang seharusnya menjadi inti pati utama doa kita sehari-harian. Oleh itu, sudah menjadi kemestian untuk mendoakan anak-anak kita menjadi hamba dan khalifah Allah yang soleh.
Doa ini harus sentiasa diucapkan agar ia dapat membentuk sebuah kerangka khusus dalam minda kita untuk menyediakan sebuah pendidikan yang bakal menyiapkan anak-anak kita ke arahnya.
Bukan itu sahaja, ucapan yang dilakukan acap kali ini akan mempengaruhi tindakan dan tingkah laku kita untuk melakukan perkara tersebut. Misalnya, menyediakan persekitaran yang baik agar potensi fitrahnya dapat dikembangkan.
Ini kerana potensi fitrah ini adalah potensi yang baik dan menghala kepada hakikat kejadian manusia iaitu sebagai hamba Allah dan khalifah-Nya yang soleh.
Dalam konteks ini, kita juga akan berusaha untuk memperbaiki diri agar dapat menunjukkan contoh yang baik juga buat anak-anak.
Sejajar dengan itu, segala keperluan ke arah menyiapkan anak-anak menjadi anak yang soleh juga akan segera disiapkan seperti keperluan fardu ain iaitu solat, mengaji, menjaga aurat dan sebagainya di samping tuntutan fardu kifayah agar dia juga bersiap untuk menjadi khalifah yang baik.
Selain daripada itu, doa ini juga harus dikongsikan dengan anak-anak. Biarkan mereka mendengar dengan jelas doa yang kita titipkan buat dirinya. Ini kerana doa yang kita ucapkan tersebut akan membentuk persepsi dalam minda anak-anak tentang diri mereka.
Jika acap kali didengari, persepsi ini akan menjadi kepercayaan dalam minda bawah sedarnya dan mempengaruhi tingkah lakunya ke arah perkara yang diucapkan. Apatah lagi apalagi disokong dengan persekitaran yang seiring sudah pasti matlamat yang disasarkan akan lebih mudah dicapai dengan izin Allah SWT.
Antara situasi yang sesuai untuk mengungkapkan doa tersebut ialah ketika mereka bersiap untuk tidur, bangun pagi, ketika ke sekolah dan beberapa lagi situasi lain yang difikirkan sesuai. Boleh juga jika ingin memanggilnya dengan jolokan “anak soleh mama” contohnya kerana percakapan juga merupakan doa.
Oleh yang demikian, amat penting bagi kita untuk sentiasa mengucapkan perkara yang baik-baik di hadapan anak-anak dan memanggilnya dengan panggilan yang baik-baik kerana semua yang diungkapkan terutama oleh kita penjaga mereka merupakan sesuatu yang serius bagi diri mereka.
Ucapan atau gelaran tersebut akan diingati dan di simpan ke dalam minda bawah sedarnya dan membentuk persepsi tentang diri dan kehidupannya.
Kasihanilah mereka dengan mewujudkan persekitaran yang terbaik untuk perkembangan diri mereka, yang kini amat bergantung dengan kita dan persekitaran yang kita sediakan. Apa yang ada dalam persekitaran mereka kini bakal membentuk diri mereka kelak. Maka doakanlah dan berkatalah yang baik-baik agar matlamat mendidik anak-anak kita sejajar dengan tujuan penciptaan mereka yang telah pun dinyatakan oleh Allah. wallahualam.
Masih memegang cara yang betul dan menjaga adab, pengarah dan penerbit, Erma Fatima cukup memelihara batas pergaulan anaknya sebelum melangkah ke alam perkahwinan.