Ads

Suami Isteri Termasuk Anak Berusia 9 Tahun Antara Yang Hilang Ketika Mendaki Di Gunung Trans Gerah Gua Musang

Operasi SAR Gunung Trans Gerah

Suami isteri termasuk anak berusia 9 tahun antara yang hilang ketika mendaki di Gunung Trans Gerah, Gua Musang.

Sepasang suami isteri bersama dua anak mereka berusia 13 dan sembilan tahun antara enam individu yang dilaporkan hilang selepas gagal keluar seperti dijadualkan pada Khamis lalu ketika melakukan ekspedisi pendakian di laluan Gunung Trans Gerah (Trans GBB), Gua Musang, Kelantan menuju ke Pos Kemar, Perak.

Mereka ialah Wan Ahmad Aslam Wan Zairudin, 39, isterinya, Siti Zulaiha Norizan, 39, serta dua anak mereka, Diya Raisha, 13, dan Ahmad Raef, 9. Turut dilaporkan hilang ialah dua malim gunung, Shafiee Sidek, 49, dan Hazman Mamat, 43.

Kumpulan berkenaan memulakan pendakian pada 29 Ogos lalu dan sepatutnya keluar dari hutan pada 3 September, namun sehingga kini masih gagal dihubungi.

Operasi SAR Gunung Trans Gerah
Anggota dan pasukan yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) enam individu yang dilaporkan hilang ketika melakukan ekspedisi pendakian Trans GBB. Foto: Bomba Perak Official

Lebih membimbangkan, kehilangan enam individu dalam ekspedisi Gunung Trans Gerah itu meresahkan keluarga apabila tempoh pendakian mereka sudah melepasi jadual asal. Ini kerana bekalan makanan yang dibawa dipercayai hanya mencukupi untuk enam atau tujuh hari pendakian sedangkan tempoh ekspedisi mereka kini sudah melepasi 10 hari.

Bapa Bimbang Ada Yang Cedera

Memetik laporan Harian Metro, bapa kepada Wan Ahmad Aslam, Wan Zairudin Wan Ismail, 66, meluahkan kebimbangan kemungkinan berlaku kecederaan sehingga menyebabkan anak, menantu dan dua cucunya gagal meneruskan perjalanan keluar dari hutan.

“Saya bimbang ada yang cedera, mungkin itu punca anak, menantu dan dua cucu gagal keluar dari hutan pada jam 3 petang Khamis lalu. Mereka juga sudah kehabisan makanan sebab bekalan dibawa hanya cukup untuk enam atau tujuh hari pendakian saja tetapi kini sudah melepasi 10 hari,” katanya.

Ads

Keluarga kini hanya berharap operasi pencarian di Gunung Trans Gerah dapat menemukan kesemua mereka dalam keadaan selamat.

Operasi SAR Gunung Trans Gerah
Kawasan pergunungan berhutan tebal menggambarkan cabaran laluan yang perlu ditempuhi dalam operasi mencari enam individu yang dilaporkan hilang ketika ekspedisi pendakian Trans GBB. Gambar: Ilustrasi AI

Menurut Wan Zairudin, anak dan menantunya sememangnya kerap melakukan aktiviti pendakian bersama dua anak mereka. Sebelum ini, kelewatan paling lama mereka keluar daripada hutan berbanding tarikh ditetapkan hanyalah sehari.

Namun kali ini, penantian keluarga jauh lebih panjang dan meresahkan apabila hari terus berlalu tanpa sebarang khabar.

Lebih menyentuh hati, Diya Raisha dan adiknya, Ahmad Raef sepatutnya sudah kembali menjalani rutin persekolahan selepas cuti berakhir. Sebaliknya, ibu bapa dan dua beradik itu masih belum diketahui keberadaannya.

Mesej Terakhir Kepada Ibu

Kali terakhir keluarga menerima khabar adalah pada 1 September lalu apabila Siti Zulaiha menghantar mesej kepada ibu mentuanya memaklumkan mereka sekeluarga berada dalam keadaan sihat ketika pendakian.

Ads

“Malangnya, sehingga kini, tiada berita mengenai mereka dengan kali terakhir menantu menghantar mesej pendek kepada isteri saya pada 1 September lalu memaklumkan mereka sekeluarga sihat dalam pendakian itu dan akan keluar di Kem Kemor di Perak dua hari selepas itu,” kata Wan Zairudin.

Mesej ringkas itu kini menjadi khabar terakhir yang diterima keluarga.

Wan Zairudin kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Jelutong, Shah Alam selepas anak dan keluarganya gagal pulang seperti dirancang serta usaha menghubungi mereka tidak berhasil.

Bimbang sesuatu berlaku di tengah laluan pendakian yang mencabar, Wan Zairudin dan isterinya turut berada di Gerik bagi menunggu perkembangan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Anda mungkin berminat dengan

Ads

“Saya bimbang ada yang cedera, mungkin kaki terseliuh hingga tidak boleh bergerak. Jika tiada bantuan luar, usaha mereka untuk keluar dari hutan itu adalah sukar,” katanya.

Operasi SAR Gunung Trans Gerah Digerakkan

Sementara itu, berdasarkan maklumat rasmi JBPM Perak, operasi SAR di sekitar Gunung Trans Gerah sudah digerakkan melalui darat, air dan udara bagi mencari kesemua enam individu berkenaan.

Operasi membabitkan pasukan Special Tactical Operation and Rescue Malaysia (STORM), Mountain Search and Rescue (MOSAR), Malim Gunung Perhutanan (MGP), Unit Anjing Pengesan (K9) serta Unit Udara JBPM.

Operasi SAR Gunung Trans Gerah
Pasukan penyelamat bergerak melalui laluan air sebagai sebahagian daripada operasi SAR yang digerakkan bagi mengesan enam individu yang dilaporkan hilang. Operasi pencarian dilaksanakan melalui darat, air dan udara. Foto: Bomba Perak Official

Turut terlibat ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Perhutanan, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) serta Pasukan Gerakan Am (PGA).

Unit Udara JBPM turut dijadualkan melakukan tinjauan sekitar jam 2 petang, bermula dari lokasi terakhir mangsa dikesan pada 1 September sebelum menyusuri laluan menuju ke Pos Kemar.

Suami Isteri Termasuk Anak Berusia 9 Tahun Antara Yang Hilang Ketika Mendaki Di Gunung Trans Gerah Gua Musang
Operasi mencari empat beranak ini dimulakan kerana mereka sepatutnya keluar beberapa hari lepas

Di sebalik operasi pencarian yang sedang digerakkan, sebuah keluarga kini hanya menanti satu khabar yang paling diharapkan agar Wan Ahmad Aslam, Siti Zulaiha, dua anak mereka serta dua malim gunung itu dapat ditemukan secepat mungkin dalam keadaan selamat.

Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di download sekarang!

KLIK DI SEENI
Ads

Cerita Lain

Nenek Sambut Cucu

Nenek Sambut Cucu Dalam MPV, Suami Terus Pangku Anak Dan Laungkan...

Baru-baru ini tular video seorang nenek sambut cucu dalam MPV, memang teruja melihat rezeki anak menantunya hadapi detik cemas bersalin itu.