Tujuh tahun lalu ketika putera puteri sulungnya yang juga pasangan kembar memerlukan perhatian, Wahidah Azizan 36 sedang sarat mengusung buah cinta kedua. Di saat dia memerlukan sokongan sang suami, perkahwinan yang dibinanya mencapai titik noktah ketika kehamilan keduannya berusia lima purnama.

Dalam pada masa yang sama, anak pertamanya pasangan kembar Harith dan Hana ketika itu baru berusia dua tahun. Tipulah tiada air mata yang tumpah kala gelaran itu dianugerahkan kepadanya. Menurut wanita cekal ini lagi, dia tidak punya ruang waktu yang lama untuk terus menerus melayan emosi dan terus rebah.

Ujian yang mengujinya dihadapi sebaiknya…dan demi tiga permata hati Wahida terus kental membahagiakan cinta hati dunia akhiratnya. Kebetulan ketika dia ditimpa musibah ini, wanita kelahiran Taiping, Perak ini sedang menghabiskan pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) Ijazah Sarjana Muda Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi di UiTM Shah Alam, Selangor. Rutinnya selaku pelajar jarak jauh, hamil dan ditinggalkan tidak membuatkan Wahidah ‘jatuh’ selamanya.

“Saya bergelar ibu tunggal pada tahun 2012 sewaktu kandungan kedua berusia lima bulan. Masa itu saya sedang menghabiskan semester akhir PJJ Ijazah Sarjana Muda Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi  di UiTM Shah Alam. Sebaik selesai membuat pembentangan tesis, tiga hari kemudiannya saya melahirkan Hani yang kini berusia tujuh tahun.

“Ketika itu, Datin Doktor Mimin Tarmini (doktor Obstetrik dan Ginekologi (O&G) Hospital Pantai, Ipoh, Perak) menasihatkan saya supaya membuat penangguhan satu semester merujuk kepada keadaan saya. Beliau benar-benar memahami kesukaran saya dan bimbang saya tidak boleh menangani tekanan memandangkan saya sedang sarat hamil dan bergelut dengan peperiksaan penting serta menghabiskan baki satu semester akhir di UiTM.

“Sejujurnya paling sukar adalah menguruskan emosi sendiri, menyiapkan tugasan akhir serta menjaga anak kembar yang ketika itu berusia dua tahun dan saya sarat mengandung ketika itu,”kongsinya tentang episod lelah yang mengajarnya untuk terus kuat mengharungi hari-hari mendatang.

 

Wakeup call

USAI melahirkan Hani, Wahidah kembali menguruskan saki baki tesis dan menduduki peperiksaan. Tidak seperti pelajar lain, dengan memakai pakaian yang sesuai untuk ibu berpantang dan lengkap berstokin Wahidah berjaya menyelesaikan peperiksaan akhirnya dengan jayanya.

“Dalam hidup ini, langsung tidak ada benda yang dicipta secara kebetulan, memang semuanya telah Allah aturkan. Perkara pertama yang saya buat ialah, pujuk diri terima kenyataan. Tanyalah mana-mana orang didunia ini, pasti setiap orang diuji. Jadi, mohon kepada Allah untuk kuat dan menerima kenyataan . Menangis bukan bermakna kita lemah .Menangis ternyata mampu memberi kelegaan . Berulang-ulang kali saya ingatkan diri sendiri akan ada hikmah yang besar atas ujian ini. 

“Sayu hati apabila mengenangkan bapa saya terutamanya yang sanggup mengambil cuti dan menghantar saya ke Shah Alam untuk menghadiri kelas. Di usia dia yang tak secergas dahulu, saya bersyukur bapa dan ibu tak pernah membiarkan saya sendirian. Adik-adik juga begitu, masing-masing saling membantu serta tak pernah lokek dengan anak saudara mereka.

“Sejujurnya bukan senang untuk bangkit sekelip mata. Sesiapa pun kalau berada di dalam ‘kasut’ saya baru faham betapa peritnya untuk bangkit. Apabila saya down, kawan-kawan rapat sering menitipkan pesanan keramat ini… “kesian anak-anak, dapat emak lemah dan tak bersemangat macam Wahidah…”. Kata-kata itu umpama wakeup call untuk saya supaya terus kuat,”kongsinya menerusi e-mel.

Membaca rawati luka jiwa

Selepas bercerai Wahidah meneruskan hobi membacanya. Buku-buku berbaur motivasi menjadi makanan jiwanya. Dua naskhah buku yang benar-benar dekat dengan dirinya menjadi suntikan semangat buat puteri sulung daripada enam bersaudara ini.

“Selepas bercerai, saya gemar membaca. Dalam banyak- banyak buku , ada dua buah buku yang sangat membantu dalam memberi kekuatan kepada saya. Pertama adalah buku Ustaz Pahrol Mohd Juoi bertajuk “Dimana Dia Dihatiku”. Buku ini sangat baik untuk mereka yang dalam keadaan sangat sedih .

“Antara tulisan yang sangat dekat dengan saya terkandung didalam buku ini ialah “Jangan biarkan diri disengat oleh tragedi yang sama dua kali…pertama ketika mengalaminya, kedua ketika hati mengenangnya”. Ustaz Pahrol menulis lagi, “Tidak ada orang yang mampu menanggung beban hari esok, ditambah beban kelmarin untuk dipikul pada hari ini . Dua beban dalam satu masa akan menghantar manusia ke lembah sakit jiwa”.

“Buku Penulis terkenal, Abdul Latip Talib bertajuk “Sultan Muhammad Al Fateh” ternyata sangat memberi  inspirasi kepada saya. Kejayaan Sultan Muhammad Al-Fateh menakluki Konstantinople walaupun begitu banyak kepayahan sangat mengagumkan. Maka dengan itu saya mengambil iktibar , tentu sekali saya boleh menempuh kepayahan dan kesulitan selagi saya berusaha dan yakin kepada Allah seperti Sultan Muhammad Al-Fateh,”ceritanya.

Cinta hati 3H

HARITH, Hana dan Hani adalah tiga permata hati kesayangan Wahidah. Demi mereka Wahidah menyerahkan sebulatnya perihal rezeki dalam membesarkan mereka. Benarlah kata-kata mengenai ajaibnya kuasa doa. Ada waktunya rezeki untuk anak-anak hadir dari sumber tak diduga. 3H adalah nyawa dan sumber kekuatan Wahidah.

“Sumber kekuatan tentu sekali anak-anak. Saya mahu menyediakan yang terbaik untuk anak anak saya. Perkara yang paling menakutkan saya adalah apabila ramai yang mengatakan anak-anak yang ibu bapanya bercerai akan bermasalah. Jadi, saya nekad untuk memberikan yang terbaik untuk anak-anak dalam kadar  kemampuan saya.

“Selain menghantar anak-anak ke sekolah rendah agama swasta, saya juga menghantar anak-anak ke program tambahan seperti kem motivasi , kelas renang mingguan dan kelas asas mewarna.

“Saya juga menjadikan aktiviti bercuti bersama anak- anak dan keluarga sebagai waktu untuk meluangkan masa berkualiti bersama-sama. Saya mahu anak- anak gembira dan mereka dapat menimba pengalaman. Sebagai anak sulung sebolehnya tidak mahu menyusahkan mak dan abah  walau  apa pun  masalah yang saya hadapi. Tapi seperti biasa, mak abah pasti akan prihatin jika saya menghadapi apa-apa masalah. Saya nekad untuk berusaha bersungguh-sungguh supaya tidak menyusahkan banyak pihak.

Kuasa doa

Wahidah kreatif mengalihkan kesedihan dengan menceburi dunia niaga baru bagi menambahkan pendapatan.

“Saya mengalihkan kesedihan dengan melakukan perkara-perkara yang saya suka seperti menulis blog, bisnes coaching, ,membaca dan membawa anak-anak bersiar-siar. Jauhi perkara-perkara yang menyedihkan dan mengganggu emosi .

“Satu lagi yang tidak dapat saya nafikan ialah doa anak-anak. Doa kanak-kanak tiada hijab, dan diterima Allah. Adakala saya meminta anak-anak yang membacakan doa , memohon apa yang mereka mahu dan minta mereka doakan saya.

“Apabila diuji begini , saya belajar erti tawakal sebenar. Ini menjadikan saya lebih berserah kepada Allah dan tidak terlalu susah hati atas setiap perkara. Yang penting, Kita buat bahagian kita, Allah akan uruskan yang lain. Jangan buat kerja Tuhan, memikirkan tentang perkara diluar pengetahuan dan kemampuan kita.

“Jangan fikir tentang  apa yang kita tak ada. Hargai apa yang kita ada waktu ini. Berikan yang terbaik , buat dengan ikhlas, Insyallah itu akan menambah kegembiraan kita. Kita manusia biasa. Kita pasti akan buat silap . Namun apa yang penting ialah  belajar dari kesilapan,”kongsinya semoga mereka yang membaca kisahnya terinspirasi dan terus bangkit dari kesedihan.

Jangan Lupa Komen

komen