Sememangnya penyakit gout merupakan salah satu masalah yang sering diperbincangkan dalam masyarakat kita. Sesiapa yang mempunyai masalah ini sudah tentu akan mempunyai masalah untuk bergerak disebabkan sendinya sering keradangan dan bengkak.
Pesakit selalunya akan mengalami kesakitan yang teruk di bahagian sendi yang terlibat. Hanya pesakit gout sahaja yang tahu betapa sakitnya ketika diserang masalah gout.
Tengahari tadi Mingguan Wanita Talkshow telah membincangkan mengenai isu Gout dan Athritis. Salah seorang jemputan merupakan pesakit gout sendiri iaitu Encik John Nazree.
.
Sampai Dah Lali Kena Suntikan
Berkongsi mengenai pengalamannya sebagai pesakit gout, John terpaksa membeli kerusi roda bagi memudahkan dia bergerak apabila diserang gout.
“Gout ini sangat sakit, ada tahap kalau saya rasa masih boleh berjalan terus jumpa doktor. Suntikan memang membantu tapi kadang-kadang tu macam dah lali. Mana boleh tahan saya akan tahan.
Ads
“Jika diserang gout sampai saya tak boleh bergerak dan bekerja. Alhamdulillah isteri seorang yang baik hati dan memahami. Sebelum kahwin lagi dia dah tahu saya ada penyakit ini.
“Masa di awal perkahwinan dia terkejut melihat saya diserang sakit gout sampai tak boleh bergerak. Isteri banyak membantu. Jadi saya beli kerusi roda, standby, jadi senang bila kena serang saya kan duduk atas kerusi roda.
Ads
Ibarat Luka Yang Sangat Pedih
“Ayah juga merupakan seorang pesakit gout termasuklah dua orang adik beradik saya. Saya kena sakit ini ketika sedang belajar di universiti ketika usia saya masa itu 19 tahun. Masa kecil dulu tak tahu pun yang ayah kena gout tapi tahulah ayah sakit kaki dan akan ambil cuti berehat di rumah.
Ads
“Sakit gout ni rasaya seperti orang yang mengalami luka disebabkan kemalangan kemudian curahkan air detol, begitulah pedihnya. Hanya orang yang alami saja akan tahu betapa peritnya.
Pantang Makan Ikan Bilis
“Bila dah kena sakit gout ni saya kena jaga pemakanan dan kena tahu apa makanan yang saya boleh elakkan. Paling penting saya tak boleh makan ikan bilis. Walaupun termakan seekor ikan bilis, tak sampai malam gout akan menyerang saya,” ujar John.
Bagi anda yang mengalami masalah yang sama dengan John boleh lah ikuti panduan lebih lanjut daripada pakar jemputan mengenai penyakit ini. Ikuti siaran ulangan Mingguan Wanita Talkshow pada jam 8 malam ini di Astro Prima HD dan Astro Prima.
.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Dilahirkan dalam keadaan cacat tanpa kedua belah tangan ternyata bukan satu ujian yang kecil. Berat mata yang memandang, lagi berat bahu yang memikul. Namun, Norfarah Syahirah Shaari atau mesra dengan panggilan Farah, 31 tahun, yang berasal dari Bagan Dato, Perak membuktikan kecacatan bukanlah pengakhiran hidup.
Sebaliknya menurut Farah lagi, jadikan setiap kelebihan lain yang Allah kurniakan untuk membuktikan kemampuan diri. Malahan kini dia membuka mata semua orang apabila dia mampu membuktikan kemampuannya memandu kereta sendiri hanya menggunakan kaki.
Videonya yang sedang memandu kereta menjadi tular di media sosial apabila dikongsi oleh salah seorang rakannya beberapa bulan yang lalu. Farah juga melalui kehidupan kanak-kanak yang sama cuma bezanya tanpa sepasang tangan kerana dia merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU).
“Saya dilahirkan dengan kecacatan tiada kedua belah tangan. Menurut cerita ibu, sejak saya di dalam kandungan lagi, dia dapat rasakan ada perbezaan ketika mengandungkan saya dengan adik-beradik yang lain. Paling ketara kurangnya pergerakan.
“Setelah lahir ke dunia, perkembangan saya juga agak lambat. Saya tidak boleh berjalan sehingga berusia 4 tahun, hanya mengesot tidak seperti kanak-kanak lain yang boleh merangkak serta berjalan. Tetapi memandangkan saya hanya tidak mempunyai tangan, saya bersekolah di sekolah biasa.
“Permulaannya, memang mereka rasa pelik apabila pertama kali melihat saya menulis menggunakan kaki. Tetapi lama-lama mereka berbangga dengan kebolehan saya. Penerimaan dan pertolongan mereka banyak membantu saya. Hinggakan apa yang tak mampu saya buat, secara automatik mereka akan tolong uruskan,” ungkap Farah yang kini bertugas sebagai Pembantu Tadbir di Kolej Komuniti Teluk Intan, Perak.
Mula Belajar Menulis
Jelas Farah, disebabkan dirinya hanya bergantung kepada kekuatan kaki untuk melakukan semua perkara, oleh itu dia mula berlatih untuk menulis menggunakan kaki.
Tambahan pula, ibunya ada mengajar Farah cara menulis. Lama-kelamaan dirinya secara spontan untuk belajar sendiri. Seingat anak kelapan daripada 10 orang beradik ini, dalam usia empat tahun dia mula menulis setelah dirinya mulai pandai berjalan.
“Selain saya, abang saya yang ketiga juga merupakan OKU dan dia adalah OKU pekak dan bisu. Biar pun cacat, tetapi kini dia miliki kehidupan sendiri, berkahwin dan menempa kejayaan sendiri. Dia juga tak susahkan mak ayah lagi. Secara tak langsung abang menjadi inspirasi kepada saya untuk meneruskan kehidupan saya.
“Biar pun jarak usia saya dan abang agak jauh, tetapi saya nampak pengorbanan mak dan ayah saya yang berusaha menghantar dia ke sekolah khas. Begitu juga bagaimana abang lalui kehidupan sebagai OKU. Tetapi segalanya nampak mudah dan dia mampu berdikari. Dari situlah saya juga terasa apa yang dia mampu buat, pasti saya pun boleh lakukan.
“Ikutkan hati memang kita tak sama dengan orang lain. Kadang-kadang kita ada kekangan untuk lakukan sesuatu dan tak mampu nak buat, tetapi saya tak suka jadikan ia sebagai halangan. Saya tidak rasa kekurangan, malah saya juga normal seperti orang lain,” katanya lagi.
Biar pun perkahwinannya gagal di pertengahan jalan, Farah redha dengan ketentuan Ilahi. .
Lakukan Kerja Seperti Orang Normal
Kebiasaan apa sahaja orang normal lakukan, Farah juga buktikan dia mampu lakukan. Seperti pengurusan di rumah, dia cuba lakukan apa yang menjadi rutin ibunya termasuklah tugas memasak dan membasuh.
Walaupun ibu tidak izinkan, dirinya tetap berkeras untuk lakukan juga. Berbekalkan kekuatan dan semangat yang ada, Farah terus yakin mencuba. Begitu juga dengan alam pekerjaan, biar pun sesukar mana satu-satu perkara, wanita ini tetap cuba membuktikan kebolehannya.
“Sebenarnya jika nak dibandingkan kehidupan harian saya dengan dunia pekerjaan, bekerja sebenarnya lebih mencabar. Kita berhadapan dengan orang orang dari pelbagai lapisan, dari orang bawahan hinggalah yang tertinggi.
“Bukan mudah jika kita tiada kekuatan, memang susah seorang OKU masuk ke alam pekerjaan. Sebab kekuatan saya hanyalah bergantung kepada kekuatan kaki. Jadi kalau kaki saya ini tak mampu lakukan semua benda, memang takkan mampu masuk ke sektor pekerjaan ini.
“Oleh itu saya cuba yakinkan rakan sekerja, saya mampu buat tidak kiralah mengangkat fail, menulis atau gunakan komputer. Alhamdulillah mereka nampak kelebihan dan kemahiran saya. Jadi mereka bangga dan hormatkan saya. Malahan saya juga banyak membantu mereka,” ceritanya satu-persatu.
Memandu Sendiri
Jelas Farah, tujuan utama dirinya memandu kereta dan mendapatkan lesen bukanlah bertujuan untuk membangga diri. Sebaliknya Farah ingin rakan senasibnya membuka mata bahawa OKU sepertinya mampu memandu kereta walaupun tiada kedua belah tangan.
“Dengan hanya menggunakan kaki, Farah mampu membawa kereta sendiri. Saya Saya sudah merasa bersyukur dan orang nampak kebolehan saya. Pada pandangan mata orang luar, mungkin mereka beranggapan mungkin saya tak mampu tetapi akhirnya saya buktikan mereka salah.
“Sebenarnya proses ambil lesen adalah berlangsung sama seperti orang lain, prosesnya sama macam org normal. Seperti kes saya, saya perlu gunakan kaki dan perlu ubahsuai kereta sendiri. Jadi saya perlu mahirkan dulu bawa kereta sendiri.
“Saya belajar memandu dahulu, kemudian dalam tempoh 2 minggu sahaja saya dah boleh bawa kereta sendiri. Selepas itulah, saya ke sekolah memandu untuk ambil lesen dan alhamdulillah lulus akhirnya,” katanya lagi.
Seperti mana orang lain, Farah juga dilanda perasaan takut untuk membawa kereta sendirian. Namun begitu, setakat ini belum pernah dirinya dihon kerana membawa kereta perlahan. Malahan di pejabat, rakan-rakan gemar menumpang kereta saya.” Kongsinya lagi.
Farah sentiasa berfikiran positif dan tidak pernah mengendahkan kata-kata negatif dari mulut orang..
Gunakan Kelebihan Sebaiknya
Pada pandangan mata kasar, orang di luar sana melihat Farah melakukan kerja. Sebaliknya bagi Farah, dia sentiasa yakin dan berkemampuan lakukan semua perkara. Walaupun susah untuk dilakukan, dia sedaya-upaya a mencuba.
Berbekalkan kekuatan, semangat, sabar dan usaha membuatkan segala urusan dan perkerjaan tampak mudah di matanya. Menjadi pegangan Farah bahawa setiap kelebihan yang Allah berikan padanya akan digunakan sebaiknya dan sama sekali tidak akan sia-siakan.
“Setakat ini segala perkara yang ingin saya lakukan telah berjaya dan hanya satu impian saya adalah ingin memandu kapal terbang. Saya terinspirasi daripada kisah seorang wanita yang juga OKU di luar negara mampu mengemudi sebuah kapal terbang.
“Kepada golongan OKU di luar sana, jangan anggap kita ini seorang OKU sebaliknya anggaplah diri kita normal seperti orang lain. Kita boleh buat biar pun kita kekurangan dari segi anggota atau fiizikal.
“Tetapi kita harus berusaha dan selalu berfikiran positif. Jangan terlalu berpegang kepada pandangan masyarakat, sebaliknya buktikan kemampuan diri sendiri. Insyallah suatu hari nanti kejayaan pasti akan
tiba,”nasihat Farah di akhir perbualan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Bekerja dalam bidang perubatan dan merawat para pesakit di hospital, aspek kebersihan amatlah perlu ditekankan.Lebih-lebih lagi tempat sebegini mudah terdedah dengan jangkitan kuman, bakteria dan pelbagai jenis penyakit.
Kebersihan pakaian yang digunakan dan kewajipan menutup aurat juga haruslah diambil kira agar selari dengan tuntutan kerja dan agama. Bagi petugas kesihatan terutamanya doktor wanita yang beragama Islam, seharian berjumpa pesakit, malah terlibat dalam pembedahan di dewan bedah, faktor jangkitan kuman pada tudung mungkin boleh berlaku.
Atas sebab ini, seorang doktor warga Malaysia Dr Farah Shaheera Roslan tampil dengan idea baru apabila memperkenalkan tudung jenis pakai buang ‘steril’ dan fabrik sesuai yang boleh digunakan ketika sedang bertugas. Idea tersebut diperolehi ketika beliau menjadi pelajar perubatan di Hospital Universiti Royal Derby and Burton NHS Trust, United Kingdom (UK).
Pihak hospital percaya bahaya tudung ‘pakai buang’ ini adalah yang pertama kali di perkenalkan kepada para petugas kesihatan untuk digunakan di dalam dewan pembedahan.
Menurut Farah beliau pernah diminta keluar dari bilik pembedahan kerana menggunakan tudung yang sama sepanjang hari.
“Saya menggunakan tudung sama sepanjang hari yang ternyata tidak bersih dan tidak sesuai.
“Saya rasa tidak selesa untuk membuka tudung dan saya pernah diminta keluar dari bilik pembedahan (dengan sopan) bagi mengelak jangkitan,” katanya.
Jadi atas sebab ini, Farah mencari jalan penyelesaian dalam etika pemakaian mengikut tuntutan agama, pada masa yang sama dapat meneruskan minat mendalam berada dalam dewan pembedahan.
“Saya rasa sangat gembira dan berharap sekiranya ia dapat digunakan secara rasmi dalam negara” ujar Dr Farah.
Sementara itu, Perunding pakar bedah dan mentor kepada Farah iaitu Gill Tierney berkata, dia percaya idea hijab tersebut merupakan yang pertama diperkenalkan di UK untuk digunakan oleh petugas perubatan mereka.
“Kosnya tidak mahal dan berharap ia mampu memberi kesan besar,” ujar Tierney.
MW: Tahniah buat doktor wanita ini, menghasilkan tudung pakai buang yang sesuai buat petugas hospital gunakan ketika berada dalam dewan pembedahan. Semoga menjadi inspirasi buat wanita lain,agar kreatif dalam menjalankan tugas namun pada masa yang sama tidak mengabaikan tuntutan agama.
Sebelum ini, Mingguan Wanita pernah kongsikan penderitaan Nur Izzati Afiqah Hussian, 29, yang mengalami penyakit misteri apabila berat badannya meningkat secara mendadak dalam tempoh 3 bulan.Terkini dilaporkan wanita ini telah meninggal dunia dan kembali ke rahmatullah malam tadi di Kampung Gaung, Tendong, Pasir Mas, Kelantan.
Nur Izzati Afiqah Hussein, 29, mengalami keadaan itu dalam tempoh lima bulan ekoran penyakit misteri itu menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 10.50 malam.
Ibu saudaranya, Zainab Hassan, 57, berkata, sebelum ‘pergi’ Nur Izzati Afiqah mengalami pendarahan luar biasa.
“Mulanya, kami ingatkan dia datang haid tetapi berlaku dalam keadaan yang begitu banyak.
“Darah tersebut keluar pada jam 2 petang dalam keadaan berketul,” katanya.
Menurutnya, ketika itu Nur Izzati Afiqah masih boleh bercakap seperti biasa dan kemudian beransur-ansur menjadi lemah sebelum menghembuskan nafas terakhir. Katanya, dia dan seluruh ahli keluarga reda dengan pemergian arwah yang disifatkan sebagai seorang yang baik.
“Selain ibunya, saya adalah orang yang cukup rapat dengan arwah kerana setiap hari mengurus dan menjaganya sepanjang dia sakit,” katanya.
Zainab berkata, jenazah arwah akan disemadikan jam 11 pagi ini di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gaung.Tambahnya, keluarga terpaksa mendapatkan kerjasama Bomba dan Penyelamat Balai Pasir Mas bagi membantu urusan pengebumian kerana keadaan fizikal arwah.
Sebelum ini melaporkan, kehidupan bekas tenaga pengajar kontrak di Pusat Pembangunan Kemahiran Melaka berubah sepenuhnya apabila berat badannya naik mendadak secara ‘misteri’ apabila mencecah sehingga 200 kg dalam masa tiga bulan.
Sebelum ini adik bongsu Nur Izzati Afiqah, Muhammad Khairul Akram, juga mengalami masalah sama dan meninggal dunia empat bulan lalu pada usia yang muda 25 tahun.
MW: Hebat dugaan yang ditanggung wanita ini, deritanya hingga ke akhir hayat. Salam takziah buat keluarga wanita ini. Semoga rohnya di tempatkan dikalangan orang-orang yang beriman. Al Fatihah.
Suami kepada pelakon Miera Liyana, Rosland Othman didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan menyebabkan pernyataan palsu diberikan kepada Bursa Malaysia berhubung hal ehwal syarikat lima tahun lalu.