Bingung mencari tempat makan yang selesa dan menepati selera anda. Usah buang masa, luangkan hari anda menikmati Barbeque Buffet, King of the Grill di Executive Lounge on Level 23, The Pearl Kuala Lumpur.
Bagi penggemar makanan gril, terutamanya peminat tegar makanan laut dan daging, destinasi ini adalah wajib anda cuba.
Jika selesa dalam suasana kondusif, ruangan lounge berhawa dingin cukup secocok buat anda. Manakala bagi mereka yang suka bersantai sambil lepak-lepak, mungkin ada memilih untuk berada di ruangan barbeku di kawasan terbuka dengan menghadap pemandangan cantik sekitar Jalan Klang lama dari tingkat 23.
Ads
Banyak Pilihan
Cita rasa anda pasti tercuit apabila anda dapat menikmati pelbagai jenis hidangan barbeku bermula dengan pilihan selera mewah iaitu tiram segar sama ada dibakar bersama keju atau di makan begitu sahaja. Tidak ketinggalan, susunan udang, baby lobster, hirisan ikan salmon dan mussel juga menanti kehadiran anda. Kambing gril juga antara menu yang idaman sesiapa yang berkunjung ke sini
Tidak terhenti di situ sahaja, aneka makanan lain seperti pasta, aneka kek, pemanis mulut juga terhidang buat anda habiskan masa anda di sini. Oleh itu jangan lepaskan peluang untuk nikmati hidangan anda di Barbaque Bufet, King of the Grill pada setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad pada jam 6.30 petang hingga 10 malam. Dengan caj dewasa, RM 88++ dan kanak-kanak, RM 44++, pastinya cukup berbaloi.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Malangnya nasib bagi seorang pesakit lelaki tua yang berada di ICU apabila di layan kasar oleh jururawat yang bertugas.Sebuah hospital kerajaan di utara wilayah Phitsanulok mengeluarkan permohonan maaf awam malam tadi selepas video menunjukkan salah laku seorang jururawat ketika merawat pesakit warga tua di unit rawatan rapi dengan kasar.
Hospital Buddhachinaraj Phitsanulok mengadakan sidang akhbar berhubung klip video tersebut sekitar 8 malam selepas dikritik hebat kerana kakitangannya yang melayan pesakit dengan kasar.
Timbalan pengarah hospital, Dr Visith Sathienwantanee mengeluarkan permohonan maaf terbuka kepada pesakit lelaki berusia 90 tahun yang sedang dirawat di hospital kerana menghidap emfisema.
“Buat masa ini, apa yang ingin kami sampaikan kepada orang ramai ialah kami tidak mengabaikan kejadian itu, dan kami ingin memohon maaf. Kami akan menyiasat apa sebenarnya berlaku dan akan mencari langkah yang sesuai untuk mengatasinya,” katanya.
Video tersebut telah dilihat lebih dari 8 juta kali sejak ia disiarkan semalam.
Ia menunjukkan seorang jururawat yang tidak dikenali dengan kasar mengendalikan seorang pesakit yang dalam keadaan lemah dan sedang terbaring di katil hospital.Dia melemparkan bantal kepada lelaki tua itu sebelum dengan kasar menarik katilnya dan menarik rambutnya untuk meletakkan bantal di belakang kepalanya.
Wanita yang menyaksikan insiden itu semasa dia berada di hospital, Pawarana Ketpan menyiarkan rakaman tersebut di halaman Facebooknya, menggesa orang ramai melihatnya.
“Adakah ini etika seorang jururawat yang dituntut oleh mereka? Atau hanya dia seorang?” tulis Ketpan.
“Bapa saya pernah sakit teruk, tapi ibu saya sentiasa bersamanya di hospital. Tapi jika ibu tidak bersamanya, adakah dia juga akan diperlakukan seperti ini?.
“Adakah dia betul-betul pasti tak ada siapa yang akan melihatnya?”
Pihak hospital belum lagi menentukan tindakan yang akan mereka ambil dengan alasan mereka ingin menyelidik perkara itu lebih lanjut untuk menentukan tindakan yang paling sesuai.Visith berkata lembaga disiplin mungkin perlu ditubuhkan.
Sementara itu, jururawat terbabit yang namanya tidak didedahkan telah dipindahkan untuk melaksanakan tugas lain yang tidak memerlukan interaksi dengan pesakit.
Sebagai tindak balas kepada permintaan maaf hospital, sesetengah netizen menuntut jururawat berkenaan dipecat.
Mingguan Wanita mengharapkan kejadian sebegini tidak berlaku di Malaysia. Jururawat adalah tugas yang mulia, bertanggungjawab sepenuhnnya menjaga pesakit dengan penuh kesabaran. Jika tidak mampu mempunyai kesabaran yang tinggi, tukarlah kerja lain yang lebih sesuai.
Alhamdulillah, nasib seorang bekas pelajar maahad tahfiz yang terbabit dalam kemalangan di Kuala Krai tahun lalu, akhirnya terbela apabila menang saman RM4,334,507 di mahkamah sesyen di sini, Ahad.
Keputusan dibuat Hakim, Nazri Ismail dengan memerintahkan tiga defendan iaitu pemandu van, Muhammad Hamzi Mohammad Husham, 25, syarikat van berkenaan, CT-One Corporation Sdn Bhd dan maahad yang berpusat di Kuala Krai itu membayar ganti rugi berkenaan terhadap mangsa, Muhammad Faiz Hafizuddin Mohd Izahir, 18, dan ibunya, Jahsuriawany Mustapha, 46.
Kos membabitkan ganti rugi terhadap Muhammad Faiz Hafizuddin yang cedera kepala dan retak saraf tunjang sehingga menyebabkan mangsa lumpuh seumur hidup selain bagi pembelian lampin pakai buang, tiub makanan, beg kencing, katil, tilam dan jururawat persendirian.
Plaintif diwakili peguam R Kameswary dan Mazlinda Mahmud, manakala defendan diwakili Tetuan Tengku Azlina, Azlan Shah & Azman, tetapi peguam defendan tidak hadir pada prosiding itu.
Pada 2 Jun 2017, tujuh daripada 12 pelajar tahfiz termasuk seorang berasal dari Thailand, terbunuh dengan lima daripadanya maut di tempat kejadian, manakala dua lagi meninggal dunia di Hospital Kuala Krai.
Mereka dalam perjalanan untuk menghadiri program Tafsir al-Quran di Madinah Ramadan Kota Bharu di sini, namun van dinaiki terbabas sebelum merempuh sebuah rumah di Kilometer 55, Jalan Kuala Krai – Kota Bharu di Kampung Telekong, Kuala Krai.
Sementara itu, Kameswary berkata, plaintif failkan tuntutan pada April lalu dan proses perbicaraan memakan masa selama dua hari dengan empat saksi dipanggil termasuk pengasas maahad tahfiz berkenaan.
“Van yang dinaiki mangsa tidak mempunyai insurans pelajar dan pada hari kejadian dipandu oleh pemandu yang tidak mempunyai lesen kenderaan.
“Justeru, mahkamah memutuskan ketiga-tiga defendan perlu bertanggungjawab 100 peratus terhadap kecederaan yang dialami mangsa,” katanya.
Sementara itu, Maahad Tahfiz Al-Hashimi akan merayu terhadap keputusan mahkamah yang menghendaki maahad tersebut membayar saman sebanyak RM4.3 juta kepada keluarga bekas pelajar tahfiz terbabit, Muhammad Faiz Hafizuddin Mohd Izahir,18.
Pengasas pusat tahfiz tersebut, Datuk Adnan Hasyim berkata, beliau menerima keputusan ini dengan sabar dan tidak patah semangat bagi meneruskan perjuangan membina legasi di pusat tahfiz tersebut.
“Saya sekarang berada di London untuk urusan perniagaan menerima keputusan mahkamah dengan sabar, namun demi perjuangan agama dan demi perjuangan Maahad Tahfiz Al-Hashimi kami kemungkinan besar akan buat rayuan hingga peringkat tertinggi.
“Tidak rela kami perjuangan Islam dipermainkan. Tidak rela kami usaha bersungguh-sungguh pejuang-pejuang agama seperti kami hilang semangat kerana kejadian sebegini dibiarkan tanpa tindakan berpandukan al-Quran dan as-Sunnah,” katanya dalam satu catatan di laman Facebooknya hari ini.
Dalam keputusan tersebut, hakim mahkamah sesyen memerintahkan tiga defendan iaitu pemandu van, Muhammad Hamzi Mohammad Husham,25, syarikat van berkenaan, CT-One Corporation Sdn Bhd dan maahad itu membayar ganti rugi terhadap Muhammad Faiz dan ibunya, Jahsuriawany Mustapa.
Adnan yang aktif dalam majlis keagamaan di negeri ini berkata, Muhammad Faiz merupakan anak angkatnya yang diambil untuk belajar secara percuma di maahad tersebut.
“Faiz telah kami didik dan telah dinobatkan sebagai al-Hafiz, pada 2 Jun 2017 beliau turut terlibat dalam kemalangan pelajar-pelajar tahfiz mengalami kecederaan.
“Oleh itu kami tanggung pembedahan sekitar RM20,000 dan kami bagi bantuan kewangan semasa ke semasa,”katanya
Adnan berkata, selepas keluar dari hospital, Faiz bersama keluarga ditempatkan di rumah khas di pusat tahfiz tersebut supaya mereka dapat terus menjaganya selain pelajar dapat bergilir-gilir bertugas membaca al-Quran dan terjemahan bersama-sama Muhammad Faiz.
“Kami berhasrat mahu jadikan Faiz yang semakin sehat sebagai duta al-Quran, namun pada Jun 2018 ibu bapa Faiz telah keluar dari rumah khas dan selepas itu baru kami tahu bahawa mereka saman kami dengan jumlah RM16 juta,” katanya.
Allahu, sebaknya bila mengenangkan kejamnya seorang anak apabila tergamak membunuh mak kandungnya dengan tangannya sendiri.Lebih memilukan, darjat seorang ibu yang selayaknya berada ditempat yang mulia dan tertinggi, berakhir ditempat yang hina, kotor malah menjijikan.
Misteri kehilangan seorang wanita sejak 19 September lalu terjawab selepas mayatnya ditemui di dalam tangki najis belakang rumahnya di Sungai Burung, Balik Pulau, petang semalam.
Mangsa Faridah Mat Hashim, 63, dipercayai dibunuh anak kandungnya pada Rabu lalu sebelum mayat wanita malang berkenaan disembunyikan di dalam tangki najis rumah mereka.
Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintendan A A Anbalagan berkata, mayat mangsa yang tenggelam di dalam tangki sedalam 1.2 meter itu ditemui menantunya pada 2 petang sebelum menghubungi polis.
“Polis dengan bantuan pihak bomba berjaya mengeluarkan mayat mangsa dan mengesan satu kesan kelar di bahagian hadapan lehernya, selain turut menemui pisau di dalam tangki itu.
“Siasatan awal polis percaya mangsa dibunuh anak lelakinya berusia 29 tahun selepas dia kini didapati menghilangkan diri sejak kehilangan ibunya.
“Satu laporan polis dibuat pada Jumaat lalu memaklumkan kehilangan mangsa sebelum mayatnya ditemui hari ini,” katanya.
Menurutnya, suspek kini diburu polis dan dia turut mempunyai rekod jenayah membabitkan kes mencederakan saudaranya sendiri.
Katanya, rumah itu didiami suspek bersama ibunya dan seorang adik perempuannya.
“Adik suspek memberitahu polis bahawa dia ada melihat ibunya menunaikan solat Subuh pada pagi 19 September itu sebelum hilang sejak itu sehingga mayatnya ditemui, hari ini.
“Suspek dipercayai suka berkhayal dengan menghidu petrol. Lelaki itu kini diburu polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.
Laporan terkini, suspek berjaya ditahan pihak polis.Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A A Anbalagan, berkata suspek berusia 29 tahun itu ditahan di Balik Pulau dengan lelaki terbabit dijangka direman, esok.
“Ya, kita sudah berjaya menahan suspek kes terbabit.
“Siasatan masih dijalankan dan saya akan beri makluman lanjut kemudian,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Mingguan Wanita mengucapkan salam takziah buat keluarga wanita ini, semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan orang yang beriman. Semoga pelaku, menerima hukuman dan pembalasan yang setimpal.