
Isi Kandungan
ToggleSheila Majid puas hati dapat jaga arwah ibu hingga menghembuskan nafas terakhir. Ratu jazz dan juga penyanyi legenda Datuk Sheila Majid mengakui sewaktu pandemik Covid-19 memberi impak yang besar kepada semua orang, tidak terkecuali dirinya yang terpaksa berehat panjang disebabkan banyak aktiviti seni terhenti dalam tempoh tersebut.
Disebalik itu, Sheila yang kini sudah menjangkau usi 57 tahun menganggap tempoh tersebut mempunyai hikmah tersendiri buatnya yang berkesempatan meluangkan masa dan menjaga arwah ibunya, Saadiah Adam, pada lima bulan terakhir sebelum meninggal dunia.
Sheila Majid Puas Hati Dapat Jaga Arwah Ibu
Beberapa bulan sebelum pandemik bermula iaitu pada tahun 2019, Sheila terlalu sibuk dengan aktiviti seni di merata tempat dan tidak mempunyai lebih masa untuk menemani arwah ibunya yang berusia 96 tahun dan semakin uzur ketika itu.
“Sepanjang 2019 itu saya sangat sibuk dan sentiasa terbang ke sana sini. Ketika itu saya selalu berdoa jika apa-apa terjadi kepadanya ibu, saya berharap waktu itu saya berada di rumah bersamanya.
“Alhamdulillah Allah makbulkan doa saya dengan terjadinya pandemik. Malah pada Mac 2020 kita semua tidak boleh ke mana-mana dan saya menggunakan masa itu dengan sebaik mungkin menjaga ibu sebelum arwah menghembuskan nafas terakhir pada Ogos tahun sama,” ujarnya seperti mana yang ditemubual baru-baru ini.
Sebagai Anak Kalau Boleh Nak Jaga Ibu Sendiri
Tempoh lima bulan tersebut amat bermakna buat dirinya kerana sepanjang masa dapat berada di sisi arwah yang tinggal bersamanya.
“Saya bersyukur dapat bersamanya pada lima bulan terakhir itu. Dapat mandikan dia, jaga makan minum dan jaga keperluannya sedangkan sebelum ini saya tiada masa untuk buat semua itu kerana sibuk.
“Saya puas hati kerana dapat jaga dan buat segala-galanya yang saya boleh untuk dia ketika itu. Ibu memang ada jururawat yang menjaga, tetapi sebagai anak kalau boleh kita mahu lakukan sendiri untuknya,” tambah Shiela.
Teruja Bakal Kembali Di Pentas Hiburkan Peminat Setia
Sheila yang ditemubual baru-baru ini pada sidang akhabar Sheila Majid Big Band Live In Kuala Lumpur 2023 di sebuah hotel di Petaling Jaya pada Rabu, mengakui teruja bakal kembali di pentas menghiburkan peminat setianya.
Persembahan satu malam yang dijadualkan pada pada 18 mac 2023 itu akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
“Saya cukup berbesar hati untuk mengadakan konsert ini apatah lagi ia adalah permintaan peminat.
“Saya akan hiburkan peminat dengan lagu-lagu kegemaran mereka, tetapi istimewanya konsert ini akan menampilkan pelbagai elemen menarik terutamanya melibatkan susunan muzik.
“Persembahan saya itu nanti akan diiringi Big Band yang diketuai oleh Mac Chew yang pastinya akan memberi energi berbeza,” ceritanya.
Tiket Sheila Majid Big Band Live in Kuala Lumpur 2023 dijual dengan harga RM288, RM488, RM588, RM688, RM888 dan RM1,288 (VVIP). Pembelian boleh dibuat menerusi www.Jiobuddy.asia.
BACA DISINI ; Suami Beri Kejutan Istimewa Di Lapangan Terbang, Bawa Sheila Majid Bercuti Ke Destinasi Impian! Bertuahnya!
Dikurniakan Pingat Gelaran Datuk “Saya Tetap Amy Search, Penyanyi & Pemain Industri Muzik”
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.
Sumber Foto : Instagram Sheila Majid
Fazura Pesan Wahai Wanita Sayangi & Hargailah Diri Anda!
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Setiap Kali Diri Terasa Sayu, Wanita Ini Memilih Untuk Mengadu Pada Yang Maha Esa Dengan Istikharah Al Quran

Ujian yang menimpa Farahatul Naqueah Abdul Samad, 30, atau lebih dikenali dengan nama Farah Samad, bukan calang-calang. Kehilangan ayah dan ibu pada usia masih 20-an dan perlu menjaga enam orang adik yang masih kecil tentunya bukan suatu tugas yang mudah.
Kuatnya wanita ini tetap menjalankan tanggungjawab besar yang perlu dipikul secara sendirian. Didikan agama yang dibekalkan oleh ayah dan ibu untuk dirinya pasti menjadi salah satu asbab yang menjentik hatinya lalu terpanggil untuk mendalami ilmu Al-Quran yang penuh dengan rahsia istimewa.
Ikuti Kehidupan Selebriti Yang Berubah Ke Jalan Allah
Berasal dari Kuala Lumpur dan kini menetap di Nilai, Negeri Sembilan, Farah yang merupakan seorang pengasas Akademi Abqary Home Tuition, dalam masa yang sama membuat pekerjaan sambilan sebagai Content Writer dan juga blogger mula tertarik untuk mengenali lebih mendalam tentang Kalam Allah apabila sering mengikuti perkembangan selebriti-selebriti kegemarannya yang kini berubah ke arah kebaikan.
“Dulu saya suka ikuti perkembangan hidup selebriti-selebriti, salah seorangnya adalah Wardina Saffiya. Saya ikuti perkembangan dia daripada dia berhijab dan seterusnya mendalami ilmu Al-Quran, sehinggakan dia boleh terangkan satu-satu ayat dalam Al-Quran dengan sangat jelas. Keadaan itu buatkan saya terinspirasi. Saya rasa saya nak jadi seperti dia, nak berubah ke arah kebaikan jadi seperti Wardina. Itu yang buat saya rasa nak mendalami Al-Quran dan berubah menjadi seorang muslim yang lebih baik.
“Selain ikuti perkembangan selebriti tanah air, saya ingat lagi suatu masa dahulu pelajar saya pernah ajak ke satu program menampilkan speaker dari serata dunia seperti Nouman Ali Khan dan ramai lagi di Putrajaya. Di sana bila speaker hebat bercerita tentang kisah-kisah dalam Al-Quran buat saya rasa makin seronok nak baca Al-Quran. Di sana saya nampak Mizz Nina, Natasha Hudson dan ramai lagi selebriti yang turut hadir.
“Selepas program tersebut, saya hadiri pula program yang dikenali sebagai Bidadari. Bagi saya program tersebut memang sangat bagus, ia mengajak kita untuk kenal dengan lebih dekat tentang Islam, tentang bagaimana untuk menjadi seorang muslimah yang hebat dan banyak lagi. Saya memang terinspirasi sangat macam mana selebriti-selebriti Malaysia boleh berhijab berubah ke arah kebaikan. Mereka sertai usrah, kelas Al-Quran dan hadiri majlis-majlis ilmu, itu buat saya rasa Kitab Allah itu bukan setakat untuk kita membacanya sahaja malah di sebaliknya terdapat banyak lagi rahsia yang Allah nak sampaikan kepada kita. Pokok pangkalnya kita sahaja yang mahu atau tidak untuk mendalami Al-Quran,” ceritanya tentang bagaimana dia mula tertarik untuk terus mendalami ilmu Al-Quran.
Sejak kecil wanita ini sudah mula belajar mengaji, seawal usia 10 tahun dia sudah khatam Al-Quran. Sehingga ke hari ini, sudah lebih lima kali dia berjaya khatam dan ingin terus belajar dan membaca untuk menggali lebih banyak ilmu daripada kitab suci Al-Quran. Surah Maryam, An Nur dan Al Insan antara surah yang sering menjadi pilihan Farah untuk diamalkan selain Al Waqiah dan juga Al Mulk.
“Saya sebenarnya sudah kehilangan ayah ketika berumur 22 tahun dan ibu pada usia 24 tahun. Memang emosi saya tidak stabil ketika kehilangan keduanya dalam tempoh dua tahun selang saja. Alhamdulillah ada seorang sahabat yang tenangkan hati saya. Menurut sahabat itu, perjalanan hidup saya ini hanyalah sebahagian dari ujian yang pernah Maryam lalui. Sejak itu saya mula mencari surah Maryam dan membaca terjemahannya. Saya dalaminya melalui penceritaan dalam Al-Quran tentang bagaimana ujian dan dugaan yang dilalui oleh Maryam. Surah ini mengajar saya tentang kebesaran Allah, jika Dia inginkan sesuatu berlaku, maka terjadilah ia.
“ Dalam Surah An Nur pula banyak mengajar dan memberi inspirasi kepada saya untuk selalu berbuat baik, selalu mengejar kebaikan dan selalu pelihara diri daripada membuat perkara-perkara yang mendatangkan dosa. Manakala Surah Al Insan pula banyak bila dekat kelas taranum saya tengok maksud dia sangat-sangat memberi kesan yang mendalam kepada saya. Ayat inmengajak kita untuk pelihara solat, pelihara apa yang menjadi tanggungan kita dan banyak lagi.
“ Bila saya sedih teringat arwah mak dan abah saya akan baca ayat dan terjemahan ini. Ia tentang faedah keutamaan untuk menjaga anak-anak. Dalam situasi saya adalah menjaga adik-adik saya. Ini antara surah yang banyak menjadi amalan saya. Selain tiga surah tersebut, saya amalkan juga Surah Al Waqiah, Al Mulk turut saya amalkan dalam kehidupan seharian,” kongsinya tentang surah yang dijadikan amalan.
Istikharah Al-Quran
Setiap manusia ada ketikanya terasa ingin mengadu, mencurahkan rasa atas segala permasalahan yang melanda, Farah Samad juga tidak terkecuali. Namun dia memilih untuk mengadu kepada Yang Maha Esa untuk setiap ujian dan dugaan yang dihadapi dengan melakukan Istikharah Al-Quran. Baginya ia lebih menenangkan dan membuatkan dirinya terasa dekat dengan Sang Pencipta.
“Kita bila ada masalah mesti nak cerita dekat kawan-kawan atau orang yang kita rapat. Bila orang tu faham masalah kita, kita akan rasa sayang kerana mempunyai kawan sepertinya, rasa seronok sangat kawan dengan dia. Macam itu juga dengan Al-Quran. Sesungguhnya Allah tahu semua apa yang berlaku kepada kita, para hamba-Nya. Jadi sebaiknya mengadulah kepada Dia kerana Dia Maha Mengetahui Segala-galanya. Apa yang lebih hebat bila Al-Quran berjaya ubah kehidupan setiap kali saya buat Istikharah Al-Quran.
“ Buat solat sunat dua rakaat habis solat duduk bertenang dan buka Al-Quran dan cuba baca maksud di sebaliknya. Itulah Istikharah Al-Quran. Kita akan dapat rasa apa yang ingin disampaikan kepada kita kena dengan apa yang kita alami ketika itu.
“Pengalaman saya sendiri, saya sedih sangat dan teringat dengan arwah mak dan abah. Bila buka sahaja Al-Quran rasa seperti Allah tahu apa yang saya sedang sedihkan. Bila baca surah tertentu terasa seakan satu aura yang tak dapat digambarkan meresap ke badan saya sebagai peringatan untuk diri saya. Dari situ saya dapat rasakan Allah tahu apa yang saya rasa, apa yang perlu pada ketika itu dan Dia bagi jawapan terus melalui Al-Quran sahaja. Dengan cara itu saya rasa dekat sangat dengan Allah. Bila setiap situasi yang mendatang tu kita terus bercerita kepada-Nya dengan Istikharah Al-Quran.
“ Kena rajin baca tafsir Al-Quran supaya kita lebih memahami dan tahu tentang maksud dalam Kalam Allah itu. Insya-Allah ia akan mengubat semula hati kita yang sedang bersedih dan rasa kecewa. Bila buat istikharah Al-Quran, saya dapat jumpa penyelesaian dalam kehidupan. Saya tak perlu takut sebab saya ada Allah. Walaupun saya dah tiada siapa-siapa lagi di dunia ini selain adik-beradik saya. Dengan Al-Quran ia banyak beri saya rasa redha dengan apa yang Allah aturkan untuk saya. Alhamdulillah.”
“Secara peribadinya setelah belajar mendalami ilmu Al-Quran saya rasa lebih tenang dan tak takut dengan hari mendatang. Bagi saya bila kita dekat dengan Al-Quran kita rasa dekat dengan Allah. Berserah kepada Allah dan redha dengan apa yang Allah tentukan kepada kita. Insya-Allah hidup akan lebih tenang dan mendamaikan.
“Jangan pernah malu kalau nak belajar Al-Quran. Biasa yang malu sebab rasa rendah diri tapi percayalah bila selalu baca kita akan dapat perbaikinya dan akan dapat membacanya dengan lancar. Yang sibuk atau uruskan famili cari masa untuk mengaji. Mengaji satu muka surat sehari pun dah ok. Hidayah itu milik Allah, Dia akan bagi pada orang yang selayaknya. Jadi marilah kita membaca Al-Quran dan cari lagi rahsia-rahsia dalamnya yang Allah ingin sampaikan kepada kita. Insya-Allah,” akhirinya.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Disambut Bauan Harum ‘Bangsa Bunian’ Di Pintu Gua Tempurung, Ketika Misi Mencari Acap

Isi Kandungan
TogglePencarian Acap atau nama sebenarnya Mohammad Ashraf Hassan, 29 yang hilang di kawasan Gua Tempurung sudah masuk hari ke-15. Ramai yang datang menghulurkan bantuan dan kepakaran mencari.
Salah seorangnya, Rosli Hamid yang menyertai misi mencari Acap pada hari ke-10 sehingga ke hari ini. Dengan ditemani 8 anggota muda beruniform, meneruskan pencarian di kawasan Gua Tempurung.
Berlaku kejadian aneh ketika di pintu Gua Tempurung. Ini yang dialaminya ketika menjalankan misi SAR selama 3 hari 2 malam di kawasan terakhir Acap dikesan.
Sambutan Bauan Harum Di Pintu Gua Tempurung
Usai Solat Jumaat hari ini (ketika status dimuatnaik), saya masih berat nak kongsi kisah SAR Acap buat masa ini. Ini sedikit kisah disambut di pintu Gua Tempurung.
Moga beliau diberi segala kebaikan atas segala kebaikan oleh TuhanNYA dan Tuhan ke atas segala makhluk yang melata di bumi dan di Langit.
Tuhan yang memerintah segala yang nyata dan yang ghaib.
Amin.
Kisah SAR Acap yang panjang, andai ditulis dan dilukis, tebal kitab dan panjang tulisan dibukukan. Syukur dan insaf bila bertemu abang kepada OH.. Acap.
Sebuah keluarga yang baik dan penuh sabar.
Anak yang baik dan digemari rakan taulan.
Saya mohon kemaafan andai perkongsian saya mencarik adat dan rasa. Maafkan saya.
Bumi Gopeng dan sekitar Gua Tempurung sangat asing bagi saya. Ini pertama kali saya ke sini. Di kala senja umur yang hampir rebah ke hujungnya.
Saya di bawa ke daerah Tuhan yang amat luas. Di sini, sebuah lagi alam Tuhan yang luas dikatakan wujud.
Petang itu saya dikhabarkan begitu. Rata-rata yang hadir, kata begitu. Rata-rata anak Gopeng bersaksi begitu jua. Jahilnya saya kerana di usia sebegini ianya terbongkar.
Lucunya, ia baru terbongkar untuk saya seorang. Bagi khalayak ramai, mereka sudah khatam kitab kewujudan makhluk di Gua Tempurung.
Malunya saya.
Tak mengapa lah..
Gunung.. bukit.. gua.. batu.. hutan.
Misteri Alam Di Daerah Tanah Empat Penjuru
Bagi bangsa Melayu ada sinonimmya dengan jin dan bangsanya.
Sungguh, daerah ini.. daerah tanah empat penjuru misteri alam dia.
Bunian.. kesukaan bangsa Melayu antara yang paling banyak huninya di rekahan batuan jutaan tahun ini. Lidah bumi dan tamannya berhiasan.. puncak bukit-bukit sekitarnya yang mudah dibilas angin tidak terusik di puncak-puncak bukit berbatu.
Inilah Gopeng dan Gua Tempurung.
Patutlah digemari segala pakar alam ghaib bagi segala niat. Pertama kali saya saksikan pestanya di sini. Saya katakan, andai dinukil, berkitab-kitab dan berjilid-jilid.
Hebat bangsa Melayu.
Di senja pertama saya di situ. Pelbagai rahsia mereka sampaikan. Pihak berkuasa dan awam sampaikan. Saya rasa amat kerdil di khalayak begitu.
Nasib baiklah saya datang sorang-sorang.
Pakai kasut getah berkuku penoreh getah.
Berbaju pagoda kekasih hati.
Kalau saya undur undur dan ghaibkan diri.. lari balik ke rumah pun tiada yang ambil tahu.
Tapi hati nak tahu.. buat-buatlah cool. Allah Maha Adil. Niat untuk belajar dan ziarah didengariNYA
Peluang dibawa ke pintu belakang Gua Tempurung. Siapa tolak dia rugi.
Getus hati saya. Nakal.
Pegawai yang menghubungi saya jelaskan. Tiada lagi SAR di situ selain semalam. Mereka masuk kerana ada clue.
“Ustaz.. esok saya nak bawak ustaz ke sana.. tapi…”
“Ikut pintu belakang.. kami dah masuk semalam. Kami nak ustaz pula masuk.” Saya setuju setelah puas hati dengan beberapa jawapan pihak berkuasa tadi.
Jangan Lupa Tanyakan Namanya
Teringat saya ketika di kampung. Awal 80-an, jam 6.30 pagi. Setiap Jumaat pagi, ketika berjalan kaki ke sekolah rendah. Wangian kampung bunian. Bau yang sukar digambarkan.
Kini.. di bumi Gopeng. Pintu belakang Gua Tempurung. Kami disambutnya.
Jarak ke pintu gua sekitar 100 meter dari kenderaan pasukan beruniform.
Saya dan 8 anggota muda berunifom melepasi paya.Kiri kanan dipenuhi pokok renek berbunga.. habuan lebah kelulut.
Sekitar 8 minit melangkah, kami turuni anak tangga yang disusun tegak menuju ke anak sungai. Di sudut pintu gua, airnya jernih.
Kagum.
Memang berbaloi memenuhi undangan pegawai SAR malam tadi. Cantik dan nyaman. Apatah lagi ada sambutan mesra dan tanda sahabat.
“Al fatihah..”
Kita sedekahkah untuk Acap.. untuk yang melata di dalam gua ni, yang nampak dan yang ghaib. Salawat dan salam kepada nabi Sulaiman dan sedikit taklimat saya sampaikan.
“Andai berjumpa dengan yang tua.. tegurlah.. tanyakan nama..”
“Adakah tuan haji..”
“Atau tuan ni haji..”
“Kalau jumpa kanak-kanak perempuan tanyakan namanya.. adakah adik ni namanya.. begini dan begini.”
Semua Orang Dapat Bau Tak
Hati saya makin berdebar sebenarnya. Saya teruja sangat-sangat sejak lalu di susunan pokok dan bungaan tadi. Biarlah, kali ini aku nak caj pantang.
Aku nak try, benar atau tidak.
Naluri kebudakan datang menerjah.
Tuan..
Tuan-tuan..
“Bau wangi sejak kita lepasi paya tadi sedap tak?”
“Semua orang dapat bau tak? Saya rasa bunga-bunga liar kat luar tu tak berbau.”
“Saya maksudkan bau yang ni. Keliling kita sekarang ni.”
Saya pulak makin hilang sabar. Ya Allah.. lemahnya aku.
Hati kecil saya kata. ‘bodohnya aku’.
Saya menyesal tapi syukur. Usai ucapan terakhir tadi, bau semerbak dan lunak. Lembut.. luar biasa bercampur-campur tadi tiba-tiba hilang.
Huhhh.. apakan daya.
Pada kali kedua saya bertanya.
“Saya tak dapat cium bau apa-apa pun ustaz.”
Hampir serentak mereka jawab.
Saya tanya lagi.
“Langsung tiada?”
“Ada.. sikit-sikit saya dapat cium di atas tadi. Lepas tu hilang.”
Jawab seorang anggota pengiring yang berdiri agak ke belakang.
Kalau begitu tak apa lah. Belum rezeki.
Mana tau..
Kata Orang Tua-tua Yang Tau, Bau Harum Itu, Bau Bangsa Bunian
Saya ambil keputusan agar tidak lagi langgar syarat lepas itu.
Bau harum itu, kata orang tua-tua.. kata mereka yang tau, bau bangsa bunian. Saya beritahu mereka. Suasana sunyi.
Semua kunci mulut.
Bau mula seakan di taman bunga. Ketika turun tangga seakan bau dipakaian dan bau badan. Di tanah lapang.. kaki anak singai tempat kami berkumpul, bau seakan makanan.
Ya.. seakan mereka sedang memasak. Mungkin ada kenduri dan jamuan.
Kami terus melangkah.
Andai Acap Berada Di Dunia Kamu, Berilah Kerjasama.. Bantulah Kami
Petang itu, seorang anggota SAR hubungi saya.
“Ustaz.. ada orang suruh saya pergi ke pintu belakang gua. Dia pesan, kalau ada apa-apa tanda bau-bauan..” Semuanya kebetulan. Kami laluinya pagi tadi. Getus hati saya.
“Kami akan ke pejabat mufti, dipanggil untuk beri taklimat.” Suaranya di hujung sana. Saya teruskan memandu sambil melayan perasaan seorang diri.
Alhamdulillah.. Allah beri sedikit ilmu di kaki gua kepada kami.
Sejak subuh tadi saya berdoa agar andai mereka di situ, muncullah. Kalau boleh zahir.. zahirlah. Saya nekad.
Saya mohon sepenuh jiwa. Kerana ada sedikit lintasan diperasaan saya.
Andai Acap berada di dunia kamu.. kami berjisim tiada upaya ke sana.
Andai kamu mengaku kamu bangsa yang baik-baik.
Atas izin Allah.. tuhan pemilik aku dan Tuhan Kamu.
Berilah kerjasama.
Bantulah kami.
Kamu dunia kamu.. kami dengan bangsa kami.
Saya bertawasul..
ALLAH Maha Adil Lagi Mendengar. Doa saya yang hina tidak boleh membuka jalan dan hijabnya.
Ikhlaskan hati.. kosongkan rasa diri kita berupaya. Kerana hanya DIA yang ada segalanya.
Marilah berusaha dan berdoa agar ada sinar.
Wasallam.
Sumber/Foto : Rosli Hamid
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
40 Hari Ibu Ini Istighfar, Redha Anak Beri Tanda Akan Pergi Buat Selamanya

Isi Kandungan
ToggleBermula dari kiraan 40 hari, anak syurga Nur Syifa Zara, 5 berkongsi tanda pemergian dengan ibunya, Saneeha Sulaiman (Umi Zara)
Sungguh hati ibu mahu menidakkan, namun setiap tanda itu cukup kuat untuk dia akur dan redha, Allah sudah mahu memanggil anaknya pulang. Sejak itu istighfarnya melekat dalam hati.
Anak kecil ini disahkan menghidap penyakit Aplastik Anemia, iaitu sejenis penyakit sum-sum tulang yang tidak berfungsi untuk menghasilkan darah sendiri.
Pertarungan nyawa anak kecil ini sudah berakhir, namun kenangan 40 hari buat ibu sepanjang menemani saat-saat akhir anak angkatnya ini sukar dipadamkan.
Tanda Pertama 40 Hari
Bermula lah kiraan 40 hari menghadapi pemergiannya.
“Selepas asar, antara asar dan maghrib dia beritahu saya sakit pusat macam di cucuk jarum. Tiga hari berturut-turut dia alaminya.”
Masa dia beritahu sakit pusat itu di wad. Lepas seminggu keluar wad, dia cakap pada semua nurse yang dia akan balik kampung.
Selepas itu, setiap hari menjelang senja dia beritahu nak balik dah. Walau pun masa tu kat rumah dah. Bukan kat wad.
“Sejak itu, saya faham maksud dia.”
Setiap hari dia akan kata macam ni, “Ara dah nak pergi ni Umi.” Bila duduk diam-diam je, ayat ini akan keluar.
Katanya dia akan pergi main taman dengan kawan-kawan. Saya dan abah serta adik tak boleh ikut.
Perkataan ini dia ulang dari 30 hari sebelum dia pergi sehinggalah 2 malam terakhir, dia tetap katakan yang sama.
15 Hari Sebelum Arwah Pergi
Kami balik kampung, mak mentua meninggal. Waktu di bus stop, masa nak balik KL. Dia tanya saya, “Umi, pakcik tu ikut kita lama dah. Sampai kita balik sini pun dia ikut.”
Masa itu senja selepas asar.
Dia tunjuk ke satu arah surau dekat terminal bas tu. Tapi saya tak nampak siapa pun.
Sehingga dia dimasukkan semula ke wad pada 12/12/2018, dia masih cakap pakcik sama ikut dia. Nanti akan bawa dia pi taman.
“Saya faham, saya cuba istighfar dan redha.”
Tanda itu terus ditunjukkan di wad itu. Masa itu, dia demam. Setiap lepas asar, dia mesti suruh buka langsir. Katanya, ada abang hijau.
Setiap tiga petang berturut-turut.
7 Hari Terakhir
Selepas asar, permintaannya masih sama. Saya kena buka langsir tingkap. Katanya, abang putih datang melawat dia.
Iaitu seminggu masa dia tengah tenat.
Siang dia banyak tidur, malamnya dia akan kejutkan saya, minta saya berselawat untuknya sampai pagi. Katanya hilang kan sakit dia.
Sejak itu, bila dia sakit dia suruh saya berselawat untuknya.
Sambil itu dia akan cerita kisah taman-taman dia; taman salji, taman bola, taman mainan dan banyak kawan.
Dia juga pujuk saya, “Umi jangan risau, Ara ramai kawan kat sana.” Ayatnya masih juga sama, “Umi tak boleh ikut. Ara pi dengan kawan-kawan je.”
Waktu itu, saya dapat hidu wangi je rambut dia. Mulut dia.. Ya Allah.. sungguh wangi. Sedangkan dah seminggu dia tak mandi.
Seminggu sebelum dia pergi, dia dah beritahu saya yang dia akan balik. Minta saya jangan menangis.
Sayunya bila dia kata, “Nanti dah tak payah datang hospital lagi, tak payah jumpa nurse lagi, tak payah buat grab lagi. Sebab Ara dah nak pergi.”

Permintaan 2 Hari Terakhir
Dia minta saya bersihkan badan dia. Bersihkan semua pelekat hospital yang ada sisa getah gam sambil dia merungut. Dia pegang dada dekat bekas operation tu.
“Macam mana Ara nak pergi ni. Dah rosak semua. Dah tak cantik dah.”
Abah dia jawab, “Ara anakku. sayang kat sana nanti, Ara akan tetap cantik. Semua ini akan hilang sayang.”
Baru dia tersenyum. “Ya Allah, manisnya senyuman dia masa itu. Seri muka dia.. bau badan dia.” Tapi kami berdua berpelukan menangis semahunya.
Sebab kami tahu waktu itu akan tiba.
Hari Jumaat Terakhir, Hari Raya Untuk Nur Syifa
Nur Syifa menghembuskan nafas terakhir di hospital pada malam Jumaat, 28 Disember 2018. Malam itu, ibunya terus membawa jenazahnya pulang, kerana sebelum pemergian arwah pernah beritahu, “Sebelum pergi taman Ara nak balik rumah dulu. Nak tukar baju dulu… Ya, baju putih untukmu sayang.”
Dia juga beritahu yang Hari Jumaat Hari Raya dia. “Umi buatlah kenduri hari Jumaat tu. Umi buatkan kuih. Kenduri tu cuma untuk abang-abang (lelaki) saja.”
“Ya, memang hari Jumaat tu Hari Raya dia. Dia dikebumikan pagi Jumaat dan memang hari tu pada solat Jumaat buat kenduri.”
Persiapan kenduri itu, saya dan kawan-kawan dah sediakan pada hari Rabu lagi. Kawan dah tempah kuih semua. Sebab Selasa malam Rabu, dia dah beritahu dia akan pergi malam Jumaat tu.

Sekarang itu je adik dok peluk.
Suami Berhenti Kerja, Mahu Hargai Sisa Masa Yang Ada
Hari Rabu itulah suami balik rumah siapkan apa yang patut. Ambil kain batik tak jahit dan sebagainya. Sebab dia beritahu setiap suatu perjalanan dia, senang untuk kami sediakan.
Hati tak payah nak cakap.. selama 40 hari saya menangis. 40 hari itu saya berendam air mata. Saya cuba redha dan rela.
Dalam tempon itu, kami tak pernah berenggang lagi. Sampai suami berhenti kerja mahu hargai masa yang ada dengannya.
“Kami nak bersama dengannya hingga hembusan nafas yang terakhir. Setiap saat amat berharga buat kami.
Hampir 2 bulan suaminya berhenti kerja. “Ni baru nak mula balik. Ini permulaan yang baru buat kami. Sedih hanya Allah je yang tahu. Macam mana pun saya kena kuat. Kesian kat adik.”
Kata Umi, buat masa ini dia masih belum bekerja. “Saya akan cari kerja nanti. Nak kumpul duit, siapkan kubur arwah. InsyaAllah kami nak letak rumpur dan tulis nama je. Bukan buat binaan kekal.”
“Doakan kami murah rezeki ya.”
“Mana yang bantu kami dulu, saya ucapkan jutaan terima kasih pada semua. Hanya Allah yang dapat membalasnya. Minta ampun, minta halalkan. Yang terlebih, terkurang daripada kami.”
Ujarnya sesiapa yang mahu menghubunginya dipersilakan berbuat demikian. “InsyaAllah saya jawab je panggilan. Mungkin ada yang nak bertanya khabar kami, atau nak berkongsi pengalaman, atau nak bagi kami semangat. Boleh whatsapp atau call saya.”
“Saya masih Umi yang dulu yang sentiasa terima whatsapp dan call dari sesiapa pun. Cuma bezanya saya tak sekuat dulu. Masih lemah semangat, lagi cuba bangkit dari sisa-sisa kenangan.”
Umi Simpan Kenangan Zara Di Sini : Klik Untuk Lihat
MW : Al Fatihah buat bidadari syurga Nur Syifa Zara, semoga rohnya ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.
Sumber/Foto : Nur Sz , 018 2775337
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI