Dalam mengharmonikan sebuah hubungan jiwa suami isteri, bab makan ini sebenarnya sangatlah perlu dititik beratkan. Bukan sekadar, jaga makan minum suami. Kata usahawan terkenal, Bonda Rozita Ibrahim kena perhati jenis makanan macam mana yang diberikan pada anak isteri.
Dari mana sumbernya.. halal kah? Atau sebaliknya. Inilah yang diajarkan oleh suaminya, yang dipanggil Abang Haji dalam kehidupan sehariannya.
Dan kata Bonda Rozita lagi, perihal penting memilih makanan yang masuk ke dalam perut inipun salah satu cara melembutkan jiwa dalam perkahwinan.
Tulisnya,
Ads
Selfie di Palestine.. Sekadar tulisan orang tua untuk anak-anak muda dalam melembut jiwa dalam perkahwinan.
Bukan puji suami saya. Merenung hikmah Allah direzekikan berjodoh dengan dia. Walaupun seorang sangat tegas, saya tahu jiwanya banyak kemanisan, nilai-nilai murni mencari kebaikannya yang sangat rajin dan sangat menjaga family dan harta benda, usaha niaga saya tu saya nampak jelas dalam dirinya. Takda orang sempurna 100% . Sabar dan syukur adalah 1 kemanisan iman dan nikmat syukur kepada Allah saya terima sebagai ilmu.
Sepanjang kami berkahwin dia merengus dan sangat marah bila dia pegi ke mall pada bulan Ramadhan. Kalau saya ajak katanya pahala habis melihat benda-benda yang maksiat, yang Allah tak suka.. pendek pakaian sana sini.
Kalau pergi ke pasar Ramadhan, saya akan tanya, “kenapa kuih ni tak sedap. Asyik beli yang sama, kedai yang sama ke.. abang beli kat kedai mana..???”
Ads
Jawabnya pada saya, “saya akan memilih kedai orang yang menutup aurat. Orang yang saya kenal akhlaknya sebab orang solat dan menutup aurat saya percaya ada keberkatan sewaktu memasak. Dia jadi darah daging.. makanan semua harus dijaga selain daripada hati menaham nafsu lapar dan dahaga.”
Ads
Jangan Makan Sembarangan.. Tengok Halalnya
Sepanjang saya ke luar negara pulak setiap apa yang kami makan kena tanya dia dulu. Boleh tak makan ni.. boleh tak makan tu.. dia akan cakap. “U jangan makan sebarang, u tengok betul-betul.. jaga makanan kita sebab sini banyak yang tak halal.. makan saja roti atau buah dah memadai.. untuk alas perut, bukan berkenyang-kenyang.”
Sebab tu bila travel, saya akan bawa bekal supaya dia dan anak-anak kami boleh makan demi mendapat makan yang halal.
Sanggup berlapar demi menjaga perutnya daripada benda-benda yang haram.. Dia keras sangat, juga sangat menjaga kata-kata supaya tak menabur janji yang indah penyedap rasa.. JANGAN TAK TEPATI JANJI..!!
Katanya, “setiap apa penulisan, setiap apa yang diucapkan, jika menyakitkan hati orang dan tak ada menafaat, lebih banyak mengundang dosa, fikirkan saat kematian yang mana di situ akan kekal selamanya hisab tak henti.”
Buat yang elok-elok saja sementara kita hidup.. DIA LELAKI MANIS walau muka ketat.
MW : Banyak benarnya pesan Bonda Rozita ini, dalam nak beri anak isteri makan.. kenalah pastikan sumber makanan itu dari mana. Kerana akhirnya ia akan jadi darah daging.. yang membentuk juga akhlak dan peribadi mereka.
Ketika keluarga lain sedang kalut membuat persiapan akhir menyambut Aidil Adha pada 10 Ogos 2019 lalu, siapa menduga keluarga kecil ini dikejutkan dengan insiden yang mengubah seluruh kehidupan mereka sekeluarga. Sehari sebelum kejadian, sekitar jam 2 pagi masih terbayang lagi susuk tubuh lelaki yang dipanggil papa; Muhammad Khairul Abdullah (38) tiba-tiba muncul di depan pintu bilik. Dia mengadu mulutnya sukar bergerak dan badannya kebas.
“Tak sampai seminit dia mengongoi, dia rebah dan tidak boleh bergerak. Sebaik mengiringkan dia ke sisi, suami terus memuntahkan segala isi perut. Tanpa berlengah saya terus hubungi ambulan dan maklumkan adik ipar. Dalam situasi mencemaskan itu, saya sempat menyambar beberapa dokumen penting walaupun ketika itu kaki dan tangan menggigil mencari kekuatan.
“Anak kedua kami, meraung ketakutan melihat situasi panik itu. Setibanya ambulan di hospital, suami terus dihantar ke zon merah. Doktor mengesahkan suami diserang strok akibat tekanan darah tinggi. Dalam keadaan kritikal itu, doktor terpaksa komakan suami bagi mengelakkan keadaan lebih serius.
Setelah melalui pengimbasan tomografi berkomputer (CT Scan) ditemukan ketulan darah besar di dalam teras otak, letaknya betul-betul di belakang tengkuk (tempat suami selalu mengadu sakit),”cerita Norashikin Md Nor ketika dihubungi menerusi emel tempoh hari.
Keputusan terbesar pernah dibuat dalam hidup
Bukan mudah untuk kita membuat satu keputusan besar yang impaknya meninggalkan kesan yang bukan kecil. Doktor memaklumkan tiada rawatan atau pembedahan boleh dibuat bagi meredakan kondisi si suami. Jika perpisahan itu, lebih baik…meskipun nyawa terpaksa berpisah dari jasad, Norashikin nekad melepaskan sang suami ‘pergi’ dari terus melihatnya terseksa.
“Tiada rawatan atau pembedahan boleh dibuat. Boleh on-tube untuk dua minggu tetapi pengakhirannya tetap sama. Ketika menandatangani surat keizinan untuk membuka mesin pernafasan itu, fikiran ketika itu kosong sambil mengenangkan anak-anak yang masih kecil. Kemudian suami dimasukkan ke dalam wad dan menggunakan bantuan pernafasan manual yang dipam oleh jururawat bergilir-gilir. Kami kemudian menghubungi ambulan persendirian untuk menguruskan membawa pulang suami ke rumah. Ketika di dalam ambulan itu, air mata saya tidak lagi mengalir. Ketika itu macam-macam perkara berkenaan kehidupan saya dan anak-anak selepas ini bermain di fikiran.
“Setibanya di rumah ibu mertua, saya sempat bisikan ke telinga suami, “abang pergilah…saya redha. Saya akan jaga anak-anak kita sebaik mungkin, abang jangan risau”. Selepas selesai mengajar dia mengucap, suami terus ‘pergi’ dengan linangan air matanya membasahi di pipinya, petanda dia faham pesanan terakhir yang didengari.
Air mata bukan lagi pilihan, kerana ia tidak lagi menenangkan
Seperti yang pernah dikongsikan dalam laman muka buku (facebook) peribadinya, wanita ini menjelaskan air mata bukan lagi pilihan kerana ia tidak lagi menenangkan. Demi meredakan emosi dua puterinya; Khayla (5) dan Keisha (1), Norashikin berjanji dengan dirinya jangan sesekali menumpahkan air matanya di hadapan mereka.
“Saya tekadkan hati dan berjanji untuk tidak lagi menangis di depan anak-anak kerana bimbang mereka ketakutan. Sebaik melihat jenazah papa mereka, kedua-duanya trauma dan tidak mahu mendekati arwah. Khayla masih keliru dan hingga kini memaklumkan yang papanya sakit, papa tidur, papa tak bangun tidur lagi. Ada ketikanya dia minta saya buat video call untuk dia bercakap dengan papanya…katanya rindu nak tengok papa.
“Paling sayu apabila melihat hasil lakarannya yang pastinya berkaitan dengan momen akhirnya bersama papanya. Sebagai contoh lakaran stetoskop yang dilihat digunakan oleh doktor ketika membuat pemeriksaan ke atas papanya. Ada juga lakaran yang berkisar mengenai ambulan, kereta jenazah dan pusara papanya. Saya biarkan dia melakar apa saja yang terlintas di kepalanya, dengan harapan medium itu mampu merawat emosinya.
“Keisha pula masih terlalu kecil untuk memahami. Ada ketikanya dia menangis tak keruan, menunggu waktu petang waktu lazim papanya pulang dari kerja. Kadang deruan enjin motosikal yang melepasi hadapan pagar rumah kami, membuatkan anak-anak ini bertempiaran lari menuju ke pintu rumah… menunggu kemunculan papanya. Sebagai ibu, saya tahu mereka terlalu rindukan arwah papanya. Mereka juga perlu masa untuk membiasakan diri dengan kehidupan baru tanpa papa yang begitu memanjakan mereka,”kongsinya yang dalam proses berpindah ke Melaka, memandangkan sekarang mereka kini masih menetap di Johor.
Kehilangan yang tiada galang gantinya
Mengenang kembali memori tentang suaminya. Menurut Norashikin lagi, arwah merupakan lelaki yang mendahulukan keluarga dalam kehidupannya. Ibunya adalah sosok yang paling dia sayangi. Bekerja menguruskan pemasangan jalur lebar, menjadikan gaji yang diterimanya tidaklah sebesar mana bagi menampung keluarga kecil kami.
“Dia seorang lelaki yang ‘family man’. Apa-apa saja dia buat, keluarga akan diutamakan dahulu. Paling dia sayang ibu dia. Nak pergi ke mana-mana atau nak buat apa-apa aktiviti dia mesti pelawa ibu n adik-beradik join sekali. Pesan arwah lagi, dia bimbang nanti ada yang kecil hati kalau tak diajak.
“Bab menjaga hati orang sekeliling juga salah satu sikap murninya. Kehilangannya yang mengejut membuatkan ramai kenalan, pelanggan yang pernah menggunakan khidmatnya dan ahli keluarga jauh dan dekat masih terkejut mendengar perkhabaran pemergiannya. Itu sebabnya ramai yang terasa dengan kehilangannya secara tiba-tiba.
“Hingga ke hari ini, masih ada lagi client yang hubungi atau mesej nombor telefonnya bagi mendapatkan khidmat nasihatnya. Paling menyentuh hati sempena raya haji baru-baru ini dia dah ambil cuti panjang sebab nak bawa kami holiday, tapi hajatnya tak kesampaian. Gaji dia pun bukannya banyak, tetapi dia tak pernah lokek dengan keluarga dan sedaya upaya nak happykan anak-anak. Kadang-kadang sekadar keluar makan-makan ataupun keluar ambil angin luar sebab dia tau kami asyik terperap kat rumah bila dia keluar kerja. Sejak berhenti kerja beberapa tahun lalu, saya tidak lagi bekerja dan fokus pada keluarga dan anak-anak.
“Seperkara lagi yang pastinya saya rindukan, adalah penilaiannya bak juri profesional terutamanya ketika saya memasak menu baru. Apa saja yang saya masak dia akan makan tanpa banyak soal. Kalau sedap nanti dia minta kita masakkan lagi. Sejujurnya, ketika baru berumah tangga dulu… saya tak pandai memasak. Goreng nugget pun hangus, tetapi sikapnya yang pandai ambil hati isteri membuatkan kita teruja nak masak untuk dia dan anak-anak. Secara tak langsung kita jadi minat untuk memasak. Saya juga bercadang untuk memulakan perniagaan kecil-kecilan dengan memanfaatkan skill memasak yang ada bagi menampung keperluan anak-anak,”ceritanya optimis.
Sebelum menutup bicara Norashikin juga menitipkan luahan bagaimana mengharungi saat perpisahan tak di duga ini.
“Tak menangis bukan bererti tak sayang. Meraung dan meratap bukan menyelesaikan masalah tapi cuma akan membebankan jiwa. Jangan biarkan diri terlalu lama dibalut emosi kesedihan. Pepatah ada juga berkata…ikut hati mati, ikut rasa binasa. Positifkan diri adalah pegangan saya kini. Pastinya rasa sedih itu akan datang dan pergi. Tanpa adanya Khayla dan Keisha, saya tak akan sekuat ini. Sesukar mana pun hari yang mendatang nanti, saya berjanji akan mendidik kedua amanah terbesar Allah ini sebaik mungkin. Doakan kami kuat mengharunginya,”kongsinya menutup bicara.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Bukan semata-mata cuci rumah dan kemas barang. Tiga amalan masuk rumah baru yang Ustaz Farid Rashidi ini kongsikan adalah langkah pertama yang mak ayah kena buat. Salah satunya, baca surah al-Baqarah.
Tiga amalan mudah ini berpandukan pada hadis. Dan tentulah dengan panduan ini menjadi titik tolak untuk anda dan keluarga menjauhi segala macam gangguan daripada rumah kosong yang terbiar untuk sekian lama.
Itu belum cerita bab kos dan ongkosnya. Fuhh, nak demam jugalah dibuatnya.
Tapi ada lagi yang paling mustahak, iaitu amalan untuk masuk rumah baru. Yelah, rumah kosong yang tak didiami orangkan sebelumnya. Jadi, kenalah minta perlindungan sungguh-sungguh pada Allah SWT agar dapat hindar segala gangguan.
Baik, apa amalan yang ringkas dan mudah diamalkan?
Menurut hadis, ada beberapa amalan yang elok diamalkan.
Daripada Nafi` bahawa Abdullah bin Umar r.a berkata:
إِذَا دَخَلَ الْبَيْتَ غَيْرَ الْمَسْكُونِ فَلْيَقُلِ السلام علينا وعلى عباد الله الصالحين. “Jika engkau memasuki suatu rumah yang tidak berpenghuni maka katakanlah: Assalamu`alaina wa `ala ibaadillahis solihin (Salam sejahtera ke atas kami dan ke atas hamba-hamba Allah yang soleh).”
[Hadis Riwayat Bukhari, no. 1055]
Daripada Jabir bin Abdillah r.a, Nabi SAW bersabda:
وَأَغْلِقُوا الأَبْوَابَ وَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ، فَإِنَّ الشَّيْطَانَ لاَ يَفْتَحُ بَابًا مُغْلَقًا “Tutuplah pintu, dan sebutlah nama Allah kerana syaitan tidak akan membuka pintu yang tertutup (yang disebut nama Allah).”
[Hadis Riwayat Bukhari, no. 3304). Riwayat Muslim, no. 2012]
Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi SAW bersabda:
لاَ تَجْعَلُوا بُيُوتَكُمْ مَقَابِرَ إِنَّ الشَّيْطَانَ يَنْفِرُ مِنَ الْبَيْتِ الَّذِى تُقْرَأُ فِيهِ سُورَةُ الْبَقَرَةِ “Janganlah kamu semua menjadikan rumah-rumah kalian seperti perkuburan. Sesungguhnya syaitan akan lari dari rumah yang dibacakan di dalamnya surat al-Baqarah”
[Hadis Riwayat Muslim, no. 780]
Ok, itu antara amalan masuk rumah baru yang elok sama-sama kita amalkan. InsyaAllah, moga jadi Rumahku Syurgaku. Jom amalkan bersama.
Suka atau tak, sedar atau tak, bercerita aib rumah tangga sendiri boleh jatuh berdosa dan haram. Perkongsian Ustaz Farid Rashidi ini dijelaskan dengan dalil yang menyokong larangan perbuatan tersebut.
Oleh itu, suami mahupun isteri kenalah jaga batasan bicara. Lagi-lagi yang melibatkan hal dalam kain rumah tangga sendiri. Simpan kemas-kemas rahsia rumahtangga. Melainkan terjadinya kes-kes tertentu yang melibatkan penghakiman atau perubatan barulah hal ini dibolehkan.
Dah banyak kali orang bertanyakan tentang isteri atau suami yang suka buka aib rumahtangga sendiri. Banyak sangat berlaku. Lagi-lagi bercerita pada rakan sekerja di pejabat.
Ada senggang waktu sikit, mulalah mesyuarat tingkap bercerita hal keaiban rumahtangga sendiri.
Tak tahulah apa tujuan sebenarnya, tapi memang jenis suka bercerita hal dalam kain sendiri, dalam kelambu kepada orang lain. Hinggalah bab berjima’ pun dia cerita.
Astagfirullah Hal Azim.
Kenapa sampai macam itu sekali? Bahkan ada kes hingga sanggup tunjuk gambar tak senonoh dia dan suami pada rakan-rakan sekerja sambil berbangga-bangga pula. Aduhai.
Ya, berdosa dan haram hukumnya. Dalilnya:
وعَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ: إِنَّ شَرَّ النَّاسِ عِنْدَ اللَّهِ مَنْزِلَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ: الرَّجُلُ يُفْضِي إِلَى امْرَأَتِهِ، وتُفْضِي إِلَيْهِ، ثم يَنْشُرُ سِرَّهَا.
Dari Abu Sa’id al-Khudri berkata: “Nabi SAW bersabda: “Sungguh manusia yang paling buruk kedudukannya pada hari kiamat menurut Allah adalah orang lelaki menggauli isterinya dan seorang wanita menggauli suaminya, kemudian menyebarkan rahsia yang terjadi di dalamnya”.
[Hadis Riwayat Muslim, no. 1437]
Imam Nawawi rahimahullah berkata:
“Hadis ini menunjukkan bahawa haram hukumnya seorang lelaki menyebarluaskan apa yang terjadi antara dia dengan isterinya pada saat berjima’, memberikan gambaran terperinci, termasuk apa yang terjadi pada seorang wanita pada saat melakukannya baik dari ucapan dan perilaku berjima’nya ataupun yang lainnya”.
[Rujuk Syarah Sahih Muslim: 10/9]
Ternyata jelas hukumnya adalah haram dan berdosa di sisi Islam (kecuali dalam kes tertentu, penghakiman atau perubatan).
Jadi, tak usahlah bercerita hal begitu lagi ya. Hentikanlah. Takutilah akan azab Allah SWT. Andai hilang rasa malu, tiadalah lagi beza manusia dengan haiwan.
Marilah bantu saya share artikel ini ya. Biar ramai tersedar. Yang dah tersalah buat, lekas segera bertaubat nasuha. Allah SWT Maha Pengampun lagi Maha Menerima Taubat.
Sumber/Foto : Farid Rashidi, yang juga berkongsi info fiqh wanita dan rumahtangga serta motivasi islamik di channel Telegram : https://t.me/NotaFaridRashidi
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Semakin cantik dan tampal manis, pelakon Salina Saibi kini tampil berhijab selepas pulang menunaikan umrah pada bulan Syawal lalu tanpa niat awal untuk berhijab.