Setiap Bulan BroOhsem 'Hunting' 20 Helai Tudung Hadiahkan Pada Isteri, Dan Ini Yang Jadi..

Hebat tak hebat suami ini, BroOhsem setiap bulan dia akan ‘hunting’ puluhan helai tudung, kira-kira 20 helai untuk dihadiahkan pada isteri. Kegilaan itu memuncak apabila dia mengumpul dekat ratusan helai tudung buat isterinya.

Sampailah satu ketika, apabila dia dan isteri diuji dengan masalah kewangan yang hampir menyusut, tudung-tudung yang menjadi koleksi isteri itulah kelak yang menyelamatkan beban kewangan yang dihadapi.

Apa yang lebih mengagumkan adalah usaha suami ini yang tak pernah jemu menggembirakan hati pasangannya.

Atas dasar inilah, Mingguan Wanita senang sekali berkongsi kisah BroOhsem, Akhtar Syamir yang menunjukkan teladan yang baik dalam menghargai pasangannya, Nora Azni. Biarpun isterinya cuma seorang suri.

Lagi pun suami yang berusaha membahagiakan hati isteri, akan memperoleh bahagia dalam dirinya juga. Ketika menjalani hidup yang sukar, isteri inilah nanti yang kembali mengorbankan bahagia demi suami yang dia cinta.

 

Setiap Bulan BroOhsem 'Hunting' 20 Helai Tudung Hadiahkan Pada Isteri, Dan Ini Yang Jadi..

Bermulanya Proses Hunting Di Group Tudung

Semalam teringat kegilaan saya buat isteri saya 2 tahun yang lalu.

Di tempat kerja saya, ada beberapa orang yang minat dengan tudung ni. Masa tu saya tak tahu tudung apa pun. Tapi seronok tengok diaorang dok kumpul order tiap – tiap bulan. Lepas tu diaorang akan berpakat untuk pakai tudung corak yang sama setiap hari.

Masa tu saya terbayang, “Alangkah seronoknya kalau isteri aku dapat pakai tudung cantik macam ni.”

Sejak dari hari tu saya mula bertanya-tanya mengenai tudung ini dengan rakan sekerja. Barulah saya tahu pasal jenama dan label-label serta corak-corak yang hot tudung ni.

IKLAN

Bila balik rumah, saya bercerita dengan bersungguh-sungguh kat isteri. Dia pun dari tak pernah dengar, terus jadi minat. Dari situ kami mula study dan menyedari tentang nilai tudung yang boleh mencecah ratusan ringgit bergantung kepada corak yang terkenal.

Disebabkan baru berjinak-jinak, saya fokus pada corak yang hot tetapi tidak mahal.

Seminggu sebelum hari lahir isteri, saya mulakan proses “hunting” di group tudung tersebut. Ramai seller yang memanggil saya “sis” dan terkejut serta terharu apabila mengetahui yang saya sedang hunting untuk isteri.

 

Ramai Teruja Dan Terharu Dengan Apa Yang Saya Buat Untuk Isteri

Hasilnya, tepat pada hari kelahiran isteri, saya hadiahkan beliau 20 helai tudung Aidijuma yang termampu saya hunt. Perkara ini saya dedahkan di dalam group tudung tersebut dan buat pertama kali dalam hidup, posting saya mencecah seribu likes.

Ramai yang teruja dan terharu dengan apa yang saya lakukan buat isteri memandangkan ahli – ahli di dalam group tu pun memang mempunyai minat yang sama.

Tetapi kegilaan saya tidak terhenti di situ, saya seperti terjebak di dalam mengumpul tudung AJ dengan corak – corak hot yang lain.

IKLAN

Termasuklah pembelian corak baru setiap bulan. Sehinggalah jumlah tudung yang dibeli mencecah lebih dari seratus helai beberapa bulan selepas itu.

Setiap kali isteri saya pakai, saya rasa berbangga kerana saya berjaya menghias isteri saya dengan cantik walaupun beliau tidak bekerja.

Bagi saya ianya satu kejayaan yang baik bagi seorang suami. Saya sendiri seronok bila isteri suka bergambar dengan tudung-tudung yang berlainan corak.

 

Setiap Bulan BroOhsem 'Hunting' 20 Helai Tudung Hadiahkan Pada Isteri, Dan Ini Yang Jadi..

Tudung Jadi Aset, Selamatkan Suami Isteri Dari Masalah Kewangan

Namun…

IKLAN

Mungkin telah ditakdirkan. Tudung-tudung ini menjadi aset untuk kami selepas pembelian rumah sendiri setahun selepas itu. Kami telah menghabiskan segalanya untuk proses pembelian dan kemasukan rumah sehinggakan kami hampir putus sumber kewangan untuk meneruskan kehidupan. Ditambah pula dengan kelahiran anak kedua kami.

Pada masa itulah, isteri saya mengorbankan minat dan harta yang antara beliau paling sayangi iaitu tudung-tudung yang saya belikan buatnya.

Tetapi jujur saya katakan, saya yang lebih sedih dari isteri. Kerana selama berbulan-bulan lamanya kami mengumpul koleksi sehingga saya menjadi terkenal di group tudung yang hampir kesemuanya dipenuhi oleh wanita.

Alhamdulillah, disebabkan nilai tudung yang hampir kesemuanya tidak turun dari harga asal walaupun yang “preloved” malah ada yang berganda-ganda harganya, kami dapat menampung perbelanjaan hidup kami pada ketika itu.

 

Setiap Bulan BroOhsem 'Hunting' 20 Helai Tudung Hadiahkan Pada Isteri, Dan Ini Yang Jadi..

Pelaburan Paling Berbaloi Tentulah Untuk Isteri Dan Keluarga

Selepas kehidupan kami kembali stabil, isteri saya Nora Azni mengambil keputusan untuk menghadiahkan tudung – tudung yang tidak terjual kepada saudara – mara dan rakan – rakan beliau di facebook.

Perasaan seronok apabila kita memberi adalah satu perasaan yang sangat istimewa bagi kami. Yang tinggal hanya beberapa helai yang paling beliau minati. Itulah yang menjadi kenangan kegilaan kami yang paling manis.

Betullah apa yang dikata, pelaburan yang paling berbaloi ialah pelaburan kepada isteri dan keluarga. Kerana ia telah terbukti akhirnya dapat membantu keluarga kami di saat yang paling kami perlukan di samping dapat menggembirakan hati isteri.

Sumber/Foto : Akhtar Syamir