Terkejut Tengok Baju Perempuan Lain Dalam Bonet Kereta Suami, Sampai Macam Ini Dia Buat Saya..

Assalamualaikum. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kerana sudi mendengar luahan hati saya. Sudah lama saya pendamkan hal ini dan keadaan menjadi lebih serabut.

Saya berusia 32 tahun, sudah berkahwin dan dikurniakan dua anak orang. Suami dahulunya bekerja tetapi kini senang bekerja sendiri. Saya bekerja di sebuah syarikat swasta. Allah memudahkan urusan perkenalan kami dan seterusnya diikat dengan ijab dan kabul. Alhamdulillah, segalanya direstui keluarga. Awal dahulu, saya menyangka ikatan suci ini akan terus disinari dengan kebahagiaan tetapi kadang kala kita tersilap perkiraan kerana ombak taufan itu sentiasa datang tanpa disangka-sangka.

Masalah rumah tangga saya bermula bila mana suami sering balik lewat. Bila ditanya, katanya ada urusan kerja dan cari job. Awalnya saya percaya kerana saya dengar cerita daripada rakan-rakan lelaki, bukan mudah mencari pelanggan. Tapi rupanya kebenaran dan kepercayaan saya dihanguskan oleh suami yang membuat onar di belakang.

Bermula dari seorang wanita yang datang memaklumkan dia menjalin hubungan cinta dengan suami, kala itulah saya rasa bagai kepala dihentak dengan batu. Saya benar-benar terpana dengan tindakan suami dan tak menyangka dia buat onar di belakang saya. Bila kami bergaduhkan hal ni, suami janji tak akan buat lagi.

Kejutan Dari Bonet Suami

Rumah tangga kami aman tapi cuma seketika. Kali ini suami buat hal lagi dan saya jumpa pakaian dalam wanita dalam bonet keretanya yang selama ini dia kedekut ingin beri pinjam. Kebetulan kereta saya rosak dan dia tiada hal di luar. Entah kenapa saya tergerak hati untuk membuka bonet keretanya sebaik pulang kerja pada sebelah petang dan saya hanya mampu mengucap panjang.

Saya simpan semuanya sebagai bukti kerana saya mahu tunjuk pada suami apa yang dia telah lakukan. Balik ke rumah, suami yang sedang menonton TV terus saya serang kerana hati saya memang telah terluka sangat-sangat. Rupanya janji suami hendak berubah palsu semata-mata. Dia kembali kepada bekas kekasihnya dan mereka telah bersama sejak sekian lama dan kali ini lebih teruk kerana hubungan mereka sudah seperti suami isteri.

Sebab itulah dalam keretanya ada pakaian dalam wanita tersebut. Kami bergaduh besar. Saya halau suami kerana terlalu geram dan saya hempas pintu selepas dia melangkah keluar itu.

Rupanya selepas suami keluar rumah, dia menyewa dengan temannya. Sepanjang tidak serumah dengannya, timbul perasaan kasihan kepada dirinya dan saya masih mengharapkan dia kembali kerana saya fikirkan anak-anak yang masih kecil dan memerlukan pemerhatian dan kasih sayang dari bapanya. Masa yang sama, saya ingatkan drama hubungan mereka ini sudah selesai tetapi kali ini bekas kekasihnya telah menyerang saya pula.

Wanita Itu Mahu Suami Ceraikan Saya

Dia menuduh saya cuba merampas kebahagiaannya malah dia juga menghantar teks lucah perbualan antara dirinya dan suami. Apa yang mengejutkan, wanita ini rupanya sudah mengandungkan anak suami dan kerana itulah dia bersikap begitu kerana kalau boleh dia mahu suami menceraikan saya dan bolehlah dia hidup bahagia berdua.

Memang perempuan itu tidak tahu malu dengan perbuatan dan sikapnya itu. Dari pernah ada rasa sayang, timbul jadi benci dengan sikap suami. Kenapa dia buat saya begini kalau sudah tahu ada kekasih dan kenapa dia mahu berumah tangga kalau tahu hatinya sudah ada pada orang lain.

Saya ada bertanyakan suami mengenainya dan katanya dia sendiri tidak tahu kenapa dia boleh sayang wanita itu lebih-lebih dan mengetepikan saya sedangkan katanya dia memang terlalu cintakan saya dan sanggup melupakan kekasihnya itu.

Saya persoalkan tentang anak dalam kandungan wanita itu dan katanya dia akan suruh gugur. Begitu mudah jawapan suami dan saya rasakan dia tiada tanggungjawab. Otak saya semakin buntu dan saya bengang dengan semua jawapannya. Bantulah saya!

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI