Tiada apa yang lebih menggembirakan seorang anak apabila dapat membahagiakan hati kedua mak ayah tercinta. Terharu sungguh melihat video yang dikongsikan oleh pelakon Emma Maembong atau nama sebenarnya, Fatimah Rohani Embong, 26, membuat kejutan istimewa buat ayah tersayang, Ismail Embong, 70, dengan menghadiahkan sebuah kereta mewah yang selama ini menjadi idaman ayahnya.
Menurut pelakon Awak Suka Saya Tak ini, kejutan istimewa itu adalah bersempena dengan hari jadi ayahnya baru-baru ini.Emma berkongsi detik istimewa itu di laman Instagram miliknya, serta ada meluahan perasaan bagaimana dia mula bekerja semenjak umur 15 tahun untuk membantu bapanya sebagai seorang pelukis.
“Dari kecik kawan-kawan mesti cerita “ ayah aku CEO”, “ayah aku kerja besar”, “ayah kau Emma cuma pelukis je. Boleh hidup ke? Kau pula tak sekolah macamana mana nak jaga ayah kau.
“Dari umur 15 dah mula berkerja untuk bantu ayoh. Belajar membaca sendiri, belajar erti hidup. Bila kita berjalan banyak benda perlu berlajar sendiri. Banyak cabaran dan dugaan tapi apa-apa pun yang jadi usaha paling penting.
“And This is for you ayoh. Thank you sebab jaga Tima dengan baik. Dari kecil sampai besar. Tima cuma nak ayoh dan mama bangga dengan Tima. Hope you like. Love you so much ayoh,”
A post shared by EmmaMaembong (@emma_maembongofficial) on
Ads
Setahun Kerja Keras Kumpul Duit
Emma Maembong berkata, dia perlu menabung untuk menghadiahkan ayahnya dengan sebuah kereta mewah idamannya. Malah menurut Emma, dia sudah tahu keinginannya ayahnya itu sejak setahun yang lalu.
“Tahun lalu ayah ada naik kereta Mercedes milik kawan saya dan dia sangat suka dengan kereta itu. Tapi memikirkan harga agak mahal, ayah diam sahaja.Sejak itu, saya nekad bekerja keras untuk kumpul duit. Sepatutnya hari lahir ayah bulan April lalu tapi ketika itu wang simpanan saya tak cukup lagi.”
“Alhamdulillah selepas setahun menyimpan, saya dapat hadiahkan kereta itu kepada ayah,” kata pemenang Ratu Telenovela dua tahun berturut-turut ini.”
Ads
Mengulas mengenai kemenangannya pada Sabtu lalu di Anugerah Telenovela 2018, Emma, 26, akui dia masih lagi dalam keadaan yang terkejut kerana tidak menyangka takhta Ratu Telenovela sekali lagi menjadi miliknya.
Ads
“Saya hadir malam itu hanya untuk memberi sokongan. Tidak menjangka sebarang kemenangan pun.Lagipun saya fikir, tak kanlah juri nak pilih saya lagi tahun ini sebab tahun lalu dah menang. Tambahan pula, ada ramai lagi pelakon-pelakon yang hebat.Apa-apa pun saya nak ucapkan terima kasih kepada semua juri kerana memilih saya,” ujarnya.
Emma sebelum ini memang diketahui begitu rapat dengan ayahnya dan sering berkongsi pelbagai aktiviti yang dilakukan bersama ayahnya di laman Instagram. Tahniah buat Emma Maembong, semoga bertambah dimurahkan rezeki kerana membahagiakan ayah tersayang. Pengorbanan orang tua pastinya takkan dapat terbalas namun kita sebagai anak berusahalah untuk berbakti dan menggembirakan hati mereka dengan dengan apa juga cara selagi mereka masih bernyawa.
Biarpun kerajaan memberi kelonggaran kepada sektor industri perkhidmatan gunting rambut beroperasi semula dengan bersyarat, namun pemilik The Groomerz Barbershop ini memilih untuk tidak membuka premis perniagaannya sehingga PKP berakhir.
Pengarah Urusannya, Roslan Mohamadmelihat 6 faktor bahaya yang menjurus kepada penularan Covid-19 sekiranya meneruskan operasi seperti biasa. Tentulah beliau sendiri tidak mahu mempertaruhkan nyawa 50 orang pekerjanya.
6 SEBAB KENAPA SAYA TAK NAK BUKA BARBERSHOP SAYA
Masa kerajaan umum barbershop adalah industri yang dapat izin untuk buka saya la insan paling melompat gembira sekali.
Saya pengarah urusan kepada 7 rangkaian The Groomerz Barbershop dengan 50 Barber dan kakitangan pengurusan di bawah saya.
Tapi bila fikir dalam-dalam, saya putuskan untuk tak buka Barbershop saya tu sebab :
1. Kes barber meninggal di Mississippi.
Rupanya dah ada kes barber meninggal sebab positif Covid 19 ni di Mississippi . Fuhh dibuatnya asbab saya buka Barbeshop saya ni dan ada barber yang meninggal. Tak boleh nak bayang tu. Seram!
2. Susah nak jaga jarak 1 meter.
Walaupun barbershop kami luas, rasanya tak jamin nak duduk jarak 1 meter. Satu lagi, mustahil jugak tu nak jaga jarak sebab nak gunting rambut orang ni perlukan ‘physical contact’
3. Kita tak tahu siapa positif covid,
sebab ada je yang positif tapi takde simptom. Memang dah ada kajian ada je Carrier ataupun pembawa Covid 19 ni yang nampak sihat takdak simptom tapi badan penuh virus Covid.
Haaa kalau bab ni, saya macam tak jamin barber boleh bertindak macam kat klinik.
Dengan tambahan kos untuk penyediaan peralatan tu semua, dengan masa operasi yang dihadkan. Memang tak berbaloi tuan puan.
Customer pun kebiasaannya nak cepat.
5. Nak jaga nyawa pekerja. Duit tak boleh beli nyawa.
Saya baca semua komen netizen. Beribu komen. Yang paling win ialah… “boleh buka tapi siapkan kain kapan ya, eh dia tak pakai kain kapan tau, dia pakai bungkus plastik putih je kalau nak kuburkan pesakit covid ni…”
Fuhh terkedu saya.
Saya bayangkan anak isteri dan keluarga barber.
Mungkin juga anak isteri customer.
Mungkin juga anak isteri saya. Nauzubillah
6. Saya fikir inilah masanya saya kena berkorban untuk rakyat Malaysia.
Biarlah saya rugi ratusan ringgit sehari pun demi nyawa seluruh rakyat Malaysia.
MW : Rakyat Malaysia sudah pun memasuki fasa 3 PKP, sudah alang-alang berperang #DudukRumah biarlah menang bersama-sama barisan frontliners yang tak sesekali berputus asa. Elak tersungkur sebelum waktunya. Kerana rantaian Covid-19 ini haruslah diputuskan.
Sumber/Foto : Roslan Mohamad, Akem Ashaari Pemilik The Groomerz Barbershop
yang sayangkan Malaysia
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Mak-mak mula berleter ni biasanya sebab dah tak tahan anak ulang kesilapan yang sama. Tetapi yang menyakitkan hati, leteren itu seolah-olah tak ada kesan. Umpama masuk telinga kanan keluar telingan kiri. Agaknya apa yang silap dalam situasi ini sebenarnya?
Haaa… jawapannya ada dalam kupasan Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK), Noor Afidah Abu Bakar kali ini. Jom semak…
MASUK TELINGA KANAN KELUAR TELINGA KIRI.
SOALAN:
“Puan, orang cakap kalau kita mahu sesuatu itu melekat di hati dan ingatan anak, kita perlu ulang banyak kali, barulah anak ingat, barulah anak buat. Saya dah letih berleter, kadang-kadang sampai naik angin hilang sabar tetapi anak tidak buat juga. Tidak disuruh, tidak dibuat.”
KENAPA KITA BERLETER?
*Ada yang berleter kerana kita juga dileteri suatu masa dahulu. Itu sudah menjadi budaya dan amalan keibubapaan dalam keluarga.
*Ada yang berleter sebab tidak tahu cara lain untuk menyampaikan apa yang terbuku di hati.
*Ada yang berleter untuk memberi arahan kepada anak yang tidak mahu patuh.
*Ada yang ingin menunjukkan kuasa dan otoriti walaupun berleter itu seringkalinya masuk telinga kanan keluar telinga kiri.
*Ada yang berleter sebab rasa panik, kaget dan bersalah dengan diri sendiri. Untuk menutup kegusaran itu maka leteran digunakan.
*Ada yang takut anak mengulangi kesilapan yang pernah kita dilakukan maka cara yang terbaik adalah berleter untuk menutup rasa tidak selamat yang dirasakan.
Kebanyakannya berleter kerana itu adalah cara yang paling cepat dan mudah untuk ‘memaksa’ anak menurut kata tanpa perlu banyak usaha dan perancangan.
Adakah leteran berkesan untuk jangkamasa panjang?
Seperti dalam soalan di atas, selalunya tidak. Ia hanya berkesan ketika saat itu saja.
Perangai yang sama akan diulangi. Anak akan menunggu leteran sekali lagi. Selagi tidak dileteri, selagi itulah perbuatan yang sama diulang.
Perbuatan diulang, berleter lagi. Berleter lagi, perbuatan diulang.
Ia menjadi satu kitaran yang tidak sudah, tidak efektif dan tidak produktif.
Leteran akhirnya menjadi irama dan lagu yang hanya membuai dan mendodoikan tanpa kesan pada anak.
KENAPAKAH LETERAN TIDAK BERKESAN?
Leteran adalah proses mencari silap bukannya proses memperbetulkan kesilapan.
Ia hanya memfokuskan pada apa yang buruk dan apa yang salah pada anak sahaja. Pernahkah dalam leteran itu kita selitkan perkara yang positif yang dilakukan anak?
Tidak bukan? Ataupun jarang-jarang sekali.
Selalunya kita hanya semburkan apa yang negatif sahaja seolah-olah tiada langsung yang baik pada anak. Selalunya kita guna istilah yang ekstrim.
“Kamu tidak pernah….” “Selalu macam ni…” ”Dah berapa kali dah…”
Semua yang ekstrim negatif sahaja dan langsung tidak ada yang positif.
Anak akan berhenti mencuba untuk berubah dan menjadi baik kerana usaha kecil mereka tidak ada nilainya di mata ibubapa di kala berleter.
Kaedah yang lebih efektif untuk membentuk tingkah laku yang baik adalah bukannya mencari silap tetapi mencari kebaikan. Semakin banyak kebaikan yang kita cari, semakin banyaklah kebaikan yang akan kita lihat dalam diri anak.
Ini adalah kitaran positif yang efektif.
Dalam leteran itu juga kita berkemungkinan membuat andaian yang tidak betul dan tuduhan yang melulu tanpa memeriksa terlebih dahulu apa sebenarnya yang menyebabkan sesuatu tingkah laku itu. Ini juga amat mengecewakan anak yang dileteri.
Mungkin harapan kita terlalu tinggi dan anak tidak dapat mencapainya dengan mudah.
Mungkin persekitaran tidak kondusif untuk fizikal anak melakukan apa yang diharapkan.
Mungkin anak tidak faham arahan yang disampaikan kerana cara komunikasi kita tidak kena dengan anak.
Jika inilah sebabnya, maka tidak hairanlah leteran kita masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Tuduhan dan andaian tidak akan terkesan di hati. Ia hanya menyakitkan hati.
APA YANG PERLU DIBUAT SELAIN BERLETER?
Jika kita inginkan kerjasama yang berpanjangan, kita perlukan perancangan. Tidak ada penyelesaian segera dalam proses keibubapaan. Semuanya memerlukan usaha, pertimbangan yang teliti dan kesabaran yang tinggi.
Buat perancangan dengan anak. Jemput anak untuk sama-sama menyelesaikan masalah secara diplomasi. Anak-anak harus diajar kesan dan akibat perbuatan mereka ke atas dirinya, keluarga dan orang sekeliling. Tidak perlu tunggu sehingga anak remaja untuk membincangkannya. Anak kecil juga faham jika kita menggunakan bahasa yang mudah mereka fahami.
Adakan peraturan dalam rumah. Sentiasa berbincang tentang peraturan yang ada. Jika anak tidak ikut peraturan ada kesan dan akibatnya. Ini juga harus dibincangkan dari awal bersama-sama dengan anak bukannya dibuat secara rawak apabila anak melakukan kesilapan.
Kita harus berusaha menjadi ibubapa proaktif yang bersedia sebaik mungkin dengan segala kemungkinan dan bukannya menjadi reaktif dengan leteran dan hukuman yang tidak efektif untuk mendidik.
Pastikan sistem pendidikan di rumah adalah yang terbaik untuk anak menjadi seorang manusia.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Bukan semua perkara boleh dikongsikan di media sosial. Akhir-akhir ini, terdapat segelintir mak ayah yang gemar berkongsi video atau gambar kesilapan anak serta hukuman yang diberikan pada mereka disiarkan di media sosial. Ia dilakukan atas alasan untuk mendidik mereka!
Tanpa sedar fenomena ‘Child Shaming’ ini sebenarnya membuka aib, menjatuhkan maruah dan harga diri anak.Walaupun anak masih kecil, kesannya cukup mendalam dan memberi kesan pada mereka.
Jemput baca perkongsian oleh Puan Noor Afidah Abu Bakardari Parent Connect Consultancy mengenai perkara ini sebagai panduan.
MENGHUKUM ANAK ‘ONLINE’.
Antara mendidik dan meraih populariti.
Dunia sekarang semakin aneh.
Di kala ramai ibubapa menggunakan platform media sosial untuk memuatnaik gambar dan video anak-anak yang bijak, keletah, kreatif, inovatif, cergas, tangkas, kritis, dan positif, ada juga ibubapa yang memuatnaik gambar dan video yang membuka aib anak dan menjatuhkan maruah dan harga diri anak kononnya kerana hendak mendidik anak.
Seorang ibu dari Alaska yang dikenali sebagai ‘hot sauce mom’ telah dibawa ke muka pengadilan kerana telah memuat naik video dirinya yang sedang menuangkan sos pedas ke dalam mulut anak sebagai hukuman kepada anak yang berbohong kepadanya. Dia juga memuat naik video menghukum anak dengan memaksa anak berdiri di bawah pancutan (shower) air sejuk. Tindakannya memalukan anak dengan mempertontonkannya kepada umum telah menerima kecaman yang hebat.
Adakah kaedah menghukum dan menyiarkan (punish and broadcast) ini efektif dalam mengubah tingkah laku anak?
Apakah benar semua ini dilakukan atas nama disiplin dan kasih sayang ataupun adakah ia dilakukan kerana ayah atau ibu tersebut inginkan perhatian?
Fenomena ‘Child Shaming’
Fenomena ‘child shaming’ atau membuka aib anak ini ternyata semakin mendapat perhatian. Terdapat lebih 30 000 klip video yang memaparkan bagaimana kanak-kanak dimalukan di media sosial oleh ibubapa sendiri atas nama disiplin. Saya lihat ‘trend’ ini juga sudah menular di kalangan ibubapa di negara kita. ‘Trend’ baru ini hangat diperdebatkan kerana ia melibatkan jiwa anak-anak yang masih memerlukan bimbingan dan perlindungan daripada orang dewasa terutamanya ibubapa.
Kesilapan, kenakalan dan kedegilan anak adalah aibnya. Tidak ada manusia yang waras mahu aibnya disebarkan. Cara untuk membimbing kesilapan anak bukanlah dengan mempertontonkan hukuman ke atas anak kepada orang ramai, sebaliknya dengan nasihatinya dan membimbingnya secara tertutup peringkat demi peringkat sehinggalah dia berupaya untuk memperbaiki dirinya.
Menghakis Kepercayaan Anak
‘Shaming’ meninggalkan kesan yang mendalam dalam diri kanak-kanak. Kaedah ini mungkin berkesan untuk jangkamasa yang pendek selama mana ibubapa masih ‘memegang kuasa’. Walau bagaimanapun luka yang dipendam anak boleh menghakis kepercayaan anak kepada ibubapa sedikit demi sedikit sehingga terhakisnya hormat.
Ibubapa adalah satu-satunya insan yang dipercayai anak sejak dia lahir. Walaupun satu dunia berpaling tadah, kita tahu ibubapa kita tetap akan mempercayai dan menyokong kita. Jika kepercayaan itu hilang dari dalam jiwa anak disebabkan sikap ibubapa yang gemar membuka aib anak untuk dipertontonkan kepada umum, bagaimanakah rasanya kepercayaan anak itu terhadap nilai dirinya sendiri?
Anak Rasa Terhina
‘Shaming’ bukannya kaedah yang kreatif untuk mendisiplinkan anak, sebaliknya ia merupakan satu kaedah yang destruktif. Anak yang merasa terhina akan memekakkan telinga kepada sebarang perubahan yang diharapkan.
‘Shaming’ menjadi kitaran penderaan (abusive cycle) yang akan diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi, terutamanya apabila ayah atau ibu yang memalukan anak itu berkata “ Abah lakukan (memalukan kamu) semua ini kerana sayangkan kamu.”
Mak Ayah Patut Lindungi Anak
Hakikatnya, kasih sayang sebenar akan mendorong ibubapa untuk menutup dan menjaga aib dan harga diri anak-anak. Kasih sayang seharusnya menjadikan kita ibubapa yang melindungi anak, bukannya ibubapa yang memberi ruang kepada mereka yang tidak mengetahui duduk perkara sebenar untuk mengecam dan mengeji anak kita.
Walaupun mungkin kaedah membuka aib anak ini menjadi amalan sejak turun temurun tetapi media sosial memberi impak negatif yang lebih besar kepada anak kerana aibnya ditonton oleh ramai orang termasuk yang langsung tidak mengenali si anak.
Kesan memalukan anak di media sosial berbeza dari kesan menceritakan ‘kenakalan’ anak kepada Mak Piah atau Pak Usop sebelah rumah yang kita percayai untuk meminta nasihat. Penceritaan kepada Mak Piah dan Pak Usop mungkin mencapai capaian hingga tangga rumah sahaja tetapi capaian media sosial merentasi hingga hujung benua, dari kutub utara ke kutub selatan.
‘Digital Footprint’ Anak
Di mana anak mahu meletakkan mukanya?
Anak kecil juga mempunyai maruah dan harga diri.
Kawan-kawan mengejek dan orang sekeliling memandang sinis kepadanya.
Aib ini akan timbul kembali dari masa ke semasa seumur hidup anak kerana ia sudahpun menjadi ‘digital footprint’ anak yang tidak akan boleh dipadamkan lagi.
Tidakkah kita kisah?
Kadang-kadang dalam kita beria-ia membuka aib anak, dalam kita teruja memperolehi banyak ‘like’ dan ‘share’ di media sosial, dalam kita berbangga kerana kita dianggap oleh segelintir pihak sebagai ibubapa yang berjaya mendidik anak kerana menghukum anak, kita tidak sedar yang kita sebenarnya membuka aib diri kita sendiri kepada mata dunia.
Jika ibubapa perlu bergantung kepada kaedah membuka aib anak di media sosial supaya diadili oleh orang asing, itu bermakna ibubapa itu sendiri tidak pandai menguruskan anak-anak dan keluarga hingga menyebabkan anak menjadi susah dikawal.
Kenapa harus dipertontonkan aib kita, anak-anak kita dan keluarga kita secara sukarela kepada orang ramai sedangkan Allah SWT sentiasa menutup aib kita.
Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat dan dijadikan panduan buat para mak ayah dalam mendidik anak-anak. Bukan semua perkara perlu dikongsikan di media sosial, apatah lagi mengaibkan dan memalukan anak sendiri.
Selebriti wanita popular, Yana Samsudin rupanya bukanlah berasal dari keluarga senang. Mengimbau kembali perjalanan hidup dari zaman kecil yang penuh kepayahan, ibu kepada tiga...