Kini, dah tak perlu risau lagi nak bagi anak makanan berproses seperti nugget sebab mak-mak dah boleh buat sendiri nugget ayam dirumah yang lebih diyakini sihat, berkhasiat dan paling penting bebas perasa tambahan MSG.
“Berikut merupakan perkongsian resipi oleh Puan El Musliha Katiman, cara untuk buat sendiri nugget ayam di rumah. Anak-anak mesti suka”.
(Agen Pelekat)
5 keping roti putih
1 gelas susu segar
(Bahan Perasa)
3 ulasbawang putih (cincang)
1 biji bawang merah (cincang)
1 sudu teh serbuk lada putih
1 sudu teh baking powder
1 sudu teh garam (*sis guna garam bukit)
1/2 sudu teh oregano kering BELI DI SINI
1/2 sudu teh thyme kering
1.Ini lah hero utama untuk resepi kita.Nama pun nugget ayam kan. Mesti la kena guna ayam.Buang kulit, tulang dan bersihkan dada ayam.
2.Selepas itu potong kecil-kecil.. sekecil mungkin ya puan-puan.Sebab sis takde food processor nak hancurkan isi ayam ni.Sis guna alatan secara manual je. Sis cincang guna pisau a.k.a parang kontot. Sis cincang zas.. zas.. zas.. ala-ala kungfu sampai lumat dan halus.
3.Potong kecil-kecil atau koyakkan roti dan tuangkan susu ke atas roti. Biarkan seketika kasi mesra dan kembang.
4.Selepas itu hancur-hancurkan bancuhan roti + susu tadi sampai lumat.Tak perlu letak bahan pengawet/serbuk perasa tiruan/tambahan/msg/ajinomoto yang sewaktu dengannya.
Ads
5.Campurkan semua sekali.Ayam + bancuhan roti + bahan perasa, gaul sehingga sebati.
6.Kemudian, ambil loyang atau owang kedah cakap pelengat atau periuk yang boleh diguna untuk mengukus.Sapukan minyak masak skit untuk elakkan berlakunya tragedi melekat di sana sini.
7. Sediakan pengukus, kukus 25 – 30 minit dengan api besar, kemudian matikan api dan biarkan sejuk.
Ads
8. Dah sejuk keluarkan dan sedia untuk dipotong.
9. Potonglah ikut suka hati uolss..nak bentuk bintang ke bentuk doraemon ke.. suka suka uolss la.. sis x mahu nak susah2 diri.. sis potong macam kat dalam gambo tu je.. senang!
10.Kacau telur, masukkan potongan ayam yang kita kukus tadi dalam telur, kemudian salutkan ke dalam tepung, celupkan sekali lagi kedalam telur dan akhir sekali golekkan ke dalam serbuk roti sampai padat. Siap!
Simpan dalam bekas berpenutup. Susun rapat-rapat.Sedia untuk disimpan. Masukkan dalam peti sejuk kat bahagian beku semalaman.
Sedia untuk digoreng.
Rohingya ini kelompok minoriti Islam di Myanmar. Ketika anda membaca tulisan ini ada sekujur tubuh tanpa dosa sedang dizalimi, dibakar hidup-hidup, wanitanya dirogol tanpa belas sebelum dibunuh dengan kejam. Air mata kesengsaraan Rohingya kembali menyentak hati kita yang belas.
Anda yang masih belum faham sepenuhnya. Jangan cepat menghukum, apa yang berlaku ke atas kaum Rohingya sama seperti apa yang berlaku ke atas kaum Muslim Bosniak di Bosnia (1995). Ini petikan tulisan Ayman Rashdan Wong, PTD at Federal Government of Malaysia. Lanjutkan pembacaan anda agar lebih jelas dan sedar betapa kroniknya isu berkaitan Rohingya ini.
Sangat rumit. Tapi ramai yang main bedal saja mengulas isu ini tanpa membuat penyelidikan secara menyeluruh.
Ilmu yang sedikit membawa kepada fitnah. Aidil Adha dan hari-hari Tasyriq yang patut menyatukan kita menjadi hari berbalah dan menyebar dusta. Apa benda.
Ada tulisan tular yang kata Rohingya ini tidak “deserve” bantuan kita kerana mereka berperangai buruk.
“Kalau etnik lain boleh hidup aman damai di Myanmar kenapa Rohingya tak boleh? Mesti perangai Rohingya sendiri yang suka duduk dalam kepompong sendiri menolak asimilasi kan? Cuba tengok perangai mereka dekat Selayang!”
Benda ini bukan boleh pakai logik sahaja bang.
Rohingya dibenci pun bukan kerana faktor agama atau Islamo-fobia semata-mata. Bukan hitam vs putih. Bahaya jika isu ini dibahaskan melalui kerangka konflik agama.
Isu Rohingya adalah contoh klasik kegagalan ethno-nasionalisme yang membawa kepada kegagalan “nation-building”. Rohingya merupakan kumpulan yang dikambinghitamkan dalam masalah ini dan mereka menghadapi penghapusan etnik atau “genocide”.
Rohingya bukanlah pendatang Bangladesh yang sombong seperti yang didakwa. Keadaan Rohingya dan Bangladesh ada persamaan dengan Alam Melayu juga.
Pada asalnya negeri Rakhine (atau Arakan, tempat duduk orang Rohingya) dan Bengal (Bangladesh hari ini) dekat dari segi geografi dan politik, maka berlaku interaksi budaya. Selepas tahun 1785, Arakan ditawan oleh Burma (Myanmar) dan kekal berada di bawah Burma selepas Burma merdeka daripada Britain pada tahun 1948, maka Muslim Arakan dipisahkan daripada Muslim Bengal.
Muslim Arakan atau Rohingya ini pada asalnya boleh hidup dengan etnik Rakhine yang menganut Buddhisme. Namun dasar British yang membawa masuk buruh Bengali menyebabkan Rakhine rasa terancam. Malah semasa Perang Dunia Kedua (1939-1945), Rakhine menyokong Jepun dan Rohingya setia dengan British. Maka berlakulah permusuhan dan episod bunuh-membunuh seperti 14 hari pemerintahan Bintang Tiga di Tanah Melayu.
Rohingya pernah menuntut kemerdekaan agar disatukan dengan Bangladesh. Mereka berjuang secara bersenjata di bawah nama Mujahideen (1947-1961), Rohingya Liberation Party (1972-1974), Rohingya Patriotic Front (1974-1982), Rohingya Solidarity Organization (1982-1998), Arakan Rohingya Islamic Front (1986-1998) dan Arakan Rohingya National Organization (1998 sehingga kini).
Dan bukan Rohingya saja yang tak mahu berasimilasi, berpuluh-puluh etnik yang lain seperti Karen, Mon, Shan, Kachin dan Wa telah mengangkat senjata menentang dasar asimilasi “Burmanization” yang bermula sejak 1960-an selepas kudeta tahun 1962. Nama saja Burmanization tapi pemerintah tentera berat sebelah kepada budaya etnik Bamar dan agama Buddhisme.
Untuk mengambil hati Rakhine (salah satu daripada 4 etnik penganut Buddhisme bersama-sama orang Bamar, Shan dan Mon), Jeneral Ne Win memberi taraf autonomi kepada Rakhine dan tidak mengiktiraf Rohingya sebagai penduduk Rakhine. Malah, sejak tahun 1982 Rohingya dilucut kewarganegaraan di bawah Undang-Undang Kewarganegaraan. Rohingya menjadi “stateless people”.
Pendemokrasian Myanmar sejak tahun 2011 tidak mengubah nasib Rohingya. Parti yang anti-Rohingya, Rakhine Nationalities Development Party (RNDP) memenangi majoriti kerusi di Rakhine. Presiden Thein Sein tiada pilihan selain mengambil hati RNDP dengan membuat cadangan agar orang Rohingya ditempatkan semula, satu cadangan yang ditolak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) kerana menzalimi hak orang Rohingya sebagai penduduk asal.
Thein Sein disokong oleh gerakan sami pelampau seperti Ashin Wirathu, pemimpin Gerakan 969 yang menyebarkan sentimen Islamo-fobia. Gerakan 969 inilah tukang penyebaran propaganda bahawa orang Rohingya adalah pendatang Bangladesh dan menghasut orang Rakhine membunuh orang Rohingya.
Sejak itu pembantaian ke atas Rohingya berlaku pada Jun 2012, Mac 2013 dan Oktober 2016 sehingga kini. Semakin ramai yang meninggalkan Rakhine dan semakin banyak tragedi kemanusiaan yang dilaporkan. Kebanyakan mereka samada mati lemas di tengah laut, atau dirogol dan dibunuh oleh pedagang manusia di Chittagong Hill Tracts di sempadan Rakhine-Bangladesh.
Apa yang berlaku ke atas orang Rohingya menepati ciri-ciri “genocide” yang sistematik: ia bermula dengan “classification” (identiti Rohingya diasingkan daripada rakyat Myanmar), kemudian “dehumanization” (969 panggil Rohingya sebagai anjing), “organization” dan “polarization” (orang Rakhine dihasut dan diberi senjata), “extermination” (bantai) dan “denial” (penafian berlakunya pembantaian).
Apa yang berlaku ke atas Rohingya sama seperti apa yang berlaku ke atas kaum Muslim Bosniak di Bosnia (1995), kaum Darfur di Sudan (2003-kini), Tutsi di Rwanda (1994), Yahudi dan Gypsy di Jerman (1942-1945) dan Armenia di Turki (1915-1917).
Situasi ini berbeza dengan Selatan Thailand atau Selatan Filipina di mana genocide tidak berlaku. Keadaan Rohingya berada di tahap kritikal, di ambang pembinasaan (annihilation).
Bermula tahun 2016 Rohingya menubuhkan tentera mereka sendiri, Arakan Rohingya Salvation Army (ARSA) untuk melindungi mereka. Maka bertambah kukuh lah dakyah 969 bahawa Muslim Rohingya ini golongan teroris. Lagi senang tentera Myanmar dan militia Rakhine menjalankan kerja mereka. Pada 25 Ogos 2017 baru-baru ini, ARSA diisytiharkan sebagai kumpulan teroris oleh kerajaan Myanmar dan itu menjadi antara punca kemarahan orang Rohingya baru-baru ini.
Siapa kata Rohingya tak berusaha untuk mengubah nasib sendiri? Tapi mereka ni tak lawan mati, lawan pun mati. Nasib orang Rohingya baru betul-betul tersepit.
Fakta-fakta ini boleh diperolehi daripada dokumen-dokumen UN, UNHCR, Amnesty International, Human Rights Watch dan banyak lagi. Jenayah terhadap Rohingya dibentangkan dalam sesi demi sesi di UN.
Tan Sri Razali Ismail, wakil Malaysia di UN adalah antara sosok yang aktif dalam aktiviti ARNO yang berpangkalan di London. Jadi, apa yang cuba dinafikan tentang genocide ke atas Rohingya di Myanmar? Ada ke patut mangsa genocide dipersalahkan?
Kenapa dunia tidak mahu bersuara membela Rohingya?
Kerana Myanmar ini negara yang sensitif. Kedudukannya strategik dari segi geo-politik. Myanmar pro-China, jadi kuasa-kuasa Barat (US, EU) dan India cuba kurangkan kritikan terhadap Myanmar agar ia berpaling tadah daripada China. Tapi kalau semua kuasa-kuasa besar termasuk China hatta ASEAN kutuk Myanmar sekali pun, Myanmar boleh saja tutup pintu dan amalkan dasar isolasi. Masalah tetap tidak selesai malah lagi mudah mereka nak bantai Rohingya sampai habis.
Keadaan ini berbeza dengan krisis di Bosnia atau Sudan di mana kerajaan mereka lebih “vulnerable” dengan kecaman kuasa-kuasa besar.
Nak harapkan Bangladesh yang “serumpun” dengan Rohingya? Bangladesh antara negara termiskin di dunia. Kecil dari segi ekonomi dan ketenteraan. Tak mampu nak melindungi Rohingya secara infiniti.
Dan kita pun tak mampu untuk membantu pelarian Rohingya buat selama-lamanya. Mereka yang menyuarakan keresahan tentang kehadiran Rohingya pun tidak salah sepenuhnya. Tak salah juga kalau nak mendahulukan kepentingan negara lebih daripada kemanusiaan. Tak salah.
Pada asalnya tak timbul isu pun. Orang Rohingya tak minta bantuan tambahan. Orang Rohingya tak minta nak jadi warganegara Malaysia. Orang Rohingya cuma membantah kekejaman ke atas mereka di hadapan Kedutaan Myanmar. Keadaan hilang(kawal sedikit, tapi tak seteruk perhimpunan yang dibuat oleh rakyat tempatan.
Ia menjadi asu apabila ada orang cuba menghasut agar membenci Rohingya. Kalau tak nak bantu pun tak apa, tapi amat zalim jika “whitewash” jenayah kemanusiaan yang dilakukan ke atas Rohingya dengan “half-knowledge”.
Kalau betul-betul prihatin dengan isu ini, baik consult pakar seperti Dr. Jatswan Singh (guru saya) di Universiti Malaya yang lebih 20 tahun mengkaji politik Myanmar dan masalah Rohingya.
Kalau setakat mengulas dengan emosi dan “half-truth”, atau nak mengaitkan pengalaman “saya dan Rohingya” masing-masing, sampai kiamat pun tak selesai.
(malas nak tulis lebih panjang dan teliti. Orang bukan nak baca pun, yang penting saya #macai makan #dedak yang tak pernah duduk dengan orang Rohingya)
— United Nations High Commissioner for Human Rights, “Situation of Human Rights of Rohingya Muslims and other Minorities in Myanmar” (20 Jun 2017)
— United Nations Human Rights Office of the High Commissioner, “Report of OHCHR Mission to Bangladesh: Interviews with Rohingyas Fleeing from Myanmar since 9 October 2016” (3 Februari 2017)
— Azeem Ibrahim, “The Rohingyas: Inside Myanmar’s Hidden Genocide” (2016).
— Human Rights Watch, “All You Can Do is Pray: Crimes Against Humanity and Ethnic Cleansing of Rohingya Muslims in Burma’s Arakan State” (2013)
— Su-Ann Oh, “Rohingya or Bengali? Revisiting the Politics of Labelling” (Insitute of Southeast Asian Studies, 2012).
Sumber/Foto: FB Ayman Rashdan Wong, CBC.co via Mingguan Wanita
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Luahan Nedim Nazri Aziz, suami kepada Nora Danish di instagram jelas menunjukkan rasa kecewa di hatinya apabila dia tidak dibenarkan berjumpa anak hasil perkahwinan pertamanya iaitu Mohamed Nedrin atau Dre.
Nedim menerusi laman sosial Intasgram memuat naik foto bersama isterinya, Nora Danish memberitahu, dia sudah membawa perkara itu ke mahkamah bagi menuntut hak penjagaan sebagai seorang bapa.
“Kepada anak saya Nedrin, ayah mahu awak kuat, ayah mahu awak sihat dan gembira. Hanya Allah mengetahui betapa ayah merinduimu. Tapi tidak mengapa, ayah berjanji tidak akan merosakkan nama kamu ke dalam masalah ini, ayah lakukan ini selepas tidak diberi peluang untuk hubungi dan bercakap dengan kamu.
“Hari ini adalah hari pertama ayah ke mahkamah dan berjanji apa yang ayah mahu ialah separuh hak penjagaan untuk meluangkan masa bersama kamu. Ayah tidak meminta hak penjagaan penuh kerana ayah tahu yang terbaik untuk kamu untuk dibesarkan dengan kasih saya ibu dan bapa,” tulisnya.
Nedim bersedia dan reda apa juga keputusan yang akan ditentukan oleh mahkamah tidak lama lagi, sekurang-kurangnya dia mempunyai bukti bahawa dia telah berusaha memperjuangkan haknya sebagai seorang bapa kepada kanak-kanak itu.
“Saya sentiasa mendengar lagu-lagu kegemaran kami bersama iaitu You Are My Sunshine bagi mengubat kerinduan. Itu sahaja yang membuakan ayah berada dekat dengan kamu. Ayah juga berjanji akan terus memperjuangkan hak untuk menjaga kamu,”ujarnya.
Sementara itu, menerusi Instastory, Nedim menulis luahan seakan-akan ada pihak yang cuba menjauhkan dia dengan darah dagingnya.
“Bismillah, ya Allah, kau tahu yang sebenar dan terbaik, aku reda dan serahkan padamu, manusia jahat yang cuba ingin menjauhkan anak dari darah dagingnya adalah perbuatan keji,”tulisnya.
Nedim sebelum ini pernah berkahwin dengan seorang wanita yang dikenali sebagai Nabilah Khan pada 2011 dan berpisah pada 2013. Pasangan itu dikuniakan cahaya mata iaitu Nezrin berusia lima tahun.
Dia kemudian dengan Nora Danish pada 30 Mac lalu selepas tiga tahun bercinta.
Nora sebelum ini pernah berkahwin dan dikurniakan seorang anak lalaki Putera Rayqal berusia lapan tahun.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Apabila pihak polis berjaya memberkas perbuatan kejam anak-anak remaja yang membakar pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah sehingga mengorbankan 23 nyawa, Tragedi ini seakan satu tamparan buat negara. Ramai tergugah dengan penemuan demi penemuan yang memilukan dan menyesakkan jiwa.
Salah satu perkara yang membawa pada sifat ganas ini adalah anasir yang telah lama wujud dalam kalangan kita; rokok dan dadah. Sukar sekali mahu membanterasnya. Bertahun-tahun.. bermacam-macam cara.. ia tetap ada.
Malah sehingga artikel ini diketuk, pasti masih ada yang berhadapan dengan kemelut dadah ini. Apa solusi mak ayah untuk tidak membenarkan, menghalang anasir jahat ini singgah ke pintu rumah anda.. masuk ke jiwa anak anda.
Realiti pedih sebeginilah yang dihadapi Puan Nadia Hazmi,Pegawai Anti Dadah di AADK Daerah Kuching, Sarawak. Tiga keping gambar berbicara dengan perjalanan cerita yang menyeksakan jiwa. Anda baca dan tafsirkan sendiri.
Dan andai ada dari kalangan insan yang anda kenali terjebak dengan najis dadah, jangan pinggirkan mereka. Bawalah mereka ke tempat pemulihan yang boleh membantu mengembalikan kembali hidup normal penagih.
Dipakaikan kemeja kotak-kotak, dipakaikan T-shirt belang. Ibu bapakah yang memilih warnanya? Salah guru / sistem pendidikankah yang mengarah baju itu ditukar seragam sekolah lalu menukar warna peribadi si anak? Atau salah agensi yang lemah mentadbir penguatkuasaannya. Atau nak salahkan Najib juga.. Gambar di bawah ini ada ceritanya.
Tugas kami dalam pemulihan dadah ni tak sama seperti pejabat-pejabat yang lain, apa yang disantuni saban hari tak seperti yang dihadapi yg lain. Insan-insan yang melangkah masuk melapor diri bukanlah orang ‘biasa’ untuk perhatian yang biasa-biasa. Siapa yang kami santuni adalah realiti tenatnya masyarakat kini yang jarang tampak di mata awam. Apa yang Kak Nad nak kongsi hari ni, tentang REALITI YANG PEDIH.
Remaja ini ditahan kerana aduan dari keluarganya sendiri kerana tidak tahan melihat keadaan si anak. Kesan penagihan yang tidak dapat lagi dikawal. Hadir ibu dan bapanya yang kami yakin dari kategori orang yang baik-baik.
Jelas kelihatan di gambar, ada dua tangan yang menggenggam erat tangan si anak. Itu adalah tangan ibu dan bapanya yang bercucuran air mata merayu pada anak mohon anak berubah.. berhenti menagih. Air mata ibulah yang paling banyak tumpah di sini.
Salah ibukah yang melahirkan dia? Tanya diri..
Lihat senyuman anak kecil ini, senyuman paling naif, polos dan suci. Dia tidak mengetahui apa-apa sedangkan ibunya sedang ditahan untuk siasatan, untuk menjalani pemulihan.
Bila Kak Nad soal si kecil ini, mak mana? ‘Mak makan dadah’ Sambil masukkan gula-gula dalam poket bajunya. Allah sahaja yang tahu koyaknya hati ni mendengarnya.
Seusia anak sendiri, 3 tahun. Si kecil ini sudah mampu bicara ‘dadah’. Kata si ibu, si kecil ini jugalah yang kerap merayunya dengan kata-kata.. “Mak, Janganlah makan dadah lagi..” Tapi, apa ibu peduli?
Lihat senyuman ini, tahukah anda anak ini baru sahaja lepas menangis sehabis hati selepas ditampar kuat neneknya di pipi hanya kerana membuat bising di pejabat ini.
Kak Nad bawa masuk ke bilik dan pujuk dengan gula-gula. ‘Ini sahaja yang termampu nak.. tenangkan jiwamu..’ sambil hati menangis mengenang nasibmu.
Salah anak inikah dilahir ke dunia? Baru lihat senyumannya hati mampu cair, belum lagi ditenung mata sifar dosanya. Apa andaian anda yang bakal terjadi padanya membesar seperti itu, dengan ibu itu. Dalam keadaan itu.. nauzubilahuminzalik.. Moga Allah lindungi dia.
Sewaktu pameran di sebuah kampung, selesai ceramah untuk orang awam datang si kecil ni.. 5 tahun, pra sekolah katanya. Datang pada Kak Nad, “Kak.. dadah tok lah dimakan bapak kamek” (bahasa Sarawak) “Kak, dadah ni la yang ayah saya makan”.
Ada kat rumah, sambil tunjuk gambar dadah dan jarum suntikan dari brosur yang diambil dari pameran kami.. Allah.. 5 tahun usianya sudah kenal dan lihat dengan mata sendiri dadah keji itu.
Kak Nad tanya apa yang adik buat dengan barang-barang ni kalau jumpa. “saya ambil bawa main dengan kawan, suntik kat ikan, tanam dalam tanah”..
Ini realiti dan hakikat anak kita, generasi kita. Kita hanya diam. Menang di papan kunci. Hanya menunding jari. Salah dia salah ibubapa, salah guru, salah agensi salah menteri. Tapi apa salah kita? Sebenarnya salah siapa?