viral

Hari ini, apa saja tindakan masyarakat, pasti akan menjadi viral. Potong kereta viral, kes rompak viral, artis bercerai viral, hatta memanjat tembok juga viral. Kedengarannya apa yang salah pada hal ini? Memang orang itu membuat salah! Betul pelakunya membuat salah tetapi apa salah dia pula kepada kita? Kita melontarkan kata-kata nista, maki hamun seolah-olah itu dosa besar yang Allah langsung tak boleh memaafkan?

Allah berfirman dalam Surat Al Hujarat ayat 12 yang ertinya: “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari prasangka, kerana sesungguhnya sebahagian dari prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan aib orang lain; dan janganlah kamu mengumpat sebahagian yang lain. Apakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? Maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, jauhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.”

Disebut juga Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang ertinya: “Wahai orang yang beriman dengan lisannya, tetapi tidak beriman dengan hatinya. Janganlah kamu mengumpat kaum muslimin dan janganlah mengintip aib mereka, maka barang siapa yang mengintip aib saudaranya, nescaya Allah akan mengintip aibnya dan siapa yang diintip Allah akan aibnya, maka Allah akan membuka aibnya meskipun dirahasiakan di lubang kendaraannya.” (HR. at-Tirmidzi).

IKLAN

Cuba baca dan fahami ayat al-Quran di atas dan saya percaya pembaca dapat memahami apa yang saya ingin kongsikan di ruangan ini. Sebagai hambanya, terlebih dahulu saya meminta maaf di atas apa yang saya kongsikan ini kerana ini cumalah pandangan saya sahaja!

Hari ini, kita terlalu bebas mengaibkan sesama muslim sedangkan semua muslim-muslim itu bersaudara. Ada ketika kita begitu beriya-iya tentang bangsa, menyebut ayat-ayat yang kurang enak kedengaran sedangkan kalau kita berbuat baik, mana tahu suatu hari nanti bila hati mereka dicampakkan dengan hidayah, mereka juga akan bergelar saudara sesama muslim kepada kita. Bukankah itu satu kemenangan kerana semakin ramai saudara Islam di dunia ini. Tetapi kerana sikap diri kita yang terlalu membanggakan keturunan kita terus memperlekehkan bangsa orang lain pula.

IKLAN

Tahukah, dosa mengata ini takkan pernah terpadam kalau kita tak bertemu dan meminta maaf kepada pelakunya sendiri? Andai orang itu duduk dekat-dekat dengan rumah kita, bolehlah kita pergi ke rumahnya dan meminta maaf kerana mengatanya. Tetapi andai kita duduk di Kuala Lumpur dan orang yang kita mengata itu duduk Sabah atau Perlis, rumah pun kita tidak tahu, nama pun hanya baca di internet kerana kesalahan dia lakukan, habis bagaimana kita boleh meminta maaf kepadanya secara bersemuka? Kalau dosa kita dengan Allah, taubatlah dan berdoa, insya Allah, Allah yang maha Pengasih dan Penyayang akan menerima taubat makhluk ciptaannya. Tetapi kalau kita cukup senang mengutuk orang melakukan kesalahan itu kerana aibnya telah dibuka di media sosial, bagaimana kita boleh meminta maaf kepadanya. Ia samalah dengan karipap oksigen yang mana pada permukaannya cantik tetapi dalamnya kosong. Masih boleh dimakan tetapi menjadi umpatan orang. Manusia begitulah juga, boleh lagi hidup tetapi isi dalamnya kosong. Kata orang memang hidup tetapi hidup dengan sebuah kehidupan yang kosong!.

Jujurnya, kebanyakan orang seperti terlalu bangga menayangkan apa yang mereka buat di media sosial. Pantang, ada saja ingin diviralkan dan dikongsikan. Benar apa yang terniat di dalam hati itu hanya Allah sahaja yang tahu namun Allah juga melarang kita bermegah-megah dengan segala apa yang ada.

IKLAN

Mungkin kita pernah mendengar, kaya itu ujian, miskin itu juga ujian! Kaya atau miskin asal kita tidak kufur kepada Allah taala. Sejujurnya, saya semakin takut untuk menulis sesuatu sebegini kerana saya juga insan biasa. Kalau orang lain aktif dengan laman sosialnya (perlu mengikut zaman kata sesetengah orang), saya berlawanan. Adakah saya kolot? Mungkin ya, mungkin tidak kepada yang faham. Ramai orang berkata benda baik perlu diwar-warkan. Ya itu seperti kita faham tetapi kalau begitu, apa maksud di sebalik tangan kanan memberi, tangan kiri tidak tahu?

Untuk artikel sekian kali ini, saya meminta maaf dari hujung rambut ke hujung kaki kalau ada yang saya tulis itu salah di pembacaan orang lain. Seperti saya katakan, saya Cuma insan biasa yang sedang mencuba mencari seberapa banyak kebaikan untuk bekalan di akhirat nanti. Cuma satu pesan saya, janganlah kita terus menjadi seorang yang pendosa! Takut di akhirat kita tak tertanggung. Salam kemaafan dari saya.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI