Pahit manis menetap di Kuala Lumpur, saya kena redah juga supaya tak lupa yang saya dilahirkan dan dibesarkan di ibu kota.
Terlebih dahulu takziah buat semua ahli keluarga pelajar dan guru yang terlibat dalam kejadian kebakaran di Pusat Tahfiz Quran Darul Ittifaqiyah, Datuk Keramat yang menyebabkan 23 orang terkorban.
Sebenarnya tak banyak beza dengan mereka yang lahir di luar bandar. Bezanya sejak kecil saya sudah tinggal di flat DBKL yang kini merupakan tapak pusat beli belah terkenal Mid Valley Megamall hinggalah kami semua dipindahkan ke Apartment Putra Ria.
Sewaktu zaman sekolah rendah dan masih tinggal di flat DBKL suasana kami membesar cukup berbeza walaupun rumah tersebut cuma ada dua bilik namun persekitaran masih menghijau. Bila pindah saja kawasan baru ternyata kami dikelilingi bangunan-bangunan tinggi.
Dari sekolah menengah saya dan rakan baik saya Shereena akan pusing-pusing KL dengan menaiki bas. Biasanya hari Sabtu kami berdua akan ke Pasar Malam Jalan Tuanku Abdul Rahman. Ketika itu kami berdua tak rasa takut sebabnya di KL masih belum ramai pekerja asing yang ada. Kami juga berjalan kaki dari Jalan Tuanku Abdul Rahman ke Puduraya untuk mendapatkan bas pulang ke rumah. Mungkin sebab kami ni dah terbiasa setiap hari balik dari sekolah menengah kami akan berjalan kaki dari Masjid Negara ke Puduraya. Laluan utama kami pada waktu itu sudah pasti Dayabumi dan Central Market.
Itulah bezanya suasana di KL sewaktu saya bergelar remaja dengan kini. Mungkin disebabkan pembangunanan dan pemodenan negara hadirnya ramai warga asing yang kadang-kadang buatkan kita risau tentang tahap keselamatan. Tentang gejala sosial di bandar pula, saya tidak berdepan dengan masalah sebegini mungkin disebabkan cara didikan ibu bapa yang baik membuatkan saya berfikir cara pergaulan yang lebih ke arah positif. Maklumlah saya ni tak berapa banyak kawan sebab saya merupakan seorang yang agak pendiam dan pemalu.
Bila selesai zaman persekolahan saya sibuk pula dengan pengajian di universiti dan kemudiannya saya ke alam pekerjaan dan mendirikan rumahtangga. Cuma selepas bergelar ibu kepada tiga cahaya mata saya dan suami mengambil keputusan untuk tinggal di pinggir bandar dan menikmati kehidupan ala-ala desa.
Sekarang ni setiap hujung minggu anak-anak akan ke kandang kambing (kami baru membela 3 ekor kambing yang usia kambing baru 4 bulan). Setiap petang pula mereka akan bebas bermain bola sepak atau aktiviti riadah lain di depan rumah. Berbeza sewaktu kami tinggal di tengah-tengah bandar mereka tidak bebas keluar rumah dan hanya bermain di koridor rumah. Mungkin ada yang beranggapan budak bandar ni akan menjurus kepada aktiviti sosial namun saya tidak bersetuju dengan pendapat tersebut dan semuanya bergantung kepada didikan dan kewarasan dalam pemikiran.
Senang saja jika ada rakan yang mahu kita melakukan perkara negatif, maksudnya dia bukanlah rakan kita, buang saja dia dari senarai kita agar tidak menyusahkan dan membuatkan kita terjebak melakukan perkara yang memudaratkan. Oklah itu saja perkongsian saya kali ini. Paling penting saya bangga jadi anak jati KL.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI