“Sempat belikan keperluan ke pusat tahfiz.” Bapa ini terkilan anak lelakinya tak sempat pakai jubah dan kopiah yang baru dibeli.
Biar pun sedih, keluarga ini redha dengan pemergian anakanda tercinta yang terlibat dalam kemalangan. MW merakamkan takziah kepada keluarga arwah dan semoga mereka tabah berdepan dengan ujian ini. Al-Fatihah.
“Sempat Belikan Keperluan Ke Pusat Tahfiz.”
“Semalam, kami sempat keluar membeli barang keperluan seperti jubah dan kopiah untuk dibawa ke pusat tahfiz, namun terkilan arwah tidak sempat memakainya,” luah Azahari Abdullah, 55.
Azahari memberi reaksi itu selepas kehilangan anak lelakinya, Muhammad Alif, 17, yang meninggal dunia dalam kemalangan di Kilometer 44, Jalan Merang, Terengganu.
Menurut Azahari, sebelum kemalangan itu berlaku, Muhammad Alif yang belajar di sebuah sekolah tahfiz di Ajil, Kuala Berang keluar berkelah bersama rakan di Hutan Lipur Lata Payung.
Katanya, dia juga sempat berhubung melalui telefon dengan Muhammad Alif pagi hari ini selepas arwah keluar bersama rakannya itu seawal 8 pagi.
Bapa Terkilan Anak Tak Sempat Pakai Jubah Baru
“Ketika berhubung dengannya kira-kira 3 petang, arwah memberitahu sudah dalam perjalanan pulang ke rumah selepas selesai menunaikan solat Jumaat di Penarik, Setiu.
“Allah lebih menyayanginya dan saya reda dengan kejadian ini walaupun tidak sempat menghantar arwah pulang ke sekolah tahfiz esok,” katanya ketika ketika ditemui di lokasi kejadian.
Ads
Azahari yang berasal dari Kampung Tok Jiring, Kuala Terengganu berkata, arwah anak ke empat daripada lima beradik dan seorang anak yang baik serta disenangi keluarga dan rakan.
Sangat Mesra Dengan Adik-Beradik
Malah, katanya, sejak semalam, arwah sangat mesra dengan adik-beradiknya dan tidak menyangka kemesraan arwah itu yang terakhir buat keluarga.
Mengenai kemalangan yang menimpa Muhammad Alif, menurut sumber, ia dikatakan berlaku ketika mangsa bersama beberapa rakan berkonvoi motosikal dalam perjalanan dari arah Penarik ke Kuala Terengganu.
Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal ditunggangi mangsa dikatakan bergesel dengan motosikal rakannya ketika mengelak lubang.
Berikutan itu, sumber berkata, mangsa yang dipercayai meninggal dunia di lokasi kejadian manakala rakannya yang juga berusia 17 tahun dari Kampung Batu Enam, Kuala Terengganu cedera ringan dan dirawat di Hospital Setiu.
Ads
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Setiu Deputi Superintendan Afandi Hussain ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
Katanya, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Setiu untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Mingguan Wanita : Sudah tiba ajalnya, tidak akan terlambat walaupun sesaat. Berat ujian ini, kehilangan anak tersayang bukanlah sesuatu yang mudah untuk diterima, semoga keluarga ini tabah.
Bangkit Wanita Mingguan Wanita
Group khas buat semua wanita B40 dan M40 yang mahu bangkit maju dari kehidupan sekarang menerusi perkongsian tip, promosi kursus anjuran Mingguan Wanita, perkongsian kisah inspirasi wanita. #langkahyakinlakarkejayaan https://t.me/bangkitwanitaMW
Pejam celik, sudah empat tahun pemergian aktor Ashraf Sinclair yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 18 Februari 2020.
Sempena ulang tahun kelahiran Allahyarham Ashraf Sinclair hari ini, penyanyi dan pelakon Indonesia, Bunga Citra Lestari (BCL) sempat menitipkan ucapan hari lahir istimewa buat Allahyarham.
Menerusi di Instagram miliknya, BCL turut mengenang kembali kenangan ketika mereka bersama. BCL yang merindui Allahyarham turut mengucapkan terima kasih atas kenangan indah yang ditinggalkan oleh Allahyarham.
“Hanya mampu ucapkan terima kasih. Terima kasih untuk segala kenangan indah. Semua perit jerih yang kita lalui bersama, keriangan, gelak tawa dan tangis yang kita kongsi bersama.
“Terima kasih untuk segala kenangan indah kita bersama. Awak sangat bermakna buat saya, dan buat semua yang menyayangi awak,” tambah BCL.
“Selamat ulang tahun kelahiran di syurga. Rasa seperti terlalu banyak kata untuk diungkap, terlalu banyak kisah untuk diceritakan. Tetapi tidak tahu bagaimana,” ucapnya.
Bunga juga sempat menitipkan beberapa luahan yang sememangnya menyentuh hati para peminatnya.
“Terima kasih untuk semua memori kita bersama. Awak (Ashraf) sangat bermakna untuk saya dan semua yang menyayangi awak.
“Semoga awak dapat meraikan ulang tahun kelahiran yang indah ‘di sana’. Saya rindu awak.
Untuk rekod, Bunga dan Ashraf mendirikan rumah tangga [ada 2008 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Noah Aidan Sinclair yang kini berusia 14 tahun. Ashraf menghembuskan nafas terakhir di sebuah pusat perubatan di Jakarta, Indonesia akibat serangan jantung pada 18 Februari 2020.
Bunga Citra Lestari kembali bergelar isteri pada 2 Disember tahun lalu dan memilih Tiko sebagai suaminya. Meskipun begitu, Bunga masih mengekalkan hubungan silaturahim yang baik bersama keluarga Ashraf di Malaysia di mana keluarga itu sering berkunjung ke kediaman Bunga di Jakarta dan sebaliknya.
Tidak dinafikan ramai yang membeli emas sebagai perhiasan diri serta pelaburan pada masa akan datang kerana ia boleh digadaikan mahupun dijual ketika waktu susah. Bahkan nilai emas yang semakin meningkat saban tahun, memang boleh menjadi pelaburan yang menguntungkan kelak.
Susulan pengeluaran khas wang KWSP bermula 18 April baru-baru ini, menyebabkan pusat komersial dan beli belah di bandar raya ini menjadi sesak dan tumpuan orang ramai berbelanja.
Tinjauan di Pusat Komersial UDA, Tampoi mendapati kedai emas dan butik menjual pakaian raya antara premis yang menjadi tumpuan.Deretan kedai emas di pusat komersial di situ, dilihat dipenuhi orang ramai yang sanggup menunggu giliran di luar premis sejak ia dibuka jam 10 pagi tadi.
Bekas pekerja swasta, Emelda Bachok, 46, berkata beliau bersyukur dengan keprihatinan kerajaan yang meluluskan pengeluaran khas KWSP bermula kelmarin.
Beliau sekeluarga lega apabila mendapat wang tambahan bagi menyediakan persiapan Aidilfitri.
“Sebelum ini memang agak mencabar kerana saya mempunyai tanggungan besar, suami pula baru kehilangan kerja.
“Dengan pengeluaran khas KWSP ini dapatlah bernafas sikit beli apa yang patut. Separuh wang ini akan disimpan dan digunakan ketika kecemasan sahaja dan separuh lagi buat persiapan Aidilfitri.
“Saya memang dah berniat nak belikan dua anak perempuan berusia 15 dan 12 tahun barang kemas, sama ada gelang atau cincin emas dengan duit pengeluaran ini. Alhamdulillah niat ini tercapai hari ini,” katanya.
Juruteknik, Mohd Ashraf A Safar, 27, pula berkata beliau juga sangat bersyukur dan lega kerana permohonan mengeluarkan wang KWSP diluluskan.
“Alhamdulillah, saya hanya mengeluarkan separuh daripada jumlah had dibenarkan tetapi memang sangat lega dan bersyukur.
“Ada juga wang lebih selepas bayar hutang, bil dan keperluan lain. Hari ini saya bawa isteri, Nurul Nur Syafiqah Zuraimi, 26, beli barang kemas emas kerana banyak membantu saya ketika susah senang.
“Ini juga sebagai pelaburan juga ketika waktu susah kerana emas yang dibeli sama ada boleh dijual semula atau digadaikan ketika kami memerlukan wang nanti,” katanya.
Pertambahan Pelanggan Mendadak
Dalam pada itu, pemilik kedai emas De Aurora, Dayana Haironi, mengakui pelanggan ke kedainya bertambah secara mendadak bermula semalam.
“Sebelum ini, pelanggan ramai juga tetapi tidak seramai semalam dan hari ini. Rasanya pengeluaran khas KWSP memang mempengaruhi pertambahan pelanggan yang agak luar biasa.
“Saya jangkakan pelanggan akan terus bertambah dan memuncak pada hujung minggu ini berikutan pengeluaran khas akan mula dibelanjakan orang ramai dan kami sudah bersedia menambah stok barang kemas baharu selain menggunakan kakitangan sepenuhnya iaitu 30 pekerja pada Jumaat, Sabtu dan Ahad ini,” katanya.
Mingguan Wanita: Selain persiapan Aidilfitri, ramai rupanya yang membelanjakan pengeluaran khas KWSP untuk pembelian emas bagi tujuan pelaburan pada waktu terdesak. Apapun berbelanjakan dengan berhemah, utamakan keperluan dan manfaatkan sebaiknya pengeluaran khas KWSP ini.
Minggu ini waktu persekolahan bagi murid-murid kumpulan B di sekolah Cikgu Hussayn. Biarpun sudah ada ketetapan sebegitu, ada juga ibu ayah yang tersilap hantar anak-anak kumpulan A ke sekolah.
Sistem pembelajaran bersemuka di musim pandemik Covid-19 ini, murid-murid dalam satu kelas di bahagikan kepada dua kumpulan, iaitu kumpulan A dan kumpulan B. Setiap kumpulan ada jadual pembelajaran bersemuka ikut tarikh yang pihak sekolah berikan.
Seminggu kumpulan A bersekolah, seminggu itu kumpulan B akan belajar secara PdPR. Namun, ada juga ibu bapa yang terlepas pandang. Malah, ada juga tersalah faham kerana pada ketika itu tahap dua belum perlu ke sekolah. Sehingga terjadilah kisah yang dikongsikan Cikgu Hussayn ini.
Tunggu Mama Datang Ambil Sebab Saya Kumpulan A
“Kakak, kenapa berdiri di sini. Tunggu siapa?” tanya saya apabila melihat seorang murid perempuan termanggu di hadapan lobi utama sekolah.
“Saya tunggu Mama datang ambil sebab saya kumpulan A.” balas murid ini dengan sopan apabila ditanya Cikgu Papa.
“Alahai kesiannya awak, kenapa rajin sangat ni.” Respon saya bergurau dan kelihatan matanya mengecil di sebalik pelitup muka yang dipakai tanda dia tersenyum.
Salah Faham Tengok Jadual Pembelajaran Bersemuka
Melalui perbualan, anak ini menceritakan yang dia tidak hadir pada minggu sebelum cuti Deepavali kerana tahap dua belum perlu hadir. Maka minggu ini dia menyangka kumpulannya perlu hadir dahulu. Terdapat salah faham penggiliran kumpulan di situ.
Banyak juga perkara yang kami bualkan sementara menunggu ibunya datang ambil. Sempat juga saya bergegas lari ke Bilik Kaunseling untuk ambil roti gardenia dan air kotak apabila dia mengatakan belum sarapan pagi.
Memandangkan jadual temu janji bagi sesi konsultasi waris ialah pada pukul 9.30 pagi, saya ambil keputusan untuk menemani anak ini sahaja. Tidak lain tidak bukan ialah bagi memastikan dirinya sentiasa rasa selamat, tenang dan selesa apabila berada di sekolah.
Mohon Ibu Ayah Agar Cakna
Sambil mengunyah roti gardenia perisa coklat di hentian menunggu, matanya tidak lepas dari memandang arah pondok pengawal. Keadaan lanskap sekolah yang berbukit membuatkan kehadiran sesiapa sahaja lebih mudah diperhatikan.
Tidak sangka pula anak ini ramah tamah dengan saya. Anak yang kuat dari segi emosinya dan matang dari segi pertuturannya. Banyak perkara saya dapat belajar melalui perbualan kami hari ini. Apabila ibunya sampai saya mohon diri dan dia melambai dari jauh tanda berterima kasih.
InsyaAllah sebagai guru saya akan cuba bantu mana terdaya. Mohon juga jasa baik ibu ayah agar cakna tentang jadual pembelajaran anak-anak terutama di masa norma baharu ini. Pastikan kumpulan A atau B yang perlu hadir ke sekolah supaya kejadian ini tidak berulang. Kamsahamnida.
#cikguhussayn
#cikgupapa
Mingguan Wanita :Tak dinafikan kadangkala kekalutan kerja boleh membuatkan ibu tersilap info, untuk lebih memudahkan. Boleh saja tanda jadual persekolahan bersemuka anak-anak di kalendar. Atau lebih baik, jika anak sudah berada d tahap 2 minta anak hafal dan ingat akan tarikh mereka perlu ke sekolah.
Rita Rudaini dedah sekolah sorok kes buli 'bawah karpet'-"Pelajar senior pukul, ikat pelajar di pokok sampai tak boleh berjalan." Pelakon terkenal tanah air, Rita Rudaini mendedahkan pengalaman pahit apabila salah sebuah sekolah yang pernah menjadi tempat anaknya menuntut dikatakan terbabit dengan kes buli yang serius, namun cuba ditutup oleh pihak pengurusan sekolah.