Selera Tradisi Telur Itik Belimbing Buluh Masak Lemak Dan Gulai Ketam Nanas

Selera terhadap masakan tradisi memang takkan padam. Masakan Melayu misalnya, memang mempunyai tarikan tersendiri. Tidak kira sama ada lauk pauk atau pun kuih muihnya.

Hujung minggu ni, apa kata hidangkan dua hidangan enak ini untuk keluarga iaitu Masam Lemak Telur Itik Dengan Delimbing Buluh dan Gulai Ketam Dengan Nanas. Memang sangat sedap, membangkitkan nostalgia masakan mak-mak di kampung.

Ini Resipi Selera Tradisi Ini

TELUR ITIK DENGAN BELIMBING BULUH MASAK LEMAK

Selera Tradisi Telur Itik Belimbing Buluh Masak Lemak Dan Gulai Ketam Nanas

Bahan-bahan:

5 biji telur

1 batang serai

1 helai daun kunyit  | Hiris

10 biji belimbing buluh

Sedikit santan pekat

Sedikit santan cair

Sedikit garam

IKLAN

Bahan B (kisar):

4 biji bawang merah

1 ulas bawang putih

1 inci kunyit hidup

3 biji cili padi kampung

1 biji cili merah

CARA MEMASAK:

  1. Kisar bahan B dengan santan cair. Masakkan bahan kisar dengan serai sehingga mendidih menggunakan api yang kecil.
  2. Apabila mendidih, pecahkan telur dalam mangkuk dan masukkan ke dalam kuah tadi secara perlahan-lahan. Jarakkan antara satu sama lain. Boleh dimasukkan sedikit cuka supaya telur tidak pecah.
  3. Masak sambil dikacau perlahan sehingga telur mengeras. Tuang santan pekat, masukkan belimbing buluh, daun kunyit dan garam secukupnya. Terus kacau supaya pati santan tak pecah minyak.
  4. Bila mendidih, bolehlah ditutup api supaya belimbing masih rangup.

Nota: Jangan masak telur terlalu lama kerana ia akan menjadi keras. Boleh juga dimasakkan telur di dalam bekas lain sebelum dimasukkan ke dalam kuah terutama jika telur kelihatan belum masak.

 Cuba pula resipi selera tradisi ini…

GULAI KETAM BERSAMA NANAS

Selera Tradisi Telur Itik Belimbing Buluh Masak Lemak Dan Gulai Ketam Nanas

Bahan-bahan:

4-5 ekor ketam

½ biji nanas

1 paket kecil rempah kari ikan

1-2 sudu teh jintan manis  | tumbuk halus

½ inci halia

4 biji bawang merah (2 ulas untuk menumis, 2 ulas masukkan dalam rempah)

2 ulas bawang putih

Sedikit daun kari jika suka

Santan secukupnya

Sedikit air panas

Sedikit air

Garam dan gula secukup rasa

Sedikit minyak untuk menumis

CARA MEMASAK:

  1. Masukkan satu paket rempah dalam bekas, tambah sedikit air panas untuk jadikan pes.
  2. Masukkan sedikit halia yang dipotong nipis dan memanjang, 2 ulas bawang merah dan jintan manis yang ditumbuk dalam pes tadi.
  3. Sediakan bahan-bahan untuk menumis (bawang merah, bawang putih, dan halia yang di hiris nipis dan halus) serta daun kari.
  4. Panaskan minyak, tumis bahan tumisan hingga berbau harum, masukkan pes rempah tadi. Tambahlan sedikit air.
  5. Masak rempah sehingga naik minyak, kemudian masukkan ketam yang telah dipotong dua dan sudah dibersihkan.
  6. Kacau sebentar, kemudian masukkan santan. Jika pekat, tambah sedikit air. Masak seketika.
  7. Kemudian masukkan nanas yang dihiris nipis atau dihiris mengikut kesukaan anda.
  8. Akhir sekali masukkan garam dan gula secukup rasa. Biarkan mendidih seketika. Tutup api dan sedia dinikmati.

https://www.mingguanwanita.my/nuget-tempura-homemade-sedap-ya-amat/