Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Ternyata bukan mudah buat seorang suami untuk menjalani hari-hari mendatang apabila isteri yang dikasihi terlantar sakit selepas tiga bulan melahirkan cahaya mata pertama mereka.
Secara Tiba-Tiba
Baru sahaja mengecap kebahagiaan saat dikurniakan anak kembar lelaki setelah empat tahun menunggu zuriat hasil perkongsian hidup bersama, Mohd Nizam Zolkefli, 34, sekali lagi diuji apabila isteri tersayang Nor Hafizah Yulisailani, 34, disahkan mengalami saraf otak tidak berfungsi (mati otak) sejak hampir dua tahun lalu.
“Saya masih ingat hari pertama Nor Hafizah diserang penyakit ini iaitu selepas tiga bulan melahirkan anak kembar kami yang kini berusia dua tahun. Pada malam kejadian, isteri minta saya untuk menjaga anak-anak kerana dia mahu tidur sebentar. Ketika itu dia masih sihat seperti biasa,” ujarnya menceritakan perihal isterinya yang tiba-tiba diserang sakit.
Tambahnya lagi, lebih kurang jam 2.30 pagi, ketika mahu mengejutkan isterinya untuk menyusukan anak mereka, tiba-tiba isterinya mengalami kekejangan otot dan kemudian terus terdiam.
“Pada ketika itu saya hanya mampu memikirkan untuk membawa isteri ke hospital dan apabila tiba di Hospital Batu Gajah, doktor memberitahu denyutan nadi isteri saya sudah terhenti dalam tempoh 45 minit dan kemudian kembali berdenyut namun agak perlahan. Isteri saya kemudiannya dimasukkan ke dalam unit rawatan rapi (ICU) di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh selama tiga minggu sebelum dipindahkan ke wad biasa selama tiga bulan,” katanya.
Keadaan Tak Berubah
Selepas beberapa kali berpindah hospital dan wad, keadaan isteri Mohd Nizam tidak banyak berubah. Justeru anak-anak mereka yang masih kecil terpaksa dihantar kepada ahli keluarga yang lain untuk dijaga sementara Mohd Nizam menumpukan sepenuh perhatian kepada isteri tercinta.
Ads
“Sebelum ini kami tinggal di Batu Gajah kerana isteri bekerja sebagai Pembantu Tadbir Kewangan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Ipoh namun selepas jatuh sakit, kami berpindah ke rumah mak saya di Kampung Changkat Banjar ini. Alhamdulillah, ahli keluarga termasuklah mak ayah saya dan mak ayah mentua serta adik-beradik banyak membantu saya menjaga anak-anak serta menguruskan isteri.
“Ketika mula-mula isteri jatuh sakit saya langsung tidak boleh bekerja kerana memberi sepenuh perhatian kepada isteri dan ketika ini ahli keluarga begitu banyak membantu termasuk dari segi kewangan,” ujarnya.
Sehingga kini, mereka sekeluarga masih belum mengetahui punca sebenar penyakit yang menimpa isteri Mohd Nizam. Apa yang boleh dikatakan Nor Hafizah kini lumpuh sepenuhnya dan memerlukan bantuan untuk menguruskan diri.
Empat tahun menunggu zuriat
Setelah empat tahun berkahwin, barulah pasangan ini dikurniakan rezeki yang diidam-idamkan oleh setiap pasangan yang berkahwin. Kegembiraan berganda apabila anak yang dikandung disahkan kembar. Penantian selama ini berbaloi dengan rezeki kurniaan Ilahi.
“Sebenarnya kami menunggu selama lebih kurang empat tahun untuk mendapat zuriat dan apabila isteri saya disahkan hamil anak kembar memang kami sangat teruja. Ketika itu dia dalam keadaan sihat dan tidak ada sebarang masalah namun ketika hamil dia mengalami tekanan darah tinggi hingga memaksanya untuk bersalin awal melalui pembedahan ketika usia kehamilan lebih kurang tujuh bulan lebih.
Ads
“Namun selepas itu keadaannya kembali normal dan sihat seperti biasa termasuklah ketika dalam pantang dan selepas habis pantang. Ketika mula-mula diserang penyakit itu, Nor Hafizah masih lagi dalam tempoh bercuti kerana dia mahu melanjutkan cutinya bagi menjaga anak-anak kami yang masih bayi,” katanya.
Siapa yang tidak terkejut dengan keadaan yang sebegitu. Isteri yang sihat tanpa sebarang penyakit, kini terlantar tidak lagi seperti dahulu. Hati lebih sayu apabila melihat anak-anak yang masih kecil, belum pun sempat dimanjakan oleh ibu mereka yang mengandung dan melahirkan mereka. Namun sedar itu semua ujian dari Allah, Mohd Nizam menerima segala ketentuan ini dengan penuh reda.
Amar dan Aiman yang kini berusia 2 tahun
“Mula-mula kami begitu gembira kerana mendapat cahaya mata yang ditunggu-tunggu selama ini namun sudah takdir isteri hanya mampu mengecap rasa bahagia itu sekejap sahaja. Sekarang anak-anak kami makin besar dan mereka boleh menyebut ibu walaupun dalam keadaan pelat. Saya dapat melihat Nor Hafizah seolah-olah seperti memberi respons dengan membuat bunyi tertentu apabila anak-anak memanggilnya ibu,” katanya penuh sayu.
Perbelanjaan perubatan isteri dan anak
Nor Hafizah kini perlu bergantung sepenuhnya kepada ahli keluarga memandangkan keadaan dirinya yang kini terlantar sahaja.
“Awal-awal dulu dia sering kejang atau sawan dan matanya juga tertutup namun kini matanya sudah boleh dibuka. Makan juga melalui tiub khas yang ditebuk di perut manakala lehernya ditebuk untuk membuang kahak,” cerita Mohd Nizam tentang keadaan isterinya kini.
Ads
Jelasnya lagi, sehingga kini isterinya perlu diberi susu khas dan mereka amat bertuah apabila mendapat bantuan susu itu daripada jabatan kerajaan tempat isterinya bekerja dahulu.
“Selain itu isteri ada mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 sebulan dan duit ini boleh juga menampung pembelian lampin pakai buang isteri yang bernilai lebih kurang RM160 sebulan.
“Namun begitu, perbelanjaan kami makin lama makin tinggi memandangkan anak-anak juga semakin membesar. Saya amat berharap agar dapat menyelesaikan masalah tuntutan gaji isteri yang sehingga kini tidak dapat diambil disebabkan masalah tertentu dengan pihak bank. Jika duit ini dapat diambil sekurang-kurangnya dapat membantu kami sedikit sebanyak kerana pada masa ini saya kadang-kala terpaksa bergantung kepada ahli keluarga,” katanya yang hanya bekerja kampung.
Walaupun sudah dua tahun Nor Hafizah terlantar sakit, kasih dan cinta Mohd Nizam terhadap isteri tersayang tidak pernah pudar. Selagi hayat dikandung badan, Mohd Nizam akan cuba menjaga isterinya itu sebaik mungkin.
“Saya sedih namun saya perlu terima hakikat ini dan akan terus menjaga isteri sebaik mungkin kerana ini adalah amanah untuk saya. Kini anak-anak (Muhmmad Amar Aqif dan Muhammad Aiman Aqif) menjadi kekuatan saya untuk menempuh kehidupan mendatang,” tambahnya.
Nizam hadapi semua dengan redha
Syawal yang mendatang bagaikan kurang serinya apabila isteri terlantar sakit dan tidak dapat bergerak. Bagi Mohd Nizam, sambutan yang dibuat hanya biasa sahaja. Kadang terbit rasa sedih apabila melihat rakan-rakan yang lain menyambut bersama isteri dan anak-anak.
“Dalam tempoh dua tahun ni bila tiba raya saya sambut macam biasa sahaja. Tapi tipulah kalau saya kata tak sedih bila lihat kawan-kawan lain yang meriah menyambutnya bersama keluarga tersayang. Saya masih belum berpeluang merasa keadaan itu. Saya teringin sangat nak keadaan kembali seperti dulu, tapi apakan daya ini takdir kami, Insya-Allah saya akan jalankan amanah ini dengan seikhlas dan setabah mungkin,”akhirinya dengan redha.
Kepada yang ingin menghulurkan bantuan untuk meringankan beban keluarga ini, anda boleh menyalurkan sumbangan terus ke akaun Maybank Mohd Nizam Zolkefli 158118263466
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Sayu hati tatkala melihat ketabahan seorang wanita menguruskan ibu bapanya yang juga orang kurang upaya fizikal dan tidak mampu menguruskan diri sendiri.Ketika sebahagian daripada anak-anak di negara ini mengambil jalan mudah dengan menghantar mak ayah ke rumah kebajikan, pujian harus diberikan kepada ibu tunggal, Intan Zulina Osman, 32, yang tetap cekal menguruskan kedua-dua orang tuanya yang uzur biar pun mereka hanya mampu mengesot dan terlantar di dalam bilik.
Bertubuh kecil selain kudrat wanita yang tidak seberapa, Intan Zulina tidak pernah mengeluh apabila menguruskan kedua-dua orang tuanya, Osman Jusoh, 78, dan Siti Zabedah Saidin, 70, termasuk perlu mengangkat bapanya yang semakin uzur setiap hari untuk ke bilik air.
Dengan pendapatan hanya RM600 sebulan selaku peniaga nasi lemak selain bantuan RM300 dari Jabatan Kebajikan Masyarakat, Intan Zulina tidak sesekali sanggup menyerahkan mak dan ayahnya itu ke tangan orang lain biar pun dia perlu menanggung tiga anak berusia antara 8 hingga 13 tahun.
Tidak Mengeluh
Ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kodiang Lama Luar, di sini, Intan Zulina yang juga ibu tunggal kepada tiga cahaya mata mengakui bakti dicurahkan itu tidak seberapa dibandingkan dengan pengorbanan ibu bapa membesarkannya dengan sempurna.
“Selagi mereka hidup dan kudrat saya kuat, saya akan menjalankan tanggungjawab diamanahkan demi menjaga ayah dan emak tanpa pernah sekelumit ada perasaan mengeluh kerana mereka yang melahirkan saya ke dunia ini,” katanya.
Menurutnya, cabaran memang ada apatah lagi dia perlu membesarkan tiga anaknya, Muhammad Akif Aidil Fikri, lapan, Muhammad Afiq Irfan, 11, dan Aiman Haikal, 13.
Dapat Perhatian Perdana Menteri
Katanya, kisah ibu bapanya pernah tular di media sosial hingga turut mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang meluangkan masa melawat pasangan itu 19 Jun tahun lalu.
“Sejak itu kehidupan kami bertambah selesa, namun kini ayah semakin uzur apabila tidak mampu bergerak dan perlu dibantu mengurus keperluan harian,” katanya.
Intan Zulina berkata, sebelum ini, dia berniaga nasi lemak di kampung itu dengan pendapatan RM50 hingga RM80, namun sejak empat bulan lalu terpaksa berhenti berniaga kerana perlu memberi sepenuh tumpuan menjaga bapanya.
“Sebelum ini ayah boleh mengurus dirinya sendiri walaupun OKU dan turut menjaga emak, namun sejak empat bulan lalu kesihatannya semakin teruk apabila kedua-dua tangannya tidak kuat dan sering kebas.
“Ayah kini hanya terlantar dan saya menguruskan semuanya termasuk menyuap makan, memandikannya dan perlu mengangkatnya tiga kali sehari ke bilik mandi.
“Namun, selagi mereka hidup saya akan menjalankan tanggungjawab diamanahkan demi menjaga ayah dan emak,” katanya.
Katanya, itu rutin hariannya kini dan mencari alternatif lain dengan berniaga dalam talian menjual kek, roti dan tudung kerana tidak boleh meninggalkan orang tuanya terlalu lama.
“Hasil pemberian bantuan dan sumbangan orang ramai itu saya membeli ketuhar untuk memulakan perniagaan menjual kek dan roti.
“Walaupun pendapatannya tidak seberapa, namun cukup untuk saya sekeluarga meneruskan kehidupan kami,” katanya.
Selain itu, katanya, dia turut menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM600 dan zakat RM450 sebulan yang meringankan beban mereka sekeluarga.
“Emak dan ayah adalah anugerah Allah dan selagi saya kuat dan sihat tidak sesekali akan mensia-siakan mereka kerana ini tugas sebagai anak membalas jasa mereka.
“Cuma saya bimbang apabila mereka kurang berselera makan akibat faktor usia. Emak masih boleh dikatakan sihat namun ayah yang nampak perubahannya,” katanya.
Menurutnya, dia mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang membantu keluarganya selepas kisah mereka tular tahun lalu dan menjadi kenangan terindah dilawati Perdana Menteri.
Keluarga Angkat JKKK
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kodiang Lama Luar, Ku Azlan Ku Mat berkata, pihaknya sentiasa mengikuti perkembangan keluarga terbabit, malah menjadi keluarga angkat JKKK.
“Pelbagai bantuan dihulurkan bagi meringankan beban keluarga ini termasuk membaik pulih rumah mereka melalui sumbangan Pejabat Daerah Kubang Pasu.
“Pelajaran anak Intan juga akan dibantu dan menyalurkan sumbangan melalui kelengkapan sekolah dan sebagainya,” katanya.
Mingguan Wanita mengucapkan tahniah buat wanita ini kerana pengorbanannya yang cekal menjaga kedua orang tua yang uzur tanpa sedikit pun rasa mengeluh. Semoga ramai lagi anak-anak yang mencontohi cara wanita ini dalam membalas jasa kedua mak dan ayah.
Allah… berat sungguh ujian penghidap kanser mata ini, masih kecil tetapi perlu gagah memikul rasa sakit yang dilalui. Untuk yang sudi menolong, mohon sangat panjangkan perkongsian daripada Wan Shahriza ini agar sampai pada yang mampu dan mahu menghulur sedikit sumbangan buat keluarga ini demi kelangsungan hidup.
Saya ingin merayu bantuan kewangan. Atas nama kemanusiaan…
NUR AIRIS ARISSA
Bilateral Retinoblastoma.
Kali terakhir saya menemui Arissa ialah dlm bulan Mei lalu. Waktu itu Arissa sedang menjalani rawatan radioterapi lebih 20 kali di HKL. Saya mengambil kesempatan mengunjungi Arissa di Rumah Kanser kerana kebetulan waktu itu saya dan beberapa org teman ke KL menziarahi adik Auni di KK3 dan arwah Ummu Atifi Ilhami yg sedang terlantar sakit, juga kerana kanser di Shah Alam.
Arissa sedang bermain pintu.(lihat video).
Membuka, menutup dan menolaknya ke dinding utk menghasilkan bunyi. Persis Ijjat saya. Saya merakamkan aksi Arissa. Ada rindu yg tak terjelaskan.
Arissa juga ialah anak terpilih seperti Ijjat, yg teruji getir dengan Bilateral Retinoblastoma, kanser mata yg menyerang bhgn retina mata. Mata Arissa juga sudah dibuang, sebagai ikhtiar mengelakkan sel kanser merebak ke organ2 badan yg lebih vital. Dan seterusnya membantu meningkatkan peluang survivalnya.
Bagaimanapun, sudah tertulis perhitungan takdir utk Arissa. Sel2 kanser sudah merebak ke bahagian pipi dsn hidung. Malah ada ketumbuhan yg muncul di bhgn mata yg sudahpun dibuang.
Prognosis yg tidak menjanjikan utk Arissa. Seorang teman saya, seorang doktor, yg membaca laporan medikal terhadap perkembangan Arissa mengesan skeptism di situ. Seolah2 pihak hospital juga tidak tahu apa lagi yg hendak dilakukan utk Arissa.
Alternatif yang kelihatan ada, walau tidak kedengaran sangat meyakinkan, ialah untuk membuat major surgery yg akan menyebabkan berlaku extensive damage kepada struktur muka Arissa. Satu usaha yang akan memaksa pula prosedur2 kosmetik dan pembetulan yang lain yang panjang dan menyakitkan. Dan lebih dari itu, pihak doktor juga bagaikan tidak boleh memberi sebarang jaminan untuk kejayaan prosedur ini.
Gambar di atas ialah gambar terbaru Arissa. Ketumbuhan di mata sudah membesar demikian cepat. Di rongga hidungnya, juga sudah mula ada ketumbuhan lain.
Pengasuh yg menjaganya sudah menyuarakan resah dan risau utk terus menjaga Arissa. Tambahan lagi, ketumbuhan baru di mata dan hidung mengeluarkan bau busuk yg pastinya memberi rasa ketidaselesaan kepada orang2 lain di persekitaran.
Ibu Arissa, Rosmaniza Salleh sudah menyerahkan permohonan cuti tanpa gaji utk menjaga Arissa sepenuhnya. Amat mengerti saya pada gelodak resah seorang ibu dalam mengharungi detik2 suķar yg penuh ketakutan dan ketidakpastian ini. Meski mengambil cuti tanpa gaji juga ialah keputusan sukar untuk Ros kerana ianya menghentikan sumber pendapatan utk kelangsungan hidup keluarga, namun saya percaya, seorang ibu akan menolak hatta seluruh dunia dan isi kandungannya, untuk masa2 emas bersama seorang anak yg usianya sudah diangkakan oleh prognosis penyakit terminal bernama kanser. Sementelah lagi, Arissa cahaya mata tunggal.
Saya ingin merayu insan2 budiman yg mungkin tersentuh rasa kemanusiaan, utk menyumbang sedikit bantuan kewangan utk ibu Arissa yg nanti tiada pendapatan utk menampung kos sara hidup keluarga dan juga kos2 lain utk penjagaan Arissa.
Bagi tujuan monitoring sumbangan bagi memastikan jumlah yg cukup disalurkan kpd keluarga Arissa secara berperingkat, sumbangan2 ini akan ditumpangkan ke akaun Bendahari Kumpulan Kejiranan Syurga 3, seperti maklumat di bawah:
Kes pembuangan bayi makin berat. Sama ada bayi itu dikandung akibat sumbang mahram, rogol mahupun suka sama suka, anda yang tersilap langkah tidak ada hak membuang bayi itu. Berikan mereka peluang hidup dan membesar dengan keluarga angkat yang lebih baik.
Tak perlu letak bayi yang tak bersalah di tong sampah, surau, longkang mahupun semak belukar. Baby Hatch adalah tempat perlindungan bayi sebegini. Ada 12 cawangan di Malaysia. Moga perkongsian Cik Puan Reyna Ibrahim menerusi Move On Reyna Ibrahimini membuka mata ramai pihak.
“Puan boleh tolong saya? Saya nak bagi bayi saya pada orang. Saya tak nak jaga.”
Lama saya duduk memikir.
Hati cuba saya halangi dari terus membuat tuduhan atau kesimpulan. Siapa saya untuk menuduh si ibu itu bukan – bukan. Dia pasti punya kisah dan ceritanya yang langsung tidak layak untuk saya hakimi.
Saya fokus pada bantuan yang di minta. Lantas terkenang kembali lawatan saya ke Pusat Perlindungan Yayasan OrphanCare yang terletak di Kampung Tunku Petaling Jaya.
Ya….Baby Hatch kan ada?
Baby Hatch adalah tempat perlindungan bayi yang tidak begitu diketahui semua. Baby Hatch yang pertama adalah di Kampung Bukit Tunku Petaling Jaya.
Saya ke sana lebih kurang 2 tahun lepas. Hanya kerana desakan ingin tahu memandangkan ada yang memaklumkan pada saya tidak begitu ramai bayi dihantar ke sana berbanding bayi yang dibuang ibunya merata- rata.
kenapa begitu….
Maka saya ingin tahu?
Apakah di sana ada kamera litar tertutup yang akan mengenalpasti wajah ibu yang meninggalkan anaknya? Maka saya ke sana sekadar untuk melihat sendiri. Umum pasti tidak begitu mengetahui….
Di Malaysia sekarang ada 12 Baby Hatch yang sedang beroperasi selepas Baby Hatch yang pertama dirasmikan pada tahun 2010.
Ia umpama sebuah peti yang ruangnya amat selesa untuk memuatkan seorang bayi. Ada tilam bersih sebagai pengalas.
Ia mempunyai penggera yang akan berbunyi apabila.ada seorang bayi diletakkan. Serentak.dengan itu juga aircon dan lampu akan terpasang.
Penggera akan berbunyi bagi memaklumkan pada petugas bahawa ada bayi telah ditinggalkan di dalamnya. Kemudian petugas akan bergegas menguruskan bayi tersebut.
Di situ juga tiada sebarang kamera yang dipasang dan hal.ini tidak perlu dibimbangkan oleh para ibu yang ingin meninggalkan bayinya.
Saya kira….
Ini tempat paling selamat bagi mereka yang terdetik hatinya untuk membuang bayi. Jangan dibuang….
Serahkan pada tempat yang sepatutnya kerana pihak Yayasan OrphanCare ini juga akan menguruskan urusan pengambilan anak angkat bayi bayi ini.
Kita mungkin boleh membantu menyebarkan info tentang Baby Hatch ini dalam usaha mengurangi masalah pembuangan bayi .
Ini bukan satu sokongan kepada ibu yang tidak ingin menjaga anaknya. Ini hanya satu usaha membela anak anak yang dibuang di tempat yang tidak sepatutnya.
Jangan kita persoalkan tindakan seorang ibu kerana Allah lebih tahu. Seharusnya kita mengalihkan fokus untuk membantu bagaimana seorang anak itu harus mendapat hak yang sepatutnya selepas dilahirkan ke dunia.
“Saya Cuba, Bertahan, Usaha Tapi Gagal. Tiada Lagi Kita” itulah yang diluahkan oleh Aprena Manrose tentang rumah tangganya yang dikatakan sudah berantakan.Pelakon cantik, Aprena...