Ajal, maut di tangan Tuhan. Apa yang berlaku hanyalah “asbab” kematian. Siapa sangka kerana “puding buih” wanita ini menemui ajalnya setelah 10 hari menerima rawatan di hospital. Kematian wanita yang berusia 25 tahun ini disebabkan oleh kegagalan multiorgan.

Memandang serius isu ini, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) telah mengambil tindakan dengan menutup dapur premis terbabit selama 14 hari sehingga 7 Jun depan.

Akhirnya Meninggal Selepas 10 Hari Dapat Rawatan

Mangsa keracunan makanan akibat memakan puding buih yang dibeli secara dalam talian pada 22 Mei lalu meninggal dunia jam 10.40 pagi tadi.

Mangsa wanita berusia 25 tahun dari Marang meninggal dunia selepas menerima rawatan selama 10 hari di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Sebelum ini mangsa dimasukkan di wad HSNZ pada 24 Mei lalu sebelum dipindahkan di ICU dan disahkan meninggal dunia disebabkan kegagalan multiorgan akibat kejutan sepsis.

Baca Ini:

Resepi Puding Buih Berkuah Susu Tinggi Protein, Begini Cara Selamat Membuatnya

IKLAN

Dirawat Bersama Keluarga Yang Turut Keracunan

Difahamkan mangsa bersama beberapa ahli keluarganya turut dirawat di HSNZ kerana mengalami keracunan makanan selepas menikmati puding buih itu.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Dr Alias Razak berkata, kematian itu merupakan kes pertama yang meninggal dunia akibat keracunan puding buih.

Menurutnya, siasatan terperinci telah dijalankan termasuk tindakan telah dikenakan ke atas peniaga terbabit.

Peniaga Perlu Lebih Berhati-hati

“Kerajaan negeri bersimpati dengan tragedi yang menimpa keluarga mangsa dan kita berharap agar mereka tabah dan sabar.

IKLAN

“Kita ingatkan kepada orang ramai terutama peniaga dan pengendali makanan agar lebih berhati-hati kerana ia melibatkan keselamatan dan boleh mengancam nyawa.

“Kerajaan juga telah merangka prosedur operasi standard (SOP) baharu kepada peniaga yang menjual makanan dari rumah supaya lebih menitikberatkan aspek kebersihan kerana ia membabitkan nyawa.

“Walaupun ia merupakan kes yang berisiko kepada sesiapa sahaja ia juga boleh mengakibatkan kehilangan nyawa,” katanya.

IKLAN

Mangsa Lain Makin Pulih

Dalam perkembangan sama, katanya, mangsa lain yang juga dirawat akibat keracunan puding buih telah beransur pulih dan dibenarkan pulang ke rumah secara berperingkat.

Terdahulu, seramai 99 mangsa dikejarkan ke HSNZ apabila mengalami muntah dan cirit-birit selepas menikmati puding buih yang dibeli secara dalam talian.

Jumlah itu membabitkan 20 keluarga berlainan, 77 pesakit dari Kuala Terengganu manakala 22 lagi dari daerah Marang.

MW: Kami merakamkan ucapan takziah buat keluarga mangsa yang terlibat. Semoga perkongsian ini menjadi iktibar kepada peniaga yang mengendalikan makanan supaya lebih berhati-hati dan menjaga kebersihan sepanjang masa kerana ia melibatkan nyawa.

Sumber/ Foto: Sinar Harian

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI