Hati mana yang tak sedih, kecewa dan marah bila dapat tahu diri dimadukan dalam diam oleh suami yang selama ini dipercayai sepenuh hati? Tahu pun daripada mulut orang lain. Perkongsian seorang isteri yang dimadukan oleh suaminya tanpa disedari.
Assalamualaikum puan kaunselor yang dihormati. Saya ibu kepada sepasang cahaya mata berusia 16 dan 14 tahun dan seorang anak syurga, si bongsu yang berusia 10 tahun jika masih hidup. Saya memiliki ijazah di dalam jurusan ekonomi namun memilih untuk menjadi suri rumah kerana ingin menumpu perhatian pada dua orang cahaya mata.
Untuk pengetahuan puan, anak syurga saya itu merupakan anak istimewa dan dilahirkan tidak sempurna. Sebenarnya selepas melahirkan dialah saya memutuskan untuk berhenti kerja walau pun ketika itu karier saya sedang meningkat.
Jarang Masa Bersama
Suami saya pula seorang jurutera di sebuah syarikat cari gali. Asyik ulang alik darat dan pelantar minyak. Jadi, masa kami tak banyak dihabiskan berdua. Lebih-lebih lagi ketika anak syurga kami masih ada, sepenuh masa ditumpukan pada arwah.
Tapi saya anggap itu normal saja kerana suami juga tak mengeluh. Bila dia pulang ke rumah, jarang benar kami dapat berbual bersama kerana saya sibuk dengan anak syurga saya itu. Dulu pernah juga suami ajak keluar tapi saya beri alasan tiada orang nak jaga anak. Saya tak sanggup nak minta orang lain jaga walau pun ketika itu saya ada pembantu rumah.
Trauma Kehilangan
Saat kehilangan anak syurga tiga tahun lalu dan ia memberi kesan besar pada diri saya. Jiwa saya rasa ‘kosong’ kerana tiada lagi orang yang saya perlu belai dan manjakan setiap hari. Nasib baik ada dua anak lain yang dapat meringankan kesedihan yang saya alami.
Dek kerana trauma kehilangan itu juga, saya tak benarkan anak-anak tinggal di asrama walau pun keputusan mereka layak untuk menempatkan mereka di sekolah berasrama penuh. Saya ingin mereka ada di depan mata saya sepanjang masa. Saya tak pernah berbual dengan suami tentang rasa trauma yang sama alami.
Makin Okay
Selepas kehilangan anak syurga, hubungan saya dan suami agak membaik. Ada masanya kami keluar berdua saja. Cuma tak dinafikan, antara kami seolah-olah ada jurang yang saya sendiri tak pasti apa.
Bila ada di rumah pun, dia tetap sibuk dengan pelbagai kerjanya dan saya pula mula berjinak-jinak dalam perniagaan online. Saya nak sibukkan diri agar tak terus tertekan dengan trauma kehilangan anak bongsu.
Ads
Kedatangan Sahabat
Sehinggalah Aidilfitri lalu. Giliran beraya di rumah keluarga saya di Kelantan. Raya kedua suami sudah balik bertugas di lautan. Saya dan anak-anak tak syak apa-apa kerana sudah terbiasa dengan kesibukan suami.
Tapi kedatangan seorang rakan kami ke rumah telah membongkar satu rahsia besar. Rakan itu (si lelaki) merupakan rakan sekerja suami. Dia sengaja singgah ke rumah ibu bapa saya kerana kebetulan rumahnya berdekatan saja.
Pertanyaan rakan lelaki itu mengejutkan saya yang bertanya di mana suami saya dan kelihatan terkejut dan serba salah mendengarkan jawapan saya. Tak sedap hati, saya minta dia berterus terang. Rupanya suami saya masih bercuti tapi dengan saya dikatakan sudah kembali bekerja.
Terbongkar Rahsia Dimadu
Dipendekkan cerita, terbongkarlah rahsia yang selama ini tersimpan rapi oleh suami. Dalam diam, rupanya suami sudah menikah seorang wanita lain! Bermakna saya hidup bermadu selama ini!
Tuhan saja yang tahu hati saya saat itu. Saya mula merisik pergerakan suami dan menerusi pertolongan rakannya yang kasihan dengan saya yang dimadu dalam diam, saya dapat tahu suami telah berkahwin lima tahun lalu tapi belum punya cahaya mata bersama madu saya itu. Mereka berkahwin ketika anak bongsu saya masih hidup.
Dia pernah nyatakan pada rakan baiknya yang dia rasa terpinggir kerana saya kurang melayaninya. Puan, saya rasa sedih kerana saya tak berniat begitu. Saya masih belum mampu berterus terang dengannya tentang perkara ini. Saya makin terbeban kerana memendam rasa tapi saya tak berani nak mendengarkan pengakuan daripadanya itu. Apa saranan puan?
Ads
Isteri Kecewa, Kedah.
Jawapan:
Allah selalu beri kita apa yang kita perlukan, cuma kadang-kadang Allah tidak beri kita apa yang kita mahukan. Maka akan timbul ujian dan masalah dalam hidup.
Nikmat diberi kesihatan yang baik, nikmat masa rehat yang panjang, penghargaan daripada kerjaya yang kita pegang, nikmat harta, kekayaan, kedudukan, pasangan hidup dan anak-anak yang berjaya. Namun dalam kenikmatan itu mungkin juga tidak berpanjangan. Timbul ujian dan masalah yang menuntut kita menyelesaikannya dan membuat keputusan.
Pastinya ia mengganggu emosi dan fikiran kita sehingga boleh menjejaskan prestasi kerja seharian. Perasaan sedih, kecewa, buntu, kesal, semuanya bercampur baur. Untuk menghadapinya amatlah sukar, apatah lagi jika tiada ketahanan diri yang kuat dari segi emosi dan minda khususnya.
Pentingnya Komunikasi
Seperti yang selalu diperkatakan oleh para ahli psikologi perkahwinan, komunikasi adalah satu alat yang penting dalam membaja hubungan antara suami dan isteri agar ianya senantiasa mekar. Pun ada juga yang diuji walau sehebat mana hubungan intim yang dijalinkan kerana manusia punya nafsu dan poligami pula dibenarkan dalam Islam.
Ads
Namun, poligami sesuatu yang amat pahit untuk diterima oleh isteri yang tidak dapat menerima kenyataan bahawa suaminya ada wanita lain dalam hidupnya. Justeru, ramai suami yang berkahwin secara senyap-senyap atas pelbagai alasan. Sama ada isteri baik dan beri layanan atau sebaliknya, maka suami tetap akan berkahwin tanpa pengetahuan isteri? Bagaimana pula apabila isteri mendapat tahu daripada orang lain? Pastinya rasa kecewa dan sedih menyelubungi diri.
Reda
Puan yang dirahmati Allah. Sebagai seorang Islam yang mukmin, puan reda akan ketentuan takdir Allah bukan? Di sinilah ujian buat puan untuk meningkatkan keimanan puan. Maka belajar untuk menerima ketentuan Allah. Untuk bertanya kepada suami tentang perkahwinannya dengan wanita itu adalah hak puan.
Untuk mendapat penjelasan maka bertanyalah dan cuba zahirkan perasaan yang puan simpan. Mungkin dia juga akan menzahirkan apa yang tersimpan di hatinya (mungkin ya mungkin tidak), namun puan nyatakan rasa sedih dan kecewa puan terhadapnya agar ianya tidak tersimpan lama dalam diri puan.
Seperti yang saya sebutkan di atas tadi, komunikasi adalah salah satu alat penting dalam membaja hubungan dengan suami. Jika benar kesilapan puan yang kurang memberi layanan kepada suami, maka puan boleh mulakan bagi memenangi hatinya semula. Berhias untuknya dan beri layanan agar dia “terpaut” pada puan. Itu jika puan mahu lakukan untuk “menambat” semula hatinya.
Sibukkan Diri
Jika sebaliknya, puan malas untuk membaja semula hubungan dengan suami, maka puan perlu belajar untuk hidup tanpa pergantungan emosi terhadap suami. Suami ada sebagai ayah kepada anak-anak yang puan kasihi.
Saya nampak puan boleh berdikari sendiri dengan melakukan beberapa aktiviti seperti perniagaan online. Puan boleh wujudkan pelbagai hobi dan aktiviti sebagai satu cara melupakan kesedihan yang berlaku akibat tindakan suami. Beritahu kekecewaan puan kepada suami, walaupun dia tidak mengerti, sekurang-kurangnya puan telah menzahirkan.
Tak Mudah
Saya memahami mungkin bukan mudah untuk puan, namun itu sudah takdir Allah. Ini tandanya Allah sayangkan puan dengan diberinya ujian kepada puan. Ujian dan masalah dalam hidup sering menjadikan manusia mencari Allah untuk mendapat kebahagiaan dan ketenteraman. Maka banyakkan beribadat dengan solat malam, solat sunat, solat di awal waktu, membaca Quran, zikir dan mengikuti kuliah agama sebagai “ubat” dan “penawar” mengubat jiwa yang sedih.
Allah sendiri memberi jaminan dengan berkata; “Dengan banyak mengingati Allah, hati akan menjadi tenang”. Maka teruskan solat dan berdoa mohon pertolongan Allah agar diberinya kebahagiaan dan ketenangan kepada puan. Wallahualam.
*Seperti yang dikongsikan bersama Puan Hajah Maimunah bt Haji Mohamad, Kaunselor dan Penulis Tetap ruangan Ya Tuhan dalam Majalah Mingguan Wanita.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Kadangkala suami terlupa, isteri walaupun sudah lebih 10 tahun hidup bersama dia masih mahu suami memanjakannya. Dia mahu suami sesekali menyuap makannya, memotongkan kuku kaki, tangannya, menggosok tubuhnya ketika mandi. Dan semua itu, jarang sekali dapat diperoleh selepas melepasi fasa kematangan rumah tangga.
Ya, mungkin suami lupa untuk melakukan semua itu. Kerana fikir suami, isterilah selayaknya membelai dan memanjai diri mereka lantaran merekalah ketua keluarga. Turunkan sedikit ego itu, kerana tak salah pun memanjakan seorang isteri. Dengar luahan hati wanita ini, Puan Saidah Aziz yang barangkali boleh membuka mata para suami inilah sebenarnya fitrah seorang isteri.
1. Isteri Bukan Orang Gaji Untuk Suami
Orang gaji pun berbayar setiap bulan tapi isteri zero gajinya. Sudahla tiada gaji, mahu beli itu ini yang tidak seberapa harga pun dikeluhkan suami.
2. Isteri Bukan Sekadar Tempat Untuk Melepaskan Nafsu Suami
Time lain pegang tangan, peluk dan bermesra dengan isteri pun tidak tetapi bila time yang ‘itu’ boleh pula.
3. Isteri Dan Rasanya Semua Wanita Suka Bersembang
Suka bercerita itu ini especially dengan suami. Tapi bila suami buat tak endah dan telefon ditangan lebih penting dari melayan isteri yang tak sampai sejam, tengokla next lepas itu isteri tak akan bersembang lagi. Baik melayan dan cakap dengan anak.
4. Isteri Bila Dia Cakap ‘Dia Tak Sihat’ Maka Memang Dia Sebenarnya Tak Sihat
Ingat direka-reka ke?Beri perhatian sedikit padanya. Jika suami tidak sihat bukan main beria isteri jaga, suruh berehat dan tak beri anak kacau tapi bila turn isteri sikit pun tidak ditanya. Mungkin jika keadaan kesihatan isteri semakin teruk baru percaya. Terserlah sifat tidak ambil berat sang suami.
5. Isteri Bukan Robot
Segala hal anak, rumahtangga dan juga kewangan perlu dibuat serentak. Suami buat hal sendiri seperti tiada isteri dan anak. Tahu tahu balik rumah untuk tidur sahaja.
Dilema Isteri Yang Suami Kena Faham
Rata-rata isteri menghadapi masalah ini. Setahun dua berkahwin masih baik tetapi lepas itu sebaliknya berlaku. Dan diatas semua yang tak elok dari suami, tak semuanya begitu. Ada yang suami sangat ambil berat, hargai, tunjuk kasih dan sayang pada isteri. Beruntung para isteri punya suami begini.
Untuk suami, bila diijab kabul satu tangungjawab besar sudah berada diatas bahu kalian. Jika sudah bersedia teruskan dan jika tidak baik elakkan dahulu. Jangan buat isterimu menderita. Jika dapat isteri yang baik, taat padamu hargailah dan sayangilah dia selagi nafasnya masih ada. Jika dapat yang sebaliknya itu tugas kalian untuk memimpinnya ke jalan yang baik.
Dalam rumah tangga, bukan tugas isteri saja untuk menjaga keharmonian, bahkan suami juga kena main peranan. Kadangkala suami sering buat tak peduli bila isteri membebel tentang sesuatu perkara sedangkan itu adalah salah satu cara isteri ‘berkomunikasi’ dengan suami. untuk meluahkan rasa rindu dan sayang mereka.
Bayangkan suami sibuk bekerja dan seharian di luar. Begitu juga isteri yang mungkin suri rumah tangga atau juga wanita berkarier. Sudah pasti ada masanya isteri ingin meluahkan perasaan pada suami tapi disalah ertikan oleh suami. Jangan ambil mudah ye wahai suami, sikap anda itu boleh buat isteri anda curang! Ikuti perkongsian daripada puan Suzana Ghazali, Perunding Psikologi Keluarga & Guaman Syarie, juga penulis ruangan Resipi Hidup di dalam majalah Mingguan Wanita.
“Saya dah cakap kat dia Su, tapi dia buat tak tau. Dia pernah belajar kaunseling dulu jadi saya harap dia boleh lebih faham tapi bila saya cakap saya perlukan bantuan, dia kata selagi saya luahkan yang saya perlu bantuan, itu bermaksud saya masih boleh urus hal tu sendiri.”
Luahan Isteri
Petikan saya kongsikan di awal perbincangan kali ini ialah antara luahan seorang klien yang bertemu janji bersama saya menerusi telefon pada hari Jumaat yang lalu. Menurut wanita ini, dia kesunyian bila suami terlalu sibuk dengan kerja. Saat jarang bersua juga tak digunakan untuk bermesra sepenuhnya.
Tatkala berjauhan, mesej-mesej rayuan dan luahan cinta tidak juga diendahkan suaminya. Hingga muncul seorang lelaki yang pernah dikenali tika di kampus dan si lelaki berjaya memenuhi kesepian tersebut dek panggilan saban hari, dengan ayat-ayat cinta menjerat emosi. Dia akui betul-betul merasai cinta yang tak pernah dirasai sebelum ini lantaran mengahwini suami juga dengan cinta selepas perkahwinan. Syukur dia cepat tersedar dan menghubungi saya bagi mendapatkan pertolongan.
Realitinya, kes saya kongsikan kali ini bukan kes yang luar biasa lagi kebelakangan ini. Malah menurut kajian yang dibuat oleh satu syarikat antarabangsa, wanita Malaysia diletakkan di tempat keempat di dunia sebagai antara negara paling tinggi mempunyai isteri yang pernah curang kepada suami.
Suami Gagal Penuhi
Sebagai individu yang terlibat secara langsung mengendalikan kes-kes rumahtangga, saya boleh percaya hasil kajian yang dibuat tersebut memandangkan pengalaman kerjaya saya sendiri yang kini berusia lebih 17 tahun, saya akui lima enam tahun kebelakangan makin bertambah aduan kes kes yang mencintai lelaki lain kerana kegagalan suami memenuhi kehendak batin isteri.
Perlu difahami, kehendak batin bukan bererti hubungan seksual semata-mata tetapi juga adalah perhatian, belaian, pujukan, pelukan dan paling penting, mewujudkan ketenangan di hati isteri, ambil berat kesedihan yang isteri alami, peduli dengan kesepian yang isteri rasai dan lebih utama adalah memberikan perhatian kepada segala yang isteri luahkan. Sememangnya wanita seringkali meluah emosi dan lebih terkenal meluahkannya menerusi leteran tetapi bukan bererti setiap luahannya adalah leteran. Ada tikanya isteri meluah rindu, melafaz cinta. Malah ketika isteri mohon untuk perbincangan, bererti isteri benar-benar memerlukan anda sebagai suami dalam usaha untuk menyelamatkan perkahwinan kalian.
Semua ini merangkumi tanggungjawab seorang suami seperti yang dianjurkan oleh syariat iaitu wajib melayan isteri dengan baik. Terdapat banyak arahan dan suruhan di dalam ayat al-Quran dan hadis
Rasulullah s.a.w mengenai kewajipan ini. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik.” – surah al-Nisa’ ayat 19. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang paling baik antara kamu semua adalah orang yang paling baik terhadap isterinya dan aku adalah orang yang terbaik antara kamu semua (dalam membuat kebaikan) terhadap isteriku.” – hadis riwayat al-Tirmizi.
Layanan Baik
Maksud layanan yang baik bukan sekadar tidak memukul atau menampar tetapi layanan yang baik seperti yang dikehendaki di dalam Islam malah undang-undang perkahwinan agama lain juga ialah suami perlu menjaga hati dan perasaan isteri agar tidak dilukai dan disakiti. Isteri berhak dilayan dengan penuh kemesraan, kelembutan dan dengan penuh kasih sayang. Suami juga perlu sentiasa bermesra dengan isteri agar isteri tidak rasa terpinggir, tidak terasing dan tidak merasai kesepian. Jarak jauh bukan alasan tatkala terdapat pelbagai gajet yang boleh digunakan untuk meluahkan emosi dan rasa cinta.
Para suami juga perlu peka dan faham, belaian dan kasih sayang bukan hanya ketika inginkan seksual. Dalam satu riwayat, Saiyidatina Aishah r.anha pernah menceritakan, saat dirinya sedang dalam keadaan haid, Rasulullah s.a.wmendatanginya dan menyuruhnya menyelak kain hingga menampakkan pahanya lalu Rasulullah s.a.w meletakkan kepala baginda di pangkal paha Aishah. Riwayat ini menjadi tanda, belaian yang seorang suami perlu berikan kepada isteri adalah sepanjang masa, bukan hanya untuk seksual sahaja.
Saya merayu buat para suami, tolonglah prihatin dengan setiap luahan isteri. Buat para isteri, jangan pendam kesepian yang anda rasai. Luahkanlah agar suami memahami. Moga kes-kes kecurangan isteri tidak bertambah lagi…
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Kita bernikah kerana cinta. Ada juga yang kahwin terpaksa, namun akhirnya cinta juga yang ditemui dalam rumah tangga. Dari situ wujud rasa suka, hati tenang menjalani ibadah sebagai suami isteri.
Apabila hati mulai pudar, merasai banyak yang pahit dari yang manis, ada pasangan memilih jalan akhir iaitu penceraian. Perbaiki kembali apa tujuan pernikahan dan jangan buang Allah dan Islam dalam sebanyak mana kita meneguk nikmat yang diberiNya.
Tidak dinafikan penceraian adalah salah satu jalan untuk menjaga hak seorang muslim, baik pihak suami atau pihak isteri, kerana ia adalah solusi yang terbaik jika berlaku yang memang memudaratkan bagi pasangan.
Akan tetapi, Islam juga sangat membenci penceraian bagi pasangan suami isteri, dan ia juga sesuatu yang sangat berat yang banyak Allah sebutkan didalam Al-Quran. Baca saranan pemilik dan pengurus pemasaran Be Ana Home Quran, Anna Rosdijanti Ahmat Rusdi sebelum anda memilih jalan akhir itu.
Selamatkan Hubungan Suami Isteri Dengan Cara Islam
Cari tahu apa faktor utama penceraian
Membuat perbincangan secara empat mata ( suami dan isteri) dan sangat sangat perlu menjaga emosi masing-masing.
Catat dalam sehelai kertas keburukan suami /isteri dan kebaikan suami/ isteri dan jumlahkan keduanya.
Jika ada solusi dari langkah diatas, buat perjanjian dan framekan di dalam bilik tidur.
Membuat perbincangan bersama keluarga suami dan isteri.
Dalam masa yang sama, ajak pasangan pergi surau atau masjid.
Mencari nasihat dari golongan keluarga yang bijaksana.
Jika tidak, mencari ustaz atau ustazah untuk memberi nasihat (boleh ke pihak pejabat agama islam negeri masing-masing)
Jika mampu, buat kelas mingguan bersama ustaz untuk sama-sama mendengar tausiah.
Buat kelas mengaji bersama keluarga, anak,suami dan isteri atau bersama keluarga terdekat yang lain, jika semua tidak boleh membaca dengan baik, sebaiknya memanggil ustaz atau ustazah untuk membuat kelas mengaji bersama keluarga seminggu sekali juga sudah memadai.
Perbanyakkan membaca Al-quran dan tafsir yang banyak bercerita mengenai beratnya hubungan suami isteri dan penceraian (melakukan kajian bersama).
Berikan hadiah kesukaan pasangan.
Perbanyakkan berdoa kepada Allah.
Perlu Diingat!
Perkara diatas adalah sesuatu yang perlu dilaksanakan berdua, kerana yang ingin diselamatkan adalah rumah yang telah dibina berdua
Pulihkan Kembali Rasa Cinta, Sedarlah..
Usahalah semaksimum mungkin untuk terus memulihkan rasa hati yang telah berubah, dan Allah sahaja yang dapat mengembalikannya kepada rasa itu.
1. Pernikahan adalah janji yang berat
“mitsaqan ghaliza”.
“Dan bagaimana kamu tergamak mengambil balik pemberian itu padahal kasih mesra kamu telah terjalin antara satu dengan yang lain, dan mereka pula (isteri-isteri kamu itu) telahpun mengambil perjanjian yang kuat daripada kamu?”
(An-Nisaa’ 4:21)
2. Dan bergaullah dengan mereka secara baik. Kemudian jika kamu bencikan mereka, kerana mungkin kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu).
(An-Nisaa’ 4:19)
3. Dari Abu Hurairah:Rasulullah bersabda:
“Janganlah seorang muslim (suami) membenci seorang muslimah (isteri), jika dia tidak suka salah satu dari sifat dia, ada sifat lain yang dia puas hati.” hadith sahih riwayat Muslim
4. Menerusi Abu Hurairah: Rasulullah bersabda:
“Hendaklah kalian saling memberi hadiah agar kalian saling mencintai”. Hadith sahih riwayat al Bukhari dalam kitab al Adab al Mufrad.
Sumber/Foto: Beanahomequran
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Zizi Kirana Tak Tersinggung. Penyanyi kecil molek yang juga aktivis kemanusiaan Zizi Kirana akui dirinya tidak berasa tersinggung apabila ada yang mengkritik penyertaannya dalam...