Akibat tekanan kehidupan zaman sekarang yang digandingkan lagi dengan stigma masyarakat, membuatkan ramai wanita terjebak dalam dunia murung.
Ya, kemurungan (depression) adalah salah satu penyakit psikologi yang melibatkan tekanan perasaan yang serius kepada individu baik lelaki atau wanita, kanak-kanak, remaja, dewasa dan warga emas.
Namun masalah murung ini boleh wujud daripada banyak punca dan salah satu perkongsian menarik daripada Penulis novel dan drama Stanza Cinta, Puan Nurull Halawati ialah kemurungan waktu hamil sebab tak boleh tengok rumah bersepah.
Haaa… ada mak-mak yang lalui masalah yang sama? Kalau ya, jemput renungkan dan berubah perlahan-lahan untuk keluar daripada masalah ini…
WANITA , KEMURUNGAN & STRESS
Membaca kes-kes ngeri melibatkan isteri meroyan dan kemurungan, mengingatkan saya pada kes diri sendiri.
Iya, saya sendiri pernah mengalami fasa stress hingga hampir kemurungan yang agak teruk waktu mengandungkan Hafii. Ditambah pula masa tu kami baru tahu emak ada kanser payudara, dalam masa sama kami sekeluarga sibuk dengan persiapan kawin adik perempuan. Semua itu bergabung membentuk satu tekanan EMOSI yang sangat hebat. Masa tu ada juga watsap kawan yang kerja doktor untuk bantu carikan tempat untuk terapi. Pembawaan budak barangkali, hari-hari menangis dan merasa semua keadaan mengecewakan.
Ads
Kesedihan dan keserabutan hidup juga berkait dengan masalah kebersihan. Bukan mengada-ngada, tapi sejak kecik lagi saya memang penggeli, dan sangat berkira bab kebersihan ni. Sampai balik kampung pun saya bertinggung je tak nak duduk atas papan kayu yang ada lubang-lubang nampak tanah tu (rumah kampung lama).
Sampai sekarang, pergi mana-mana pun wajib saya bawa kain bersih@ cadar untuk lapik tempat baring saya dan keluarga. Sebab saya bayangkan tilam tu terbiar lama dan penuh habuk. Tak boleh lena bila fikir tidur atas beribu-ribu habuk dan hama. Saya rasa itu penyakit saya (geli habuk). Pergi hotel pun saya akan lapik juga tempat tidur saya. Kalau ada kain batik pun jadilah, asalkan berlapik.
Setengah orang boleh tidur di mana saja, bawah meja, celah timbunan baju dan lain-lain. Tapi saya, zaman sebelum kawin dulu sebelum tidur bilik kena rapi, senyap dan tenang. Sebelum tidur sembur minyak wangi dulu, baca doa dan tidur. Renyah kan..tapi gitulah kekdahnya.
Jadinya, keadaan di rumah wajiblah indah dan menenangkan. Dari dulu hobi saya hias rumah, susun bunga, deko macam-macam. Masa dekat asrama bilik hostel saya paling bersih dan cantik, dapat hamper lagi.
Stress Tak Boleh Tengok Kotor Dan Bersepah
Masa dapat Anis, rumah mantain bersih dan kemas lagi. Masuk anak kedua, dah bersepah sikit dan jenuh jugalah mengemas. Masa mengandungkan Hafii, maya dah 3 tahun dan dia paling suka sepahkan rumah. Jenis tumpah air merata-rata, makanan pun bersepah satu rumah. Carpet pun pakai jenis yang boleh basuh selalu. Disitulah bermula stress saya, merasa diri macam bibik yang terlebih waktu kerja.
Ads
Saya akan kemas rumah hari-hari, malam mengemop, vacuum. Hari-hari, berulang-ulang sampai naik penat. Tambahan pula saya menulis, jadi selagi rumah bersepah selagi itulah otak ‘jammed’, blur je rasa.
Sampai ada sekali tu, lepas tetamu balik ditambah bersepah dengan mainan anak-anak, saya tak mampu lagi kawal emosi, bungkus baju dan angkut dua beradik ni pergi hotel. Dengan mengandung, beg lagi, budak kecik 2 orang ni lagi… nangis-nangis macam dalam drama tv tu.
Masa tu rasa nak lari jauh-jauh, ke hujung dunia gitu. Memang rasa PERLU SANGAT untuk keluar dari rumah yang macam Titanic karam tu. Saya pun ambil grab, turun depan Hotel Sunway. 20 minit dari rumah.
Suami balik kerja petang tu dia relax-relax je dekat rumah, ingat saya pergi rumah mak. Orang punyalah merajuk, tunggu panggilan dia memujuk, dia tak sedar pun tragedi itu (surat cinta atas meja pun dia tak baca..eee..geram rasa) . Masa ni memang rasa lawak sebab tak macam dalam drama bila laki kuar dalam hujan cari bini dia.
Lepas dah sedar saya takde di rumah mak baru dia kaget dan Whatsapp saya tanya dimana. Baru dia kelam-kabut datang ke hotel saya dan anak-anak. Duduk situ 2 hari rasa tenang dan hilang keserabutan.
Ads
Sejak kes drama tak jadi tu, saya dan suami berdiskusi panjang. Suami pun menasihati + memujuk + kaunseling bagai. Keadaan berubah, anak-anak akan selalu buat sepah, saya kena belajar menerima keadaan tu. Tak larat tak perlu kemas. (panjang la tarbiah dia sambil usap-usap kepala saya macam anak kecil). Isteri pun nak dimanja tau.
Pilih Jalan Ini Dan Berubah Perlahan-lahan
Akhirnya perlahan-lahan saya cuba berubah. Kalau dulu hari-hari mop, vacuum, sekarang seminggu sekali. Kalau dulu pantang bersepah saya macam lipas terbang kemas rumah, sekarang lebih santai dan pejamkan mata je. Dulu selalu cuci mata tengok FB Deko Rumahku Syurgaku, sekarang memang tak tengok dah, bimbang penyakit lama datang balik.
Bersabar jelah sambil tunggu anak-anak membesar. Dah lama tak beli pasu bunga cantik-cantik. Ku tahan saja keinginan itu. Siap berazam lagi, nanti bebudak ni dah besar saya nak upah ID datang umah, buat konsep macam hotel gitu.
Kesimpulan dari drama di atas, peranan suami sangatlah penting ketika isteri gagal mengawal emosi, ketika isteri merungut tentang keletihannya, ketika isteri bersikap kalah anak-anak kecil. Kerana mereka bukan robot atau bidadari syurga yang takde nafsu untuk marah atau kecewa. Layani mereka, dengari mereka dan tenangkan mereka dengan kata-kata yang indah. Mereka penat memanjakan anak-anak, sesekali mereka juga mahu dimanjakan sang suami.
Masalah saya selesai, stress saya berjaya diatasi apabila suami menjadi pendengar dan penasihat yang baik. Suami perlu jadi tenang saat berdepan dengan isteri yang sedang menghamburkan lahar kepenatannya.
Buat isteri dan ibu diluar sana, jangan sesekali memendam semua keperitan rasa, luahkan dan dengarkan pada seseorang (seharusnya suami), supaya keadaan tidak bertambah teruk di masa depan. Ibu bahagia keluarga harmoni.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Wanita ini diuji pemergian suami ketika anak-anak masih kecil dan perlukan kasih sayang seorang ayah. Kisah Azlina Mohamed pernah Mingguan Wanita paparkan tak lama dulu.
Kali ini beliau berkongsi bagaimana, berhadapan ujian Allah dengan rasa lapang, redha dan syukur. Moga anda yang sedang melaluinya dapat fahamkan 5 perkara ini, supaya kuat melangkah tempuhi ujian tuhan.
Ingat 5 Perkara Ketika Hadapi Ujian Tuhan
Sebenarnya setiap orang ada ujian masing-masing. Tak kira samada berat atau ringan. Mungkin bagi kita berat namun bagi yang menanggung terasa ianya ringan. Atau mungkin bagi kita nampak ringan tapi ianya berat dirasai oleh orang yang menanggung.
Ujian tanda Allah sayang. Tanda Dia nak kita sentiasa ingat Dia.
Sedikit dari saya,
Bila kita menghadapi ujian dalam kata lain- masalah, ingatlah beberapa perkara;
1) Berbaik Sangka Dan Dekatkan Diri Dengan Allah
Mengadu dan menangislah dengan Dia. Dia Maha Mendengar. Banyakkan membaca AlQuran dan terjemahan. Tak akan saja-saja Dia timpakan ujian untuk kita. Mesti ada hikmah dan kebaikan yang mungkin tidak kita ketahui. Dan manusia akan jadi hebat setelah diuji. Ibarat permata, jadi bernilai setelah diletakkan didalam tekanan yang kuat. Kan?
Allah nak kita jadi hebat. Jadi, berbaik sangkalah dengan Dia. Dia tak zalim. Dia Maha Penyayang. Sambil menguji, Dia akan hantarkan bantuan untuk kita. Percayalah…
2) Jangan Bersendirian; Cari Sahabat Positif
Ini sangat penting. Rata-rata yang menghantar pesanan peribadi di FB saya mengadu bahawa mereka menghadapi tekanan dan hampir melakukan perkara-perkara membahayakan diri disebabkan terlampau memendam perasaan dan tiada kawan berbual. Berkawanlah.
Carilah sahabat-sahabat yang positif. Sekali sekala mengadulah dan berceritalah kepada mereka supaya mereka dapat lontarkan kata-kata motivasi penguat buat diri kita.
Ingat, sekali sekala sahaja ya.. Bukan apa, Jika setiap hari dan setiap masa kita mengadu, kawan pun boleh jemu, boleh lari. Mereka pun ada kehidupan mereka, ada masalah mereka sendiri juga. Kita doa supaya mereka fahami kita, dan kita perlu juga fahami mereka. Sambil tu, cuba belajar untuk kawal emosi dan perasaan.
Hari-hari nak mengadu pada siapa? Mengadu pada Allah.:)
3) Banyakkan Membaca
Kadang-kadang kita perlukan motivasi dari luar tapi kita segan untuk bercerita pada orang lain tentang masalah kita kan? Bacalah buku-buku agama dan buku-buku motivasi. InsyaAllah sedikit sebanyak dapat kuatkan hati dan diri kita.
Bila saya sedih, saya akan baca artikel-artikel yang dapat motivasikan diri saya di internet. Sambil tambah ilmu, dapat saya kurangkan sedikit kesedihan saya.
4) Muhasabah Diri
Kadang-kadang Allah timpakan ujian atas kita disebabkan oleh dosa-dosa kita. Ambil sedikit masa, muhasabah diri kita. Mohonlah keampunan. Berdoalah supaya Dia ringankan bebanan yang kita hadapi. Berdoalah supaya Dia berikan kita kekuatan agar kita dapat harungi ujian yang Dia berikan.
5) Jadi Masyarakat Prihatin
Orang-orang yang menghadapi ujian berat, kebanyakkannya akan jadi sensitif dan “fragile”. Jadilah masyarakat yang peka dan prihatin. Jangan dihakimi mereka-mereka yang bersedih dan tertekan. Janganlah masalah dan perasaan mereka dibuat mainan dan bahan untuk diceritakan. Berilah kata-kata semangat dan sokongan buat mereka.
Hari ini mereka diuji, hari esok mungkin kita pula.
Saya juga mendapat sedikit kekuatan hasil sokongan keluarga, saudara mara, sahabat-sahabat dan orang sekeliling.
Last but not least, bila kita diuji, ingatlah bahawa ada insan lain yang menghadapi ujian yang lebih berat dari kita. Jangan mudah mengalah dan kuatkanlah hati.
Saya hanya insan lemah. Penulisan ini selain untuk pembaca, ianya untuk diri saya juga.
Konon nak ‘buka cawangan’ lain, tetapi bab nafkah kelaut! Ya, realitinya tak semua lelaki berani memikul amanah beristeri dua, tiga atau empat sekali dalam satu masa.
Ramai yang dah mencuba rasa menyesal kerana tak mampu bersabar memenuhi tuntutan-tuntutan isteri yang bukan-bukan, cemburu buta yang melampau dan perebutan harta hingga merosakkan masa depan anak-anak.
Akhirnya Anak-anak Benci!
Rosak dunia rosak pula akhirat kerana hidup sentiasa menipu, menzalimi satu sama lain, membuang masa melayan kemahuan isteri sehingga habis peluang ibadah kepada Allah, hari-hari dengar perkara negatif yang merosakkan hati, sampai satu masa terpaksa lepaskan seorang atau bubarkan semua sekali. Kemudian hidup dijauhi anak-anak yang membenci, dibayangi rasa berdosa sehingga mati.
Bukan semua lelaki yang berpoligami gagal, bergantung berapa tahan iman dan ikhlasnya kepada Allah. Maka, itulah alat ukur lulus atau tidaknya berpoligami. Jika mahu berjaya harungi kesusahan demi kesusahan yang menemani sepanjang hayat sila saja jangan takut. J
Pendek kata, kalau solat pun tak lepas tak payahlah nak berangan bagai, jika duit belanja masih meminta isteri ‘top up’ jangan main-mainkan perasaan dengan cinta tak ada keberkatan.
Tetapi jika memang betul layak harta dan ilmu, iman dan takwanya serta bijaksananya mengurus iman isteri maka suami tiada halangan pun mengamalkan poligami.
Namun jangan sekali-kali lupa, kahwin itu bukan soal layak dari segi harta semata, kepakaran suami dalam mendidik iman dan ikhlas isteri itu yang susah di dapat. Kerana itu poligami hanya bagi mereka yang benar-benar mampu ilmunya, ia perlu kepada kezuhudan dan kewarakan suami dalam mendidik isteri. Semakin dekat kepada Allah semakin besar rasa takut seorang suami melakukan poligami, takut imannya yang nipis itu diterbangkan amukkan isteri. Akhirnya membatalkan niat dan fokus kepada membina cinta yang sedia ada.
Sebenarnya apa yang menjadi punca para suami membatalkan niatnya untuk berpoligami?
Belajar selok-belok ilmu poligami sebelum ‘buka cawangan’
Orang jahil biasanya memutuskan sesuatu tanpa berfikir panjang, walaupun ramai yang ada ilmu tak mahu menggunakan ilmunya kerana dikalahkan oleh hawa nafsu mahu kahwin cepat, memuaskan diri sendiri tanpa memikirkan impaknya di kemudian hari.
Tetapi jika seorang suami bersungguh-sungguh mahu mencari keselamatan dia perlu mempersiapkan diri, isteri dan calon madunya dengan kuasa ilmu yang boleh mengalahkan rasa cemburu.
Ilmu yang memadamkan api dengki, merebahkan jiwa di hadapan Allah bukan di mangsa oleh cinta, menyatukan isteri-isteri dengan air mata takut kepada Allah, dan ilmu yang memberi motivasi isteri-isteri untuk melupakan kesedihan serta membina masa depan.
Ilmu yang membimbing isteri melihat dunia ini sebagai sesuatu yang mudah hilang, mudah lenyap, mudah musnah dan akhirat sesuatu yang kekal, abadi dan datang bila-bila masa saja. Sehinggakan tak perlu memperebutkan dunia untuk mengorbankan akhirat. Jadi jika suami membatalkan niatnya berpoligami mungkin saja dia telah belajar betapa susahnya mengajarkan ilmu ini kepada dirinya sendiri apatah lagi kepada isteri.
Dicabut Kelayakannya Oleh Allah SWT Sekelip Mata
Dulu bukan main bersemangat mahu berpoligami tetapi semakin dikejar semakin banyak kelayakannya dicabut Allah untuk dia berpoligami. Tiba-tiba isteri derhaka, melawan dan nusyuz, mula meninggalkan solat, suami pula tak nasihat dengan lembut, tak bertolak ansur bahkan memaki hamun sampai cederakan isteri dan anak.
Cuba ugut dengan memutuskan wang belanja dan nafkah anak. Harta yang diusahakan tiba-tiba rugi disebabkan sikap suami yang kurang amanah di rumah dan di tempat kerja, Allah cabut keberkatannya kerana dosa-dosanya kepada keluarga. Apabila yang dikejar tak dapat yang dikendong keciciran maka akhirnya suami akur dan insaf bahawa poligami mengikut sunnah amat berat dilaksanakan, umpama satu kaki di syurga dan satu kaki lagi di neraka. Terbatallah niat disebabkan dia rasa tak layak dan tak mampu mendidik isterinya untuk redha.
Takut Mahkamah Akhirat
Ingat ya, kezaliman yang dilakukan suami kepada isteri akan dipersoalkan di mahkamah Allah SWT, dosa kepada isteri jarang diperkatakan seolah-olah boleh saja suami melakukan apa-apa saja kejahatan kepada isteri. Sedangkan Allah SWT telah berjanji akan menilai sehalus halusnya amalan kita, kejahatan atau kebaikan secara telus. Rasulullah s.a.w juga telah memberi amaran dalam hadisnya:
“Sesiapa yang memiliki dua orang isteri lalu dia cenderung kepada salah seorang di antara keduanya, maka pada hari kiamat dia datang dalam keadaan senget sebelah badannya.” (Hadis riwayat Abu Daud, al-Nasa’i disahihkan syaikh al-Albani)
Jadi, ramai para lelaki yang membatalkan niat meminang wanita kedua, kerana takutnya menjawab setiap soalan di mahkamah Allah nanti.
Soal poligami ikut sunnah atau tidak, perlu diselami sedalam-dalamnya tanpa prejudis, yang merasa layak sila amalkan dan jangan paksa orang lain yang tak layak untuk amalkan bahkan menyindir orang lain tidak ikut sunnah. Poligami adalah privasi, tak semua lelaki beriman lagi suci.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Sudahlah isteri itu sarat mengandung, diminta pula buat macam-macam. Rasa ralat sungguh bila ada suami yang tak sayang isteri, marah-marah sebab tak puas hati dengan khidmat bakti isteri. Sampai dijaja kisah isteri di laman sosial, dikongsi pula keburukan isteri tanpa dapat isteri membela diri. Nampak saja salah isteri, tapi tak sedar empat jari lagi tertuding ke diri sendiri.
Terkesan dengan sikap suami yang berkongsi kisah rumah tangganya ini, Puan Marlia Ramlimenyuarakan pandangannya. Saranan untuk suami yang selalu saja mempertikaikan bakti isteri selama mana dia berada di bawah naungan nafkah suami.
Benar.. bukan semua lelaki bergelar suami begini. Ramai sebenarnya sudah punya kesedaran dan bertanggungjawab, cuma kisah ini jadikan ikhtibar. Agar tiada lagi wanita yang dimangsakan oleh suami sendiri.
Wanita Dimangsakan
Ini akak setuju. Kalau kita berkahwin untuk memaksa isteri berkhidmat kepada keseluruhan keluarga kita, akak fikir lebih elok kita ambil bibik uruskan rumahtangga.
Buat apa mahu beristeri? Isteri begini menyusahkan bukan? Tak mahu memerah keringat untuk keluarga kita. Tapi… Ambil bibik perlu dibayar, jika isteri dapat perkhidmatan percuma pula. Untungnya….
Sebagai kapten sebuah kapal, fahamkah kita apa tugas seorang isteri? Job scope nya apa? Termasuk mengurut ibu mertua dan menjaga anak-anak saudara ketika dia sendiri sedang mengendong zuriat kita?
Dan bila bercakap soal nafkah, bukankah hak isteri sepatutnya didahulukan? Garis panduan agama dalam soal pengurusan wang nafkah bagaimana? Muncunglah isteri jika hak nya terabai. Jika dah tunaikan nafkah, berbincanglah beritahu isteri bahawa mahu membahagiakan ibu pula. Usah mengambil hak isteri untuk diberi kepada sesiapa sedangkan terbiar hak nya pula.
Ya, akak setuju. Jika rasa mahu “membibik kan” isteri, eloklah ceraikan dia. Buat apa mahu terusan menyusahkan dia? Bukankah itu hanya membawa derita?
Duhai Suami Yang Dimuliakan
Akak malas nak bebel panjang. Sebelum mengambil anak dara orang, fahami erti bakti seorang isteri.
Kelas agama banyak. Ustaz nak rujuk pun ramai. Belajarlah… Supaya bila isteri mengandung tidak dikerah mengurut ibu dan menjaga anak-anak saudara kita pula.
Sungguh-sungguh formulanya mudah. Jika mahu dihormati sebagai ketua, ketahuilah dulu apa yang patut dan apa yang sebaliknya.
Lepas mencuci pinggan mangkuk dan kemas rumah isteri berkurung di bilik? Tak bolehkah? Selepas dia melakukan khidmat kepada keluarga mertua dia mungkin kepenatan. Penat letihnya mengemas dan mencuci pinggan mangkuk pernah ditanya? Mangkuk apakah pemikiran kita?
Ego Suami.. Sanggup Pula Pisahkan Ibu & Anak Yang Belum Bercerai Susu
Selepas isteri bersalin bercadang nak ceraikan isteri dan ambil anak? Tahniah! Sudahlah sang ibu dan anak berkongsi nafas selama 40 minggu, mahu diambil begitu saja? Tahniah kerana tidak merancang mahu menyusukan anak dengan air susu seorang ibu. Sustagen, Anmum, S-26 dan Enfagrow A+ kan ada? Peduli apa walaupun kita tahu khasiatnya tidak setanding dengan titisan susu ibu. Janji kita boleh menunjukkan kekuasaan kita sebagai arjuna.
Akak kecewa? Ya, akak sangat kecewa jika melihat WANITA DIMANGSAKAN. Ingat… Mak ayah si gadis nyamuk pun tak dibenarkan gigit, hadir arjuna dan keluarga mertua mahu menghancur lumatkan hati pula?
Eloklah mahu ceraikan isteri. Kerana isteri sebegini bakal berjumpa jodoh yang lebih baik. Lagipula, kita ambil bibik lebih mudah. Jangankan mengurut ibu dan menjaga anak-anak saudara, tandas rumah nenek kita sekali pakej mengemop lantai kitchen tok anjang pun kita boleh arahkan bibik lakukan saja.
Dan Akhirnya Ini Yang Jadi, Bila Isteri Terlalu Ditekan Tekan Emosinya
Founder wanita antara ditahan terlibat pengedaran pil kuda di Kelantan, nilai rampasan RM6.16 juta. Memaparkan gaya hidup mewah termasuk menayang kenderaan mewah antara trend...