
Kebanyakan wanita memang suka barang kemas. Selain dipakai sebagai aksesori perhiasan, emas juga boleh dijadikan sebagai simpanan aset masa depan . Tau harga semasa emas je tak cukup, pastikan sebelum nak beli mahupun nak tukar barang kemas ni kena ambil perhatian juga dengan ‘ilmu’ barang kemas supaya tak mudah ditipu nanti.
Ini merupakan perkongsian ilmu berguna daripada peniaga emas sendiri iaitu Syafikah Shafiee sebagai panduan.
- Awas, Strategi Untung Lebih!
Pergi ke kedai emas, tunjuk gelang ada chrome putih. “Ini talak laku. Ambik murah-murah saja. Kalau jual tempat lain, orang tak ambik. Sebenarnya itu adalah strategi mereka untuk mendapat untung lebih. Sepatutnya emas yang ada calit putih itu sama saja harganya. Melainkan kalau ada batu, permata, barulah ianya diasingkan dan hanya emas sahaja yang ditimbang.
- Chrome Bukan Emas Putih
Yang calit-calit putih itu sebenarnya chrome, bukan emas putih. Chrome = saduran cat ke atas emas. Tukang emas letak chrome pada barang kemas agar ia nampak cantik dan terkini. Bila sampai masanya, cat chrome itu akan hilang dan kembali kepada warga emas yang asal.
- Harganya Sama Saja
Ramai orang salah faham kalau barang kemas yang ada chrome itu tidak bernilai bila dijual semula. Ramai yang beranggapan barang kemas yang ada chrome itu lebih mahal dari barang kemas yang tiada chrome. Sepatutnya harganya sama sahaja.
- Antara Emas Putih dan Platinium
Emas putih pula adalah emas yang mengalami proses pelunturan atau ‘bleaching’. Emas putih dicampurkan dengan logam nikel bagi menampakkan ia seperti platinum. Emas putih lebih murah berbanding platinum kerana platinum memerlukan suhu yang tinggi untuk meleburkannya.
Kualiti emas putih adalah 17K dan harganya lebih rendah berbanding emas biasa. Emas putih tidak sesuai untuk dibuat sebagai pelaburan kerana kadar spread boleh capai 70% bila dijual semula. Emas putih hanya sesuai sebagai perhiasan dan barang kenang-kenangan.
- Emas Kemik Atau Calar
Isu emas kemik dan calar tidak diterima pun sama juga. Kononnya tidak laku dan mereka ambil murah. Padahal kelak barang kemas itu akan dipatahkan dan dileburkan juga.
Sebab itu, ilmu mengenai emas itu penting. Bila kita ada ilmu, kita tidak akan mudah atau senang ditipu dan dimanipulasikan oleh pihak lain. Sebarkan informasi ini dan wujudkan masyarakat celik emas di dalam kalangan kita.
Kredit:Syafikah Shafiee
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Jadilah Isteri Hot Untuk Suami, Lakukan Tiga Perkara Ini Untuk Takluk Hatinya

Isi Kandungan
ToggleJadilah isteri hot untuk suami, pegang kata-kata ini jika kalian mahu bahagia hingga ke jannah. Suami adalah manusia biasa, mereka mempunyai keperluan yang isteri mesti penuhi. Silapnya isteri, apabila sudah berkahwin sibuk dengan kerjaya dan anak. Mereka tidak sedar tindakan itu mengabaikan suami.
Jika dilihat secara fizikal, suami tampak sasa dengan tubuh yang tegap berbanding isteri. Namun di sebalik sosok tubuh sasa itu, tersimpan perasaan yang begitu halus. Suami juga seperti kita, mereka mahukan layanan dan perhatian. Suami suka dimanja tapi ramai yang nafikan kerana ego.
Penampilan Rapi, Bau Harum
Untuk takhluk hati suami, isteri mesti bijak atur strategi. Tak susah pun, semuanya sudah diajar dalam Islam. Ada tiga nafsu suami yang isteri kena penuhi. Pertama, nafsu matanya. Suami suka melihat isterinya cantik, rapi dan harum.
Kesilapan kebanyakan isteri, bila ke pejabat penampilannya begitu anggun. Namun bila di rumah, selekeh dan kepam. Jadi tak hairanlah ramai suami yang ‘mati’ selera dengan isteri. Jom ubah tabiat ini, jadilah wanita paling hot di mata suami bukannya mata lelaki lain.
Jaga Makan Minum
Cantik sahaja tak cukup, isteri mesti rajin ke dapur. Nak pikat hati suami, tawan perutnya dulu. Belajar masak makanan kegemaran suami, jaga makan minum dengan baik. Suami pasti gembira melihat kesungguhan isteri memasak untuknya.
Walaupun ada pembantu rumah, bab makan minum suami kita kena uruskan. Sebaiknya makan bersama, namun jika kenyang temani suami di meja makan. Jangan biarkan suami keseorangan.
Layanan First Class Di Tempat Tidur
Nafsu ketiga suami adalah keperluan batinnya. Isteri mesti bagi layanan first class di tempat tidur. Jangan acuh tak acuh, keikhlasan isteri dapat dirasai suami. Sesibuk mana pun, tanggung jawab batin mesti dilaksanakan. Inilah syurga suami.
Sebagai isteri, kita dituntut menjaga penampilan luaran dan kecantikan dalaman. Jaga diri sebaiknya kerana kita adalah bidadari suami. Isteri yang hot pasti sentiasa dirindui suami.
Bebel sebab sayang, bebel sebab amanah. Sayang semua.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Hamil Tiga Bulan Disahkan Kanser, Ibu Teruskan Kandungan Hingga Ternokhtahnya Nyawa

Isi Kandungan
ToggleKata penulis, Khadijah Mohamad Nor, kisah yang dikongsikan ini didedikasikan untuk arwah kakaknya yang berjuang melawan kanser sebaik disahkan hamil tiga bulan.
Hebatnya arwah kakak, dalam disahkan kanser bertekad meneruskan kandungan hingga selamat bayinya dilahirkan. Malah kakaknya yang sentiasa menjaga solat dalam apa jua keadaan dihadiahkan kesempatan olehNya menunaikan umrah biarpun baru dua minggu usai menjalani pembedahan.
Tulisnya,
Hari ini (ketika status ini dimuatnaik) umat Islam di Malaysia dan yang seangkatan dengannya meraikan Hari Raya Aidiladha yang sinonim dengan ibadah korban.
Perayaan ini disambut sempena memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sanggup menyembelih anaknya, Nabi Ismail AS kerana menurut perintah Allah SWT.
Firman Allah SWT di dalam surah Al-Hajj ayat 37 yang bermaksud:
“Daging-daging dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai (Keredhaan) Allah, tetapi Ketaqwaan dari kamulah yang dapat mencapainya. Demikianlah Allah telah menundukkannya untuk kamu supaya kamu mengagungkan Allah terhadap hidayahNya kepada kamu dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang berbuat baik”.
Berkat keikhlasan Nabi Ibrahim melaksanakan suruhan Penciptanya, maka Allah Yang Maha Baik telah menukarkan seekor kibas yang besar sebagai ganti korban Ismail.
Subhanallah, banyak sebenarnya ibrah yang boleh kita dapati melalui kisah Nabi Ibrahim yang sanggup berkorban apa sahaja demi Tuhan yang dicintai.
Ini termasuklah meninggalkan isteri tersayang, Siti Hajar di padang pasir yang tandus bersendirian bersama anak mereka, Ismail.
Kakak Hamil Tiga Bulan Dan Disahkan Kanser
Berbicara tentang aspek ini, hatiku terpanggil untuk berkongsi kisah pengorbanan arwah kakak, Siti Annisah Mohamad Nor ketika diuji dengan masalah kesihatan.
Aku dan arwah hanya berbeza jarak setahun. Dia anak kelapan, manakala aku anak kesembilan daripada 14 beradik (7 lelaki dan 7 perempuan).
Allahyarhamah disahkan menghidap penyakit paling digeruni kaum Hawa, kanser payudara pada usia 31 tahun.
Lebih menyedihkan berita itu diterima ketika arwah sedang hamil anak keempatnya pada usia kandungan hampir tiga bulan.
Masih kekal dalam ingatanku pada tarikh 13 Disember 2013 bila mana arwah kakak memaklumkan perkara tersebut kepada kami semua melalui group WhatsApp keluarga.
“Doktor dah sahkan kanser payudara stage 3. Mohon semua doakan ye. Doktor juga cadangkan supaya kandungan digugurkan untuk jalani rawatan kemoterapi,” tulisnya.
Allahuakbar, aku yang ketika itu berada di sebuah sekolah di Ampang untuk mendaftarkan persekolahan anak terkedu membaca mesej tersebut.
Secara tiba-tiba air mata mengalir keluar tanpa dipinta.
“Abang, kak Nisah confirm kanser payudara stage 3. Ya Allah, kesiannya dia,” tuturku pada suami di sisi.
Demam On Off Dekat Sebulan Lamanya
Suasana tiba-tiba sepi seketika. Kegembiraan kami untuk mendaftarkan anak terbantut dek berita yang tidak diduga.
Kerana apabila menyebut tentang kanser, sudah terbayang di mataku ia pasti berakhir dengan kematian. Cuma persoalannya cepat atau lambat.
“Ya Allah kepadaMu kami berserah. Kurniakanlah kekuatan pada kakakku menghadapi ujian hidupnya. Selamatkanlah kandungannya,” tulus doa yang kupanjatkan buat kak Nisah dalam hati.
Sebelum arwah membuat pemeriksaan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), dia telah menghidap demam yang on off hampir sebulan.
Ia diikuti dengan rasa lemah-lemah badan selain mempunyai ketulan di bahagian pangkal lengan.
Seminggu selepas keputusan diagnosis diperoleh, kak Nisah memberitahu kami sekeluarga bahawa dia enggan meneruskan rawatan kemoterapi sebaliknya mahu mencuba rawatan alternatif terlebih dahulu.
Tujuannya cuma satu kerana ingin menyelamatkan bayi dalam kandungan.
“Akak bukan tak sayangkan nyawa, tapi siapa tahu baby ini anak perempuan. Lepas ni mesti akak dah tak boleh mengandung lagi,” katanya menjelaskan hasrat hati yang begitu mahukan anak perempuan selepas dikurniakan tiga anak lelaki.
Kami hanya akur mendengar penjelasannya walaupun dalam hati bimbang bagaimana dia akan meneruskan kehamilan di saat berdepan penyakit yang mengancam nyawa itu.
Apa yang pasti, kakak sangat kuat dan tidak pernah berputus asa mencuba pelbagai rawatan alternatif dalam usaha melawan kanser payudara.
Malah, dia dan suaminya, Azwan Abdullah sanggup mengeluarkan wang sehingga RM30,000 semata-mata untuk membeli ubat daripada seorang pakar yang dikatakan mampu menjadi penawar kanser yang dihidapi.
Besar Jumlah Wang Ringgit, Tenaga Dilaburkan Untuk Rawatan
Ketika menziarahinya di rumah mertua, aku melihat deretan ubat yang dibeli itu memenuhi ruang meja makan bersaiz besar.
Daripada ubat jenis tablet, serbuk hinggalah cecair, semuanya ada.
“MasyaAllah..macam mana kak Nisah nak makan ubat ni. Banyaknya,” bisikku sendirian.
Dalam proses ikhtiar untuk pulih, arwah sentiasa berusaha mencari rawatan yang dirasakan sesuai.
Habis wang ringgit, tenaga dan masanya digunakan bagi tujuan tersebut.
Apa yang lebih mengejutkan, sewaktu dimasukkan ke hospital akibat komplikasi kehamilan, kakak begitu tegar untuk tidak memberitahu doktor bahawa dia merupakan pesakit kanser payudara.
“Lecehlah kalau beritahu doktor, nanti macam-macam prosedur pula nak dibuat. Allah ada,” ucap kak Nisah tanpa sebarang riak kebimbangan di wajahnya.
Dengan tubuhnya yang kurus, kami rasa sayu dan hiba melihat keadaannya tetapi kesedihan itu tidak dipamerkan ketika melawatnya.
“Kita semua kena kuat, jangan tunjukkan perasaan sedih depan Nisah. Dia perlukan sokongan kita semua,” nasihat kakakku, Siti Hanim, 45, pada kami adik-beradik.
Berkat doa semua dan kuasa Allah, arwah kakak akhirnya selamat melahirkan bayi perempuan secara normal pada 24 Mac 2014 ketika usia kandungannya tujuh bulan.
Bayi pramatang seberat 1.3 kilogram itu diberi nama Fatimah As-Syifa dan dia menjadi simbol kekuatan kakak sebagai pesakit kanser.
Menurut seorang lagi kakakku, Siti Mariam, 40, dia tidak dapat melupakan saat mendengar perbualan seorang jururawat dengan arwah.
“Payudara sebelah kanan puan dah keras sangat. Bengkak susu ni. Nanti puan tuam dengan tuala panas ye untuk kurangkan bengkak tu,” ucap jururawat tersebut sambil menekan-nekan bahagian payudara arwah yang membengkak.
Pada waktu yang sama arwah membuat mimik muka seolah-olah meminta kak Siti jangan memberitahu perkara sebenar kepadanya.
“Disebabkan tak tahan melihat situasi itu, akak terus lari keluar dari wad dan menangis semahunya,” imbau kak Siti mengenai peristiwa lalu.
Usai tempoh berpantang, kak Nisah tetap enggan mendapatkan rawatan kemoterapi di hospital.
Akhirnya Kakak Mengalah, Lakukan Rawatan Di Hospital
Dia masih setia dengan rawatan alternatif hasil sokongan kumpulan rakan-rakan survivor kanser.
Pernah satu ketika, arwah mengajak abang ipar, Mohd Fauzie dan kakak, Siti Hanim menemaninya ke Kelantan untuk menjalani rawatan alternatif disebabkan suaminya tidak dapat turut serta atas kekangan tugas.
Memandangkan mahu bermusafir jauh, suamiku menawarkan kereta Viosnya untuk digunakan semata-mata mahu kak Nisah berasa selesa.
Bagaimanapun selepas keadaan kesihatannya semakin merosot, kakak akhirnya bersetuju dibawa ke hospital.
Itupun selepas dipujuk mak dan abah.
Sejak itu sekitar Mac 2015, HUKM mula menjadi rumah keduanya.
Kakak berjaya menjalani lapan cycle kemoterapi selain beberapa rawatan radioterapi.
Sentiasa Jaga Solat Walau Diuji Sakit Tenat
Apa yang sangat kami kagumi, walaupun dalam keadaan menahan sakit dan kurang bermaya, arwah kakak tidak pernah meninggalkan solatnya.
“Dia akan minta bantuan untuk berwuduk dengan cara semburan air.
“Waktu den ratakan air wuduknya, kelihatan wajahnya tenang sekali. Allahurabbi…kuatnya kak Nisah,” jelas adik perempuan bongsu kami, Siti Salbiah, 27, yang sering menemani kakak di hospital termasuk ketika menginap selama tiga minggu di sebuah homestay di Melaka bagi tujuan berubat.
Sepanjang kakak dirawat di hospital, saya akan cuba melawatnya sekerap yang mungkin kerana ia terletak berdekatan dengan pejabat Kosmo di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur.
“Ijah, nanti tolong belikan akak milo ye kalau datang. Milo dah habis,” antara mesejnya melalui WhatsApp yang masih ku simpan hingga kini.
Pada awal Januari 2016, kakak menjalani pembedahan mastektomi untuk membuang sebelah payudaranya.
Ironinya pembedahan itu dilakukan hanya dua minggu sebelum tarikh arwah dijadualkan menunaikan umrah bersama suaminya.
Dalam keterujaannya untuk ke Tanah Suci, kami sekeluarga yang risau tentang keadaan kesihatannya.
Namun, Subhanallah… kakak berjaya melaksanakan ibadah umrah dengan sempurna.
Berseri-seri Kakak Tunaikan Umrah
Wajahnya penuh berseri ketika menghantar gambar berlatarkan Kaabah di group WhatsApp keluarga.
Alhamdulillah. Setinggi-tinggi kesyukuran kami panjatkan pada Ilahi atas nikmat yang dikurniakan padanya.
Bagaimanapun, sebagai manusia yang telah ditentukan ajalnya, tiada yang mampu menghalang takdir Allah.
Sebagaimana firman Allah dalam surah Ali Imran, ayat 145 yang bermaksud:
“Sesuatu yang bernyawa tidak akan mati melainkan dengan izin Allah, sebagai ketetapan yang telah ditentukan waktunya.”
Selepas mengharungi tiga tahun yang penuh dugaan sebagai pesakit kanser payudara, kakak akhirnya dijemput pulang bertemu Ilahi pada hening pagi 15 Oktober 2016, dua hari selepas hari lahirku.
Kali terakhir melawatnya pada 13 Oktober bersama hari Khamis malam Jumaat, arwah sudah tidak mampu berbicara.
Bening matanya seolah-olah mahu berkata sesuatu, namun tidak terluah.
Selesai membacakan surah Yassin buatnya, aku memegang tangan kakak dan mengucup dahinya lama sambil berkata: “Malam esok den datang lagi ye kak Nisah. Den minta maaf atas segala salah silap.”
Entah mengapa, selepas habis kerja keesokan harinya, badan terasa lemah membuatkan niat untuk pulang ke kampung menziarahi kakak seperti yang dijanjikan kepadanya tidak kupenuhi.
“Takpelah abang, esok pagi-pagi la kita balik. Nanti terus lawat kak Nisah. Macam tak larat pula nak balik malam ni,” syorku kepada suami yang kemudian menurut sahaja keputusan itu.
Kakak Sudah Pergi Untuk Selamanya
Bagaimanapun, deringan telefon kira-kira pukul 4.30 pagi mengejutkanku dari lena.
“Kak ijah, kak nisah dah takde. Dia meninggal pukul 4 tadi. Abang Azwan baru bagitau,” sayup-sayup suara seorang lagi adikku, Khamsiah mengkhabarkan berita sedih itu.
Ya, ternoktah juga penderitaan kak Nisah di dunia. Apa yang pasti, semangat juang dan ketabahannya berdepan ujian hidup sangat kami kagumi.
Bak kata pepatah, kasih ibu membawa ke Syurga, itulah makna pengorbanan seorang ibu yang sukar dicari ganti.
Begitu juga dengan pengorbanan suami arwah, abang Azwan yang telah melaksanakan tanggungjawab menjaga kakak dan anak-anaknya dengan baik.
Apa tidaknya, sepanjang arwah sakit abang Azwan yang merupakan cinta hati kak Nisah sejak mereka berusia 14 tahun, menguruskan makan pakai dan persekolahan anak-anak.
Kini, walaupun telah berkahwin lain dan dikurniakan seorang anak lelaki bersama isteri barunya, dia tetap akan meluangkan masa membawa anak-anak arwah kakak ke rumah mak dan abah.
Ahmad Atoillah, 12, Mahmud Said Mamduh, 11, Ahmad Zahid, 8, dan Fatimah As-Syifa, 5, kini membesar dengan sempurna.
Dan pastinya Syifa yang mewarisi wajah persis arwah uminya akan sentiasa menjadi lambang ketabahan dan kekuatan seorang wanita bergelar ibu dalam perjuangan melahirkan anak itu ke dunia.
Mohon hadiahkan Al Fatihah buat arwah kakak, Siti Annisah Binti Habibah sebagai bekal buatnya di alam barzakh.
Semoga rohnya berbahagia di sisi Tuhan dan dikurniakan ganjaran syurga tertinggi, Syurga Firdaus asbab pengorbanan yang telah dilakukan. InsyaAllah Amin…
Selamat Hari Raya Aidil Adha 1440H buat semua. Semoga rahmat dan kasih sayang Allah yang tiada batasan sentiasa memayungi kita hendaknya.
#FromJournalistToHouseWife
Sumber/Foto : KHADIJAH MOHAMAD NOR , Acik Bawang Surirumah
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Menyayat Hati! Bayi Meninggal, Badan Dilumur Garam. Jadi Mangsa Ayah Sakit Mental

Isi Kandungan
ToggleTak dapat bayangkan apa yang dilalui oleh Seorang bayi yang belum mengerti apa-apa. Apatah lagi ibunya yang sudah tentu menyaksikan apa yang telah diperlakukan pada bayinya oleh tangan suaminya sendiri.
Namun kita tak mampu menyalahkan sang ayah 100 peratus kerana dia melakukan perkara ini tanpa sedar. Cukup menyayat hati apabila seorang bayi meninggal yang kemudiannya dilumur garam seluruh badan gara-gara jadi mangsa ayah yang sakit mental.
Bayi Meninggal Dilumur Garam
Bayi lelaki berusia lapan bulan ditemui mati dalam keadaan menyayat hati termasuk badan dilumur garam dipercayai dibunuh bapa kandung menggunakan objek tumpul dalam kejadian di Kampung Sungai Dua, Bachok, Kelantan, pagi tadi.
Kematian Wan Mohamad Afiq Wan Roslan dipercayai dilakukan bapa mangsa yang mengalami masalah gangguan mental.
Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Samsulmuddin Sulaiman berkata, pihaknya mengetahui kejadian selepas sepupu suspek berusia 50-an datang membuat aduan berhubung kematian bayi itu pada jam 11.30 pagi tadi.
Katanya, pengadu memaklumkan suspek menghubunginya supaya melihat keadaan anak tunggalnya dan sebaik tiba di rumah suspek, pengadu mendapati anak suspek sudah meninggal dunia dengan keadaan mencurigakan.
“Selepas mendapat laporan, polis menyerbu rumah suspek yang berkunci dari dalam dan bertindak memecah masuk rumah berkenaan.
Baca Juga Di sini:
Faktor-Faktor RISIKO Penyakit Mental, Ini Yang Perlu Kita Ambil Tahu!
Dr Zaharuddin Abd Rahman Kongsi Amalan Doa ElakPenyakit Kemurungan!
Untuk info lebih menarik, klik saja di sini.
Ibu Mangsa Trauma, Bayi Jadi Mangsa Bapa
“Sebaik berjaya masuk ke dalam rumah, kami menahan seorang lelaki dipercayai suspek dan membawa keluar seorang wanita dipercayai ibu mangsa berusia 32 tahun dalam keadaan trauma dan menangis.
“Hasil pemeriksaan menemui bungkusan guni berisi bayi itu yang disorokkan di bawah meja di bahagian dapur,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, di sini, hari ini.
Samsulmuddin berkata, hasil pemeriksaan ke atas bayi berkenaan, mendapati terdapat beberapa kesan lebam pada seluruh badan termasuk kesan lelasan di leher kiri dan kanan bayi berkenaan.
Katanya, pihaknya belum dapat memastikan sama ada kesan itu kesan cekik atau jerutan dan percaya mangsa meninggal dunia kurang tempoh 24 jam.
Ada Kesan Lelasan, Badan Bayi Dilumur Garam
“Pemeriksaan awal pihak forensik tidak menemui kesan luka berdarah pada bayi berkenaan dan mendapati badan bayi itu turut dilumuri dengan garam kasar pada seluruh tubuh,” katanya.
Beliau berkata, kematian bayi itu dipercayai akibat objek tumpul dan tiada senjata ditemui di lokasi kejadian.
Katanya, daripada siasatan awal yang dijalankan suspek yang bekerja kampung didapati mengalami masalah mental sejak dua minggu kebelakangan ini.
“Hasil pemeriksaan awal juga mendapati terdapat kesan lebam dan calar di kedua-dua belah tangan kanan dan kiri si ibu dan dia dibawa mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Bachok.
“Mayat bayi berkenaan dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu, untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
Keluarga Terkejut Dengan Apa Yang Berlaku
Sementara itu, ahli keluarga pasangan itu, Masitah Mohd Ragimi, 46 berkata, dia terkejut apabila mendapat berita kematian cucu saudaranya yang juga anak tunggal pasangan berkenaan.
Katanya, kali terakhir dia melawat pasangan itu di rumah mereka Rabu lalu kerana melawat suspek yang demam akibat sakit bisul.
“Setahu saya, suspek duduk elok (hidup baik) dengan isteri dan anaknya, kami pun tak pernah dengar mereka ada masalah, mangsa juga anak pertama hasil perkahwinan suspek dengan anak saudara saya,” katanya.
MW: Apa yang berlaku ini adalah berpunca daripada masalah kesihatan mental, betapa beratnya masalah ini jika tidak dibendung lebih awal. Oleh sebab itu, jika mak ayah merasa depresi, murung atau tertekan luahkan pada pasangan atau ahli Keluarga.
Jangan pendam sendiri dan cuba dapatkan bantuan. Kisah ini dapat mak,ayah jadikan iktibar dan menyedarkan kita semua betapa parah kesannya jika mental kita tidak sihat.
Sumber: myMetro
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI