Tidak dinafikan setiap mak ayah pastinya mahukan yang terbaik buat anak-anak. Namun, adakalanya kerana terlalu inginkan yang terbaik buat anak-anak, nak anak cemerlang dan bijak pandai di sekolah tadika ,tanpa sedar ia sebenarnya satu ‘kesilapan’ buat kita. Oleh itu, mak ayah yang ada perancangan untuk hantar anak ke sekolah tadika tahun depan, seeloknya fahamkan dahulu 4 perkara ini dahulu.
Ia merupakan perkongsian menarik daripada Puan Ashikin Hashim yang merupakan seorang Pengetua di salah sebuah sekolah tadika.
Berikut antara perkongsian tersebut;
Surat Terbuka buat ibu bapa yang bakal menghantar anak ke sekolah tadika atau sudah pun menghantar.
Semoga perkongsian ini dapat melapangkan hati kita semua.
Ads
1. Tadika Umpama Syurga
Tadika umpama syurga dunia buat anak-anak. Jangan samakan tadika dengan sekolah rendah, sekolah menengah mahu pun universiti. Di dalam syurga ada apa? Dalam syurga ada kebahagiaan, kegembiraan, kedamaian, kebebasan. Tadika itu penuh warna warni, penuh dengan tawa, sangat riuh dengan suara anak-anak – Baik. Sudah set kan dalam minda kita rupa TADIKA?
Di tadika sama sekali tak akan berlaku anak berdiri atas kerusi, anak berdiri di luar kelas, anak kena rotan, anak kena maki, anak kena denda pandang dinding. Jika ini berlaku maka something to do with the teachers dan juga sistem sekolah tersebut.
Anak-anak ditegur dengan cara memberi galakkan, anak-anak dinasihatkan dengan cara memperbanyakkan role play, anak-anak dipujuk dengan memperbanyakkan menyanyi dan menari, anak-anak digembirakan dengan banyakkan kata-kata pujian.
2. Bukan Tempat Hanya Untuk Belajar Membaca
Tadika bukan tempat untuk belajar MEMBACA sahaja. Di tadika lah anak-anak belajar berkawan, belajar berkongsi, belajar menunggu giliran, belajar mengawal emosi, belajar memohon maaf, belajar rutin harian, belajar menyusun kasut, belajar menjaga barang kepunyaan sendiri, belajar menghormati orang yang lebih dewasa……banyaknya mereka kena belajar. Belajar ini semua kena pakai buku kah. Sudah tentu TAK PERLU! Then kenapa belikan beg sekolah anak tadika yang besar gedabak? Nak suruh anak bawa ensiklopedia kah? Mak pengetua tak faham ni.
Ads
3. Tadika Bukan Tempat PERTAMA dan UTAMA Anak Belajar
Tempat PERTAMA dan UTAMA adalah di rumah kita sendiri. Jadi GURU yang pertama adalah kita sebagai ibubapa mereka. Apabila kita faham konsep ini, maka kita tak akan sewenang-wenangnya menyalahkan anak kenapa anak tak pandai membaca. Jika kita faham konsep ini maka kita tak akan cakap cikgu tak pandai ajar anak saya.
4. Bukan Tempat Nak Ukur Kepandaian Akademik Semata-Mata
Tadika bukan tempat kita nak ukur kepandaian akademik anak semata-mata. ‘A’ bukan matlamat. Buku latihan yang banyak bukan petanda anak boleh masuk Universiti 15 tahun lagi dari umur dia sekarang. Anak-anak tadika tak sepatutnya tidur lewat semata-mata nak suruh dia buat latihan sebab esoknya ada exam tadika.
Marilah kita mohon kepada Allah. Janganlah Allah bebankan kita dengan asyik duk fikir bila anak aku nak pandai. Itulah ‘zikir’ kita – anak aku tak pandai baca lagi, macamana nak exam linus, macamana nak dapat duduk kelas pandai.
Usahlah kita sempatkan pemikiran kita, anak yang pandai tu anak yang tahu baca sahaja. TIDAK! Anak bukan kena pandai baca sahaja. Kena pasak dalam jiwa, ke ingat dalam kepala. Semua anak pandai dan bijak belaka.
Ads
Tugas kita hanya boleh memberikan ransangan dan galakkan kepada mereka. Umur 4 – 6 tahun ni belum bersedia lagi anak nak kena bantai sebab tak pandai baca. Itu akan hanya spoilkan jiwa anak.
Jangan bunuh jiwa mereka hanya kerana mereka tak pandai membaca. Raikan usia muda mereka. Belajar dalam keadaan yang bahagia dan gembira.
Itu sahaja dari Mak Pengetua. Selamat mendaftar anak untuk tahun hadapan.
Semoga perkongsian ini bermanfaat dan membuka mata kita sebagai mak ayah.
Catatan seorang bapa, Muhamad Ammar Kamilin (Ammar Kamilin) tentang anak sulungnya yang bakal mengambil keputusan peperiksaan UPSR boleh buat empang air mata ini pecah.
Terasa cukup dekat di hati. Andailah si manis Zulfa ini anak kita. Yang sudah berusaha sehabis baik, namun rezeki tidak memihak padanya. Apakah kekuatan mak ayah dapat salurkan agar anak itu tidak remuk hati.
Moga ada kisah pengajaran yang dapat dititip menerusi catatan tulus ikhlas seorang bapa ini.
Encik Ammar Tak Pergi Ambil Result Anak?
Saya terbaca sebaran poster kenyataan Dato Seri Mahdzir Khalid, Menteri Pendidikan Malaysia. Beliau berpesan supaya pada hari keputusan UPSR diumumkan, tidak perlu diadakan majlis khas meraikan pelajar cemerlang 6A sedang ratusan calon murid UPSR lain hanya memerhatikan dengan perasaan diri mereka tidak dihargai.
Betapa saya merasai pengalaman ‘getir’ itu sebelum ini. Bukan sebagai murid. Tetapi sebagai bapa.
Pada hari itu, subuh lagi isteri sudah berpesan, “Abang, nanti jangan lupa datang sekolah. Zulfa ambil UPSR hari ni.”
Saya hanya angguk dan senyum. Mana mungkin saya lupa. Kali pertama dalam hidup anak sulung menerima keputusan peperiksaan besar.
Pagi itu, saya ke pejabat dulu. Rakan sepejabat pelik melihat saya masih berlegar-legar di meja.
“Encik Ammar tak pergi ambil result anak?”
“Relakslah. Bukannya keputusan keluar terus. Menteri umum dulu, baru result boleh ambil.” Terus menyambung kerja-kerja yang sedang menunggu.
Henfon berpusing di meja diiringi deringan lagu lembut. “Abang, dah gerak dari ofis belum?”
“Belum. Baru nak gerak.” Sambil menolak kerusi merapat ke meja.
“Result dah boleh tengok online. Tapi Ryn tak berani nak tengok. Kalau abang nak tengok, tengoklah. Tapi jangan beritahu Ryn.”
Lif dari tingkat 7 turun ke B1 hari itu terasa sangat perlahan. Jantung berdegup lain dari biasa. Detak dan berombak seperti berlari.
Ya, saya gugup.
Zulfa Sederhana Saja Di Sekolah
Dari darjah 1 hingga 6, sering juga berpindah kelas. Pernah merasai kelas tertinggi semasa darjah 5, tetapi turun ke kelas kedua untuk menghadapi UPSR.
Tiada apa yang istimewa pada pencapaian. Jarang dia menerima anugerah akademik. Tetapi saya tidak boleh menyangkal seperkara. Dia anak rajin dan tak banyak soal. Diminta belajar, dia belajar. Diminta menolong kerja di rumah, dia menolong.
Walaupun akademik sederhana, tidak pernah saya rasa mahu memarahi Zulfa.
Dalam perjalanan balik dari sekolah selepas KAFA, dia akan tertidur kepenatan di dalam kereta.
Sampai saja di rumah, terus mandi dan menyelesaikan kerja-kerja sekolah tanpa disuruh.
Tiba maghrib, dia berhenti solat sendiri. Selepas makan malam, sambung semula menyiapkan kerja sekolah.
Ada hari, apabila tiada kerja sekolah, dia menilik jadual belajar di dinding dan terus membuat latihan dalam buku aktiviti. Tanpa suruh.
Ada masa, dia minta saya mengajar apa yang sukar dia fahami. Tanpa sedar, kadang-kadang saya tertidur atas katilnya. “Abah, Zulfa nak tidur.” Saya melihat jam dinding, pukul 12 malam.
Hari minggu, dia selalu memujuk rayu minta untuk belajar di rumah kawan. Jika tidak diizin, monyok sepanjang hari.
Bukan kami tak sokong, tetapi jarak rumah ke Putrajaya bukannya dekat. Rasanya, cukup setiap hari, abah mama berulang alik untuk kerja. Tidak betah rasanya hari minggu masih memandu jauh.
Tapi rajuknya sebentar. Sedang kami leka, dia sudah di dalam bilik, belajar sendiri.
Untuk anak yang begini, apa lagi mahu saya paksa.
Lalu, fahami saja jika saya gugup pagi itu.
Bagaimana Mahu Berhadapan Dengan Zulfa
Sebagai bapa, saya boleh menerima apa saja. Dengan usaha Zulfa, saya tidak menyesal apa-apa. Saya sudah melihat prosesnya. Hasilnya hanya bonus bagi saya.
Tetapi dia. Bagaimana dia?
Bukankah di mana-mana pun orang berkata, usaha tangga kejayaan. Mudah fahamnya, berusaha, pasti berjaya. Jika sudah usaha, tetapi tidak berjaya?
Saya tinggalkan soalan itu begitu saja. Kerana berjaya itu luas tafsirannya.
Lagipun, beberapa minggu sebelum itu, Zulfa pernah berbincang hati ke hati dengan saya. Dia sudah usaha, dia terima saja apa keputusannya. Ketika itu saya sudah lega. Harapnya apabila hari itu tiba, dia benar-benar kota apa dikata.
Ikon Google Chrome di henfon saya sentuh dan biarkan ‘loading’. Alamat url yang disebut isteri saya taipkan satu persatu. ‘Enter’. Paparan telah tersedia. Masukkan no. IC dan angka giliran, keputusan dipaparkan.
Lama saya duduk dalam kereta yang enjinnya telah dihidupkan. Sungguh saya tidak kecewa. Tidak. Saya sedang mencongak-congak bagaimana mahu berhadapan Zulfa. Apa yang saya lihat terpapar di skrin sudah saya redhakan. Sekarang ini, ayat apa mahu saya ucapkan nanti.
“Abang, guru besar belum balik dari pejabat PPD untuk ambil keputusan. Tapi Ryn dengar ‘result online’ dah keluar. Abang dah tengok?”
“Dah.” Perlahan dan bergetar. Isteri, dari intonasi saja sudah terbaca di hati apa yang saya cuba sampaikan dari getar itu.
“Allah bang…” Itu saja yang terungkap dari mulut isteri selepas saya didesak untuk memberitahu keputusannya. Aneh juga wanita bergelar ibu. Satu masa dia berpesan seperti tak mahu peduli. Tidak lama dia pula mendesak untuk mengetahui.
Ammar dan anak bongsunya, Zahraa.
Ya Allah, Teruji Sungguh Hati Ini
Ketika itu, saya seperti baru memahami apa perasaan seorang doktor yang sudah tahu pesakitnya menghidap kanser tahap 4 dan didiagnos sukar untuk diubati lagi. Perasaan mahu mengkhabarkan berita itu, seperti pedih menoreh dada.
Dari jauh, saya mendengar pengumuman nama anak-anak bertuah yang memperoleh 5A. Menaiki tangga menuju dataran sekolah, terhidang di hadapan saya deretan anak-anak yang sedang duduk beratur menunggu nama masing-masing dipanggil.
Saya mencari kelibat Zulfa dan menangkap dia sedang bergelak ketawa mengusik rakan-rakan dalam barisan yang berada sedikit ke tengah.
Dia sedang enak ketawa dan hati saya pula sedang mendung. Dia masih belum tahu keputusan, sedangkan saya masih gagal menemui kata terbaik mahu diungkapkan.
Zulfa terpaling ke arah saya, melambai-lambai dan menunjukkan ibu jari tanda bagus. Itu keyakinan dia ketika itu.
“Ya Allah, teruji sungguh hati ini hari ini.” Saya hanya mampu bersandar pada dinding.
Selepas menamatkan bercakap dengan ibu seorang pelajar, isteri datang merapati, “Bang, tengok Zulfa tu bang. Dia seronok lagi tu. Tak tahu apa. Kesiannya dia bang.” Mata isteri mula berair.
Saya memerhati Zulfa dari jauh. Kepalanya terdongak-dongak menanti namanya dipanggil. Sesekali dia bertanya kawan hadapan, nama siapa yang disebut apabila tidak dapat mendengar dengan jelas. Kawan sekeliling yang tadi ramai, sudah mula bangun seorang demi seorang meninggalkan dia. Yang dapat 4A sudah. Yang dapat 3A sudah. Sedang diumum mereka yang 2A. Dia mula gelisah.
“Allah, Allah, Allah…” Itu saja mampu saya dalam hati. Kau takkan mampu untuk pandang wajah dia yang sedang menanti itu.
Zulfa memandang saya dari tempat duduknya. Kali ini, pandangannya tidak seceria dan bercahaya seperti awal tadi. Dia seperti sudah mengagak sesuatu. Jika kau pernah lihat wajah anak yang sedang bersalah, itulah wajah Zulfa ketika itu. Cuma kali ini, dia tidak salah, dia tidak berbuat apa dosa pun. Dan itu yang menyebabkan airmata seorang ayah hampir tumpah.
Sebaik saja slip peperiksaan bertukar tangan, barulah wajah putih tadi mula merah. Saya membiarkan saja dia memilih bahu siapa yang mahu dipinjam. Ternyata bahu yang diperlukan adalah ibu. Berlaku drama airmata yang kehilangan skrip. Tiada sebarang kata-kata, hanya pelukan penuh emosi hiba.
Ku Selemah-lemah Manusia
Saya berjaya mengawal ‘ego’ seorang lelaki pada pagi itu hanya untuk menanti akhirnya airmata itu tumpah pada waktu berdoa selepas solat maghrib berjemaah.
“Ya Allah, kami bersyukur dengan apa yang telah engkau rezekikan kepada kami ya Allah. Selepas segala usaha, jika ini yang kau berikan pada kami, penuhkan hati kami dengan rasa cukup ya Allah. Tidak ada kuasa yang mampu memberi bahagia melainkan engkau ya Allah.
Tanpa dirancang, saya berpaling ke belakang dan menitipkan doa khusus untuk Zulfa ketika itu.
Ya Allah, Zulfa sudah berusaha sebaiknya ya Allah. Dia sudah redha dengan hasil yang diperolehi ya Allah. Kau kuatkanlah hatinya ya Allah. Jangan kau padamkan api semangatnya yang mahu terus menimba ilmu-Mu ya Allah.
Sesungguhnya, kami sangat LEMAH ya Allah…. ”
Sebut saja perkataan LEMAH, serentak itu juga, jatuh habis airmata yang dari pagi diempang. Saat itu, sebagai bapa, betapa saya sedar, sekalipun kau manusia boleh berusaha tanpa batas masa, menghimpun segala kepandaian manusia, merancang strategi ‘pasti berjaya’, apabila akhirnya Allah putuskan begitu, maka begitulah! Kau tidak akan berdaya. Kau selemah-lemah manusia.
Lama saya terhenti. Jelas ada esak tangis juga di belakang saya. Ya, ego manusia jatuh. Mana lagi mahu meminta pertolongan jika bukan dari-Nya.
Saya serahkan sepenuhnya urusan untung nasib persekolahan anak saya seterusnya pada Allah.
Ketika itu, baru terasa betapa nikmatnya hati yang bulat sepenuhnya, lillahi taala.
Selepas Setahun Ini Yang Jadi
Alhamdulillah… Selepas satu tahun, saya mula nampak mengapa Allah menyusun apa yang berlaku sedemikian rupa. Di sekolah menengah, Zulfa sangat berbeza dari dia yang saya kenal di sekolah rendah sebelum ini.
Potensinya dicungkil dalam pelbagai bidang. Mendapat rakan-rakan sekolah yang bagus akhlak. Dia seperti tidak terkesan langsung dengan apa yang berlaku tahun sebelumnya. Saya lega.
Cukuplah sekali itu. Saya memang berharap keputusan peperiksaan tidak lagi diumumkan sedemikian rupa. Serahkan saja keputusan peperiksaan mengikut nama kepada anak murid dan biarkan mereka membaca sendiri keputusan mereka.
Mana yang keputusannya cemerlang, sekolah boleh raikan dalam satu majlis khas buat mereka kemudian dari itu. Tidaklah murid lain yang menunggu terpinga-pinga.
Tidak mahu lagi ada bapa atau ibu lain yang merasai apa yang saya rasa.
Siapa rakan di KPM, sampaikan salam pada YB Menteri. Saranan beliau saya hargai.
Agar Tak Salah Faham
Saya bercakap dalam KONTEKS mengadakan majlis meraikan itu serentak ketika mengumumkan keputusan. Ini yang saya mohon ditiadakan.
Jika mahu diraikan selepas mendapat keputusan. Silakan. Saya sendiri selalu hadir menemani isteri yang menjadi AJK PIBG. Tiada secebis dengki pun.
Kami tumpang bangga dengan anak-anak berpotensi ini.
Sumber/Foto : Facebook Ammar Kamilin
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Perasan tak bila mak ayah ucap sesuatu pada anak, baik untuk nak elakkan daripada tidak ulangi lagi, mahu pun memujuk atau ada yang nak bandingkan dengan anak lain, ia boleh menjadi lebih teruk dan makin menjadi-jadi.
Mak ayah ucap ini adalah dengan tujuan untuk mengajar dan mendidik mereka. Rupa-rupanya, ia adalah salah dan boleh buat anak rasa tidak disayangi mahu pun tidak sayang dengannya.
Tidak dinafikan, nak sayang anak tidak semestinya dengan memberi hadiah yang macam-macam. Dibelai dan dimanja seperti menatang minyak yang penuh. Itu kalau anak seorang, kalau anak berderet, mahunya tak terlayan mak ayah.
Sebolehnya, kita sebagai ibu bapa, ingin menjadi mak ayah terbaik dengan memberi pendidikan yang sebetulnya atau tunjuk ajar dan teladan yang baik.
Ada mak ayah ucap dengan perkataan yang dirasakan sudah cukup baik untuk memujuk anak dengan menjanjikan sesuatu atau pun ada masanya mereka marah anak sampai nak membandingkan dengan anak orang lain dan sebagainya. Semua yang dikatakan dan dilafazkan itu adalah salah.
Sebaliknya, kalau ingin memuji, marah atau pujuk, gunakan ayat yang betul. Seperti apa yang dikongsikan oleh Mohammad Yaakub Yusra tentang perkara ini.
Mak ayah yang outing dengan anak-anak kecil terutama ke pasaraya. Sebaik turun kereta, janganlah cuma ambil gambar tiang parkir semata. Ambillah juga gambar anak sama.
Ini pesanan wartawan Mingguan Wanita sendiri yang telah mengalami situasi anak lepas dari pandangan ketika ke pasaraya. Yang kebetulannya, pada hari itu ada jualan murah dan jumlah pengunjung tentulah lebih dari biasa ramainya.
Hari itu kebetulan ada satu majlis yang perlu dibuat liputan. Kebetulan majlis itu berlangsung di sebuah pasaraya terkemuka di Putrajaya.
Memandangkan hari berlangsungnya majlis, hari Sabtu…maka awal-awal lagi dah berpakat dengan suami bawa dua ketul Eeman kami sama-sama ke mall. Lagipun kerja tu tak makan masa yang terlalu lama.
Selesai sahaja kerja, maklum sajalah hari cuti. Ramailah orang berpusu-pusu ke mall. Kebetulan jam menjelang jam 3 petang dan suami bergegas nak ke surau yang letaknya di aras 3.
Manakala saya dan dua anak bercadang nak ke bahagian barangan barang dapur dan mentah. Berpisahlah kami di situ. Janjinya selesai urusan, masing-masing akan update dan jumpa di mana-mana lokasi dalam mall ini.
Sambil menolak si adik yang terlena di dalam stroller tangan sebelah menjijit beg. Dengan harapan si sulung ikut kita dari belakang menuju ke pasaraya. Sedang bercakap-cakap,
rasanya macam kita sedang bercakap sorang-sorang… tahu-tahu bila toleh di belakang si sulung tak ada. Ke mana pula dia ni?
10 Minit Tunggu Anak Tepi Kedai, Tak Ada Tanda Dia Ada
Saya kemudian menunggu di tepi kedai dengan harapan boleh nampak dia, ataupun dia nampak saya. 10 minit di situ belum ada tanda-tanda dia ada. Gelabah tu jangan cakaplah. Sambil buat-buat cool, saya menyorong stroller ke bahagian tengah mall yang kebetulan ada pameran produk penjagaan bayi di situ.
Mulut ni berzikir manalah budak ni sebab kami terpisah sebaik segerombolan orang muncul di antara kami.
Mungkin dia dan ketinggiannya yang separas pinggang orang dewasa, membuatkan dia tak perasan saya di mana.
Tak lama kemudian telefon bimbit saya berbunyi, dan sebaik diangkat suara seorang wanita bertanya mengenai nama penuh anak saya dan dia maklumkan anak saya berada bersamanya. Dari jauh saya nampak anak saya berdiri di sisinya. Alhamdulillah, usai mengucapkan terima kasih kami bertiga kemudian berjalan menuju ke pasaraya seperti yang dijanjikan sebelum ini.
Dalam perjalanan ke pasaraya itu, saya tanya pada anak saya. Ke mana dia menghilang, kata dia mula-mula dia nampak ibu..lepas orang ramai lalu…dia terlepas pandang.
Tempah dan tampal sticker ada nombor phone mak dekat barang sekolah anak, tanpa sedar anak hafal nombor telefon mak dan berguna saat kecemasan.
Tak Sia-sia Tampal Sticker Ada Nombor Telefon Saya
Saya tanya lepas tu apa dia buat. Benda pertama dia beritahu dia tak menangis dan dia tak pergi pada orang yang tak dikenali. Sebaliknya dia cari polis bantuan yang kebetulan ada di sekitar kawasan itu.
Kemudian dia maklumkan kepada polis itu ‘ibu saya hilang’ dan sebaik diminta info ringkas mengenai ibu.
Perkara pertama yang dia maklumkan adalah nombor telefon bimbit saya.
Alhamdulillah tak sia-sia saya tempah sticker dan saya tampal di bersama di bawah sticker itu nama penuh dia dan nombor telefon saya. Sedar tak sedar dia menghafal nombor saya. Dalam keadaan genting sebegini ada manfaatnya. Syukur dia tak panik dan berjumpa dengan orang sepatutnya.
Konklusinya, sebaik turun kereta selepas parkir selain ambil gambar tiang yang mencatatkan nombor bagi panduan kita. Perlu diingat ambil sama gambar anak-anak kita sebagai ‘backup’ sekiranya berlaku kejadian kehilangan yang tidak diduga sebegini. Semoga perkongsian ini boleh menjadi panduan buat ibu bapa di luar sana.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
“Saya Cuba, Bertahan, Usaha Tapi Gagal. Tiada Lagi Kita” itulah yang diluahkan oleh Aprena Manrose tentang rumah tangganya yang dikatakan sudah berantakan.Pelakon cantik, Aprena...