‘Sebelum ajalnya, luangkan waktu bahagiakan orang tua.’ Jangan sampai yang tinggal hanya penyesalan. Lupakan segala sengketa dan dendam, pulang berhari raya bersama orang tua.
Mak ayah kita meniti hari-hari tua dan belum tahu berapa lama lagi mereka akan bersama kita. Apa saja yang berlaku, maafkan saja dan binalah bahagia untuk untuk orang tua.
Kongsi Rohana Saad & Bik Garage Zambri Bik, tidak ada mak yang sempurna.
Datanglah jika Mak memanggilmu hari ini, kerana esok Mak mungkin tidak akan memanggil lagi. Jangan sakiti Mak, Mak sakit melahirkan kita, tapi Mak gembira.
Luangkan Waktu Bahagiakan Orang Tua
Jangan sakiti Mak, Mak sudah banyak terluka, tapi Mak sabar dengan kita. Jangan sakiti Mak, kerana Mak tiada gantinya.
Tidak ada Mak yang sempurna, tetapi banyak Mak yang bersedia mengorbankan nyawa untuk anak-anaknya.
Ads
Mak memiliki hati yang ikhlas sehingga tak pernah meminta membalas jasanya yang menjadikanmu seperti sekarang.
Sesungguhnya balasan Allah itu pasti dan setiap yang berlaku pasti ada sebabnya.Apa yang dilakukan oleh kita pada mak ayah hari ini, tak mustahil dibalas ‘tunai’ oleh Allah pada masa akan datang.Maka, beringatlah. Luluhnya rasa hati mak ayah, apabila diabaikan dan dihalau oleh anak sendiri sehingga terpaksa menghuni rumah perlindungan orang tua.
Ketika rakan seusianya menyambut Ramadan dan Aidilfitri bersama ahli keluarga, berbeza dengan Abd. Ruahman Talib, 70, yang sudah 12 tahun meraikan lebaran di rumah perlindungan orang tua.Dia yang menetap di Rumah Sejahtera Batu Bertangkup di sini sejak Januari 2010, mengakui tetap merindui suasana berhari raya bersama insan tersayang.
Peredaran masa membuatkan bapa kepada dua anak itu kini sudah biasa menyambut hari raya dalam suasana serba sederhana di pusat perlindungan tersebut.
Abd. Ruahman berkata, hidupnya di pusat jagaan itu bermula selepas rumahnya di Kampung Belat Batu diambil Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bagi projek pembinaan landasan kereta api berkembar.
Katanya yang mesra disapa sebagai Pak Man, selepas itu, dia menumpang di rumah anak lelakinya namun hanya dalam tempoh dua bulan sebelum dihalau keluar menyebabkan dia tidak ada arah tujuan sekitar 2010.
Jelasnya, selepas menempuh pelbagai dugaan dalam tempoh tersebut termasuk dirawat di hospital disebabkan masalah jantung, dia diselamatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang membawanya ke Rumah Sejahtera Batu Bertangkup selepas mendapat tahu kisahnya melalui akhbar ketika itu.
“Saya menganggap kisah hidup saya ini umpama roda berputar kerana ibu saya juga pernah menghuni tempat sama (rumah perlindungan orang tua) ini sebelum menghembuskan nafas terakhir di Rumah Sejahtera Tun Dr. Hasmah, Jejawi.
“Apa yang berlaku mungkin balasan Allah SWT kerana ibu saya juga pernah tinggal di rumah orang tua selepas wanita tersebut dihalau bekas isteri.
“Ketika itu, saya ke laut selama seminggu dan apabila pulang ke rumah diberitahu bahawa ibu telah tinggal di sini (Rumah Sejahtera Batu Bertangkup) selepas dihalau bekas isteri dari rumah kami di Belat Batu.
“Saya terus datang untuk mengambil ibu pulang ketika itu, namun ibu enggan kerana patah hati dengan tindakan bekas isteri walaupun telah berkali-kali dipujuk dan dirayu,” katanya.
Abd. Ruahman yang turut menghidap pelbagai masalah kesihatan berkata, dia tidak kisah berkongsi kisah hidupnya itu agar menjadi iktibar dan pedoman kepada masyarakat.
“Kepada orang ramai, saya minta jagalah keselamatan ibu dan ayah semasa masih hidup dan janganlah sesekali abaikan kedua-dua orang tua kita. Jika tiada mereka, tiadalah kita di dunia ini, ingatlah pesanan ini,” katanya.
Sementara itu, katanya, selepas 12 tahun, dia sudah membiasakan diri beraya bersama penduduk kampung, kariah masjid dan rakan-rakan yang tinggal di pusat perlindungan tersebut.
“Anak perempuan saya juga sering datang bersama suaminya apabila mendengar berita saya tidak sihat namun anak lelaki saya sekalipun tidak pernah datang menjenguk. Anak perempuan saya mahu menjaga saya, namun saya tidak mahu menyusahkan dia,” katanya.
Mingguan Wanita:Allahu, semoga kisah ini menjadi iktibar buat kita sebagai anak. Jangan sakiti dan abaikan perasaan mak ayah. Sesungguhnya balasan dari Allah itu pasti, di dunia lagi sudah ditunjukkan.
“Saya sudah bertaubat, dia tetap tak maafkan.” Ayah tergamak buang anak hamil luar nikah gara-gara kesalahan anaknya itu.
Biarpun anak itu telah sedar perbuatan dan telah bertaubat, sang ayah tetap tidak dapat menerima anaknya lagi, apatah lagi cucunya itu.
Rata-rata netizen bersimpati dengan situasi yang dilalui gadis ini. Kongsi Baitus Solehah, perjalanan hidup yang mendukacitakan…
Apakah ada pelangi dihujung senja?
Perjalanan hidup ini telah ditentukan oleh Allah SWT dari awal lagi… Tak kira yang suka atau duka, malah yang bahagia atau derita dan yang senang atau sukar. Segalanya sudah ditentukan…
Masih airmata saya mahu mengalir untuk menaip berkongsi cerita ini. Sayu hati bila berfikir, rupanya masih ada seorang ayah yang kejam dan tidak ada hati kemanusiaan. Mungkin dia cuma fikir hidup cuma setakat di dunia sahaja. Ego sungguh ! Ego kerana tidak menerima qada dan qadar Allah.
Tiga bulan lalu ketika saya membawa pelatih ke sebuah Klinik Kesihatan berhampiran, sedang saya menunggu pelatih menjalani pemeriksaan antenatal, saya didatangi seorang ibu yang agak sebaya saya usianya.
Ibu itu bertanya, ” Ini ummi ke?”
“Hmm…ummi, ada apa ya?”
“Begini, saya ada masalah, anak saya hamil, tadi ketika jumpa doktor, doktor tu yang beritahu saya, cari seorang perempuan selalu berjubah hitam, berniqab dan ramai orang panggil ummi.
Lama saya perhatikan puan, dari puan datang bersama perempuan-perempuan muda yang hamil, saya beranikan diri untuk bertanya sebab saya tak tau nak cari di mana.”
“Ohh, begitu. Mana anaknya?”
“Ini anak saya, hamil 5 bulan. Siapa pun di dalam keluarga saya tak tahu keadaan dia. Boleh puan tolong saya? Ada kekosongan ke di tempat puan?”
“Insyallah , ada . Kebetulan seorang yang baru melahirkan sudah keluar semalam. Boleh lah dia daftar masuk. Bila nak masuknya?”
“Jika boleh hari ini. Nanti lepas balik dari kllinik saya terus ke tempat puan ya, boleh puan berikan alamatnya?”
“Baik, boleh hari ini .”
Tiba-tiba pelatih ini telah melahirkan bayi pramatang. Pada minggu 33 kandungan, bayi telah lahir dengan berat 1.8 kg (kilogram) sahaja. Bayi dan ibu ditahan di wad selama seminggu. Setelah ibu dan bayi sihat dan selamat, barulah mereka berdua dibenarkan dibawa pulang ke rumah.
Bayi ini mahu dipelihara sendiri oleh pelatih. Tidak mahu diserahkan kepada keluarga angkat. Perancangannya, waris (ibu) akan jemput pelatih untuk diletakkan di rumah ibu saudara pelatih. Tetapi di saat akhir, ibu saudara cuma mahu bayi, tak nak terima dan jaga ibu bayi.
Jadi perancangan waris bertukar. Tak pelah, mereka tak nak jaga ibu cuma nak bayi, maka tak jadi hantar ke sana. Jadi waris bertekad bawa pelatih ni dengan bayinya pulang ke rumah.
Tak sampai sejam, waris menelefon semula, terdengar bunyi esak tangisan di hujung talian. “Ummi, ayah dia tak nak terima.”
“Ayah dia tak nak terima ibu atau bayinya?”
“Dua-dua, ibu dan bayi, ayah dia dah buang dia. Ayah dia tak beri dia masuk rumah. Saya tak tahu nak hantar dia ke mana. Ummi tahu ke tempat lain yang boleh terima anak saya ni?”
Terdiam saya, sambil saya menangis, “Kenapa ayah dia tergamak buang anak? Anak itu sudah taubat dan berubah. Tekad hendak pelihara sendiri bayinya supaya dapat membina masa hadapan yang baru, kenapa ya?”
“Saya tak tahu ummi, suami beri kata pilihan pada saya. Sama ada nak anak atau suami? Saya cuma ada seorang saja anak perempuan, apa saya nak buat ummi? Mana saya nak pilih? Dua-dua ada hak untuk tinggal di rumah inikan?”
“Ya, dua-dua ada hak. Lagi pula , anak perempuan ini masih di bawah tanggungjawab ayah selagi dia belum berkahwin.”
“Ayah dia tak nak ummi, ayah dia tak mahu dia ada dalam rumah ni, ke mana saya nak letakkan dia ummi?”
“Begini sajalah, buat apa ramai orang tahu aib dan maruah dirinya, hantarlah semula dia ke Baitus Solehah. Saya sanggup saja jaga dia sampai mati. Dah ayah dia tergamak buang dia, buanglah dia dunia akhirat.”
“Baik ummi, nanti saya hantar semula ke sana ya.”
Rupanya, satu barang pun belum diturunkan dari kereta ketika tiba di rumah tadi. Ketika waris yang bawa pelatih tiba di rumah, ayahnya telah ada di rumah. Apabila melihat pelatih turun kereta bersama bayinya, ayahnya terus marah. Dan berlakulah drama tanpa skrip.
Mereka tiba semula selepas solat maghrib. Ketika tiba, sebaik pelatih turun kereta, terus dia memeluk saya. Menangis di bahu saya, “Ummi, ayah dah buang saya, usahkan anak saya, saya pun ayah tak nak terima. Saya tahu saya dah buat silap. Tapi saya dah bertaubat, ayah tetap tak maafkan saya.”
“Tak mengapalah, mari masuk. Insyallah ummi jaga kamu.” Sambil saya pimpin tangannya masuk ke rumah. Bayinya saya kendong di tangan kanan.
“Bersabarlah dengan ujian ini, bukankah selalu dipesan, yang kamu akan diuji dengan ujian yang besar apabila kamu bertaubat dan ingin berubah menjadi baik? Inilah iman. Insyallah, jika kamu mampu melaluinya dengan redha, Allah akan pimpin kamu di jalan yang benar.”
“Allah nak uji janji dan ikrar kamu, dan kehendak Allah kamu berada di sini. Semoga rahmat Allah bersama kamu sentiasa. Usah risau akan rezeki kamu dan bayi ini, semuanya dalam jaminan Allah, kita hiduplah seadanya.”
Bertangis-tangisanlah kami semua. Padanlah kata bibik, ” Ketika dia pamit mahu pergi tadi, saya tak sedih pun. Rupanya dia pulang semula ke sini.” Bibik lagilah menangis mengogoi sedih melihat dia masuk dengan bahunya saya pimpin.
Sedih yang amat, apabila benar-benar berhadapan kisah nyata. Selalu tengok sinetron saja, cerita sedih yang diarah oleh penulis skrip.
Bagaimana akhiran kisah ini, hanya Allah yang mengetahui. Tinggal dia menjadi penghuni Baitus Solehah semula. Berapa lama tempohnya, hanya Allah yang tahu.
Dari Allah kita datang dan kepada Allah jua kita kembali.
Opah Cucu Seribu,
Mak Liza
Mingguan Wanita : Kesilapan yang telah anak lakukan adalah ujian buat semua, sama ada pada ayah atau anak. Memang tak mudah terima kenyataan yang menyakitkan, namun jangan ego hingga hingga membuang anak yang menjadi amanah pada mak, ayah.
Penatnya isteri seharian mengurus rumah, memasak pula untuk bersahur. Isteri yang penat, bangkit pula petang hari.. memasak untuk berbuka.
Belum termasuk, melayan anak-anak kecil nak itu ini. Sampai ibu nak ke tandas pun tak sempat. Paling tragis, angkut sekali anak masuk tandas.. sebab anak tak mahu lepas.
Boleh bayangkan penatnya macam mana isteri seharian. Belum sempat rehat, suami pula ajak naik kereta beli barang dapur.
Tak sengaja, tertidur pula isteri dalam kereta. Diam-diam suami rakam. Kelakar agaknya gelagat isteri tidur.. sudah! Jadi bahan ketawa sekeluarga.
Haa.. ini yang Amirul Abraham tegur tindakan para suami. Bila mana dia sebagai lelaki pun bersimpati dengan nasib isteri yang kepenatan, tapi suami tak nampak.
Pagi tadi selera makan nasi lemak saya terbantut. Gara-gara dengar ustaz berceramah di masjid depan kedai ni tentang penatnya sang isteri di rumah.
Bangun pagi. Sediakan sarapan anak dan suami. Gosok baju. Dah siap sarapan kemas meja. Basuh pinggan mangkuk. Mop lantai.
Basuh lagi baju. Angkat. Sidai. Dah kering nanti nak kena lipat pula. Dah lipat kena susun dalam laci masing-masing.
Buang sampah. Kadang sampai tak sempat mandi.
Itu baru sedikit contoh.
Di sebalik susah payah sang isteri ini, perlu ke seorang suami ambil gambar isteri tengah tidur dalam kereta dengan mulut ternganga? Kemudian tunjuk pada anak-anak dan ketawa melihat emak yang sedang tidur kerana kepenatan?
Lagi teruk si suami sebarkan gambar isteri itu dekat grup wasap ahli keluarga dan kenalan rapat.
Mereka ketawakan beramai-ramai. Budaya apakah ini?
Ada lagi jelek sebarkan gambar isteri tengah tidur dalam kereta dengan caption,
“Asal masuk kereta je tidur. Inilah orang perempuan. Penat apa taktaulah”
Sedar tak yang kita gelakkan itu adalah orang yang banyaknya membantu segala urusan kita.
Malah wanita itulah yang tidak putus berdoa setiap hari atas tikar sejadah demi keselamatan, kesejahteraan dan kesenangan suami dan anak-anak.
Kecik hati sungguh isteri dan emak kita jika diperlakukan sedemikian. Berehat sekejap pun dijadikan bahan jenaka.
Harini jika takde ibu atau isteri yang uruskan dan mudahkan kerja kita, agak agak kita boleh hidup selesa?
Sakit demam kita, merekalah orang yang paling setia menemani. Ada masalah kewangan, merekalah yang bergolok gadai bantu sehingga tidak ada apa lagi yang tinggal untuk diri sendiri.
Kepenatan mereka bukan jenaka untuk kita sebarkan pada sesiapa. Peliharalah maruah ibu dan isteri kita dari ditertawakan orang lain walaupun anak sendiri.
Saya insaf. Terima kasih ustaz.
Mingguan Wanita : Kalaulah suami nampak dan faham keadaan isteri yang penat itu macam mana.. indahnya dunia.
Dilihat semakin bahagia, pempengaruh dan usahawan, Maryam Younarae menyorot perhatian apabila berkongsi momen dirinya yang diajukan soalan mengenai Islam oleh rakannya dari Korea.