Doa tidak pernah putus kala sujud di hadapan Allah SWT malahan bibirnya tidak pernah lekang mengharapkan keajaiban terjadi! Tiada ibu yang sanggup melihat anak sulung yang dulu cukup cergas namun kini berubah 100 peratus selepas kemalangan jalan raya.
Ini sekali gus mengubah situasi si anak yang kini dirinya terpaksa diurus sepenuhnya. Semoga bulan penuh keberkatan ini memberikan sinar buat Siti Hapsiah Ismail dan anaknya itu.
Ini Kejadiannya…
Tarikh 15 Februari 2017, ibu kepada tiga anak ini dikejutkan dengan berita anak sulungnya kemalangan ketika ke sekolah. Insiden bermula apabila motosikal Mohamad Syazwan, 17 tahun bergesel dengan sebuah lagi motosikal milik kawannya sebelum kedua-duanya jatuh tersembam. Kepalang malang, belum sempat bangun, sebuah lagi motosikal yang datang dari arah belakang telah melenyek ke bahagian mukanya. Biar memakai topi keledar (helmet separuh) namun lenyekan itu telah mengakibatkan tulang kepalanya berselisih dan rahangnya patah.
“Saya dihubungi kawan sekolahnya memaklumkan Along (panggilan untuk Syazwan) kemalangan pada pagi itu. Saya sangat terperanjat kerana Along baru saja keluar dari rumah untuk ke sekolahnya di Sekolah Menengah Vokasional Kulim, Jalan Junjong kira-kira 45 minit perjalanan dari rumah di Taman Mutiara ini. Awalnya saya sangkakan hanya kemalangan kecil tetapi sama sekali saya tidak menyangka, kemalangan itu telah mengubah masa depan Along.
“Pada hari dimasukkan ke hospital, muka Along mulai membengkak. Pada malam 16 Februari, dia dimasukkan ke wad pembedahan kerana bahagian tempurung kepalanya yang cedera itu sudah mula mengumpul cecair. Sebahagian tempurung kepalanya perlu dipotong untuk mengelakkan bahaya lebih besar jika cecair itu tidak disedut keluar dengan segera. Along juga perlukan pemantuan doktor dari semasa ke semasa bagi melihat perkembangan dirinya.
Terkini
“Alhamdulillah… Sekarang sudah tiga bulan berlalu dan pemeriksaan doktor mendapati cecair itu tidak melebihi paras tempurung kepalanya. InsyaAllah pada pemeriksaan akan datang, besar kemungkinan tempurung kepalanya yang sekarang ini disimpan oleh pihak hospital dapat dipasang kembali. Doktor memberi tempoh sehingga setahun. Kata doktor tengkorak boleh mengecut akibat proses semula jadi dan andai itu berlaku, kepala Along besar kemungkinan akan melekuk seperti sekarang ini,” katanya yang sepakat dengan suami untuk memasang kembali tempurung di kepala anaknya.
Ads
Menurut Siti Hapsiah juga, akibat kemalangan dan kesan lenyekan tayar motor di kepala Along, mata anaknya tidak berhenti-henti berkedip biarpun sudah tiga bulan kemalangan itu berlaku.
“Sebab itulah saya meletakkan pita pelekat di kelopak mata Along bagi mengurangkan tekanan. Saya juga selalu bercakap-cakap dengannya biarpun tahu dia tidak mampu melakukan apa-apa buat masa ini,” katanya yang mengakui sebak setiap kali memandang wajah Syazwan yang mengambil jurusan elektrik di SM Vokasional.
Disangka Sudah Tidak Bernafas
Sebenarnya tragedi kemalangan ketika ke sekolah secara konvoi beramai-ramai dengan kawan sekolahnya tiga bulan lalu memberikan kesan yang bukan sedikit ke atas diri Mohamad Syazwan Hamidon. Selepas terjatuh akibat geselan di handle motosikalnya, kemudian kepala dilenyek oleh motosikal di belakang, keadaan Syazwan memang teruk.
Menurut ibunya, Syazwan yang terbaring kaku akibat kemalangan itu, disangkakan telah meninggal dunia oleh mereka yang berada di tempat kejadian namun sebaik dirinya dibawa masuk ke dalam ambulan dan mendapat bantuan cemasan, dia tersedar dan kembali bernafas, biarpun sebelum itu paramedik mengakui Syazwan seperti tidak bernafas ketika itu.
“Situasi anak teruk. Mukanya mulai membengkak di tempat kejadian lagi. Disebabkan nafasnya terhenti, oksigen tidak sampai ke bahagian otak sekaligus doktor mengesahkan Along sudah tidak memahami lagi situasi sekelilingnya kerana ketidakupayaan otaknya berfungsi dengan baik.
Ads
“Along bagaikan anak kecil yang perlu diuruskan 24 jam. Lehernya ditebuk bagi memudahkan dia bernafas dan di perutnya satu saluran dibuat untuk saluran susu yang akan diberikan kepadanya setiap tiga jam sekali. Sesekali kakinya akan menggeletar seolah-olah kekejangan. Saya akan menarik tapak kakinya dan memberikan urutan lembut bagi menghentikan kekejangan itu.
“Kata doktor, ia proses semulajadi bagi mereka yang terbaring lama dan saya perlu membuat latihan fisio bagi mengelak kakinya terus mengeras. Setiap hari, saya akan mengurut kakinya perlahan-lahan bagi mengelakkan sarafnya kejang jika tidak diurut,” katanya yang tidak putus berdoa agar anak itu kembali sihat dan sembuh biarpun doktor memberitahu tiada apa boleh dilakukan lagi.
“Biarpun harapan untuk Along sembuh sukar tetapi saya tidak putus harapan. Sesekali melihatkan gerakan tubuhnya hati saya sudah gembira. Tidak ada apa yang mustahil dengan izin Allah,” ujar ibu penyayang yang mempunyai tiga orang anak ini iaitu Syazwan, 17, Danial Aiman Hamidon, 15 dan Nelly Maisara, 9 tahun.
Perlukan Kos Besar
Tidak pernah terfikir, anak yang dahulunya cukup pandai mengambil hati, tidak melawan bila dimarahi dan tidak melenting biarpun ditegur, tetapi kini anak itu terbaring lesu, tanpa mampu melakukan apa-apa.
Ads
“Kita lihat tubuhnya sihat, tiada apa kekurangan tetapi kerana oksigen gagal membekal ke otaknya selama beberapa minit semasa kejadian kemalangan itu, membuatkan Along terlantar begini,” katanya dan memberitahu susu sentiasa akan dibekalkan ke tubuhnya bagi mengelakkan anaknya lapar.
“Susu Ensure ini suami beli pada harga RM74.90 untuk 800 gram. Hanya cukup untuk dua hari sahaja. Buat masa ini, kami belum mendapat apa-apa bantuan. Suami dahulu kerja kilang dan kami berniaga kecil-kecilan depan rumah. Dengan duit simpanan itulah digunakan untuk membeli susunya. Kami pernah ke pusat Zakat, tetapi pihak itu memberitahu bantuan hanya diberi sekali sahaja setahun. Alhamdulillah ada NGO yang sudi membantu dengan memberi dua tin susu sebulan.
“Tilam air yang Along tidur sekarang pun kami beli yang terpakai, dengan harga RM500. Katil dan penyedut ini diberi sementara oleh pihak hospital.
Ikutkan dengan segala keperluannya, memang tidak akan mencukupi untuk satu jangka masa panjang dan suami hanya membawa lori menjual air penapis. Dulu masa sihat, Alonglah yang bantu kami berniaga tetapi sekarang dirinya pun terpaksa diurus,” ujar Siti Hapsiah berkali-kali memberitahu, dia mengharapkan keajaiban dari Yang Maha Kuasa agar Syazwan sembuh kembali.
Bagi anda yang ingin menyalurkan sumbangan kewangan untuk meringankan bebanan keluarga ini, salurkan sumbangan itu ke akaun Bank Simpanan Nasional di akaun 02004-41-0000988-7 atas nama Siti Hapsiah Ismail. Semoga bantuan anda dapat balasan baik daripada Allah.
Doa Ibu Syazwan
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Wahai mak-mak yang sedang mengandung di luar sana, ingatlah. Walau seteruk mana pun pekerjaan anda, ajarkanlah diri agar tetapkan dalam kepala ‘Kalau penat.. berehatlah’.
Masa hamil inilah ibu kena banyak berehat dan tenang fikiran. Kerehatan itu bukan sebab baby dalam perut semata-mata tapi kesihatan diri anda itu yang paling utama. Bila ibu sihat, bayi pun sama-sama jadi sihat. Dan sebaliknya yang jadi jika ibu tak cukup rehat atau keterlaluan penat.
Inilah kisah benar yang terjadi pada Puan Zalmah Mat Amin ketika mengandungkan anaknya yang kedua. Kisah yang berlaku pada 20 November 2016 ini merobek hatinya. Menyedarkan banyak hal akan apa yang telah dilaluinya.
Inilah catatan beliau yang mana ia bertujuan untuk memberi pengajaran buat mak-mak yang ketika ini sedang mengandung. Bukan tujuan mahu menakut-nakutkan, tapi ikhlas mahu memberi kesedaran ‘KALAU PENAT, BEREHATLAH MAK-MAK MENGANDUNG’
Saya Usap Perut Sambil Menangis
Assalammualaikum dan salam sejahtera ibu-ibu dan bakal ibu semua. Kisah yang saya nak kongsikan ini berlaku pada 29 November 2016.
Ambillah sebagai ikhtibar dengan apa yang berlaku pada anak kedua saya. Waktu itu, kakaknya berumur 3 tahun lebih.
“Pada permulaan preggy yang kedua, condition kesihatan saya tip top. So happy sangat sebab masa mengandung kaka dia, saya ada diabetes dan darah tinggi. Tapi under control lagi.”
Ketika mengandung kali itulah pelbagai masalah dan ujian menimpa hidup menyebabkan saya stress dan teramat penat.
“Dalam bulan 3 doktor detect saya ada darah tinggi dan kencing kotor. Pernah kena stay 3 malam di HKL. Kena makan ubat darah tinggi pun iya.
“Masalah-masalah saya itulah menyebabkan saya menjadi terlalu berdikari. Hingga terlupa yang saya ini mengandung.”
Walau terlalu penat, saya gagahkan diri hingga terlupa baby saya pun dah terlalu penat di dalam. Saya selalu usap-usap perut saya menangis agar anak saya bertahan.
Baby dalam kandungan beliau ternyata begitu aktif. “Dia menendang-nendang tak kira waktu.”
Pakar Maklumkan Saya Dan Baby, 50-50
Sampailah bulan November, kandungan beliau dah memasuki 7 bulan. Masa itulah, dia sedar yang baby dalam perut kurang bergerak.
“Saya pergi ke klinik dan akibat darah tinggi, saya dirujukkan ke hospital. Saya pilih Hospital Serdang sebab dekat dengan rumah. Dan akhirnya saya diwadkan.
“Ubat darah tinggi dan sawan ikut saluran darah diberikan, segala pakar masuk menemui saya dan memaklumkan condition saya 50-50.
“Baby saya tak mampu survive hingga cukup bulan. Air ketuban yang kurang dan kalau diteruskan dua-dua akan OUT!. So doktor pilih ibu. Masa itu hujan air mata selebat-lebatnya.
Saya merayu pada doktor buatlah sehabis baik untuk selamatkan anak saya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan Maha Berkuasa.
“Baby saya pergi juga meninggalkan saya dan dunia ini. Tenanglah sayang di sana bertemu Penciptamu. Tidak sedetik pun Mama melupakan Sayang dan Mama terlalu ingin bertemu Sayang.
“Mama titipkan salam rindu buat sayang setiap kali lepas solat. Mama terasa sangat ikatan antara kita walau kita di alam berbeza.”
Ingatlah Pesan Ini Mak Mengandung.. BEREHATLAH!
Sebenarnya terlalu banyak yang ingin saya kongsi. Tapi cukup untuk kali ini buat bakal-bakal ibu, jagalah kesihatan baik-baik.
Jangan buat kerja berat-berat.
Makan ubat ikut waktu.
Jangan cuba-cuba skip ubat.
Rehatlah secukupnya.
Buat anakku arwah Putra Muhamad Firas Firdawsi, Mama bangga memiliki Sayang. Doakan Mama tabah menghadapi ujian-ujian hidup yang sementara ini. Sayang berkorban untuk Mama di sana. Mama, Papa dan kakak Mayra sangat merindui sayang.
Wahai mak-mak, Tun Dr Mahathir Mohamad kembali menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-7 pada usia 93 tahun. Usia yang kalau dibandingkan dengan mereka yang seumpamanya sudah tak perlu lagi bekerja, malah menghabiskan sisa hidup berehat.. bermanja dengan keluarga.
Seandainya berehat itu pilihan Tun Mahathir, maka tiadalah Malaysia baru untuk rakyat Malaysia. Ya, bapa kesayangan Malaysia ini mengorbankan sebahagian hayatnya untuk rakyatnya. Tun cekal kuat malah tidak lelah. Dan sebak sekali membaca catatan Muhammad Yusof. Tentang lelaki yang begitu disayangi rakyat Malaysia ketika ini.
Dapat Tak Dibayangkan Tangan Yang Sudah Dimamah Usia Ini..
Cuba hangpa tengok tangan yang berkedut ni. Ini adalah gambar kandid yang diambil ketika Tun memakai kemeja lengan pendek. Dapat tak hangpa bayangkan tangan yang sudah dimamah usia ini masih kuat menulis dan membelek fail sehingga jam 2-3 pagi. Disaat ramai dikalangan kita yang lena diulik mimpi, Tun sanggup mengorbankan masa tidurnya untuk kita, ya untuk kita dan negara kita yang tercinta.
Kita nampak depan mata kita Tun tidak setegap dahulu. Kita nampak tangan Tun terketar semasa menadah tangan berdoa masa majlis angkat sumpah. Percakapan Tun pun tidaklah sejelas masa Tun muda. Kita nampak depan mata kita Tun agak kepenatan, namun peduli apa Tun semua itu. Yang penting negara dapat dikembalikan ke landasannya.
Pada aku, Tun bukan jenis manusia yang suka goyang kaki. Tun seorang yang kuat bekerja. Sebelum pilihanraya satu Malaysia Tun jelajah berceramah pagi, petang, siang, malam, hujan, panas, ribut untuk tarik rakyat Malaysia mengundi PH.
Then, bila dah menang dan dilantik jadi PM, Tun bukan duduk diam. Tun tak tunggu lama, start daripada majlis pelatikan PM, Tun terus bekerja, bekerja dan bekerja. Tun bukan jenis manusia yang suruh orang lain setelkan kerja, setelkan hutang negara, then baru nak ambil alih kerajaan. Tun bukan jenis manusia macam tu.
Ingat Kerja Perdana Menteri Ini Mudah Ke?
Pagi, petang, siang, malam Tun dan teamnya bertungkus lumus nak memulihkan negara ke arah yang lebih baik. Sampai ke malam Tun meneliti fail yang menimbun di atas meja beliau. Ingat kerja Perdana Menteri ni mudah ke?
So, pada yang dah tak sabar-sabar tu, aku yakin dan percaya sampai masanya Tun akan lepaskan jawatan Perdana Menteri kepada orang lain.
Masa Tun letak jawatan pada tahun 2002, sorang pun tak tahu yang Tun akan meletakan jawatan pada masa itu. Bahkan isteri beliau, Tun Dr Siti Hasmah pun terkedu bila Tun umum nak letak jawatan.
Ingat tak kita time tu Tan Sri Rafidah Aziz dok tanya Tun ‘why, why, why?’. Punyalah terperanjatnya Tan Sri Rafidah sampai kasut dia tercabut sebab nak cepat naik pentas nak mintak Tun jangan resign.
So, nanti sampai masa Tun akan serahkan jawatan PM ni kepada penggantinya. Dan, Tun bukan jenis kecoh-kecoh nak habaq satu dunia dia nak letak jawatan.
Doakan Yang Baik-Baik Untuk Tun Mahathir
Pada aku, bagilah Tun masa. Selesaikan apa yang patut Tun selesaikan. Bukan kutuk belakang Tun ‘tak cukup ke 21 tahun jadi PM?’ atau ‘Tun ni nak jadi Perdana Menteri selama-lamanya ke?’.
Tun sanggup korbankan masa tidur dia, masa rehat dia, masa bermain dengan cucu, masa bersama keluarga semata-mata nak selamatkan negara yang beliau dah bangunkan selama ini.
Daripada hangpa share status mengarut pasal Tun Mahathir, ada baiknya hangpa sama-sama doakan yang baik-baik sahaja buat diri Tun.
Ya Allah Ya Tuhan kami, Kau permudahkanlah segala urusan Tun, murahkanlah rezeki Tun dan panjangkanlah usia Tun dalam kebaikan.
Meskipun selepas mati, kanak-kanak lelaki berusia dua tahun masih berjasa kepada dua individu apabila mak dan ayahnya memutuskan mendermakan kornea anak mereka yang maut akibat kemalangan jalan raya itu.Nilai murni dan pengorbanan yang pasangan ini lakukan sanggup mendermakan mata anak kesayangan pada yang lebih memerlukan wajar dipuji.Ia bukan perkara yang mudah.
Meninggal Akibat Kemalangan
Menurut laporan Chengdu Economic Daily, kejadian yang berlaku di Beijing ini, kanak-kanak itu, Liu Ying, meninggal dunia Selasa lalu di Suining, wilayah Sichuan, 20 bulan selepas menderita kerosakan otak dan kecederaan serius lain akibat kemalangan motosikal.
Liu membonceng motosikal bersama ibu dan bapanya apabila mereka dilanggar sebuah lori. Doktor juga terpaksa memotong kaki kirinya.
Selepas pembedahan terbaru yang mengambil masa sehari pada 1 Februari lalu, pakar bedah memaklumkan ibu bapa Liu bahawa anak mereka mungkin tidak dapat bertahan.
“Sekurang-kurangnya penerima kornea itu boleh menikmati hidup dengan melihat dunia menerusi mata anak kami,” kata ibu Liu.
Pakar bedah dan jururawat bertugas sebak dengan pengorbanan ibu bapa kanak-kanak itu serta memberi penghormatan kepada Liu sebelum memulakan pembedahan mengeluarkan korneanya untuk dipindahkan kepada dua pesakit.
Pakar mata di hospital tempat Liu dirawat, Li Heng berkata:
“Pembedahan memindahkan kornea itu berjaya. Penerima kini semakin pulih daripada pembedahan.”
Derita Separuh Lumpuh
Ibu bapa Liu yang identitinya tidak dikenali menderita separuh lumpuh akibat kemalangan itu, memaksa mereka berhenti kerja dan meminjam 1,000 yuan (RM629) daripada rakan untuk membayar kos hospital.
Kakitangan hospital yang bersimpati dengan nasib pasangan itu mengumpul dana lebih 30,000 yuan (RM19,000) untuk didermakan kepada mereka.
“Belas kasihan dan kejujuran yang ditunjukkan pasangan itu membuatkan kami terharu,” kata pengarah pusat pediatrik hospital berkenaan.
Shu Shukri "sekolahkan" Hafidz Roshdi, "dah kalah tu kalahlah, nafkah anak sesen pun tak bagi. Hari ini, di instagram storiesnya, pempengaruh Nurul Shuhada Mat...